15. HANIM TERPINGGIR.

15


HANIMperhatikan mereka yang duduk di atas pangkin bawah pokok rambutan di hujung halaman. Di sana Puan Maimun, Hana, Khairil dan Fakrul sedang menjamu selera di petang hari. Fakrul tentulah tunjuk manja pada Puan Maimun, buat Hanim tarik nafas entah apa rasa. Benci tidak, cemburu pun tidak tetapi dia rasa macam kehilangan pula.

Punca utama kehilangan pastilah datang daripada Aldir. Bila Aldir menghindar daripadanya tentulah Hanim rasa sangat kehilangan dan tidak tentu rasa. Ditambah dengan kehadiran Khairil dan Fakrul dalam keluarganya buat Hanim rasa diketepikan oleh emaknya pula. Demipun bagi Puan Maimun tidak terfikirkan berbuat begitu kepada Hana dan Hanim.

Semenjak malam itu dia tidak lagi berani untuk menyapa Aldir. Aldir sudah benci pada dirinya, samakan dirinya dengan longkang dan tong sampah, buat hatinya sakit parah dan pilu berdarah. Facebook pun dia tidak buka. Aktiviti hari cuti lebih kepada membaca novel dan novel sahaja. Memerap di dalam bilik. Tidak mahu keluar dan tidak mahu terserempak dengan Khairil dan Fakrul.

Dia cuba tidak membenci mereka sebagaimana yang dimahu oleh emaknya. Setiap hari sekolah dia akan membawa Fakrul sekali tetapi masih tidak mampu beramah-tamah dengan Khairil dan Fakrul. Di tadika, Fakrul diajar sama rata seperti kanak-kanak lain. Bila pulang dibawa balik seperti biasa tanpa banyak bicara. Setakat itu yang dia termampu. Untuk lebih mesra dan jinak dengan Fakrul belum masa lagi.

“Hanim mana Hana?” tanya Puan Maimun sambil meninjau ke arah rumah.

“Berkurung dalam bilik, baca novel ajelah dia tu mak,” jawab Hana.

“Kenapa tak berkumpul sini sekali, minum petang sama-sama di luar ni hah, seronok jugak dah ramai-ramai begini?” tingkah Puan Maimun sambil mengopek rambutan untuk Fakrul.

“Entahlah, dah pandai tak campur orang pulak dia mak,” keluh Hana.

“Kerana kami agaknya mak long, dia macam tak suka kami,” sahut Khairil setelah meletak gelas sirap ke pangkin.

“Jangan ambil hati sangat dengan dia tu Khairil,” pinta Puan Maimun mulus.

“Awak kerja di mana?” tanya Hana sambil merenung Khairil yang duduk setentang dengannya.

“Saya kerja di restoran. Jadi tukang masak,” jelas Khairil cepat.

“Maknanya awak pandailah masak,” sahut Hana teruja.

“Bolehlah sikit-sikit,” Khairil merendah diri.

“Kalau begitu apa kata awak masak sesuatu untuk Hanim, moga-moga dia suka kat awak,” cadang Hana buat Puan Maimun cerlungkan mata kepadanya.

“Tak apa mak, asal semua jadi baik-baik belaka, awak pandai masak laksa?” terus Hana melaksanakan niatnya.

“Boleh sahaja, di restoran saya tu macam-macam laksa ada, satu daripadanya Laksa Johor,” jawab Khairil teruja.

“Hem, Laksa Johor kesukaan saya tu, nanti awak masak untuk saya, ya?” pinta Hana pula teruja buat Puan Maimun geleng kepala.

“Kalau suka, datanglah ke restoran saya tu, ajak Hanim dan mak long sekali,” pelawa Khairil.

“Di mana?” tanya Hana.

“Tak jauh dari sini, kat Kota Kemuning aje, baru buka.”

“Apa nama restoran tu?” tanya Hana dan Puan Maimun hampir serentak.

“Restoran Siang Malam,” jawab Khairil.

Ketika itu Hana terlepas gelak. Lucu pula mendengar nama begitu.

“Hanim tentu hilang frustnya mak, bila makan Laksa Johor di Restoran Siang Malam Encik Khairil kita ni,” kata Hana di hujung gelak.

Puan Maimun ikut gelak sekali.

“Laksa Johor aje ke yang ada? Si Hanim kan ke suka Laksa Kedah atau Laksa Penang,” kata Puan Maimun pula.

“Segala laksa ada mak long, dari Perlis sampailah ke Sabah,” jawab Khairil selamba.

Puan Maimun dan Hana berpandangan mendengar penjelasan Khairil. Fakrul pula sudah pergi menyorong kereta di atas halaman berturap batu halus yang berwarna cerah.

“Adik kau tu tak ada ke telefon bertanya pasal anaknya tu Khairil?” soal Puan Maimun berkalih tajuk pula. Lama ingin ditanya, baru hari ini berkesempatan.

Hana juga teruja untuk tahu. Fakrul menjadi tanda tanya dia juga. Masakan anak itu begitu mudah dilupakan oleh kedua orang tuanya. Harap Khairil mahu bercerita. Namun begitu, Khairil kelihatan berkerut pula. Dia melihat langit bagaikan mencari wajah kedua orang tua Fakrul. Hana dan Puan Maimun juga turut melihat ke langit. Di sana cuma ada langit biru dan awan petang. Redup nyaman. Itu sahaja.

“Ceritalah Khairil. Lagipun kita ni dah jadi satu keluarga,” pinta Puan Maimun lagi.

“Nantilah mak long,” putus Khairil sambil tersenyum kecil minta dipersetujui.

Hana yang teruja untuk tahu menegakkan duduk semula. Lalu capai sebiji rambutan.

“Payah sangat nak bercerita,” rungut Puan Maimun.

Khairil senyum serba salah. Matanya melihat Fakrul yang leka bermain kereta mainannya. Sesekali anak kecil itu datang dan minta lagi buah pada mereka. Khairil pula minta diri untuk naik ke rumah. Belum masanya untuk dia bercerita perihal Fakrul.

Sebaik menghampiri bilik Hanim Khairil berhenti di sisi. Teruja untuk menyapa. Pintu bilik Hanim terkunci dari dalam. Lalu diketuk berkali-kali.

“Siapa tu?” laung Hanim.

“Abang sepupu awak. Tak sihat ke?” laung Khairil pula.

“Tiba-tiba nak ambil tahu, kenapa?” laung Hanim pelik dengan tingkah Khairil petang itu.

“Kita sekeluarga termasuk awak pun keluarga saya, jadi salahkah saya ambil tahu?” laung Khairil pula.

“Eh, saya peliklah, selalu tu awak dengan hal awak aje, hari ni sibuk nak tahu hal saya, peliklah,” ejek Hanim.

“Tak payahlah asyik menghadap novel aje, bawak-bawaklah keluar bercampur dengan orang,” laung Khairil pula.

“Eh, sibuk kenapa? Saya memang biasa aje begini kalau dah membaca.”

“Boleh percaya ke?”

“Suka hatilah nak percaya ke tidak,” tingkah Hanim, bosan.

“Kumbang tak seekor, kalau kumbang di sana tak peduli kat awak, carilah kumbang kat sini,” kata Khairil menekan suara pula.

Hanim naik geram. Kenapa Khairil tiba-tiba sahaja buat hal? Selama ini baik sahaja. Tidak mengganggunya. Hari ini buat hal pula. Adakah Khairil dipinta oleh emak atau kakaknya agar mengacaunya petang ini? Tadi dilihatnya bukan main lagi mereka berkumpul atas panggkin bawah pokok rambutan di hujung halaman sana.

“Tak payah, terima kasih sahajalah!” laung Hanim kembali.

“Kalau hati awak ada sakit, mungkin saya boleh tolong rawat,” laung Khairil pula.

“Tak payahlah! Jangan kacau saya, saya nak bercinta dengan hero dalam novel ni!”

marah Hanim lantas baling bantal ke dinding. Isyarat jangan ganggu dia lagi.

“Bercintalah, kut boleh bahagia, tapi kalau perlu bantuan saya, saya tak kisah,” sindir Khairil. Suaranya sudah menjauh ke dapur.

Hanim gigit bibir dengan geram. Sakit hati pada Aldir bersambung pada Khairil pula.

Previous: 14. MENDUNG.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh