11
“ANAK
siapa ni, Hanim?” tanya Nani teruja.
“Entah, anak orang mana tah sesat kat
rumah aku semalam,” jawab Hanim hilang minat.
“Comel budak ni,” puji Nani.
“Kalau kau suka ambil dia masuk kelas
kaulah,” suruh Hanim pula.
“Kelas aku tu dah penuh,” kata Nani.
“Dah comel, kau himpit-himpit ajelah,”
sindir Hanim.
“Jadi sardin kang. Lagipun aku jaga murid 6
tahun, kau jaga murid 5 tahun kan…” Nani angkat-angkat kening.
“Hem,” Hanim mencebik. Sah-sah anak kecil
itu akan masuk kelas dia.
“Macam tak puas hati aje, kenapa?” korek
Nani sambil melihat anak-anak kecil berlari riang ke sana ke mari sebelum tiba masa
masuk kelas masing-masing pada jam 8.00 nanti.
Hari masih pagi. Baru 7.30. Ada setengah jam lagi untuk masuk kelas.
Sudah ramai kanak-kanak yang sampai dihantar oleh ibu bapa mereka. Mereka sudah
membuat hal masing-masing. Bermain di tempat permainan, berlari-lari dan ada
yang bersembang riang dengan teman-teman mereka.
Hanim tempatkan Fakrul di kerusi bawah
pondok taman. Anak itu taat menanti di situ. Mungkin kerana belum serasi dengan
persekitaran dan belum ada teman baru. Kemudian Hanim kembali ke pintu depan
bersama guru-guru lain untuk menyambut
kanak-kanak yang baru dihantar oleh orang tua masing-masing.
Leka menyambut anak-anak kecil yang baru
sampai, Hanim lupa bicara dengan Nani tadi. Setelah mempastikan anak-anak kecil
masuk dan meletakkan kasut, baru Hanim dan Nani bersembang lagi. Mereka duduk
pula di kerusi batu bawah payung taman tidak jauh daripada Fakrul yang sudah
leka menyorong kereta mainan di urat-urat kayu batu kerusi berpayung.
“Macam ada yang tak kena aje kau ni
Hanim?” cungkil Nani ketika melihat Hanim mula melihat langit pagi seperti
orang gila bayang.
“Tak ada apalah,” tepis Hanim.
“Selalu kau tak macam ni, sekarang ni
nampak berubah, dulu kau riang, dengan budak-budak pun bukan main ceria lagi,
ni dapat murid baru macam susah hati aje,” komen Nani.
“Taklah.”
“Kalau boleh kongsilah cerita, macam
dulu-dulu kau kongsi cerita indah kau chatting
dengan pakwa kau…” usik Nani.
Hanim senyum ralat. Kata-kata Nani
mengingatkan dia pada Aldir. Sedangkan Aldir langsung tidak ingatkan dirinya.
Malah langsung tidak sudi menyapa di Facebook
mahupun menelefonnya. Ya, dia tahu, Aldir sudah tertarik hati pada kakaknya.
Buat hati Hanim sayu pilu dan sangat kehilangan.
Sejak hari itu, Aldir memang tidak
menelefonnya atau mahu bertanya kenapa dia tutup lapetop tergesa-gesa. Hanya dia yang asyik ingat bercampur benci
dan marah. Malah bercampur rasa serba salah untuk memberitahu kepada kakaknya.
“Heh,” cuit Nani pada Hanim yang lagut
melihat awan pagi di dada langit yang indah.
“Dah time
masuk ke?” tanya Hanim.
“Lagi 10 minit.”
“Apa cerita kau dan dia? Tak mahu cerita
aku ke macam selalu,” pinta Nani lagi.
“Dia tak suka akulah, dia suka kakak aku
pulak,” terus Hanim melepaskan rasa yang terpendam membekam dalam dadanya.
“Kenapa jadi begitu pulak?” Nani tarik
nafas kesal dan intai wajah mendung Hanim.
“Yalah, tak payah cerita pun kau boleh agaklah kan? Aku kan saiz XXL,
hampir ke saiz XXXL, siapalah suka…” sahut Hanim nada sangat berjauh hati.
“Takkan kakak kau sampai hati rampas pakwe
kau,” gumam Nani simpati.
“Kakak aku tak tau pun lagi. Ini aku sedang
dilema nak cakap kat dia,” kata Hanim.
“Pakwe kau cakap ke dia nak kakak kau
pulak?” songkeh Nani, tiba-tiba ragu-ragu pula.
“Taklah, cuma baru tunjuk minat aje, cakap
cantik dan nak berkenalan… aku faham sendirilah.”
Nani tarik nafas mengerti. Dia tahu
kawannya sedang dihurung rasa cemburu. Matanya berkalih melihat kanak-kanak
tadika kian ramai yang datang dan disambut oleh guru-guru lain. Kemudian berkalih melihat Hanim pula dengan rasa simpati.
“Cuba tanya pakwe kau tu, apa maksud
pujian dan nak berkenalan dia tu? Tak bermakna dia beralih hati kat kakak kau
kalau setakat puji dan mahu berkenalan,” pujuk Nani.
“Aku dapat rasakan, sejak kami jumpa dulu
terus dia dingin aje dengan aku. Bila
dia terlihat kakak aku baru nak sembang dengan aku semula, itu pun mungkin
kerana nak merisik kakak aku,” tingkah Hanim pula.
“Okey, yang penting cuba tanya dia dulu,
jangan syak melulu,” nasihat Nani lagi.
“Asyik aku aje terhegeh-hegeh sekarang ni,
cuba tegur dia, cuba telefon dia tapi dia buat aku macam tak wujud, macam hina
pulak, jadi malaslah. Sekarang aku dalam proses melupakan dia. Itu azam aku.”
Putus Hanim dan segera pergi menghampiri Fakrul yang sudah merangkak di atas
laman bertar melayan kereta mainannya.
“Aduhai, kenapalah kau racing kat sini pulak?” tanya Hanim sambil geleng kepala.
Nani sudah gelak melihat gelagat murid
baru yang sudah dileter Hanim.
“Anak siapa ni?” tanya Nani lagi.
“Anak orang, aku tak kenal sangatlah, mak
bapaknya tak ada, yang ada cuma bapak saudaranya aje,” jelas Hanim sambil
mengebas-ngebas kesan kotoran di seluar anak kecil itu.
“Macam mana dia boleh ikut kau pulak?”
tanya Nani lagi.
“Semalam pak cik dia datang rumah aku,
mengaku jadi anak saudara mak aku, bla
bla
bla dan hari ini dia minta aku daftarkan budak tu ke tadika kita ni,” jelas
Hanim.
“Betul ke pak cik dia anak saudara mak
kau? Macam pelik aje bunyinya?”
“Entah, mak aku percaya. Kau tahulah mak aku tu, baik hati kan main,
siap bagi tumpang tinggal lagi kat rumah kita orang tau, tu aku tambah bengang
ni,” jawab Hanim dengan sebal.
“Sebelum ni dia tinggal kat mana?” Nani
teruja untuk tahu.
“Entah, dengan orang tuanya kut, bila orang
tuanya meninggal dan dapat kerja di sini, tu dia cari mak aku pulak.”
“Hem… betul ke itu anak saudara dia? Ke
anak dia?” Nani ragu-ragu pula.
“Anak adiknya, yang hairan ke mana adiknya
pergi tak tau pulak,” kata Hanim.
“Peliklah sepupu baru kau tu,” komen Nani.
“Kalau kau lihat dia lagi pelik tau, dulu
aku jumpa rambut berjambul, semalam dah jadi rambut trogen pulak, heh eerr…”
Hanim gelengkan kepala pula.
“Dia dapat kerja kat salon rambut kut,”
komen Nani.
“Entahlah,tak pasti pulak, malaslah nak
ingat, jom, nak masuk dah ni,” putus Hanim. Dia panggil Fakrul yang sudah
menyorong kereta di meja taman pula.
Bising mulutnya membuat enjin kereta sampai air liur berbuih-buih.
Masa masuk kelas untuk murid-murid pun
tiba. Dengan iringan guru-guru, murid-murid sudah berbaris di padang mini
mereka. Mereka akan menyanyi, bernasyid, berdoa dan semuanya nampak sangat
mulus dan ceria untuk anak-anak yang masih mulus hijau dan serba suci itu.