Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 35

Safi, Man dan Ina bergilir-gilir memanjat pokok duku di hujung jalan masuk ke simpang kampung. Mereka selesa di situ dengan kaki yang berjuntaian dan sambil duduk, mereka berbual-bual.

“Man, jangan panjat tinggi sangat. Jatuh nanti!” pesan Safi pada Man yang dilihat semakin tinggi di atas kerana seandainya apa-apa terjadi nanti, pasti dia yang kena nanti.

“Boleh ke duduk situ?” soal Safi pada Ina yang duduk di dahan paling bawah. Ina hanya tersenyum menampakkan giginya yang lompong disini dan disana akibat terlebih memakan gula, akhirnya gigi yang merana.

“Safi, mana mak? Bila mak nak sampai? Lama lagi ke baru mak balik?” soal Ina bertalu-talu sambil memuncungkan bibir kecilnya itu. Safi tahu yang Ina dah mula bosan, lagipun, tak lama lagi rancangan kartun kegemarannya akan ditayangkan.

“Tunggu sekejap lagi, boleh?”

“Mengada-ngada betul! Tu lah, tadi kan Safi dah kata, jangan ikut, tapi degil!” balas Safi yang sudah mula naik geram kerana dia masak benar dengan perangai Ina yang tak boleh bersabar tu. Tak boleh nak memberikan fokus dalam sesuatu.

“Shh shh shh! Semua senyap-senyap! Pak Selimin lalu.” bisik Man perlahan. Serentak itu, semuanya diam, kaku dan tak bergerak. Nafas pun ditarik dan dihela secara perlahan, bimbang kehadiran mereka disitu dapat dikesan. Bunyi basikal Pak Selimin jelas di pendengaran. Bila dia dah jauh, barulah mereka bercakap semula. Begitulah keadaannya berulang kali, sehinggalah mereka seperti dapat melihat kelibat mak yang baru sampai di sebalik bukit.

“Mak mak mak! Mak dah balik dah! Senyap senyap!” ucap Safi dan Man serentak sambil ditemani senyuman bahagia yang terukir di wajah keduanya. Cepat-cepat mereka bersembunyi di sebalik dahan-dahan duku yang agak rendang itu, tak mahu kedudukan mereka diketahui sebelum tiba masanya.

“Hik hik hik!!!” gelak Man dan Ina, teruja sambil menakupkan tapak tangan ke mulutnya, cuba menahan ketawa.

“Shh shh! Janganlah bising!” bisik Safi perlahan. Man dan Ina mengangguk faham sambil mata masih memerhatikan mak yang semakin lama semakin menghampiri mereka.

Mak seperti dapat manghidu kegiatan anak-anaknya itu kerana daripada jauh, mak dah nampak, tapi dia saja nak tengok akal mereka. Begitulah kebiasannya bila dia keluar ke bandar dan sudah acap kali benar anak-anaknya itu berpelakuan begitu.

“Mak!!!” sergah mereka serentak dari atas pokok dan mak sengaja buat-buat terkejut.

“Ya Allah…! Ini kerja kalian ya? Memanjat pokok pulak kerjanya. Cepat turun! Malu tengok dek orang!” arah mak tegas, tapi didalam hati mak gembira kerana dia rasa dihargai bila sedar kepulangannya dinanti. Apa lagi, mendengarkan arahan mak, mereka bertiga berebut-rebut menuruni pokok duku tersebut dan Man seperti biasa, dengan lagak sipermannya melompat dari dahan yang agak tinggi terus sampai ke bawah. Nak cepat sangat, mujurlah tak ada apa-apa yang terjadi.

“Ya-Allah, turun tu cuba elok-elok! Nanti kalau patah liuk kaki tu macam mana?” tutur mak yang nyata terkejut melihat aksi anaknya dan Man, seperti biasa, hanya tersengih mendengarnya.

“Mak beli apa? Mak ada beli kacang?” soal Safi pada mak, serentak bungkusan plastik berubah tangan, segera mak menahan perasaan sebelum menidakkannya.

“La, mak lupa! Nak cepat sangat tadi, takut ditinggal dek bus!” balas mak menidakkan.

“Huh? Tak ada?” soal Safi yang sukar untuk mempercayai kerana kebiasaanya mak tak pernah lupa untuk membelikan jajan kegemaran mereka setiap kali keluar ke bandar. Tanpa berlengah dia menyelongkari apa yang ada di dalam plastik tersebut sambil turur sama disertai Man dan Ina yang dah mula berebut-rebut.

“Ni! Ni kacang!” tutur mereka terkejut dengan apa yang baru dilihat. Mak lantas tersenyum setelah rancangan mengenakan anak-anaknya itu berjaya.

“Wah! Syoknya! Safi punya kacang kuda! Man dengan Ina nak yang mana?” soal Safi pada Man dan Ina, mahu membahagi-bahagi dengan senyuman yang menampakkan gigi hadapan kerana itu memanglah kacang kegemaran, cukup keras dan cukup berlemak sampai melekat di tekak.

“Hmm…lemak berkrim, disukai ramai” desisnya di dalam hati sambil berjalan beriringan menuju ke rumah dengan perasaan gembira yang dah tak terkata.

“Man nak kacang tanah pedas!” balas Man pula sebelum diulangi Ina.

“Ina pun! Ina pun nak kacang tanah pedas!” tutur Ina selesai membuat pilihan, membuatkan Man yang mendengar mula rasa tak berkenan.

“Ina ni kan, sibuk! Suka sangat mengikut orang!” balas Man sambil menghadiahkan Ina dengan jelingan tak puas hatinya.

“Dah, dah! Jangan nak bertekak pulak! Kan mak ada beli banyak kacang tu, ambil sorang satu.” tutur mak menegaskan tak suka mendengar pertelingkahan. Tanpa berlengah, kedua-duanya mengikut arahan.

Sesampainya di rumah, mereka berebut-rebut mengeluarkan barang-barang yang dibeli mak. Sebungkus beg plastik yang dipenuhi dengan manik-manik yang beraneka warna dan saiz turut sama dibelek.

“Banyaknya manik ni mak.” tutur Safi pada mak yang sedang mengipas-ngipas muka dengan tudung kepala yang baru dibuka.

“Cikgu Roslin mintak mak buatkan banyak. Dia nak tolong bawa ke expo di Kuantan hujung bulan ni. Dia kata keronsang yang mak buat cantik, kalau jual mesti laku.” balas mak.

“Ha, lupa nak cakap, tadi kawan-kawan Safi pun ada mintak nak beli keronsang tu lagi. Lima yang kecik dengan dua yang besar. Ada yang nak warna merah jambu, ada yang nak warna putih, ada ke mak?” soal Safi setelah teringatkan pesanan rakan-rakannya.

“Ada, nanti Safi pilih. Takpun nanti malam mak buatkan yang baru.” balas mak sambil terus mengipaskan tudung kepala di muka.

“Sempat ke?” soal Safi semula sedikit mencurigainya.

“InsyaAllah sempat.”

“Safi tolong mak, ambilkan pinggan, sekali dengan sudu dengan garfu. Keluarkan rojak ni. Boleh kita makan sama-sama. Ambilkan sekali air minum untuk mak, mak dah rasa haus sangat ni.” tutur mak meminta dan Safi segera menurut.

“Dulu, masa mak budak-budak, bila mak deman dan tak ada selera nak makan, atok ke bandar untuk belikan rojak ni untuk mak. Berusaha dia untuk buat mak makan semula biarpun kena pergi cari ke bandar…”

“Masa tu yang usahakan kedai makan, ayah dia. Sekarang ni anak dia yang ambik alih, tapi masih lagi sedap macam waktu ayah dia dulu.” tutur mak ditemani senyuman di bibir.

“Sebab tulah, setiap kali pergi bandar mak mesti tak lupa beli.” tambah mak yang sudah mula membuka getah ikatannya. Mereka menjamu selera dengan juadah istimewa petang itu. Rojak kuah kacang kegemaran bersama.

   

Bunyi cengkerik dan katak kuang jelas di pendengaran. Safi segera menggaru-garu kepala sebelum rambut ikalnya jadi kembang dan mengerbang. Matanya rasa tak selesa kerana tidurnya diganggu dengan cahaya lampu yang terang, serentak itu dia memaksa diri untuk bangun dan memeriksanya.

“Siapalah yang tak tutup lampu ni!” tuturnya perlahan seakan berbisik. Geram kerana itu mesti kerja adik-adiknya yang hantu tv tu lagi. Dah selalu sangat. Tengok tv sampai rancangan habis, bila dah tinggal sorang, mulalah takut nak padam lampu.

“Hish…! Entah apa-apa entah. Elok dipiat je hidung tu sorang-sorang!” bebelnya sebelum Man dan Ina yang baring di kiri dan kanan di jeling sekilas.

“Betul-betul menyusahkan!” gerutunya lagi, tapi baru saja dia ingin bangun, dia disapa mak.

“Dah kenapa pulak tu? Terang sangat ke? Tak boleh nak tidur?” soal mak perlahan tak mahu mengejutkan yang lain, abah terutamanya kerana abah memang pantang orang buat bising masa dia tidur sampai nak tengok tv pun susah, kena pasang suara terendah. Kalau tak, nanti langsung tak dapat nak tengok dah, disuruhnya padam, lagi parah. Marahnya makan berhari pun masih tak sudah.

“Mak tak tidur lagi?”

“Dah pukul berapa dah ni? Mak tak mengantuk lagi ke? soal Safi dalam mamai sebelum jam didinding dijeling. Jarum pendek dah melebihi angka satu dan tanpa berlengah dia menghampiri mak dengan berhati-hati, takut menjagakan yang lain sekali.

“Dah nak siap dah ni. Sikit lagi.”

“Nanti mak siap mak padamkan lampu. Pergi sambung tidur tu. Esok kan nak sekolah.” arah mak pula, kekal berbisik juga.

Safi memandang mak dengan matanya yang berat. Dia hairan kerana mak seperti tak pernah penat. Petang tadi ke bandar, sekarang dah pukul satupun tak tidur lagi. Esok sebelum pukul 5 mak dah jaga semula. Entah bilalah rehatnya.

Safi merebahkan badannya di hadapan mak dengan berbantalkan lengan sebelum sebiji kerongsang yang sudah siap sepenuhnya dicapai.

“Cantik…” tuturnya dalam hati kerana dia bangga dengan mak. Mak tak pernah mengalah dalam hidup. Ada saja ikhtiarnya untuk mencari pendapatan. Dulu buat bunga dari tali rafia, sekarang keronsang manik. Nanti-nanti entah apa pula ideanya. Otak mak memang bergeliga, bisiknya sambil berusaha untuk mengawal mata.

Begitulah mak, tak betah mengharapkan abah sahaja. Anak-anak perlu disekolahkan dan mak turut sama berusaha untuk mencari pendapatan tambahan. Keronsang yang berada di tangan digenggam erat sebelum kelopak matanya terasa kembali berat, tak ubah macam helikopter yang dah jumpa tempat nak mendarat.

 

Mak masih tekun mencucukkan jarum ke plastik yang digunakan sebagai tapak keronsang. Botol-botol plastik minuman yang dibuang dikutip. Kemudian, mak gunting bulat bahagian rata yang terdapat di bawah mulut botol untuk dijadikan asas bagi membentuk keronsang besar. Kerjanya lebih rumit daripada pembuatan keronsang kecil. Kalau tak berhati-hati, jarum pasti tertusuk jari.

“Argh…” jerit Mak perlahan bila jari tertusuk jarum lagi. Serentak dengan itu, mak memicit hujung jari kuat untuk mengeluarkan bisa yang perit terasa. Merah jari mak dengan darah dan tanpa berlengah mak mencapai tisu kecil yang berada di dalam begnya.

“Padamlah lampu tu. Jom kita tidur.” ucap mak, kekal menekan jari yang kesakitan sebelum tangannya mengemas perkakasan kerja. Namun tiada sahutan kerana Safi sudah keras di atas lantai.

“Safi!” ucapnya lagi sambil menggoyangkan tubuh anaknya itu perlahan dan Safi akhirnya tersedar.

“Padamlah lampu. Mak dah siap dah ni.” tutur mak sebelum Safi bergegas mengikut arahan.

 

Previous: Bab 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.