7
“MAK, rajinnya mak…” sapa Hanim.
Pagi itu cuaca redup dan nyaman. Banyak
awan di angkasa tetapi tiada awan mendung. Semua awan putih nan indah, merawak
dan mengepak ke sana ke mari. Sesekali bayu lembut menyapa dari arah sana sini
lantas membelai mereka yang duduk menghadap kuali panas di bangsal belakang
rumah Hanim.
“Kalau tak rajin, macam mana nak besarkan korang?” balas emaknya.
“Sekarang kami dah besar, mak tak payah
hadap kuali panas lagilah,” komen Hanim.
“Mana boleh, ini sudah masuk dalam hobi
mak, cari duit hobi mak,” tingkah Puan Maimun. Kemudian tersenyum senang.
“Ada-ada sahajalah mak ni, tak pandai
letih pulak,” rungut Hanim sambil mengacau gorengan dalam kuali.
“Tak boleh letih-letih Nim, selagi hidup
kena kerja keras untuk cari rezeki halal,” tingkah Puan Maimun.
“Yalah…” Hanim mengalah. Sambil mengacau gorengan sambil dia pasang
angan-angan.
‘Kalau kaya jual kerepek, boleh buka
restoran pula, restoran dalam hotel… biar
Aldir
buka mata, dia bukan sebarang orang. Dengar khabar dari curi-curi maklumat di
Facebook
Aldir, lelaki itu tokeh restoran.’
‘Kalau sudah buka sebuah, dia akan buka berbuah-buah
di seluruh negara. Dialah saingan Aldir yang utama. Dia mana ada restoran
Aldir, dia akan pacak restorannya juga. Soal masak tak jadi masalah, mak memang
pandai memasak…’ Hanim sudah tersengih-sengih sambil kacau pisang di kuali.
Mata Puan Maimun bulat melihat anaknya tersengih-sengih.
“Hah, teringat mambang mana pulak tu?”
kejut Puan Maimun sambil melepuk bahu Hanim.
“Mak ni kacaulah, tengah pasang cita-cita
ni,” sahut Hanim terkalut-kalut.
“Cita-cita apa? Termenung jauh,
tersengih-sengih, macam kena sampuk jembalang jiwang karat,” sengat Puan
Maimun.
“Mak tak baik tau, perlekehkan cita-cita
Nim,” gumam Hanim.
“Bukan perlekehlah Nim, kuat berangan tak
elok, buang masa, tengok tu ha hah… hangus kerepek aku!” kelam-kabut Puan
Maimun merampas sudip dari tangan Hanim, dan segera mengangkat kerepek yang
sudah begitu garing.
“Pergi kupas keladi tu hah, mana si Hana
ni,” bebel Puan Maimun pula.
“Mak ni pun, kut ya pun ambillah pekerja
yang pro ke… harap kita orang memanglah lambat sikit, maklum kita orang ni
cikgu sekolah, bukan cikgu kerepek,” gumam Hanim.
“Heh baru cikgu tadika dah eksen bukan
main lagi dia…” Puan Maimun getap bibir geram.
“Taklah begitu, setidak-tidaknya mak
sentiasa ada pembantu,” jelas Hanim dengan ikhlas pula.
“Semuanya mak boleh buat sendiri, bukan
banyak sangat pun, hujung minggu aje buat ni semua, lagipun korang kan ada,”
tingkah Puan Maimun.
“Kalau mak ada pembantu, maksud Nim
pekerja, tentu usaha mak lagi besar berkembang, jualan boleh merata Malaysia,
ni harap kat kampung sekitar je, apa
kes?” komen Hanim pula.
“Sudahlah Nim, banyak cerita pulak dia,
nak buat yang ada ni pun tak menang tangan.”
“Itulah, kalau ramai buat, memang mak akan
menang tempat pertama,” tingkah Hanim lagi buat Puan Maimun kecutkan hidung
merenung anaknya yang sihat montel itu.
Hanim sudah selamba meratah kerepek yang
baru diangkat oleh emaknya tadi. Laju
sahaja dia mengunyap. Puan Maimun tarik
nafas dan geleng kepala.
“Kalau dah gaya itu, tinggal bekas ajelah
jawabnya…” sindir Puan Maimun.
“Nim sedang check kualiti ni, untuk di QC kan… kalau okay, boleh kita pasarkan
ke luar negara produk mak ni,” sahut Hanim.
“Jangan tak menjawab,” desis Puan Maimun.
Hanim tersengih pula. Kelihatan lesung
pipit comel menghias pipi gebunya. Mata Hanim bersinar telus melihat emaknya.
Jarinya terus menarik kepingan kerepek pisang dan disuap ke mulut lagi.
“Nim, ni mak nak cakap, nasihat first class tau, jangan asyik mengunyap
aje, cuba
belajar
disiplinkan makan tu… lihat badan kau tu… kau dah anak dara besar dah… kalau
makin mengembang nanti, bimbang orang gayat nak masuk meminang,” nasihat campur
leter keluar dari bibir Puan Maimun.
“Budak ni tak makan saman mak,” sahut pula
Hana yang baru sampai ke bangsal.
“Kalau mak nak tahu, tadi tu kan, pakwe
dia… tapi bila lihat dia yang comel ala-ala hipo tu… tu yang budak tu
tinggalkan dia,” laju Hana menceritakan segalanya buat Hanim terhenti
mengunyap.
Mata Puan Maimun tajam ke arah Hanim.
Begitu punya sopan si Aldir tadi, alangkah ralatnya hati. Semua gara-gara Hanim
yang montel sihat. Semasa lahir Hanim bukan besar mana pun, tidak sampai tiga kilogram.
Cuma tebiat kuat menyusu dan terus terbawa sampai besar kuat makan menjadikan
tubuh Hanim tidak dapat dikontrol lagi. Sentiasa montel sepanjang zaman.
“Salahkah jadi montel begini?” tingkah
Hanim geram. Matanya kincup menikam Hana.
“Bagi kau tak salah tapi bagi setengah
orang rasa tak selesa… menguruskan badan boleh diusahakan Nim, lagipun untuk
kesihatan juga. Jangan amalkan makan tak betul cara,” komen berupa nasihat
daripada Hana pula.
“Lagipun sekarang ni banyak cara nak
kuruskan diri. Itu set senaman akak tu,
tak pernah akak lihat kau guna, jeling pun tidak,” bebel Hana.
“Biarlah, bukan Nim minta siapa-siapa
suapkan makan, tak siapa mahu pun tak kisah,” juih Hanim.
“Sampai bila?” tempelak Hana.
“Kak Hana yang cantik langsing tu dah ada
yang tergoda ke?” tempelak Hanim.
Hana terdiam. Betul juga. Setakat ini dia
masih single.Semasa belajar di U
dulu adalah pakwe. Kini terpisah, gara-gara bertugas jauh. Dengar khabar
pakwenya sudah berkahwin. Hana tunduk
beralah.
“Sudah-sudah… jangan berperang pulak di
sini, mari cepat tolong mak siapkan kerja ni,” Puan Maimun masuk campur. Tidak
mahu anak-anaknya berperang mulut pula. Hanya membuang masa.
Hanim sudah bersila menghadap keladi. Laju
sahaja dia mengupas kulit keladi. Kerja yang telah biasa dilakukan sejak kecil
lagi. Malas untuk memandang kakaknya Hana yang sudah menghadap ubi kayu. Laju
juga Cikgu Hana mengupas ubi kayu.
Selaju merait buku sekolah muridnya juga.
Puan Maimun menarik nafas lega. Elok
mereka diam daripada bercakap. Kerja boleh laju dilakukan. Dua orang itulah
harta yang dia ada. Hana anak pertama. Hanim anak keempat. Anak kedua dan
ketiga sudah meninggal dunia bersama suaminya kerana kemalangan motorsikal
ketika mengambil mereka pulang dari sekolah sepuluh tahun yang lalu. Buat hati
Puan Maimun sayu pilu tiba-tiba.
Bayu pagi bertiup lembut, membuatkan daun
nyiur yang berbaris di pinggir halaman melambai-lambai. Seakan cuba memujuk
anak-beranak yang punya kisah suka duka masing-masing dalam melalui kehidupan
mereka dari dulu hingga ke hari ini. Bunga raya beraneka warna yang berbaris di
tepi halaman hingga ke jalan besar kampung juga menari-nari ceria di pagi itu.