16
HARI
minggu masih pagi. Tinggal Hanim seorang
di rumah. Puan Maimun dan Hana pergi ke pasar. Khairil dan Fakrul pula sudah
keluar pagi-pagi lagi. Entah ke mana
Hanim tidak mahu ambil tahu. Dia
sibukkan diri mengemas rumah dan menyidai kain cucian di ampaian.
Ketika sidaian terakhir siap, sebuah
kereta masuk ke halaman dan berhenti berhampiran Hanim. Hanim menoleh dan
berkerut. Dia capai sesuatu dari bakul.
Tiada apa yang boleh dicapai. Niat untuk menyibukkan diri punah. Apa
patut dia buat kini? Patutkah beramah-tamah dengan lelaki yang sudah terpacak
berhampirannya?
“Assalamualaikum,” sapa lelaki itu.
“Waalaikumussalam,” jawab Hanim perlahan.
Entah kenapa tiada rasa indah bila lelaki yang sebenarnya Aldir datang ke
rumahnya di pagi itu.
Bila diingat-ingat ayat kejam Aldir buat
Hanim mahu lari terus. Tidak ingin berjumpa dengan orang yang sangat
disayangnya pada satu ketika dulu. Rasa
sakit dan pedih masih berbekas di dasar hati. Kata-kata mulut macam longkang
penuh tong sampah benar-benar buat hatinya luka berdarah.
“Tinggal sorang? Sunyi aje,” komen Aldir.
“Semua dah keluar,” jelas Hanim bernada
malas.
“You tak keluar?” tanya Aldir.
Baik pula ayat lelaki itu di pendengaran
Hanim. Meluat Hanim mendengar. Rasa mahu berlari ke atas dan tunjukkan apa
Aldir telah tulis yang sangat menyakitkan hatinya semalam. Aldir jangan buat-buat lupa pula apa dia
sudah buat pada Hanim.
“Hari cuti duduk rumah aje?” tanya Aldir
lagi.
Hanim terus diam, mukanya masih
dipalingkan menghadap penyidai. Segala gantungan baju ada di situ. Termasuk yang tidak sepatut Aldir lihat buat
Hanim bulatkan mata lantas sentap kain batik lalu sidai segera ke atas segala
pakaian kecil di situ. Bagai kena elektrik bila terdengar Aldir gelak penuh
makna. Malunya!
“Bila jumpa tak mahu cakap, tak jumpa kata
rindu,” usik Aldir diiringi gelak bergetar, buat jantung Hanim berdetup-detap
pula.
Heh! Tiada makna mahu dap dip dup lagi
pada lelaki bernama Aldir. Dalam Facebook
macam bercakap dengan hantu sahaja. Di sini mahu tunjuk romantik. Baik tak
payah! Cemuh hati Hanim berazam terus membenci Aldir.
“Hem, lama lagi agaknya mak you akan
balik?” tanya Aldir pula.
Hanim hanya angkat bahu.
“Oh selama ini I chat dengan makwe bisu rupanya…” usik Aldir pula sedaya upaya mahu
pancing Hanim agar bersuara.
Hanim tercebik. Bukan Aldir tidak pernah dengar suaranya. Baru
tadi bercakap. Dulu Aldir pernah datang ke rumah. Selalu juga bercakap di
telefon. Bisu? Bisu apalah? Lainlah Aldir, bisu perasaan. Sanggup melukakan
hati perempuan sesedap jari dia sahaja. Cemuh hati Hanim.
“Biar bisu mulut, jangan bisu hati!”
sindir Hanim, geram.
“Eh heheh…” Aldir gelak pula.
“Ada pulak begitu… kenapa nak tukar jadi
bisu pulak?” tambah Aldir di hujung gelak.
Hanim kembangkan sedikit mulutnya. Geram
mendengar ayat Aldir. Masih buat-buat tidak faham. Sedangkan semalam sesedap
rasa sahaja memakinya. Bukan tahu minta maaf. Beginikah orang yang dulunya
bukan main romantik lagi di chatting?
Dan ketika itu kalau ada sedikit silap
laju sahaja mohon maaf, kini? Hampeh!
“Hanim, ini saya bawa sesuatu untuk you,”
kata Aldir pula menarik perhatian Hanim untuk menoleh.
Benar, di tangan Aldir terhulur sebuah beg
kertas. Hanim jadi serba salah. Mimpikah Aldir hari ini. Datang tanpa diundang
dan membawa hadiah untuknya pula di pagi hari.
“Ambillah,” pinta Aldir lagi.
Hanim lihat ada keikhlasan pada wajah Aldir.
Lalu dicapai beg tersebut tanpa sengaja.
“Ada tiga barang di situ. Berilah pada
yang tertulis nama,” kata Aldir pula buat Hanim tersentap rasa semula.
Dari arah jalan sana kelihatan kereta Hana
masuk ke halaman. Hanim segera masuk tanpa mohon permisi pada Aldir. Rasanya,
kedatangan Aldir bukan untuk bertemu dirinya. Kalau bukan bertemu Puan Maimun
pastilah mahu bertemu Hana. Tanpa pedulikan Aldir Hanim terus naik ke rumah.
Biarlah Aldir termanggu-manggu di situ.
Sekejap lagi boleh beramah mesra dengan emak dan kakaknya. Kalau Aldir mahu
lebih dipandang berbudi jadilah kaki ampu sedikit. Banyak bunga raya
berkembangan aneka warna di halaman. Pujilah di hadapan Puan Maimun, pasti Puan
Maimun senyum tak sudah dan Hana pula tentu tumpang riang.
Bunga raya merupakan bunga kesukaan Hana.
Malahan, Hana yang rajin menguruskan bunga-bunga itu. Hanim lebih suka
lihat sahaja. Kalau dileter oleh emaknya
barulah dia siram bunga-bunga itu dan pokok-pokok lain.
Hanim terus campak beg kertas ke atas
katil sebaik dia masuk ke biliknya. Moodcuti
di hari minggu lari entah ke mana diusir oleh Aldir yang sudah kedengaran ramah
menyapa emaknya di bawah sana. Sakit hati Hanim mendengar suara ramah Aldir.
*****
HANIM
belek-belek tudung pemberian Aldir malam itu. Hanim tergugat untuk membenci
Aldir. Pemberian hadiah daripada Aldir buat Hanim tertanya-tanya, kenapa beri
hadiah padanya? Dan kenapa juga beri hadiah kepada emak dan kakaknya juga? Pelik
sungguh watak Aldir. Romantik, baik hati, tiba-tiba boleh bertukar garang dan
baran. Kini pemurah pula. Tiba-tiba beri mereka hadiah. Pelik sungguh.
“Biru tanda apa Cikgu Hanim?” kejut
kakaknya yang masuk seperti menghendap.
“Biru tanda haru,” sahut Hanim cepat dan
kuis tudung itu ke tepi.
“Ada pulak? Apa lagi, tak percaya lagi dia
suka kat kau?” cuit Hana.
“Kat akak pun dia bagi juga kan? Makna dia
suka akaklah juga, kan?” tingkah Hanim menyindir.
“Jangan ambil hati pada semua perkara yang
pada dasarnya nampak menyakitkan tapi cuba fikir kenapa perkara itu berlaku
pada kita,” komen Hana pula.
“Akak dapat apa?” tanya Hanim malas
melayan falsafah kakaknya.
“Tudung cantik begitu jugak, tapi warna purple…” jawab Hana sambil angkat
kening.
Hanim diam. Ungu memang minatnya. Kenapa
Aldir tidak beri ungu kepadanya. Kakaknya pula suka warna biru. Nampaknya Aldir
belum kenal apa minat mereka. Emak pula dapat warna apa agaknya?
“Mak, warna maroon…” beritahu Hana tanpa Hanim perlu bertanya secara lisan.
Maroon
juga jadi kegemarannya. Bagaimana pula
fesyen yang emaknya dapat? Adakah sama macam mereka dapat? Tanya Hanim
tanpa suara juga.
“Mak lain sikitlah, sesuai dengan usia
mak,” jelas Hana juga tanpa perlu dengar apa Hanim tanya.
“Kenapalah dia bagi hadiah pulak ya?”
tanya Hanim dalam nada hairan tanpa melihat Hana yang duduk di birai katilnya.
“Suka hati dialah nak memberi dan
bersedekah, tanda buah tangan ketika datang ke rumah bakal mak mentua” sahut
Hana kemudian angkat-angkat kening tanda mengusik Hanim.
“Sukalah hati akak, dia sebenarnya suka
kat akak,” balas Hanim walaupun pedih di hati menyebut ayat begitu.
Hana ketawa kecil. Kemudian Hanim terjerit
bila Hana tarik cuping telinganya.
“Sakitlah!” terus Hanim cubit kakaknya.
Mereka bergelut seketika.
“Akak dah kata dulu, akak tak akan rampas
hak orang, kan?” tekan Hana sambil tarik telinga Hanim lagi.
Tangan Hanim menepis-nepis tangan Hana.“Kalau
tak rampas tapi dia tak suka pada Nim pun tak ada makna juga wahai Cikgu Hana…”
“Jadi pandai-pandailah jaga harta awak
tu,” tingkah Hana pula.
“Harta apa?” Hanim bulatkan mata.
“Dia yang datang tadi, kenapa kau tak
layan baik, dia kata kat akak kau tak hiraukan dia,” luah kakaknya membuka
rahsia hal Aldir datang di pagi buta tadi.
“Eloklah Nim tutup mulut dan akak buka
mulut, dia suka akak, elok akak yang sembang dengannya,” sahut Hanim perlahan
lebih kepada berjauh hati.
“Akak kata dah, akak tak akan menyambar
hak oranglah,” terus bantal peluk melepuk paha Hanim.
“Bukan soal sambar atau tidak, soalnya dia
suka akak, terpulang akak nak suka dia, yang pentingnya dia tak suka Nim, jadi
Nim kena tahu diri,” tekan Hanim, bulatkan mata merenung kakaknya.
“Kalau dia tak suka kau, takkan dia beri
hadiah kat kau?” tempelak Hana.
“Dia juga beri hadiah kat akak dan mak,”
tempelak Hanim.
“Sebagai ambil hati aje, takkan itu pun
kau tak boleh baca?” tepis Hana.
“Dia nak ambil hati Kak Hana, itu
mungkin,” sindir Hanim dan senyum hambar.
“Masalahnya, bila dah jumpa, kau tak mahu
berdepan, bincang baik-baik kenapa hubungan kalian jadi hambar macam masakan
tanpa perasa. Kau meradang sendiri apa dia tahu?” tempelak Hana. Geram pula
dengan sikap Hanim yang tidak percaya padanya.
“Biarlah, rasanya dia dah tak minat nak
bincang apa-apa pun,” sahut Hanim nada sedih dan berlalu pergi.
Pedih hati Hanim bila teringat Aldir maki
dia semalam. Bagaimana mahu diajak berbincang? Tadi pun Aldir tidak menunjukkan
ada perkara penting mahu berbincang dengannya. Sekadar ayat usik-usik sahaja.
Beri hadiah tetapi bukan istimewa untuk dirinya sahaja. Malah emak dan kakaknya
juga dapat. Berat perasaan Hanim bila memikirkan hal itu.
Hanim tidak mahu ceritakan pasal Aldir
yang berkata buruk padanya di Facebook
kepada Hana. Biarlah menjadi rahsia dirinya. Rasanya kalau Aldir dapat chatting dengan kakaknya tidak mungkin
ayat jahat dan kejam dilemparkan kepada kakaknya. Begitu juga di awal
perkenalan mereka di Facebook dulu.
Ayat Aldir sentiasa baik dan sopan.
Tinggal Hana terkedu seketika. Kemudian Hana
belek tudung Hanim, sama fesyen macam dia dapat. Tertanya-tanya juga, kenapa
Aldir beri hadiah kepadanya pula? Kalau setakat emak mereka itu logik juga. Ini
beri kepadanya juga? Hana hanya boleh mendesis sendiri tanpa jawapan pasti.