Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 37a

Ramadhan tiba, dan seperti tahun-tahun yang sebelumnya, angin abah mulalah jadi tak tentu arah. Mengambang sahaja sepanjang masa. Pantang ada yang tak kena pasti ada yang merana.

“Bangun!” jerkah abah dan serentak dengan itu Safi rasa belakang badannya diterajang. Segera dia bangkit dari perbaringan akibat kepenatan membuat kerja rumah seharian.

“Orang baru je nak tido! Hish! Menyampah betullah!” gerutunya di dalam hati, tak berani mahu mengeluarkan bunyi.

“Membuta je kerjanya! Pergi angkat air tong tanah! Penuhkan tong depan sekali! Lusa hari menyembelih! Banyak nak pakai air. Ni, kalian ada masa membuta! Membuta! Membuta!”

“Bukannya tahu nak menolong orang!” tempik abah sambil mencekak pinggang, sedang mata tajam memandang. Safi rasa marah bila abah terus-terusan mengarah dan tanpa berlengah dia bangun dan turun ke tanah berserta dua baldi plastik biru dan merah.

“Ish!!! Tak guna! Menyampah betul!” bisiknya perlahan sambil kaki dilangkah laju menuju ke sungai berteman air mata hangat yang berat.

 

Abah menanti peluang untuk dia melakukan ‘kegiatan’. Bila Safi sudah pergi, cepat-cepat dia ke dapur untuk mencari apa yang ada bagi mengisi perut yang kekosongan kerana istilah puasa tak pernah ada dalam kamus hidupnya.

 

“Angahhhh…nanti lepas berbuka teman kami pergi pasang pelita ya? Bolehlah ya…” pujuk Man sambil mempamerkan senyuman.

“Tak nak! Angah tak nak! Nanti kalian tinggalkan angah lagi macam semalam. Hari ni kalian pergilah sediri.” balas angah sambil membahagi-bahagi air cincau ke dalam cawan yang ada.

“Pergi ambil lagi dua cawan. Mana cukup lagi ni. Ha, nanti adalah pulak yang tak dapat air.” tambah angah setelah memastikan jumlah yang diperlukan.

“Tak nak! Man tak tak nak ambik! Kalau angah nak Man ambik, angah kena janji dulu. Janji yang angah akan ikut kami pasang pelita liko nanti.” belas Man membantah.

“Eh, eh, eh…pandai pulak nak mengugut-ugut orang ya? Belajar mana?!” soal angah tak menyangka dia diperas ugut pula.

“Angah la! Angah yang ajar!” balasnya sambil tersenyum suka.

“Eeee…cepatlah! Cepat pergi ambik!” arah angah semula.

“Janji! Janji dulu!” balas Man kembali, minta dipatri.

“Iyalah! Nanti angah teman. Ha, sekarang, cepat pergi cari cawan lagi.” tutur angah sambil menyendukkan isi cincau berkenaan, biar sama rata sama sekata.

“Ok!” balas Man ceria.

 

“Angah…kenapa kita pasang pelita? Bukan ke orang cakap kalau rumah ada anjing nanti malaikat tak datang. Dah, buat apa kita pasang?” tutur Safi sambil menuangkan minyak ke dalam pelita plastik yang ada tergantung di batang pokok langsat.

“Siapa cakap macam tu? Siapa yang cakap malaikat akan datang rumah.” soal angah pula.

“Ustaz dekat sekolah. Ha, lepastu kan abah selalu cakap macam tu. Dah? Salah?” soal Safi, tak percaya.

“Mana boleh percaya macam tu, takut nanti tak pasal-pasal salah, sebab zaman nabi Muhammad s.a.w. tak ada buat semua ni.” jawap angah menerangkan.

“Dah? Salahlah?” tutur Safi terkejut bila mendengarkannya.

“Salah tu taklah kalau tujuan kita pasang pelita bagi meriahkan suasana. Biar rumah nampak lebih terang, ha, yang tu tak salah, tapi kalau percaya yang malaikat akan datang rumah ataupun roh-roh akan balik, ha, yang tu salah. Sebab nabi kita tak pernah cakap apa-apa tentangnya.” terang angah semula.

“Ooo…, macam tu, tapi bukan ke ada malaikat dekat kiri dan kanan kita ni, yang tengah catat benda baik dengan benda buruk yang kita buat? Dah, malaikat tu macam mana pulak? Bodok kan ada. Ada orang cakap kalau bela anjing nanti malaikat tak dekat.” tutur Safi pula meluahkan apa yang ada di fikirannya.

“Itu...benda-benda ghaib ni bukan kerja kita. Yang kita perlu buat hanya percaya, sebab itu ciri-ciri yang ada pada orang yang beriman. Jangan terlalu banyak mempersoalkan sebaliknya hanya lakukan.”

“Kalau fikir banyak-banyak pun buat pening kepala. Tugas kita hanya perlu jaga rukun lima dengan rukun enam.” tutur angah memberikan sedikit panduan.  

“Orang kampung selalu cakap buruk pada kita sebab kita bela anjing, tapi bukannya berdosa pun kan bela anjing?” soal Safi mahu mendapat pencerahan lagi.

“Hmm, betullah tu. Bukannya berdosa pun bela Bodok. Paling penting kita tahu macam mana nak jaga Bodok. Kalau terusik kita samak, takpun kita pakai sarung tangan, alas tangan tu supaya tak kena bulu dia.” balas angah pula menyatakan pendapatnya.

“Jangan la pulak buat anjing jadi macam kucing. Peluk-peluk, cium-cium, ha, kalau macam tu, memang tak bolehlah.”

“Ni, kalian ingat ya! Nanti dah siap jangan lari. Tak nak jadi macam semalam. Kalau ada yang lari, angah dah tak nak temankan kalian lagi lepas ni.” tutur angah memberi peringatan.

“Ok, ok! Hari ni tak lari…” balas Man sambil tersenyum, di dalam kegelapan.

“Ina! Janganlah jalan berhimpit-himpit macam ni! Rimaslah! Tengok, Ina pijak selipar angah!” tutur angah yang dah tersepit diantara Ina dan Man. Serentak itu kedua-dua tubuh adiknya itu ditolak untuk mencipta jarak, tak lama sebelum mereka datang menghimpit semula akibat ketakutan.

“Ish…” bisik angah rimas, namun dia dah rasa malas. Malas nak bertekak.

 

Sesampainya mereka di hujung jalan, tempat terakhir pelita dipasang, semuanya dah bersedia dengan seberang kemungkinan, kerana silap hari bulan adalah yang bakal ditinggalkan. Sambil menanti mereka berbalas-balas tenungan. Safi yang masih mengisi minyak turut sama merasakan debaran, kerana kebiasannya pada waktu-waktu seperti itulah akan ada yang sengaja memulakan larian.

“Ingat ya! Jangan lari!” tutur angah mengingatkan sambil mengangkat jari.

“Ok!” balas Safi, Man dan Ina serentak, namun apa yang ada di hati tak sama dengan yang terucap di bibir. Man seperti biasa dah mula membuat ‘perangainya’.

“Angah…macam ada benda je dekat batang durian tu…” tuturnya perlahan dengan mata mengeras tak berkelip. Angah, Safi dan Ina segera menoleh ke arah yang Man maksudkan.

“Hish Man ni! Mana ada! Yang dok mengarut tu kenapa?” balas angah pula yang sudah mula rasa seram sejuk di bahagian tengkoknya.

“Wei…benda tu…benda tu bergerak la!” tutur Man pula sebelum membuka langkah seribu dan yang lain apa lagi berkejaran membuka langkahan, tak rela ditinggalkan termasuklah angah yang dah tergugat keimanan.

“Kurang asam punya budak! Kan dah kata tadi jangan lari!”

“Takpa, nanti-nanti angah takkan temankan kalian lagi!!!” gerutu angah tak puas hati sambil terus juga berlari.

“Hikhikhik…” kekeh Man dan Safi gembira kerana mereka bukanlah yang diakhir sekali.

“Angah! Tunggulahhhh…” rengek Ina yang tertinggal di belakang, dah mula menangis, tapi tak ada siapa yang menghiraukannya. Melihat keadaan itu, Ina pun apa lagi, meraunglah dibuatnya.

“Huahhhh…” tangisnya pecah membuatkan angah, Safi dan Man mempercepatkan lagi langkahan, bila hati dah timbul rasa seronok mengenakan.

“Ha!!! Kenapa tu ha???” soal abah tinggi saat terdengarkan suara anak terkecilnya itu. Serentak itu, angah, Safi dan Man tersedar akan musibah yang bakal menanti mereka.

“Aaabahhhh…” rengetnya lagi, minta di bela.

“Apa kerja kalian ni ha?! Yang asyik nak menyakat Ina tu kenapa?” marah abah yang ada duduk di muka pintu. Angah, Safi dan Man segela tolak-menolak diantara satu dengan yang lain, tak ada yang berani nak menjawapnya.

“Dah! Naik!” arah abah dengan jelingan mata tajamnya.

“Aaabahhh…” rengek Ina lagi sebelum segera mendekati.

“Dah dah…jangan nangis. Pergi naik. Nanti kalau ada siapa yang buat Ina lagi, bagitahu pada abah. Tahulah abah nak mengajarnya.” pujuk abah sebelum menepuk belakang Ina lembut. Angah, Safi dan Man yang mendengar, berbalas-balas cebikan sesama sendiri.

Previous: Bab 36
Next: Bab 37b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.