14. MENDUNG.

14

YANG indahnya bila hati tidak dilukai dan disakiti… tulis Hanim ke kotak chattingAldir.

Dia teragak-agak untuk melepaskan ayat tersebut kepada Aldir. Apa kata Aldir nanti? Kalau dibalas mudah cerita, kalau dia diam sahaja, bermakna dia yang akan tambah berperang dengan perasaannya sendiri.

Cuma rasa tidak puas hati kalau terus diam begitu sahaja. Lantas ditekan butang hantar. Sama ada tuannya online atau tidak itu sahaja yang jadi penghadang untuk sampai ke mata tuannya. Apa pun, yang pasti ayat itu telah dikirimkan.

Tiba-tiba Hanim rasa biasa pula. Tidak berdebar-debar menanti macam tadi. Mungkin hatinya telah sebu dengan persediaan pasrah. Apa pun Aldir mahu kata biarlah. Kalau perlu balas akan dibalas kembali.

Siapa yang dah sakit dan lukakan hati you? terlompat ayat begitu.

Hanim mula terkejut, kemudian tercebik. Dia biarkan sahaja, rasanya tidak perlu dibalas. Dia sibuk membaca novel pula. Tidak lama kemudian terdengar isyarat mesej masuk. Dia terus biar. Kemudian berkali-kali pula. Lalu dilihat.

Kenapa diam? Jawablah… sekarang macam tak sudi aje sembang dengan I…

Tak ada idealah, tadi tu saya tersalah tekan, saya sebenarnya nak belajar tulis novel, Hanim beri alasan.

Novel lagi, komen Aldir macam tidak setuju.

Tak kisahlah awak suka ke tidak, yang penting saya suka, tulis Hanim.

Aktiviti cuma baca novel, tulis novel aje? Al-Quran ada baca? Sudah solat Isyak? sindir Aldir.

Saya kan, hal agama tak suka tunjuk-tunjuk orang apa saya buat, bimbang riak, habis pahala… hal baca novel tu tak apalah saya cakap,tingkah Hanim pula, bengang.

Kita saling ingat-mengingati, sebab kita semua akan mati, komen Aldir pula.

Yalah, ingat-mengingati dan sakit-menyakiti, tembak Hanim pula entah kenapa bertukar geram membaca ayat Aldir.

Kenapa ayat marah pulak?

Dahlah, jangan kacau saya, saya nak tidur dah, putus Hanim.

Ada pulak gitu, bukankah you yang kacau I tadi, tingkah Aldir pula.

Hanim terus diam. Betulkah dia kacau Aldir? Hanim menafikan terus. Aldir yang sering kacau dia, iaitu sering kacau hati dan ketenteramannya. Jadi, bukan salah dia kalau terhantar ayat pada Aldir. Tujuannya untuk melepaskan perasaan yang tidak enak di dada. Itu sahaja. Kenapa Aldir tidak mahu faham? Pujuk atau apa sahajalah yang boleh mendamai dan membahagiakan hatinya.

Apa tujuan balas mesej saya? Nak tanya hal kakak saya ke? terjah Hanim, geram.

Ooo you ada kakak? laju Aldir balas.

Yalah, yang awak kata adik saya tu hari adalah kakak saya.

Oh begitu, ingat you kakak dia, komen Aldir tanpa mengira perasaan Hanim.

Kakak kesayangan saya, hanya untuk orang yang baik hati sahaja, tekan Hanim tambah geram.

Heheh… I baik hati kut, tulis Aldir.

Dahlah, saya nak out ni, jangan kacau saya lagi, marah Hanim.

Tiba-tiba kakaknya masuk. Belum sempat menutup segala sembang, kakaknya sudah terbaca tulisan-tulisan di situ. Hanim terkedu tanpa kata. Untuk seketika mereka terdiam tanpa sebarang komen.

“Kenapa libatkan akak ni?” Hana bersuara sambil menepuk bahu Hanim.

“Apa pulak?”

“Itu?” juih Hana ke muka lapetop.

“Hem, payahlah nak cakap, baik Nim cakap sahaja,” terus Hanim tutup lapetopnya. Kemudian berpaling menghadap Hana yang bulat mata mengharap penjelasan.

“Aldir suka akak, perempuan yang Nim cakap tu akaklah,” kata Hanim.

“Oh libatkan orang pulak,” juih Hana tidak puas hati.

“Nim tak libatkan akak, dia yang mahu akak terlibat, dia minat akak masa pertama kali datang rumah kita tu hari,” jelas Hanim mendatar, harap kakaknya mengerti walaupun hatinya sangat terhiris.

“Jadi akaklah perempuan yang dah buat kau kepanasan siang malam tu?”

“Tak marah akak, cuma rasa diri ini kerdil sangat, walaupun Hanim tak kerdil…” ratap Hanim pula buat kakaknya terseringai.

“Takat minat biarlah, jangan bimbanglah akak takkan kacau hak kau,” damai Hana pula buat Hanim terharu dengan kemulusan kakaknya. Cuma bila memikirkan Aldir, apa pula? Rasa suka memang tidak boleh dipaksa datang dan pergi. Buat Hanim rasa terjeruk hati kembali.

“Minat itulah memulakan segalanya,” komen Hanim sambil renung kakaknya yang bermuka selamba sahaja malam itu.

“Kita ada ini, kan?” tuding Hana ke kepalanya.

“Boleh pilih mana baik dan tidak, mana yang boleh sakitkan hati orang atau tidak. Kita adik-beradik dah lama, takkan kerana orang yang baru muncul menyebabkan hubungan adik-beradik kita jadi kacau,” khutbah Hana pula.

Hanim menarik nafas. Soalnya bila Aldir minat kakaknya tentulah dia mahu kakaknya. Dalam hal ini di manalah dirinya dalam carta hati dan fikiran Aldir? Adakah Aldir sudah buang dirinya semudah itu?

*****

PERMULAAN yang baik bakal menghasilkan akhiran yang baik, tapi permulaan kita yang dulunya baik menemukan pertengahan yang konflik dan bagaimana dengan akhirannya? tulis Hanim dan dihantar terus kepada Aldir.

Apa yang you melalut ni? tingkah Aldir.

Garangnya.

Siapa garang?

Awaklah, langsung tak romantik macam dulu-dulu.

Eh sudahlah, banyak cakap pulak. Mulut macam longkang penuh dengan tong sampah. Kirim Aldir pula.

Terkejut bukan main Hanim. Tidak sangka Aldir akan tulis begitu untuknya. Berderup dan berderai jantung hati Hanim. Terluka dan pilu hingga tanpa sedar membuakkan air mata pilu. Tidak sangka Aldir sanggup tulis ayat kejam setega itu.

Sampai hati kata saya begitu, apa salah besar saya kat awak?

Ada I kisah?

Tiba-tiba aje marah-marah, dulu tak begitu pun, ayat Hanim meratap sedih. Harap Aldir mengerti.

Pergi sanalah, tak payah nak jiwang karat you tu, syoh syoh! Halau Aldir.

Hanim pejamkan mata. Cuba kuatkan hati. Dia yang mulakan tadi. Entah kenapa tidak pernah serik untuk berhubung dengan Aldir. Meskipun dia tahu Aldir tidak sukakan dirinya lagi. Meskipun dia berazam untuk melupakan Aldir.

Namun sukarnya untuk dia menerima situasi itu. Rasa indah berchatting dengan Aldir sering mengajaknya untuk menyapa lelaki itu. Tadi terlepas lagi ayat tanda ingin bersama menyelami perasaan Aldir. Lihatlah apa yang dia dapat. Tiba-tiba sahaja Aldir memaki hamun dirinya. Sungguh sakit tidak terhingga rasanya.

Mungkin saya boleh terus buat hal saya. Cuma berilah sebab kenapa awak tiba-tiba jauhkah diri daripada saya dan sekarang benci pada saya? Hanim terus beranikan diri untuk bertanya.

I tak ada masa, you faham tak? I dah bagi tahu I sibuk, kenapa tak faham-faham? masih marah nada ayat Aldir.

Kerana sibuk awak terus jauhkan diri dari saya? Atau kerana awak memang mahu jauh diri dari saya sebab saya ini tak memenuhi cita rasa awak? tingkah Hanim terus meluahkan persoalan yang tenat di dadanya.

Tahu tak apa, balas Aldir.

Berderup jantung Hanim lagi. Rasa terhina dan terlontar ayat geram. Kejamnya awak… air mata Hanim mengalir laju. Pilu dan bernanah di jiwa.

Tidak ada balasan daripada Aldir. Lama Hanim menanti. Nampaknya Aldir sudah pergi. Pergi kerana terlalu sibuk di malam buta atau sedang sibuk membancuh ayat jiwang lagi entah kepada siapa rakan Facebooknya. Begitu telahan fikiran Hanim.

Hanim seka air mata yang mula mengalir. Dia berazam untuk jadi kuat. Kuat hati untuk melalui apa pun jua dugaan hidup. Jam baru pukul 9.00 malam. Masih awal. Dia tutup lapetop dan bergegas ke luar. Terus ke dapur mencari emaknya. Di situ emaknya sedang sibuk menghadap segala bahan kuih untuk jualan esok pagi.

“Kak Hana mana mak?” tanya Hanim cuba menjadi biasa-biasa tanpa mahu peduli apa hatinya sedang rasa kini.

“Dalam bilik dia kut,” sahut emaknya sambil mengelim karipaf terakhir.

“Nak Nim tolong?” tanya Hanim.

“Soalan ganjil bunyinya tu, kan ke hari-hari biasa tolong,” tingkah emaknya pula sambil menyusun pula beberapa jenis lepat ke dalam kukus.

“Lepat labu sedap, baik untuk kesihatan, dalam syurga orang makan labu kan mak?” komen Hanim pula.

“Ya.” Sahut emaknya.

“Lepat pisang, dalam ada inti kelapa parut letak garam pun sedap kan mak?” tanya

Hanim pula.

“Ya.” Sahut emaknya lagi.

“Lepat ubi pun sedap, tapi ada orang tak boleh makan ubi, sebab berangin kan mak?”

“Ya,” sahut emaknya lagi.

“Lepat orang, kalau dimakan, buat hati kita jadi hilang kan mak?”

“Ya… apa benda soalan kamu ni Nim?” teruja dengan anaknya buat Puan Maimun yang tadi leka dengan kerja, mendongak dan intai muka Hanim.

Hanim tidak menjawab. Tangannya sudah mengacau pusing-pusing pada adunan lepat labu yang kuning menyerlah dalam besen. Puan Maimun geleng kepala. Capai sudu di tangan Hanim dan isi adunan labu ke atas daun pisang.

“Kalau ada masalah nak cerita kat mak, cakap aje, bukan mak tak ada idea nak bagi pandangan,” komen Puan Maimun.

“Tak adalah.”

“Kalau tak ada, takkan perangai pelik tapi benar tu, cakap meraban-raban,” Puan Maimun angkat muka melihat wajah Hanim yang tunduk tetapi jari Hanim sudah menyudu kelapa parut untuk disuap ke mulut.

“Ihh… budak ni katakan,” rampas Puan Maimun sebelum sempat masuk ke mulut Hanim.

“Cacing nanti,” kata Puan Maimun.

“Habis, semua orang sudah diserang cacinglah mak, bila mak letak kelapa dalam kuih itu semua, bila mak buat nasi lemak letak kelapa?” laju Hanim ajukan pertanyaan berupa tidak puas hati kepada emaknya.

“Dah dimasak, cacing pun seram,” komen emaknya pula.

“Budak montel itu apa kisah mak, cacing pun seram kat dia,” suara mengusik mara ke arah mereka.

Dua pasang mata terarah pada suara yang datang. Kemudian Puan Maimun geleng kepala.

“Tak usah buat ayat menyakitkan hati orang Hana, awak tu cikgu, patutnya ayat yang keluar dari mulut biar ayat membina dan baik-baik aje,” peringat Puan Maimun kesal.

“Itu juga cara untuk bagi motivasi kat orang mak, cakap baik-baik bukan dia nak ikut, kalau kita asyik perli dia montel, mudah-mudahan ada kesedaran untuknya menguruskan badan,” tingkah Hana pula lalu duduk bersila di depan besen adunan lepat ubi pula.

“Tahulah orang gemuk, tak macam akak…” rajuk Hanim.

“Tahu tak apa,” tingkah Hana selamba dan capai daun pisang untuk membungkus lepat ubi pula.

“Bila ada kekurangan diri, tentu rasa mudah rendah diri, jadi cubalah perbaiki diri,”

tambah Hana lagi sambil lenyek adunan atas daun pisang supaya nipis dan leper.

“Soalnya tak mudah,” tingkah Hanim.

“Nak sesuatu yang bagus memang tak mudah,” tingkah Hana pula sambil membungkus secara menggulung daun pisang, lipat hujung kanan dan kiri lalu disusun ke dalam kukus.

“Apa sahajalah korang bertingkah kata ni?” tegur Puan Maimun.

“Isu badan dia besar mak, ada pakwe pun lari mungkin kerana badan dialah, kemudian dia cemburu pulak kat Hana, konon pakwe dia dah suka kat Hana,” jelas Hana sambil lihat Puan Maimun dan Hanim silih berganti penuh serius.

“Itu memang betul Kak Hana,” pertahan Hanim. Dia yang rasa tentulah dia lebih tahu apa yang bergolak dalam masalah perhubungannya.

“Cuba kalau kau slim macam akak, tak timbul masalah kan?” singgul Hana pula.

“Apa pun juga masalahnya, mak paling tak berkenan kalau bab sambar menyambar hak orang ni, dan tak payah direbut-rebutkan jodoh yang belum tentu jadi hak kita,” komen Puan Maimun pula.

“Hana tak rebut pakwe dia mak, dia aje yang takut sendiri,” tingkah Hana.

“Andai betul apa Nim kata, bagaimana Kak Hana?” tingkah Hanim serius pula.

“Dahlah Hanim, kau tu muda lagi, baru 21 tahun… serah aje jodoh pada Tuhan kalau dah kemelut sangat,” damai Puan Maimun pula lalu bangun membawa loyang kukus ke dapur.

Hana angkat kening ke arah Hanim. Hanim tunduk sambil lepaskan nafas sengal.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh