3. MENANTI.

3

HANIM duduk termenung di bangku batu taman di bawah wakaf putih. Matanya memerhatikan jajaran air pancut yang rancak memancut turun naik di hadapannya. Sesekali dia menjeling telefon. Berharap ada panggilan atau mesej masuk. Sia-sia.

Dia bangun dari bangku batu putih itu dan berjalan malas-malas menyusuri halaman taman yang memanjang sehingga ke sebuah pergola. Pergola itu dilitupi oleh bunga menjalar warna merah. Sampai di hujung dia berpatah semula. Matanya hanyut pula melihat pancutan air yang deras dan jernih putih di kiri kanan.

“Kenapalah kau langsung tak mahu balas mesej aku?” bisiknya dalam nada kecewa.

Dia berjalan gontai ke arah jambatan batu. Jambatan itu menghubungkan dengan tanah sebelah. Di bawahnya tasik. Banyak ikan di situ. Besar-besar menangkap cebisan roti yang diberi oleh seorang budak yang berada di lereng sebelah kanan jambatan.

Hanim perhatikan dengan separuh minat. Hati yang kecewa tentulah memandang intan berlian pun belum tentu melompat riang. Kenapa sampai hati Aldir buat dia begini? Dulu tidak begitu. Sering telefon, sering mesej. Cepat balas mesej. Sekarang?

Apa kesalahan yang dia telah lakukan buat Aldir menjauhkan diri daripadanya? Sepanjang mereka jumpa minggu sudah tiada perkataannya yang buat Aldir sakit hati atau marah. Cuma yang pelik kenapa Aldir begitu cepat untuk pergi? Sedangkan

Aldirlah yang beria-ia ingin jumpa dirinya.

Hanim berlalu pula dari situ. Dia menyusuri sekali lagi halaman yang punya air pancutan. Lantas terus mengikuti lorong belok untuk naik ke pergola berhadapan taman permainan. Dilangkahkan kaki terus sehingga ke tepi tasik. Di situ tersedia pelantar lengkap kerusi dan meja. Hanim duduk di situ melepaskan lelah.

Matanya dilepaskan ke arah restoran tasik yang agak sibuk pagi itu. Dia tiada selera untuk menjamu selera di situ. Kalau Aldir ada sekali barulah seronok untuk makan-makan pagi itu. Dia sangat berharap agar Aldir datang tadi. Dia telah mesej Aldir agar datang ke situ tetapi sehingga kini Aldir tidak hadir lagi.

Kenapa Aldir tidak datang? Sakitkah atau ada hal penting yang lain di pagi minggu ini? Jika ada sebarang alasan kenapa tidak beritahu dirinya? Tidaklah dia ternanti-nanti bagai menanti buah tak jatuh.

Lama dia menanti. Pagi-pagi lagi dia telah keluar rumah. Harap dapat bersarapan bersama Aldir. Kini matahari telah meninggi. Dekat pukul 10.00. Langsung tiada bayang Aldir. Kenapa Aldir sampai hati buat dia begini? Ternanti-nanti sekian lama.

Sekali lagi dia telefon Aldir. Percuma sahaja. Cuma dijawab oleh kotak mesej. Dia malas untuk menyampaikan mesej. Dia cuma mahu bercakap dengan Aldir macam selalu. Bercakap dengan orang, bukan dengan kotak. Gerutu hati Hanim lantas meletakkan semula telefon ke dalam beg tangan.

Dia ambil keputusan menanti lagi. Manalah tahu Aldir terlambat bangun. Kemudian semasa Aldir ke mari, ada lori kemalangan lalu terjadi jam jalanan sampai berkilo- meter. Atau Aldir terlibat sama dalam kemalangan? Oh tidak. Yang itu memang Hanim tidak mahu. Dia tidak mahu Aldir terlibat dalam apa pun juga kemalangan.

Accidentdengan nyamuk sampai berdarah sekalipun Hanim tidak rela.

Sesekali matanya merenung ke tasik yang menghijau. Di situ air agak cetek. Nampak beberapa ekor anak kura-kura menjengukan muka. Pohon rendang di sekeliling tasik tambah meredupkan suasana. Di tepi tasik kelihatan bunga rumput liar warna biru. Nampak sepi di situ walaupun tetap ada cantik yang tersendiri. Air banyak di hadapan tetapi tidak tercapai oleh bunga rumput untuk menyiram dirinya yang kelihatan kaku dan kering.

Hati Hanim jadi rawan, lantas menyanyikan lagu yang tercetus di hatinya dalam iramanya tersendiri.

Izinkan embunan pagi…

Menitis di jantungmu…

Apa lagi yang kaunanti…

Takdirmu itu telah pun pasti…

Tidak sedar air matanya mengalir ke pipi. Terasa begitu rendahnya harga diri. Menanti dengan penuh harap pada orang yang mungkin tidak akan datang. Bukan sahaja tidak akan datang, malahan pasti tidak akan dapat ditemui lagi. Bukan sahaja tidak dapat ditermui bahkan untuk mendengar suara di telefon atau membaca mesej di telefon atau Facebook juga seakan tidak mungkin lagi.

Hanim ambil keputusan untuk pulang sahaja. Sekian lama menanti tetapi tetap tiada. Telah diberi mesej dia menanti di sini, di arena taman ini tetapi masih juga Aldir tidak hadir. Telefon pun tidak berjawab. Mesej juga tidak berjawab. Atau barangkali dia telah mati… berdebar kencang jantung Hanim.

“Biarlah kau benci aku, tapi janganlah sampai kau mati pula…” rintih Hanim sedih.

Ketika itu terasa bahunya ditepuk lembut. Berderau darah Hanim. Rasa bahagia sangat, ingin melonjak. Akhirnya dia datang juga. Aldir. Ketika dia menolah, kehampaan merejam hatinya tiba-tiba. Bukan Aldir. Bukan!

“Nani…” tegurnya lemah. Teman sekerjanya.

“Buat apa sorang-sorang kat sini?” tanya Nani dengan ramah tetapi bernada pelik.

“Saja aku rehat-rehat kat sini,” Hanim beri alasan bersama senyum secuit menampakkan lesung pipit cantik di kedua belah pipi gebunya.

Dia dan Nani bekerja di sebuah tadika. Mereka kategori guru. Guru yang telah biasa berkawan dengan kanak-kanak. Kanak-kanak umur 4-6 tahun seakan menjadi teman rapat mereka pula. Malah sangat mesra.

“Kut ya pun rehat ajaklah aku. Aku baru habis jogging ni hah, kau tu bawak-bawaklah jogging…” berleter pula Nani.

“Hem…” muncung Hanim terjuih.

Nani seakan mengerti gelodak jiwa Hanim. Walaupun tidak tahu satu persatu tetapi gerak tubuh Hanim menunjukkan ada dilema yang mengacau sahabatnya itu.

“Kau dah sarapan?” tanya Nani berkaleh topik.

Hanim menggeleng. Kemudian tunduk. Pilu pula menerjah bila impiannya untuk bersarapan bersama Aldir tidak kesampaian.

“Kau tunggu siapa?” tanya Nani sebaik menghirup teh O di sebuah restoran.

Hanim tidak menjawab tetapi hanya melihat kesesakan restoran mamak yang penuh

pelanggan pagi itu. Mereka duduk di sudut tepi. Sekali-sekala angin pagi menyapa mereka akibat dihalau oleh kenderaan. Terasa suam-suam panas. Sejuk sudah hilang.

“Aku tanya, kau tunggu siapa Hanim?” ulang Nani.

“Tak tunggu sesiapa…” jawab Hanim malas.

“Kau biar betul… sebelum ini tak pernah aku nampak kau lepak kat taman tu kalau hari cuti. Tadi aku lihat kau macam menanti seseorang,” duga Nani lagi.

“Ya, aku tunggu seseorang,” akhirnya Hanim mengalah kemudian tunduk bersama wajah dan gerak tubuh kecewa dan sedih.

Nani tarik kerusi ke depan. Isu hangat pagi ini. Biasa Hanim tidak pernah begitu. Riang selalu. Mulut Hanim sering kecoh dengan anak-anak muridnya. Hari ini Hanim begitu mendung pula. Bercakap pun malas.

“Tunggu siapa?” korek Nani lagi.

“Entahlah, malas aku nak fikir lagi, aku minta dirilah,” Hanim terus bangun.

“Eh, takkan begitu pulak. Air asam boi kau ni siapa nak minum, tosay kau ni siapa nak bedal?” laung Nani tanpa sedar kecoh mulutnya sedang diperhati.

Sebaik habis Nani geleng pelik ke arah Hanim, Nani angkat tangan pada beberapa lelaki yang tunjuk respons baik terhadapnya.

“Kalau tak malu marilah makan…” pelawa Nani dengan selamba pada beberapa orang mamat yang tersengih kepadanya.

Hanim pula terus memandu membawa hati yang bermacam ragam di pagi itu.

Previous: 2. SEDIH.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh