13
“KENAPA
Nim?” tanya Hana yang sudah duduk di sebelah Hanim.
Hanim sudu kek ke mulut. Matanya merayap
ke gantungan aneka baju dan beg tangan di luar kedai donut dan kek yang
mereka kunjungi kini.
“Apa pasal sekarang mudah marah-marah?”
korek Hana lagi.
“Mana ada.”
“Akak kenallah kau macam mana, dulu tak
macam ni, riang aje… ni dengan budak kecil tu pun nak marah,” luah Hana pula
masih sangsi.
“Hem…” dengus Hanim.
“Kita
kan biasa berkongsi masalah,” giat Hana lagi.
“Tak ada masalah.”
“Mesti ada kalaupun tak besar, sampai
budak kecil pun kau nak ajak gaduh, kata mak.”
“Kak Hana puas hati ke, bila mereka duduk
rumah kita?” Hanim lepaskan rasa kesalnya.
“Hem… ikut memanglah tak mahu, tapi dengar
cerita Khairil yang mak cakap, simpati jadinya.”
“Nak simpati apalah, dulu pun dia
ada rumah nak duduk kan?” tingkah Hanim.
“Akak percaya pada mak, tu akak tak
kisah.”
“Masalahnya Nim tak selesa dia orang duduk
rumah kita,” tingkah Hanim.
“Nanti-nanti dia pindahlah, kata mak
sementara aje,” pujuk Hana.
“Kut yalah.”
“Kerana itulah kau angin semacam? Sampai
jadi cikgu garang. Kau buat Fakrul menangis. Aje yang cikgu haprak kau ni Nim,”
kutuk Hana pula.
“Budak nakal, mesti kena marah,” tingkah
Hanim geram dikutuk begitu.
“Biasanya kaulah merangkap ibu mithali,
sayang kanak-kanak, sebab itu suka kerja kat tadika,” komen Hana bererti seraya
tersenyum.
“Tak semualah, kalau menyusahkan baik tak
payah,” sadis Hanim balas sambil tenyeh-tenyeh bunga kek dengan sudu.
“Kenapa marah sangat kat Fakrul, dia kan
budak kecil, tak kisahlah pak cik dia kau benci, tapi dia tak adil dibenci
tau…” nasihat kakaknya dengan lembut pula.
Hanim diam. Memang betul juga kata
kakaknya. Apalah Fakrul tahu, diajak tinggal dalam reban ayam pun pasti Fakrul
rela. Tiba-tiba rasa kasihan pada Fakrul. Memang betul dia tidak suka pada
Khairil. Khairil datang tiba-tiba menambahkah
ahli rumah buat Hanim rasa tidak selesa. Itu yang sebenarnya.
Makin dia tidak selesa bila ingat cinta
hatinya sudah beralih pandang. Bermula dari situlah hatinya sering sahaja rasa
tidak aman. Kini di depan mata ada kakaknya Hana. Mula dia lain rasa melihat Hana bila teringat
hal itu. Tetapi kakaknya juga tidak bersalah. Yang bersalah dalam hal ini
adalah Aldir. Buat Hanim benci Aldir tetapi dalam masa yang sama dia rindu
Aldir.
“Hep!” sergah kakaknya bila Hanim mula
termenung lagi. Kek di piring sudah kena
lenyek di hujung sudu Hanim.
“Parah betul adik aku ni,” kutuk Hana.
“Terkejutlah,” Hanim kincupkan mata
merenung Hana. Geram.
“Yalah, orang lain pun bercinta juga tapi
rasanya hidup dalam dunia normal, kau?” sindir Hana pula.
“Mana ada bercinta?” tepis Hanim.
Hana geleng kepala sambil mata diimbaukan
kepada pelanggan yang hilir mudik di kiosk beg tangan, tudung dan gerai baju di
tengah ruang legar dalam Pasar Raya AEON BiG.
Pelik dengan adiknya. Dulu bukan main bercinta lagi dengan Aldir. Semua itu Hanim beritahu Hana.
“Bukan ke telinga akak ni yang tersumbat
dengan cerita asyik masyuk cinta kau dengan Aldir dulu, tak gitu Cikgu Hanim?”
sindir Hana.
“Masalahnya, cintanya dah beralih arah,
dia dah jumpa perempuan lain yang jauh lebih cantik dari Nim ni…” jawab Hanim menekan rasa kesal keluar dari dadanya.
“Oh, begitu pulak? Makna kau dah putus
betul-betul dengan dia?” korek Hana.
Sakit pula hatinya bila adiknya dipermain
oleh Aldir. Hanim satu-satunya adik yang dia ada. Mereka rapat sejak kecil. Siapa sakitkan
Hanim dia turut terluka. Jadi, kalau dia berkesempatan jumpa Aldir memang kena
panggang cukup-cukup dengannya.
“Entah, sebenarnya Nim pun tak taulah
selama ini kami bercinta ke tidak. Mungkin bagi Nim ya, tapi bagi dia sekadar
nak uji aje. Bila dapat jumpa dan lihat Nim macam mana kan, terus dia
tinggalkan Nim,” keluh Hanim melepaskan rasa pilu. Air mata mula meriak di
kolam matanya.
“Kau kenal makwe baru dia?” tanya Hana
serius.
Hanim kelu. Kakaknya baik. Tidak sampai hati
menyergah kakaknya pula. Bimbang kakaknya itu terkejut gila. Kalau kakaknya jatuh gila dia sudah tiada
tempat bermanja pula.
“Kalau kenal pun tak sampai hati nak
ketuk,” sahut Hanim masih menyimpan rahsia sambil lap perlahan air mata yang
mula mengalir ke pipi.
“Bukan suruh ketuk, sekurang-kurangnya kau
boleh bandingkan antara dia dan kau,” tingkah kakaknya pula sambil sudu pula
kek dari piring.
“Jauh bezanya daripada Nim, tentu jauh
lebih cantik dan seksi,” gumam Hanim.
“Kau bukan tak cantik Nim, cuma kau malas,”
mula Hana puji kemudian kutuk.
“Malas?” Hanim tidak puas hati sambil
jeling kakaknya.
“Malas kuruskan badan, sayang sangat kat
selulit kau tu.”
“Bimbang terlebih cantik pulak, nanti dia
susah nak pilih,” jawab Hanim melawak buat kakaknya tercebik.
“Hem, siapalah mangsa permainan cinta
Aldir lagi ya?” Hana tongkat dagu, lihat siling seakan di sana ada wajah
kekasih baru Aldir.
Hanim tersengih dalam terpaksa. Direnung
kakaknya. Kalau diberitahu sekarang bahawa Aldir sudah jatuh hati pada
kakaknya, apa riaksi kakaknya?
“Agaknya Aldir tipu kau Nim, sengaja nak
duga tahap kesabaran kau,” teka Hana pula sambil angkat kening merenung Hanim.
“Nak duga apa kalau perkara itu benar,”
tingkah Hanim.
“Pelik betullah kisah cinta kau dan dia
tu, dari FB, jumpa dan berpisah, kemudian tahu dia ada yang lain, rakan FB dia
ke?” cungkil Hana.
“Tak ada apalah, biasalah tu… Nim sedang
belajar untuk lupakan dia, akak tak usah risaulah.”
“Soalnya sekarang, bila kau frust orang lain jadi mangsa, budak
kecil pun kau balun juga.” Bidas kakaknya.
Hanim geleng kepala. Begitu rupanya
penangan orang frust bercinta. Habis
semua orang jadi mangsa. Malah semua tindak-tanduk orang lain boleh lihat.
Hanim rasa bersalah pula. Dia segera menghabiskan minumannya.
“Jom baliklah, dah nak maghrib ni, nanti
mak risau pulak,” ajak Hanim dengan wajah bersungguh. Bagi mengelak memberitahu
siapa saingan cintanya kini.
“Tak mahulah kongsi masalah kat akak?”
Hana masih belum puas hati.
“Dah cakap semua kan… Nim janji, akan
kawal diri agar tak ada yang terluka lagi,” Hanim memberi janji lantas bangun.
Hana akur dengan keputusan adiknya. Dia langsung tidak terfikir bahawa dirinya terseret
sama menyebabkan jiwa adiknya mendung kelabu.