18
MASA
lawatan pun tiba. Kanak-kanak paling teruja pada hari itu. Mereka pergi
beramai-ramai bersama kawan tadika dan guru-guru tanpa ibu bapa mereka. Malah
ada kanak-kanak yang terlupa seketika ibu bapa mereka yang menghantar ke pintu
bas. Sebaik masuk bas terus riang bercerita dengan kawan-kawan berkaitan
lawatan.
Bas terus ke Zoo Negara. Hampir seratus
pelajar cilik memenuhi dalam kawasan zoo. Mereka dibawa ke merata tempat. Melawat
ke kandang haiwan dan burung-burung. Termasuk melawat akuarium. Pastilah mereka
sangat teruja melihat aneka haiwan di sana.
Hanim menjaga 10 orang pelajar. Mereka
patuh apa yang Hanim suruh dan peringatkan. Begitu juga 9 kumpulan lain. Patuh
pada arahan cikgu masing-masing. Sampailah masa mereka berehat seketika di
kawasan agak lapang di tepi tasik.
Banyak burung flaminggo putih
bertengkuk merah berkumpul dalam tasik
dan mengujakan anak-anak cilik melihat ke sana.
Hanim duduk di kerusi batu setelah
memastikan murid-muridnya duduk di atas tikar yang dibentang. Mereka minum dan
makan roti yang diberi semasa di dalam bas tadi. Mereka turut dibantu oleh tiga
lelaki yang suka rela membantu mengurus perjalanan lawatan. Tiga orang itu
ialah Khairil, seorang guru yang dicari oleh Hana dan seorang lagi tentulah
Aldir.
Persetujuan Aldir diperolehi pada malam
Aldir menelefon Hanim. Namun begitu Aldir tetapkan syarat yang membuatkan hati
Hanim benar-benar luluh kembali. Apa pun Hanim
terpaksa
setuju memandangkan dia memang perlukan khidmat lelaki itu.
“Mana?”
satu pertanyaan merangkap satu teguran membuat Hanim menoleh perlahan.
Dia intai lelaki yang berkemeja T putih
dan seluar jeans di tepinya. Itulah
Aldir. Tersenyum tampan tetapi Hanim tidak rasa bahagia melihat senyuman itu.
Senyuman itu bukan miliknya, pasti akan menjadi milik kakaknya kelak.
“Kata hari itu boleh ajak kakak you
sekali,” tambah Aldir memperingatkan janji Hanim yang dipersetujui.
“Minta maaf, saya dah ajak, mula dia boleh
pergi tapi last minute dia ada kerja
kat sekolah,” terang Hanim perlahan, jujur dan memang bukan tipu.
Terlukis gambaran kecewa di wajah Aldir.
Hanim pandang semula ke seluruhan tasik. Burung flaminggo putih berleher merah melata di sana. Hati Hanim jadi rencam. Antara rasa ikhlas dan rasa
kecewa parah. Dia menyangka Aldir sudah lupa hal Hana. Rupanya tidak.
Cuaca pula redup ala-ala mendung tetapi tidak menampakkan hari akan
hujan. Cuma redup dan sepi di langit. Buat hati Hanim rasa murung. Tidak
seriang anak didik tadikanya.
Tadi dia lihat Aldir mesra melayan kerenah
kanak-kanak. Hanim tumpang gembira melihat Aldir kelihatan penyayang dan
sukakan kanak-kanak. Tidak sangka Aldir tidak lupa pada janji awal mereka.
Iaitu Hana mesti pergi kalau mahu dia
membantu dalam sesi lawatan pelajar itu.
“Ada sahaja alasan, mungkin you tak
beritahu dia,” telah Aldir, buat Hanim rasa tertembak jantung.
“Satu ketika dulu ada seorang perempuan
telefon awak dan bertanyakan pasal Dr. Aldir, kalau awak tak percaya pada
keterangan saya, cuba telefon dia,” jawab Hanim geram tanpa
menoleh.
Terdengar Aldir menggumam. Kemudian
mendesis.
“Bila tu?” tanya Aldir pula setelah puas
cuba mengingat.
“Barangkali koleksi makwe ramai sangat,
itu pasal tak ingat,” sindir Hanim melepaskan rasa sebal yang menyumbat hati.
“You boleh tak jangan cakap yang
menyakitkan hati I,” Aldir mula marah.
“Kalau tak betul kenapa nak marah?” semis
Hanim lagi.
“Eh you, elok-elok I tolong you, karang
senang-senang aje I balik tau, you jagalah anak-anak you yang ramai tu,” Aldir
mula beri ancaman.
“Kalau awak punya fikiran dan pertimbangan
macam akal anak-anak kecil itu, maka dipersilakanlah wahai Encik Aldir,” Hanim
mula bosan. Bercakap dengan Aldir tidak boleh silap sikit, mulalah Aldir tunjuk
baran. Bencilah!
Terdengar Aldir mendesis. Hanim tidak
peduli, langsung tidak ingin melihat. Entah kenapa mereka hanya punya penyatuan
jiwa dalam Facebook sahaja. Itu pun
sebelum Aldir bertemu Hanim secara dua mata. Kini, setelah berjumpa? Buat Hanim
rasa tawar untuk bersembang apa tah lagi konon untuk bermanja kasih dengan
Aldir. Sakit hatinya bila diri dijadikan alat untuk lelaki itu mendekati
kakaknya.
Kalau sebelum ini dia tidak pernah kenal
Aldir, apa dia kisah pasal Aldir suka pada kakaknya. Masalahnya dia terlebih
dahulu kenal Aldir. Terlebih dahulu menyayangi Aldir dan Aldir pun dulu kata
begitu semasa mereka chattingdi Facebook. Apabila berjumpa dengannya
Aldir buat perangai. Terlebih lagi setelah terlihat kakaknya terus Aldir
berubah hati 100%.
Aldir tiada perasaankah untuk menyelami
betapa sakitnya hati orang yang pernah diberi kata sayang, bila dengan mudah
pula beralih suka kepada kakaknya? Hah! Sakitnya perasaan Hanim. Sakit sehingga
tertusuk jauh ke dasar hati dan luka di sana sini sampai banjir berdarah dan
keluar memercikkan air mata Hanim pula.
Hanim paksa matanya perhatikan tasik yang
sudah nampak kabur kerana matanya dilindungi air mata yang mula penuh dan
melimpah, bertambah lagi dan melimpah lagi, deras dan deras akibat sakit hati
dan luluh hati kerana disakiti oleh orang yang sangat disanjung dan
disayanginya. Hai Aldir! Ratap hati Hanim yang luka parah. Pedih dan berdarah.
Sedangkan Aldir yang masih berdiri di sebelahnya
belum perasan Hanim sudah lemas dalam banjir air mata. Mata Aldir sibuk pula
melihat ke sana ke mari. Melihat kanak-kanak yang ramai berkampung di tepi
tasik. Melihat telatah mereka yang mencuit hati dia tergelak sendiri. Kemudian
barulah dia lihat pula tonggokan Hanim yang sudah mengelap air mata.
“Kenapa menangis?” tanya Aldir pelik. Dia
duduk senget di sebelah Hanim.
Hanim mengesot jauh sikit. Bertambah sakit
hati bila Aldir langsung tidak memahami situasi dirinya yang sedih pilu
gara-gara lelaki itu. Memang Aldir jenis keras hati dan langsung tidak tahu
memujuk. Hamun hati Hanim. Membazir sahaja air matanya tumpah pada tempat yang
bukan sepatutnya. Hanim bangun dan berkira untuk mendapatkan anak didiknya.
Mendengar kanak-kanak yang riang bercerita
sesama mereka dan guru-guru mereka membuatkan hati Hanim terhibur sedikit.
Tinggal Aldir melihat tingkah Hanim yang sudah tidak menghiraukan dirinya lagi.
Ketika itu Khairil datang bersama Fakrul
dan duduk di sebelah Hanim. Hanim mengengsot sedikit memberi ruang kepada Khairil
dan Fakrul untuk merehatkan kaki. Murid-
murid
yang ramai di situ sungguh riang mendapat pengalaman baru bersama rakan-rakan
dan guru-guru di Zoo Negara itu.
“Awak tak minum?” tanya Khairil sambil
hulurkan minuman kotak yang dibelinya.
“Terima kasih,” Hanim ambil tanpa banyak
kira.
“Kagum saya melihat awak semua jadi cikgu
pada murid kecil-kecil tu,” puji Khairil membuat hati Hanim terharu tetapi
tidak terkeluar ucapan terima kasih gara-gara masih berbekas perasaan dendam
pilu terhadap Aldir.
“Eh, awak kenapa? Macam menangis?” tanya
Khairil yang sudah menatap muka putih gebu Hanim yang kemerahan dan mata pula
pastilah tidak indah bersinar.
“Taklah,” Hanim tepis tangan Khairil yang
cuba mengelap sisa air matanya.
Dari sudut kerusi tadi, Aldir melihat
gerak-geri Hanim dan Khairil. Dia
mendesis. Tidak cemburu tetapi ada rasa seakan kehilangan pula. Lalu dia bangun
dari situ dan pergi ke satu arah yang dia tidak pasti.
“Ke mana bos?” laung Khairil.
Aldir hanya putarkan tangan tanpa jawapan.