17
HARI
pun berlalu begitu cepat. Dari minggu berganti bulan. Kisah cinta Hanim dan
Aldir di Facebook sudah lama
menyepi. Hanim kuatkan semangat untuk
melupakan Aldir. Walaupun pada hakikatnya mana boleh lupa. Aldir pula tidak
pernah datang lagi ke rumah mereka. Jadi rasa cinta dan rindu Hanim sudah lali
di hati lalu dibawa arus masa dan takdir Ilahi.
Satu perkara yang mungkin kebetulan telah
berlaku di rumah Hanim. Khairil rupanya pekerja Aldir. Tukang masak di restoran
Aldir yang bercawangan di Kota Kemuning. Kedatangan Aldir hari itu kerana telah
berkenan untuk melanggan kuih-muih Puan Maimun yang telah memikat selera Aldir
semasa pertama kali datang dahulu.
Puan Maimun tentulah setuju. Bertambah sibuklah perempuan 40-an itu.
Tolong sibuk termasuk Hanim dan Hana. Pada mulanya Hanim melarang. Hana pun
sama melarang. Memang emak mereka jenis buat kerja laju. Jenis positif selalu.
Tanpa minta persetujuan anak-anaknya dia setuju sahaja. Baginya membuat kuih bukan
sesusah menebang balak curi. Perlu ada rasa takut dan ragu-ragu. Itulah alasan
yang diberi kepada Hanim dan Hana bila mereka keluarkan rasa membantah.
Bab menghantar pula tiada masalah.
Semuanya akan dibawa oleh Khairil semasa pergi kerja di pagi hari. Jadi Hanim dan Hana terpaksa reda dalam
terpaksa sahajalah. Asal emak mereka bahagia dapat menjual kuih-muih yang
dibuat dengan rasa seronok dan ikhlas. Puan Maimun memang kreatif
mempelbagaikan jenis kuih. Supaya pelanggan tidak jemu katanya.
Hal itu berjalan lancar tanpa masalah. Apa
pula masalah? Kerja membuat kuih sudah sebati dan pro bagi Puan Maimun. Apa
sahaja jenis kuih semua dia tahu. Buat kerja pula laju. Anak-anak turut
membantu.
Sebagai anak yang baik tentulah Hanim dan
Hana memaksakan diri mereka untuk membantu. Mereka tidak sampai hati membiarkan emak mereka bertungkus-lumus
bersendirian. Puan Maimun hanya senyum sambil angkat kening lega kerana dapat
anak yang mengerti tanggungjawab mereka. Mengerti juga pada minat emak mereka.
Berbalik pada Hanim pula, tadikanya akan mengadakan
sesi lawatan membawa kanak-kanak cilik ke Zoo Negara. Anak-anak kecil di situ
tentulah kecoh dan gembira bila tahu akan dibawa jalan-jalan. Sehinggakan
Fakrul yang pendiam pun melonjak girang.
Fakrul kini sudah agak rapat dengan Hanim.
Hanim pula sudah merasakan Fakrul dan Khairil sebahagian daripada keluarganya.
Khairil dianggap seperti abang sahaja. Cuma Hanim malas panggil Khairil abang
kerana telah terbiasa panggil nama sahaja. Khairil pula sentiasa sabar dengan
kerenah Hanim terutama di peringkat awal, Hanim sering tunjuk menyampah
terhadapnya.
Malah Khairil insaf dirinya menumpang
walaupun dia mahu membayar sewa tetapi ditolak keras oleh Puan Maimun. Jadi
sehingga kini Khairil masih tinggal di bilik dapur bersama Fakrul.
Segala perancangan untuk lawatan ke Zoo Negara
dan sebagainya berjalan lancar. Cuma seperkara yang menyusahkan hati Hanim bila
pengetua tadika minta dia berbuat sesuatu.
“Macam mana ni? Khairil boleh agaknya tapi
takkan dia sorang? Paling kurang lagi sorang,” rungut Hanim sambil tepuk-tepuk
meja.
Hanim buka lapetop dan melayari Facebook
sambil berkira-kira siapa lagi patut dicari.
Matanya kaku pada nama mereka yang online
dan terlihat seseorang yang lama tidak dilihat.
Awak.
Tegur
Hanim spontan. Lupa hal kebenciannya
pada orang yang disapa.
Nak
apa?
Tanya
Aldir di sana. Cepat pula Aldir membalas.
Nak
awak…
Tulis
Hanim pula dan tertekan terus butang hantar. Buat Hanim gigit lidah.
Apa
ada pada I, I datang rumah you, you buat tak layan aje…
Macam
merajuk sahaja ayat Aldir. Pelik Hanim. Sudah tidak marahkah Aldir kepadanya?
Dulu bukan main menghamun dirinya.
Tak,
bukan itu maksud saya. Sebenarnya saya nak awak tolong saya.
Perbetul
Hanim, muka sudah rasa panas menahan malu terlanjur kata tadi.
Tolong
apa?
Tolong
saya jaga budak-budak.
Jelas
Hanim serba salah untuk menerangkan niatnya yang sebenar.
Hai,
sejak bila pulak you beranak ramai-ramai?
Tanya
Aldir buat Hanim tersentak.
Bukanlah,
saya ni kerja guru tadika. Tadika saya tu nak mengadakan sesi lawatan.
Kami tak ada cikgu
lelaki, semua perempuan… jadi nak minta tolonglah sertai kami, tolong bantu apa
patutlah.
Jelas
Hanim dengan penuh harapan agar Aldir setuju.
Berguna
jugak lelaki ini ya?
Lama
baru Aldir membalas buat Hanim tercebik geram. Merajuk konon! Bencilah!
Lelaki
yang berguna aje yang kami perlukan, lelaki tak guna baik tak payah. Lawan
Hanim balik. Terlupa seketika pada sikap cepat marah Aldir. Terlupa juga bahawa
khidmat lelaki itu memang diperlukan.
Bila
tu?
Tanya
Aldir.
Sabtu
ni. Boleh tak? Jangan kata tak boleh
pulak, saya sumpah awak jadi katak nanti.
Hanim
terlepas ayat, buat dia menyesal dan gigit lidah.
Suka
hati I lah nak terima ke tak?
Jawab
Aldir buat Hanim tercebik risau.
Sah-sah Aldir tidak boleh dibuat
main-main. Tegas sepanjang zaman sejak mereka bertemu. Hanim tercebik kesal.
Apa patut dia tulis kini? Sebelum sempat Hanim tulis lagi Aldir telah offline. Meremang bulu roma Hanim dengan
tindakan Aldir. Pasti Aldir marahkan dirinya yang sering terlepas laku.
Hanim hentak meja penuh geram dan kesal
atas apa yang berlaku sebentar tadi. Baru sahaja Aldir mahu berbaik dengannya,
dia pula yang buat pasal. Soalnya siapa yang boleh diajak nanti? Dia tidak
punya saudara lelaki selain Khairil. Hanim mengeluh lagi. Hari untuk lawatan
tinggal sehari lagi.
Ketika dia berperang rasa, Hana datang
menghampirinya. Duduk sambil meletakkan
sepinggan buah-buahan campuran. Hana sibuk makan tanpa mempelawa Hanim.
TV dipasang dan mula fokus ke TV. Hanim tutup lapetopnya dan berkira untuk pergi.
“Weee… tak mahu buah ke?” tegur Hana
dengan soalan tanpa menoleh kepada Hanim.
“Tak,” jawab Hanim perlahan.
“Sah-sah ada masalah pakwe lagi tu,” usik
Hana.
“Mana ada.”
“Biasa begitulah dulu-dulu time kecewa, muka sentap semacam,”
kutuk Hana.
“Bukan begitu, kepala sedang kusut-masai
ni,” jawab Hanim sambil duduk kembali.
“Masalah besar apa pulak kali ini?” Hana
menoleh teruja.
“Tadi Nim ajak Aldir sertai lawatan ke zoo
yang dibuat oleh tadika tu, tapi dia tak mahu. Rasa malu pulak campur risau. Di
mana nak cari lelaki ni?”
Hana tergelak. Hanim adiknya yang berusia
21 tahun itu masih belum matang. Hal begitu pun jadi masalah besar baginya.
Melihat riaksi risau Hanim, macamlah masalah perang telah melanda negara. Buat
Hana geleng kepala pula.
“Dalam dunia ni ada Aldir aje ke?” soal
Hana.
“Bukan begitu, lagipun salah Nim, dah buat
Aldir geram semula,” ngongoi Hanim kesal.
“Apa kes kau dah buat?” tanya Hana sambil
bulatkan mata, minat sangat untuk tahu.
“Nak sumpah dia jadi katak kalau tak mahu
pergi. Dia marah agaknya,” ngongoi Hanim
berterus terang. Muka kecut kesal macam kalah perang.
Hana gelak lagi kemudian geleng kepala.
“Tak tahulah akak nak menolong kes kau dan
dia tu Nim, tapi bab ‘nak lelaki’ tu bolehlah akak carikan cikgu lelaki di
sekolah akak tu nanti,” komen Hana buat Hanim lega pula.
Hanim terkam Hana dan cium bertalu-talu
kakaknya tanda sangat berterima kasih. Buat Hana jadi seriau diperlakukan
begitu. Akhirnya, untuk melepaskan diri Hana tarik telinga Hanim dan geletek
pinggang Hanim membuatkan ruang tamu jadi riuh-rendah dengan suara mereka. Puan
Maimun tergesa-gesa meninjau apa sudah berlaku kepada anak-anak daranya yang
terjerit-jerit di malam buta.
“Kenapa terjerit-jerit ni Hanim?” marah
Puan Maimun.
“Kak Hana mak, geletek… mana boleh tahan.”
“Dah malam-malam buat hal pulak, mari
tolong buat kuih cepat,” leter Puan Maimun.
“Alamak… bila nak cuti tahun buat kuih
mak?” tanya Hanim rasa malas tiba-tiba.
“Masa tidur aje cuti, mata celik kena
kerja,” sahut Puan Maimun kincup mata merenung Hanim.
“Mak, anak dara mak ni kena demam cinta
melarat lagi mak, tu pasal nak cuti,” usik Hana dan bersiap sedia hadangkan
tangan bila Hanim jerngahnya.
“Apa? Nak melarat ke mana?” laju Puan
Maimun menyambar.
“Dia mengorat Aldir semula mak,” adu Hana
mengusik.
“Mana ada,” laju Hanim membantah.
“Jangan buat malu mak Nim, nak mengorat
anak bujang orang,” leter Puan Maimun pula.
“Taklah mak. Kak Hana,” Hanim juih geram pada
kakaknya dan merengek tanda membantah supaya emaknya percaya.
“Dah, jangan buat hal malam-malam ni,”
tegah emaknya cepat.
Hanim malu alah dan segera minta diri ke kamar. Lucu pun ada bila mengingati bagai orang histiria dia mencium kakaknya
tadi. Terasa jantungnya bergolak bila Hana mengadu hal dia dan Aldir tadi pada
emaknya.
Belum sempat dia menutup pintu bilik,
telefonnya berdering. Segera dia
mencapai telefon. Matanya bulat melihat scrin.
“Aldir? Kekasih Facebookku!” terloncat ayat begitu. Jantung Hanim dap-dip-dup.