12. HANIM, HANIM!

12

“HEP! Jangan usik barang-barang cikgu!” marah Hanim kepada Fakrul yang cuba menyentuh alat solek di atas meja solek.

Anak kecil itu tersentap. Hanim bulatkan matanya. Sebelum ini tiada siapa yang mengacau barang-barangnya. Kalau adapun dia yang akan kacau barang-barang kakaknya. Terlebih lagi minyak wangi kakaknya sering dikebas jika perlu. Kini ada anak kecil pula cuba menyentuh barang-barangnya. Dia memang tidak suka.

“Cikgu suruh siapkan kerja rumah kan?” marah Hanim.

“Pelik budak sorang ni, cakap tak mau, tangan aje laju.” Bebel Hanim pula.

Ketika itu tangan Fakrul terjatuhkan bedak Hanim. Berderai ke lantai. Hanim berkejar ke situ. Secekak tangan Fakrul dicengkamnya kuat. Sehingga Fakrul terjerit dan menangis.

“Tak lalu diam! Dahlah tiba-tiba tumpang rumah orang! Pak cik kau ada nak ambil peduli? Kerja terus!” marah Hanim lantas goncang-goncang tangan Fakrul.

Makin terjerit Fakrul dan menangis ketakutan dijegil oleh Hanim. Wajahnya sudah berserabai dengan air mata. Hanim menjuih. “Elele…” ejek Hanim geram.

“Usik-usik barang orang kenapa?” marah Hanim lagi.

“Apa yang bising-bising ni Hanim?” suara Puan Maimun mampir tergopoh-gapah.

“Budak ni mak, habis bedak Nim pecah hah,” adu Hanim geram.

“Tak payahlah marah sangat, nanti belilah lagi. Bukan mahal bedak itu, bedak nyonya aje…” kata emaknya sambil melihat bedak gambar cina putih bertabur di atas permaidani.

“Mahal ke, murah ke, itu hasil titik peluh Nim mengajar mak,” tingkah Hanim.

“Sudah, sudah, jangan menangis lagi Fakrul, Nim, esok pasar malam mak belikan yang baru. Dapat kat Mak cik Hanim jelejeh air mata dia ya, dah… diam,” pujuk Puan Maimun.

Hanim bulatkan mata pada Fakrul. Bengkak hatinya bila dia dipanggil mak cik.

“Rosakkan harta orang aje,” juih Hanim sambil kutip semua bedak dan dibuang ke dalam bakul sampah.

“Budak-budak Nim, jangan diambil hal sangat,” nasihat emaknya sambil membelai-belai belakang Fakrul.

“Tambah kerja nak jaga dia, mana pak cik dia tah,” bebel Hanim lagi.

“Kerja, petang nanti baliklah, kan dia cakap macam itu pagi tadi.”

“Mudah aje mak percaya dia, tiba-tiba tak balik-balik, budak ni nak letak mana?” tingkah Hanim tidak puas hati.

“Berpahala kita jaga dia,” nasihat emaknya pula.

“Entah anak siapa dia culik, nanti tak pasal-pasal kita diburu polis,” tingkah Hanim lagi.

“Taklah, kan ada surat beranaknya tu, masa daftar tadika tadi kau bawak surat

beranak dia sekali kan? Biasa orang menculik tak culik surat beranak rasanya, tak ada pulak mak dengar berita orang culik budak sama surat beranak sekali,” pertahan Puan Maimun atas rasa percaya kepada Khairil.

“Mak percaya sangat, bencilah pada Si Khairil tu, mak suruh dia cari rumah lainlah, susahlah duduk dalam rumah sendiri, tak pakai tudung disindir-sindirnya,” gumam Hanim dengan wajah mencuka.

“Masa dia ada pakailah tudung, bila tak ada suka hatilah, petang baru dia balik.”

“Bencilah tak bebas di rumah sendiri, nanti mak suruh dia cari rumah lain ya, kalau tak, Nim pindah rumah lain,” kata Hanim dengan sebal sambil menjeling Fakrul yang terlentok manja di ribaan emaknya.

“Janganlah macam itu, Kak Hana kau tak kata apa pun, kau aje yang benci sangat pada dia orang ni hah, lagipun dia duduk di bilik belakang kat dapur sana. Dia masuk pun ikut pintu dapur, tak naik rumah atas ni.” Puan Maimun mulus memujuk Hanim.

“Mak mudah percaya kat orang, buatnya nanti malam-malam dia ceroboh masuk bilik kita macam mana?”

“Hanim, kenapalah berubah sangat ni, selalu kau tak pulak begitu syak wasangka pada orang, ni pada budak ini pun buat macam musuh aje, bukan ke kau suka budak-budak, sebab itu kerja tadika yang kau pilih.”

“Kat tadika tu sah-sah ada mak bapak dia orang mak, budak ini… dicurigailah,” tepis Hanim sambil renung Fakrul yang kembang kecut muka dijeling oleh Hanim.

“Mak percaya penjelasan Khairil semalam, budak ini anak adik dia. Belajar di luar negara.”

“Mak bapak apalah, sanggup tinggal anak kat orang lain,” sinis ayat Hanim.

“Kalau ada orang yang dipercaya tak apalah Hanim, mungkin hubungan Khairil dengan adiknya rapat,” sahut Puan Maimun masih berbaik sangka.

“Sekarang ni, bukan dia jaga anak buah dia, kita ni kan mak,” Hanim masih belum puas hati.

“Tak apalah Hanim, bukan susah jaganya. Dia dah besar boleh jaga diri dia. Dia tak menyusahkan pun,” pertahan emaknya.

“Nim tetap rasa tak selesalah mak,” omel Hanim lagi lantas memuncungkan bibir sepanjang-panjangnya.

“Assalamualaikum, apa yang dimesyuaratkan tu?” suara Hana mara ke bilik.

Hana kemas berpakaian cantik, demipun baru pulang dari sekolah. Hana senyum mesra pada Fakrul lantas hulurkan coklat kepada anak kecil itu.

“Nim tak ada? Dah dapat adik baru, Nim dah lupa!” sindir Hanim. Merajuk hati.

“Heh, sejak bila tak pandai beli coklat sendiri ni?” usik Hana sambil cebik-cebikkan bibir ke arah Hanim.

Hanim bangun dari situ. Dia berjalan ke dapur. Hatinya rasa lain sahaja. Melihat semua orang dia rasa lain. Melihat Khairil rasa lain. Benci. Melihat Fakrul dia sebenar rasa simpati tetapi tetap rasa tidak puas hati. Melihat Hana pula dia rasa macam sukar dimengerti.

Segera dia duduk di meja makan. Tanpa mahu memanggil emak dan kakaknya, dia cedok nasi ke pinggan. Mahu makan sahaja. Agar rasa lain boleh hilang. Itu harapannya.

“Makan tak ajak oranglah,” tegur Hana sambil menepuk bahunya.

“Dah rumah sendiri, buatlah apa patut kan,” tingkah Hanim tanpa menoleh. Emaknya juga ada bersama Fakrul ke situ.

“Berangin aje ni, kenapa?” siasat Hana.

Hanim mengangkat muka. Terlihat Fakrul ada bersama, Hanim sengaja kembangkan duduknya. Dia tidak mahu Fakrul duduk di sebelahnya. Dua kerusi ditarik rapat dengannya, kaki sebelah diletak ke situ. Paha kanan dihimpit ke kerusi satu lagi.

“Hoi hoi, ini cikgu ke apa? Fiil buruk macam ni?” tegah kakaknya.

“Selalu tak begini, sopan ayu…” tambah Hana lantas menarik kerusi yang Hanim letak kaki.

“Entahlah Hana, apa yang dah menyampuk adik kau ni hah, berubah benar…” sahut emaknya pula lantas menyuruh Fakrul duduk di kerusi berhadapan Hanim.

“Apa masalah negara yang dah buat kau hilang akal ni Nim,” usik Hana atas tujuan merisik.

Hanim tidak menjawab. Malas. Baik diam. Bimbang timbul salah faham. Melihat Hana tertingat Aldir. Adakah kerana masalah itu membuat jiwanya melalut-lalut jadi tidak siuman seperti sekarang? Hanim makan cepat-cepat dan segera sudah lantas pergi dari situ. Hana dan emaknya berpandangan. Akhirnya geleng kepala.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh