8
HANIMintai
laman Facebook Aldir. Tiada status
terbaru daripada Aldir. Dalam senarai mereka yang online pun Aldir tiada. Ke mana agaknya Aldir? Betulkah sibuk? Atau
sengaja buat-buat sibuk.
Semasa Aldir datang siang tadi tidak
sibukkah? Agak lama juga Aldir di rumahnya. Bukan main lagi menyembang baik
dengan emaknya. Emaknya memang begitu. Siapa sahaja yang bertemu mesti
terperangkap dengan keramahannya. Termasuk Aldir yang konon serius ala-ala
tentera Nazi itu.
Hanim mengeluh. Kemudian termenung pula di
hadapan lapetop. Kenapalah dia jadi
begini? Semasa Aldir datang tadi dia tidak teruja untuk bertemu Aldir. Kini
rasa rindu pula. Kenapa? Bukankah dia sudah cuba membenci dan melupakan Aldir?
Kini, tengah malam buta ini kenapa rindu menyapa pula? Adakah kerana teringat
dulu-dulu masa-masa sebeginilah dia dan Aldir sering chatting. Hem, rindunya untuk chatting
dengan Aldir lagi.
Bukan tiada orang lain yang cuba
menyapanya di ruang Facebook. Ada. Tetapi hatinya tidak berminat. Malah,
malas untuk membalas sapaan mereka. Cuma pada Aldir sahaja dia suka. Malah rasa
suka itu masih melekat hingga kini.
“Kenapalah rasa benci tak bertapak terus
di hatiku untuk kau?” rungut Hanim.
Rasa ingin menulis kepada Aldir menggaru
hati. Dia pejamkan mata. Cuba
beristrigfar
berulang kali. Cuba sabar. Ingat apa Aldir telah buat padanya. Sangat
ralat dan menyedihkan hatinya. Hanim wajib ingat itu. Peringat akalnya.
“Dia cuma dingin sahaja, mungkin boleh cuba menyapa dia,
kalau bukan sebagai teman di hati, teman di jari pun boleh kut,” pertimbang
Hanim.
Hanim pejam seketika. Ligat kepalanya
berfikir. Menentukan kata putus untuk menyapa Aldir atau tidak. Lagipun, bila
diingat hal lalu, selepas pertemuan mereka, Aldir tidak pernah membalas ketika
disapa. Hanim geleng kepala melepas rasa sebal di dada. Namun rindu itu tidak
pernah kenal erti jangan.
Awak, buat apa tu? tertaip juga tulisan
begitu untuk Aldir dan sampai ke kotak tuannya. Hanim mengalah dalam terpaksa. Rebah dibadai rindu.
Tak reti bagi salam ke? terpacul ayat
Aldir buat Hanim tergamam dan rasa mahu menjerit antara bahagia dan
terkejut.
Kalau
saya bagi salam pun, belum tentu awak jawab… balas Hanim, ayat ala merajuk.
Bukan
you dengar I jawab, tingkah Aldir.
Terima
kasih pulangkan semua buku saya… saya ingat dah kehilangan semua harta saya tu,
tulis Hanim dengan hati yang mulus dan bahagia.
Baru
nak ucap terima kasih, sengat Aldir.
Hanim diam. Kelu untuk menulis balas.
Lama
I di rumah you, ada sudi nak tegur? sengat Aldir lagi.
Awak tunggu saya ke? Ingat awak dah syok
kat mak saya, tingkah Hanim pula.
Ada pulak. I bujang lagi tau, berilah peluang I dengan anaknya.
Yelah,
macam mesra aje saya dengar dari bilik.
Menebing
boleh! Jumpa tak mau, pasang telinga dan mengintai, sengat Aldir lagi.
Saya
tak mau rosakkan pertemuan awak dengan bakal mak mentua awak, usik Hanim
berani mati.
Heheh… ye ke? Ada ke yang sudi nak buat I ni menantu?
Hanim rasa mahu menjerit bila Aldir tulis
ayat begitu. Rupanya selama ini Aldir sengaja mahu menduganya. Hanim capai
kipas kertas di atas meja dan kipas diri yang mula hangat teruja dalam bahagia
di kenyamanan malam.
Manalah
saya tahu, tak tanya ke mak saya siang tadi? Adakah dia sudi ambil awak jadi
menantu? Hanim sudah syok teramat.
Mana
boleh terlajak bahasa. Kenalah jaga budi bahasa, balas Aldir.
Yalah
tu, Hanim ramas-ramas jarinya tanda bahagia tidak terkira.
Hanim kian tersenyum-senyum. Nampaknya
Aldir sudah baik semula. Dulu mungkin Aldir mengujinya. Atau Aldir benar-benar sibuk.
You
buat apa tadi?
Tak
buat apalah. Awak? Hanim makin bahagia. Aldir masih ambil berat padanya.
Chat youlah, balas Aldir.
Dah
tak sibuk ke?
Masa
rehat I ni, nak sembang dengan you, nanti you kata I lupakan you pulak.
Hanim rasa mahu menjerit teruja.
Rupa-rupanya Aldir tidak pernah buang dirinya lagi. Benar rupanya, selama ini Aldir menyepi
kerana sibuk. Kini Aldir tidak sibuk.
Saya
rindu awak, Hanim terlepas bebanan rindu di dada.
Heheh…
siapalah I nak dirindukan, balas Aldir.
Jangan
cakap begitu, saya tak pernah lupa saat indah kita di sini, Hanim luahkan
apa yang terbuku di hati. Air mata terharu rindu mula berlinang di mata. Mengalir
sopan di pipi gebunya. Hanim biarkan sahaja. Bagai itu hadiah indah daripada Aldir.
Yelah
tu, I datang siang tadi buat tak tau aje, sengat Aldir lagi.
Nak
bagi peluang kat awak sembang-sembang dan ambil hati mak saya.
Jajan di meja disuap ke mulut. Sedap sungguh bagi Hanim. Bahagia rasanya.
Sembang
mak aje, anak-anaknya macam bosan kat I aje, tulis Aldir.
Taklah,
tak pernah bosan tau, tingkah Hanim.
Lama I tunggu, tak sorang pun yang sudi menyapa I… mujur nasi lemak dan
kuih-muih yang mak you hidangkan mahu bersembang dengan I.
Hanim tergelak di malam sepi. Terasa ayat
Aldir benar-benar mesra dan jinak seperti dulu-dulu. Dia mengunyap jajan lagi. Hirup
nescafe pula. Bahagia segala anggota jiwa. Aldir masih seperti dulu rupanya.
Cuma dia yang salah sangka. Tidak mahu percaya Aldir sibuk. Malam ini Aldir free.
Jadi dia akan gunakan kesempatan malam ini untuk bersembang mesra dengan
Aldir.
Awak, Hanim terhenti seketika.
Ada
apa?
Kenapa
kebelakangan ini awak langsung tak mahu sembang saya di sini? Telefon pun tak mahu? Takkan kerana sibuk
kerja, awak menjauhkan diri daripada saya.
Betullah
I sibuk, jawab Aldir pantas.
Hanim terpaksa terima alasan Aldir. Lelaki
memang sukar dimengerti. Mungkin kerana wanita ini bersifat sangat sensitif. Walaupun
merasa ada sedikit perubahan sahaja sudah dapat rasa dan teruja rasa.
Perempuan
bersama you di tangga tadi, siapa? Adik you? tanya Aldir pula.
Kalau
adik kenapa? Hanim mula terasa hati. Terasa dia dituakan sangat di mata
Aldir.
Cantik adik you, puji Aldir buat hati Hanim
tersentap. Dirinya langsung Aldir tidak sudi komen apa-apa. Paling tidak pun
kalau tak cun cakaplah kiut atau comel.
Kakak
tak tidur lagi, adiknya dah tidur? Boleh I berkenalan dengan adik you?
tanya dan pinta Aldir pula.
Hanim baru sedar. Sakit membakar hati bagai
direnjat elektrik. Rupanya Aldir mahu bersembang dengannya kerana kakaknya Hana.
Benar seperti kata Aldir dulu. Dia terima siapa sahaja dalam hidupnya asal
cantik dan seksi. Hati Hanim tersentap
layu semula dan terus menutup lapetopnya. Tiba-tiba malam indah sudah
jadi malam punah-ranah buat Hanim pula.