6. CEMBURUKAH?

6

PAGIminggu cuaca cerah. Hanim masih bermalas-malas di atas katil. Bukan dia malas solat. Sebaik habis solat Subuh tadi, dia terus berdebum ke katil semula. Puas kakaknya berleter, dia buat pekak sahaja. Paling mudah dia letak earphone ke telinga. Pasang lagu dan mula terhangguk-hangguk.

Terasa pahanya dilepuk. Perit. Hanim terjerit. Kemudian muncungnya tajam terjuih marah campur sakit.

“Anak dara apa ni? Eloklah Aldir dah terminate kau ni!” leter kakaknya Hana.

“Kalau macam ini, mati kering anak orang tak cukup makan minum, bangunlah… tengok matahari dah senyum sinis tu pada kau Nim,” leter Hana.

“Iiii tak ada maknanya dia tu lagi lah! Sekali dia reject Nim, tiga kali Nim tae-kwando dia!” tepis Hanim sambil tercebik.

“Mulut aje cakap begitu. Hati boleh tipu ke?” tempelak Hana pula.

“Tak ada maknanya, jangan akak tak tahu, dialah antara manusia yang rugi. Betapa banyak pahala dia dapat kalau beri makan lebih kat Nim, ni dia dah reject Nim, amatlah rugi dia di akhirat kelak,” jawab Hanim penuh semangat pula buat Hana bulatkan mata.

“Heh, yalah tu!” cebik Hana pula.

“Bangunlah, jom tolong mak buat kerepek,” arah Hana.

“Hari ini hari malas sedunialah Kak Hana, jangan kacaulah!” tingkah Hanim lantas letak bantal golek ke mukanya.

“Amboi! Banyak cantik, belum termaktub lagi hari malas sedunia ya, bangun, bangun, bangun!” terus tamparan pedih Hana hinggap di paha Hanim sekali lagi.

“Sakitlah!” spontan Hanim bangun menggosok-gosok rasa perit di pahanya. Lalu diselak, sah merah di paha kuning langsatnya.

“Agaknya begini yang selalu akak buat kat anak murid akak ya, silap sikit kena lempang, sakit tau…” gumam Hanim. Muncungnya terherot-herot marahkan Hana.

“Anak-anak didik akak baik belaka,” tingkah Hana tidak mengalah.

“Tak baik pukul-pukul tau, esok bila dah kahwin asyik pukul-pukul suami pulak, dosa besar tau?” omel Hanim buat Hana cerlungkan mata.

“Jangan mengarutlah, bangun cepat, tolong mak kat bangsal sana… banyak pisang, keladi dan keledek kena uruskan tu,” leter Hana lagi.

“Mak ni pun satulah, kita dah kerja, tak payahlah penat-penat nak buat kerepek sebagai… dapat duit banyak pun bukan mak kuat makan pun,” gumam Hanim lagi sambil cuba rebah lagi. Mahu malas-malas di hari minggu.

Hanim ditarik oleh Hana lagi. Biar pun badan Hanim besar tetapi tenaga Hana kuat untuk membuat Hanim terduduk semula.

“Jangan nak mengada-ngada. Semua tu minat mak, macam kau minat baca novel. Tapi bila kau dah lesapkan sekian banyak novel tu siapa nak jawab? Siapa nak ganti? beratus modal akak bagi kat kau untuk beli novel tau, cepat tolong mak, mudah-mudahan mak bagi upah lebih kat kau,” sengat Hana.

“Itu bukan salah Nim, salah Aldir, dia yang kacau jiwa Nim sampai jadi lupa, nanti akak mintalah ganti rugi kat dia,” tingkah Hanim sambil tercebik.

“Salahkan orang pulak.” Bulat mata Hana menikam muka Hanim.

“Yalah, kalau dia tak datang ke pesta masa tu, tak jumpa dia, taklah jiwa kacau dalam hidup Nim melanda bagai ombak Tsunami,” tingkah Hanim selamba.

“Sudah tu, bangunlah, jangan banyak alasan. Tolong mak buat kerepek… dapat upah lebih nanti, ganti semua novel yang hilang tu, tak boleh harap, ingat dapat tanda tangan penulis, rupanya sebuah buku pun tak dapat nak lihat,” omel Hana lalu keluar dari bilik.

Hanim termanggu. Dia tongkat dagu berlapikkan bantal peluk di siku. Memang ralat hati kerana tidak dapat membaca novel yang telah dibeli. Termasuk buku agama yang lebih tebal daripada yang Aldir beli.

Laungan Hana dari luar mengejutkan rasa ingin menyambung malas Hanim. Dia segera bingkas. Capai apa patut untuk membersihkan diri. Dengan tuala menutup kepala dia pergi ke muka pintu. Dia mahu mandi di bilik air di luar rumah sebelah hulu. Bilik air di dapur juga ada tetapi di situ kecil. Tidak selesa baginya yang bertubuh besar. Jadi dia ikut pintu hadapan untuk ke sana.

Matanya bulat melihat seseorang di muka tangga. Dia tenyeh mata dengan belakang tangan, untuk yakin tidak bermimpi. Hana yang ada di situ tepuk bahu dan angguk tanda Hanim tidak bermimpi.

“Dia cari kau,” bisik Hana. Ketika itu Hana cuba mengecam orang di bawah sana. Namun gagal kerana belum pernah berjumpa selain hari ini.

“Nak apa?” tanya Hanim tanpa peduli keadaan dirinya yang masih berbaju kaftan dan tuala penuh di kepala.

Dia turun mendapatkan lelaki yang tidak lain tidak bukan adalah Aldir. Bagaimana Aldir tahu di sini rumahnya? Tanya Hanim dalam hati.

“Datang nak apa?” tanya Hanim lagi dengan selamba.

“Tak nak apa-apa,” kata Aldir serba salah ketika bertemu pandang dengan Hana di beranda.

“Nim, jemputlah tamu naik, barulah sembang,” peringat Hana serba salah.

“Buat pengetahuan awak, saya belum mandi pagi lagi tau… tapi dah solat Subuh, macam dulu-dulu awak selalu ingatkan saya pasal solat kat FB. Saya memang tak lupa,” lalut Hanim.

“Hanim…” panggil Hana penuh makna dan sudah mengerti orang itu pasti Aldir.

“Alah, akak pergilah bantu mak dulu, nanti lepas mandi mekap cantik, Nim datang tolong makan kerepek ya,” tingkah Hanim pula tanpa peduli tetamu yang masih terpacak di halaman dan memerhatikan gelagatnya.

Hana geleng kepala. Dia serba salah melihat Aldir yang kelihatan seperti berdiri tak jejak bumi mendapat layanan ‘istimewa’ daripada Hanim pagi itu.

“Jemputlah naik encik,” pelawa Hana.

“Biar betul Kak Hana, kita tak kenal siapa dia nak jemput naik, buatnya dirompak

rumah kita habis… lagipun di rumah kita ni mana ada orang lelaki kan?” tingkah Hanim cepat.

“Maafkan I, I tak bertujuan mengganggu, I nak pulangkan barang yang you tinggalkan di PWTC dulu,” Aldir campur tangan sambil pergi ke keretanya.

Hanim bulatkan mata merenung Hana. Hana tarik nafas entah membawa maksud apa pula.

“I tak boleh lama, banyak kerja,” kata Aldir setelah beberapa buah beg pindah ke tangan Hanim.

“Oh ye ke? Eloklah, saya pun tak boleh sembang lama-lama, banyak kerja nak buat hari ni, sampai mandi pun terlupa buat,” kata Hanim selamba.

“Tapi pelik, macam mana tahu rumah saya kat sini?” tanya Hanim ala mengejek.

“Alamat kat Facebook you,” jelas Aldir ringkas buat Hanim rasa bodoh menyoal Aldir tadi. Kenapalah dia lupa pula? Sedangkan lama mereka berkawan dan sembang, pastilah hal alamat bukan masalah buat Aldir.

Hana yang masih berdiri di beranda geleng kepala dengan tingkah Hanim yang langsung melenyapkan rasa malu dan rindunya terhadap Aldir. Sedangkan sebelum ini Hanim begitu rindukan Aldir. Kini macam musuh pula diperlaku oleh Hanim.

“Apa yang bising-bising tu?” dari dalam rumah mara suara emak mereka. Belum bersambung ayat lain dia terlihat lelaki bujang di halaman dan anak-anak gadisnya bersusun di beranda dan muka tangga.

“Siapa ni?” tanya Puan Maimun serba salah.

“Mak cik, apa khabar? Sihat…” sapa Aldir penuh sopan pula.

Terkejut Hanim melihat budi bahasa Aldir bukan main lembut sopan lagi. Padahal lelaki itu telah banyak menyakitkan hati anak kepada perempuan itu. Hanim tercebik. Mengada-ngada Aldir. Bermuka-muka sopan depan orang tuanya. Tidak serius seperti dia pernah kenal. Kalau dengannya Aldir serius macam musuh bertemu musuh lama. Pada emaknya bukan main lagi sopan-santun budi bahasa Aldir. Ada udang di sebalik batu barangkali. Tadi dia lihat mata Aldir lunak merenung kakaknya.

Hah! Dia maklum sudah, Aldir pasti suka perempuan cantik seksi macam Hana. Kerana dulu masa bersembang di Facebook Aldir ada kata dia suka perempuan cantik dan seksi. Malah Aldir pernah teka Hanim cantik dan seksi walaupun Hanim nafikan. Sah Aldir terpaut pada Hana pula.

Hati Hanim ditumbuk cemburu tetapi Hanim malas layan. Buang masa dan tenaganya sahaja. Cemburu nantilah dulu. Dia mahu mandi dulu. Panas tiba-tiba. Hanim terus berjalan ke bilik air tanpa kata permisi atau berterima kasih kepada Aldir kerana telah sudi menghantar sekian banyak buku yang hilang tempoh hari.

Dari angin yang membawa, terdengar Aldir dipelawa sopan naik ke rumah. Itulah sifat Puan Maimun, peramah dan baik hati selalu. Pasti kenyanglah Aldir makan nasi lemak dan kuih-muih emaknya. Hanim tercebik muak sambil capai berus gigi.

Entah kenapa dia tidak teruja pula untuk ambil peduli pada Aldir yang selama ini digilai dan dirindui setengah mati!

“Dia dah hina aku…” gumam Hanim sambil menggosok gigi.

“Macam dia lawa sangat!” gumam Hanim lagi.

“Tapi hati ini betulkah kau dah benci dia?” soal Hanim, lantas campak berus gigi ke

singki pula.

Hanim segera mandi dengan baju-baju sekali. Dalam kepala terfikir, apalah yang disembangkan oleh Aldir pada emaknya dan apa pula emaknya komen perihal dirinya pada Aldir. Risau juga hati Hanim. Malulah kalau Aldir dapat tahu banyak rahsia dirinya daripada emaknya.

Hana, pasti Aldir sudah jatuh hati. Jika tidak, masakan sudi naik ke rumah. Tadi kata mahu segera pergi. Ada urusan penting bukan main lagi. Ngongoi hati Hanim bertalu-talu sampai lupa dia mandi entah berapa lama sehingga hampir habis air dalam kolah digayungnya.

Ketika naik ke rumah dia fikir Aldir sudah pulang. Rupanya tidak. Aldir masih bersembang ramah di anjung rumah dengan emaknya. Mujur dia sudah pakai baju dan tutup kepala dengan tuala. Kalau dia naik berkemban macam selalu… habislah dia Aldir nampak banyak bahagian fizikalnya. Bukan dia tidak nampak, biarpun mulut bersembang dengan emaknya tetapi mata Aldir sempat mengerlingnya tadi.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh