2. SEDIH.

2

HANIM payah lelap bila mengenangkan dirinya rasa terhina sebegitu keji. Apalah kesalahan dirinya sangat sehingga dia begitu dibenci oleh Aldir? Salahkah mereka bertemu? Lagipun Aldir yang mahu sangat mereka bertemu. Dulu nombor telefon pun dia kedekut beritahu Aldir. Kini semua Aldir sudah tahu. Malah sebelum bertemu mereka sering berhubung melalui telefon. Kini?

“Saya tak pernah tinggalkan awak, tak pernah juga ikut awak, cuma lihat dari jauh… sebab rindu… salahkah itu?” bisik Hanim.

“Kenapa awak benci sangat kat saya… sedangkan sebelum ini kita kawan baik… kini awak tak sudi lagi menyapa atau menyahut sapaan,” rintih Hanim pula.

Teringat waktu pertemuan pagi semalam. Hari minggu yang indah di Taman Tasik Shah Alam. Dia menunggu dengan sabar dalam wakaf di tepi tasik. Sambil menanti dia campakkan cebisan roti ke dalam tasik. Banyak ikan berkerumun di situ. Riang hatinya, walau lama menanti tidak terasa kerana leka melihat ikan. Selebihnya acara memberi ikan makan bertujuan menutup rasa debar untuk pertemuan pertama dengan lelaki yang dikenali di Facebook.

Sedang dia leka memberi ikan makan, sebuah sapaan menyapa telinganya. Ketika menoleh terlihat seorang lelaki bertubuh segak, berkulit agak cerah dan manis berdiri di hadapannya. Dalam rasa debar dan malu dia sahut salam dengan perlahan. Kalau

mengikut gambar di profil lelaki itu, sah lelaki di hadapannya itulah Aldir.

“You Hanim?” tanya lelaki itu dengan serius.

“Ya, saya… awak Aldir?” tanya Hanim dengan sopan.

Lelaki itu cuma angguk sambil perhatikan Hanim ke atas ke bawah. Hanim rasa tidak selesa. Sampai hati Aldir perlakukannya begitu. Macamlah dia pesalah buruan polis pula.

“Hem…” terdengar Aldir mengeluh ketika menghela nafas.

“Kenapa?” tanya Hanim.

“Oh tak ada apa-apa,” cepat dibalas Aldir. Matanya liar memandang ke lain.

“Awak datang sorang?” tanya Hanim memberanikan diri.

“Yalah, nampak sorang aje kan?” jawab Aldir cepat. Matanya tajam merenung Hanim.

Hanim jadi gelisah. Pelik betul dengan lelaki ini. Macam keras wataknya. Tidak melihatkan sifat romantik langsung. Sedangkan semasa chatting bukan main baik lagi ayat dia. Kini? Betulkah dengan lelaki ini dia selalu chatting? Macam garang sahaja.

“You datang dengan siapa?” tanya Aldir sambil jalurkan sedikit senyuman.

“Soranglah,” kata Hanim tidak senang, Aldir masih memerhatikannya ke seluruh tubuh.

“Kenapa pandang saya begitu?” Hanim beranikan diri bertanya bercampur geram pula.

Aldir tidak membalas, cuma menarik nafas sambil membuangkan pandangannya ke

arah tasik yang nampak tenang dan indah. Kelihatan kawanan angsa putih berenang di tepian pulau buatan di tengah tasik.

“Saya suka datang sini,” ujar Hanim cuba menghidupkan suasana dingin itu.

“Cantik tempat ini…” tambah Hanim lagi.

Aldir duduk pula di kerusi panjang dalam wakaf itu. Wajahnya masih serius. Sungguh Hanim tidak menduga begitu watak sebenar Aldir. Serius bukan main. Sedangkan yang dikenalinya lelaki itu di Facebook begitu cool dan peramah. Hem… gatal pula lidahnya bertanya.

“Betulkah awak ini Aldir?”

Spontan Aldir menoleh dan berkerut.

“Kenapa tanya begitu?”

“Di FB awak lain… peramah… kini…”

Kelihatan Aldir senyum pula tetapi sedikit sahaja.

“Beginilah I yang sebenar,” jawab Aldir sambil bangun.

“Hem, awak nak pergi mana?” tanya Hanim nada ala manja pula.

Seperti biasalah, dia tidak pandai tukar watak, bagaimana di Facebook begitulah di sini. Manja pada Aldir macam di Facebook juga. Sebab sudah terbiasa.

“I tak boleh lama ni, kena pergi dulu,” jawab Aldir ringkas.

“Berya-ya awak nak jumpa saya… begini aje? Jumpa kejap dah nak pergi,” nada suara Hanim merajuk. Dia juga sudah terbiasa atur ayat merajuk pada Aldir di

Facebook. Jadi, di sini bukan sengaja dibuat-buat.

“I banyak kerja,” Aldir beri alasan.

“Kerja awak berperang ke? Sampai tak sempat nak belanja saya…” Hanim tuntut janji Aldir yang mahu belanja dirinya.

Aldir renung wajah Hanim agak lama. Dia rasa mahu ketawa campur geli. Begini rupanya gadis yang selama ini buat ayat manja dengannya di Facebook.

“Janji tau…” tuntut Hanim lagi dengan manja.

Aldir cebikkan bibir seakan berfikir seketika. Dia pun belum sarapan lagi. Tidak mengapalah makan sekali dengan ‘gadis idamannya ini’. Buat pertama kali dan pastinya untuk terakhir kali juga. Soalnya Hanim gadis atau… bisik hati Aldir.

Aldir angguk dan cebikkan bibir sambil renung Hanim.

“Okey, jom…” Aldir hulurkan senyuman pula. Lawa kalau senyum tetapi kenapa kedekut sangat untuk senyum tadi. Tanya Hanim dalam hati.

“Begitulah…” sahut Hanim bahagia.

Hanim puas hati dan ikut Aldir dari belakang. Aldir jalan laju. Penat Hanim mengikutnya. Bukan senang untuknya berjalan laju macam Aldir.

“Awak! Awak kembar LRT ke?” panggil Hanim buat Aldir berhenti dan tertanya-tanya pula apa Hanim kata.

“Lajunya awak jalan, awak kembar LRT ke?” tanya Hanim lagi.

Aldir senyum sedikit dan melangkah semula sambil cebikkan bibir. Kenapalah malang nasibnya hari ini? Jumpa si kiut tembam begitu. Bukan Hanim tidak cantik cuma badan besar bukan cita rasanya. Itu sahaja. Aldir tetap yakin dia tidak salah untuk memilih. Itu hak asasi setiap manusia.

Mereka makan di restoran makanan segera. Hanim yang telah mesra dengan Aldir di Facebook tentulah makan ikut cara dia. Makan tanpa malu-malu. Lagipun dia memang lama tidak makan ayam goreng segera. Sedap bukan main lagi rasanya. Lebih-lebih lagi Aldir pula yang belanja.

“I tak berapa suka ayam goreng, I satu aje, you nak ambillah I punya ni,” pelawa Aldir.

Hanim tersenyum kembang. Bahagianya dapat makan lagi. Aldir bagi lagi. Rugi tolak rezeki. Baiknya Aldir. Tidak sangka. Tadi macam askar perang terlepas sempadan sahaja. Serius dan nampak macam cemas. Kini, bab belanja Aldir tidak kedekut. Bahagianya Hanim.

Dalam hati Aldir pula, ada gelak sinis. Lahapnya perempuan ini. Pantang dipelawa. Logik ke dia percaya tak suka ayam. Kuat makan perempuan ini. Patutlah badan ala-ala hipo. Kembar hipo barangkali. Aldir ingin soal begitu tetapi tidak sampai hati. Dibuatnya Hanim melalak di situ, dia juga yang malu nanti, jadi sabar sahajalah. Kejap lagi mereka beredar dan selamat tinggallah Hanim.

“Kalau you tak kenyang jom I belanja you nasi beriani gam pula,” duga Aldir.

Mata Hanim yang jernih, bulat merenung Aldir. Ayam masih belum habis kunyah, Aldir pelawa makan nasi pula. Baiknya Aldir. Hanim betul-betul lurus bendul. Langsung tidak terfikir dia sedang diuji oleh seorang lelaki yang mencari miss perfeck.

Hanim memang tidak mahu berburuk sangka. Lagipun di Facebook Aldir memang baik, peramah dan cool. Dia suka sangat berkawan dengan Aldir yang pandai tulis ayat. Tadi, mungkin kerana baru jumpa, buat Aldir tidak selesa dengannya. Kini Aldir baik sekali dan ikhlas belanja makan buatnya.

“Nak makan nasi?” tanya Aldir lagi.

“Hem… makan ayam tanpa nasi memanglah tak puas,” jawab Hanim.

Aldir menoleh ke lain. Sah-sah perempuan ini spesis kuat melantak. Ejek hati Aldir dengan sinis.

“Makanlah semua itu dulu, lepas ini kita pergi restoran mamak pula… okey,” kata Aldir. Kalau ikut hatinya dia mahu ketawa kuat-kuat kerana lucu pula melihat Hanim makan agak tergesa-gesa.

“Hem, baiknya awak…” kata Hanim sebaik habis minum bagi melenyapkan makanan di mulutnya.

“Sebenarnya saya biasa makan ayam dengan nasi. Jika awak nak belanja nasi pulak saya tak kisah… saya syukur aje… buat spare sampai malam.” Kata Hanim lalu gelak.

Aldir renung wajah Hanim yang gelak. Memang comel. Kalaulah perempuan ini berbadan separuh dari yang ada sekarang tentulah jadi perempuan ayu. Sayangnya kenapalah Hanim indah nama daripada rupa. Tidak semena-mena Aldir geleng kepala.

“Kenapa geleng? Sakit kepala ke?” tegur Hanim.

“Tak ada apa.”

“Macam ada yang tak kena,” Hanim terperasan pula.

Tiba-tiba dia teringat nasihat kakaknya, Hana. Mesti jaga sopan santun dan adab di hadapan orang, di hadapan kawan. Buat Hanim rasa malu dan tunduk. Tadi dia lupa segala kerana lapar. Lagipun Aldir nampak ikhlas dan dia teruja sangat dapat bertemu Aldir sampai lupa menjadi perempuan melayu tercomel.

“Okey, jom I belanja nasi beriani gam kambing pulak,” putus Aldir.

“Tak apalah… saya dah kenyang, saja usik awak tadi,” sahut Hanim dengan muka ikhlas.

Aldir menarik nafas lega. Selamat duitnya. Ingatkan betul-betul Hanim perut buaya tadi. Rupanya sekadar menguji dia. Namun begitu, Hanim tetap bukan cita rasanya. Fizikal Hanim yang montel dan cara Hanim makan gelojoh buat dia hilang minat pada gadis yang selalu ditabur ayat romantik di Facebook. Jadinya, cukup sampai di sini, di pertemuan pertama dan terakhir. Selamat tinggal Hanim.

“Oh, kata ada anak, mana anak you?” tanya Aldir pula sebelum dia lupa bertanya.

“Hem, tak adalah, saya gurau aje… saya belum kahwin pun, sorry ya…” jelas Hanim sambil senyum malu-malu. Rasa bersalah pula mengusik Aldir semalam.

Aldir menarik nafas sambil toleh ke lain. Hatinya berkata-kata. ‘Sama ada dia ada anak atau tiada, rasanya tak payahlah…’ putus Aldir muktamad.

Tidak lama kemudian Aldir minta diri atas alasan ada hal penting. Aldir laju ke keretanya. Hanim hanya perhatikan Aldir dengan pandangan hilang dan hilang. Terasa hatinya juga hilang tiba-tiba. Entah kenapa.

Hanim tercebik terkenang kisah semalam. Hatinya diburu sayu. Air matanya jatuh satu persatu. Dia dapat merasakan bahawa Aldir tidak sukakan dirinya. Dapat dikesan kerana setiap kali dia telefon, Aldir cepat-cepat mengelak kata sibuk. Facebook pula langsung Aldir tidak balas. Hem, sedihnya…

Previous: 1. MERAJUK.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh