13. HANIM DAN HANA.

13

“KENAPA Nim?” tanya Hana yang sudah duduk di sebelah Hanim.

Hanim sudu kek ke mulut. Matanya merayap ke gantungan aneka baju dan beg tangan di luar kedai donut dan kek yang mereka kunjungi kini.

“Apa pasal sekarang mudah marah-marah?” korek Hana lagi.

“Mana ada.”

“Akak kenallah kau macam mana, dulu tak macam ni, riang aje… ni dengan budak kecil tu pun nak marah,” luah Hana pula masih sangsi.

“Hem…” dengus Hanim.

“Kita kan biasa berkongsi masalah,” giat Hana lagi.

“Tak ada masalah.”

“Mesti ada kalaupun tak besar, sampai budak kecil pun kau nak ajak gaduh, kata mak.”

“Kak Hana puas hati ke, bila mereka duduk rumah kita?” Hanim lepaskan rasa kesalnya.

“Hem… ikut memanglah tak mahu, tapi dengar cerita Khairil yang mak cakap, simpati jadinya.”
“Nak simpati apalah, dulu pun dia ada rumah nak duduk kan?” tingkah Hanim.

“Akak percaya pada mak, tu akak tak kisah.”

“Masalahnya Nim tak selesa dia orang duduk rumah kita,” tingkah Hanim.

“Nanti-nanti dia pindahlah, kata mak sementara aje,” pujuk Hana.

“Kut yalah.”

“Kerana itulah kau angin semacam? Sampai jadi cikgu garang. Kau buat Fakrul menangis. Aje yang cikgu haprak kau ni Nim,” kutuk Hana pula.

“Budak nakal, mesti kena marah,” tingkah Hanim geram dikutuk begitu.

“Biasanya kaulah merangkap ibu mithali, sayang kanak-kanak, sebab itu suka kerja kat tadika,” komen Hana bererti seraya tersenyum.

“Tak semualah, kalau menyusahkan baik tak payah,” sadis Hanim balas sambil tenyeh-tenyeh bunga kek dengan sudu.

“Kenapa marah sangat kat Fakrul, dia kan budak kecil, tak kisahlah pak cik dia kau benci, tapi dia tak adil dibenci tau…” nasihat kakaknya dengan lembut pula.

Hanim diam. Memang betul juga kata kakaknya. Apalah Fakrul tahu, diajak tinggal dalam reban ayam pun pasti Fakrul rela. Tiba-tiba rasa kasihan pada Fakrul. Memang betul dia tidak suka pada Khairil. Khairil datang tiba-tiba menambahkah ahli rumah buat Hanim rasa tidak selesa. Itu yang sebenarnya.

Makin dia tidak selesa bila ingat cinta hatinya sudah beralih pandang. Bermula dari situlah hatinya sering sahaja rasa tidak aman. Kini di depan mata ada kakaknya Hana. Mula dia lain rasa melihat Hana bila teringat hal itu. Tetapi kakaknya juga tidak bersalah. Yang bersalah dalam hal ini adalah Aldir. Buat Hanim benci Aldir tetapi dalam masa yang sama dia rindu Aldir.

“Hep!” sergah kakaknya bila Hanim mula termenung lagi. Kek di piring sudah kena lenyek di hujung sudu Hanim.

“Parah betul adik aku ni,” kutuk Hana.

“Terkejutlah,” Hanim kincupkan mata merenung Hana. Geram.

“Yalah, orang lain pun bercinta juga tapi rasanya hidup dalam dunia normal, kau?” sindir Hana pula.

“Mana ada bercinta?” tepis Hanim.

Hana geleng kepala sambil mata diimbaukan kepada pelanggan yang hilir mudik di kiosk beg tangan, tudung dan gerai baju di tengah ruang legar dalam Pasar Raya AEON BiG. Pelik dengan adiknya. Dulu bukan main bercinta lagi dengan Aldir. Semua itu Hanim beritahu Hana.

“Bukan ke telinga akak ni yang tersumbat dengan cerita asyik masyuk cinta kau dengan Aldir dulu, tak gitu Cikgu Hanim?” sindir Hana.

“Masalahnya, cintanya dah beralih arah, dia dah jumpa perempuan lain yang jauh lebih cantik dari Nim ni…” jawab Hanim menekan rasa kesal keluar dari dadanya.

“Oh, begitu pulak? Makna kau dah putus betul-betul dengan dia?” korek Hana.

Sakit pula hatinya bila adiknya dipermain oleh Aldir. Hanim satu-satunya adik yang dia ada. Mereka rapat sejak kecil. Siapa sakitkan Hanim dia turut terluka. Jadi, kalau dia berkesempatan jumpa Aldir memang kena panggang cukup-cukup dengannya.

“Entah, sebenarnya Nim pun tak taulah selama ini kami bercinta ke tidak. Mungkin bagi Nim ya, tapi bagi dia sekadar nak uji aje. Bila dapat jumpa dan lihat Nim macam mana kan, terus dia tinggalkan Nim,” keluh Hanim melepaskan rasa pilu. Air mata mula meriak di kolam matanya.

“Kau kenal makwe baru dia?” tanya Hana serius.

Hanim kelu. Kakaknya baik. Tidak sampai hati menyergah kakaknya pula. Bimbang kakaknya itu terkejut gila. Kalau kakaknya jatuh gila dia sudah tiada tempat bermanja pula.

“Kalau kenal pun tak sampai hati nak ketuk,” sahut Hanim masih menyimpan rahsia sambil lap perlahan air mata yang mula mengalir ke pipi.

“Bukan suruh ketuk, sekurang-kurangnya kau boleh bandingkan antara dia dan kau,” tingkah kakaknya pula sambil sudu pula kek dari piring.

“Jauh bezanya daripada Nim, tentu jauh lebih cantik dan seksi,” gumam Hanim.

“Kau bukan tak cantik Nim, cuma kau malas,” mula Hana puji kemudian kutuk.

“Malas?” Hanim tidak puas hati sambil jeling kakaknya.

“Malas kuruskan badan, sayang sangat kat selulit kau tu.”

“Bimbang terlebih cantik pulak, nanti dia susah nak pilih,” jawab Hanim melawak buat kakaknya tercebik.

“Hem, siapalah mangsa permainan cinta Aldir lagi ya?” Hana tongkat dagu, lihat siling seakan di sana ada wajah kekasih baru Aldir.

Hanim tersengih dalam terpaksa. Direnung kakaknya. Kalau diberitahu sekarang bahawa Aldir sudah jatuh hati pada kakaknya, apa riaksi kakaknya?

“Agaknya Aldir tipu kau Nim, sengaja nak duga tahap kesabaran kau,” teka Hana pula sambil angkat kening merenung Hanim.

“Nak duga apa kalau perkara itu benar,” tingkah Hanim.

“Pelik betullah kisah cinta kau dan dia tu, dari FB, jumpa dan berpisah, kemudian tahu dia ada yang lain, rakan FB dia ke?” cungkil Hana.

“Tak ada apalah, biasalah tu… Nim sedang belajar untuk lupakan dia, akak tak usah risaulah.”

“Soalnya sekarang, bila kau frust orang lain jadi mangsa, budak kecil pun kau balun juga.” Bidas kakaknya.

Hanim geleng kepala. Begitu rupanya penangan orang frust bercinta. Habis semua orang jadi mangsa. Malah semua tindak-tanduk orang lain boleh lihat. Hanim rasa bersalah pula. Dia segera menghabiskan minumannya.

“Jom baliklah, dah nak maghrib ni, nanti mak risau pulak,” ajak Hanim dengan wajah bersungguh. Bagi mengelak memberitahu siapa saingan cintanya kini.

“Tak mahulah kongsi masalah kat akak?” Hana masih belum puas hati.

“Dah cakap semua kan… Nim janji, akan kawal diri agar tak ada yang terluka lagi,” Hanim memberi janji lantas bangun.

Hana akur dengan keputusan adiknya. Dia langsung tidak terfikir bahawa dirinya terseret sama menyebabkan jiwa adiknya mendung kelabu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh