Home Novel Cinta SHIA
Bab 7


Pagi-pagi lagi nenek Jah telah duduk di pangkin dapur. Beberapa besen besar yang dipenuhi dengan herba-herba hutan tersusun di depannya. 

Shia baru sahaja selesai bersarapan. Sambil mengenakan kasut sekolah mulutnya riuh menegur.

"Ada orang baru bersalin ke Nek?"

"Ha ah, Makcik Hani baru dapat anak sulung. Sikit lagi datanglah suaminya menjemput nenek."


Daun inai , daun limau purut, daun pandan, daun lemuni, daun mengkudu, serai wangi dan beberapa lagi daun hutan sedang dipilih dan diasingkan. Kebanyakan pokok-pokok hutan itu tumbuh di sekitar halaman rumah sahaja.

"La, kenapa nenek asingkan daun-daun tu? Ramuan tu semuanya nak dibuat air rebusan mandi, kan? Bukannya nak buat air minum. Masukkan ajelah semuanya."

Nenek Khadijah menjeling cucu kesayangannya.

"Ubat yang terbaik bergantung pada ramuannya. Kalau kita pilih bahan yang terbaik, InsyaAllah, kesannya juga cepat. Macam tu juga dengan hidup kita. Kenalah pilih yang baik-baik juga. Perangai yang kurang baik tu buang jauh-jauh. Barulah Allah sayang."

Shia tayang sengih. Neneknya memang mudah memberi nasihat.


"Habis tu Nek, kalau kawan yang tak baik pula macamana? Kena buang juga ke macam daun-daun yang buruk tu?"

"Haah, itu lain. Kalau kelaku tak baik tu datangnya dari diri kita, kenalah buang. Tapi kalau datangnya dari orang lain, kenalah nasihat dia baik-baik. Macam yang nenek selalu buat. Tiap-tiap hari nenek ingatkan Shia, biar jadi orang baik, kan?"


Anak mata Shia bergerak ke atas. Sekali dengan muncung mulutnya. Panjang ke depan.

"Kalau dah nasihat tapi tak baik-baik pun macamana?"

Jari-jemari Nenek Jah masih ligat menyusun daun-daun hijau di dalam guni. Bibirnya sedikit terjongket.

"Hidayah itu kerja Tuhan, sayang. Tapi nasihat menasihati itu kerja manusia. Kalau dah puas beri nasihat perangainya masih tak berubah, Shia kena tambah usaha lagi."

"Nak kena buat apa lagi Nek?"

"Berdoa. Doakan baik-baik untuk dia. Doakan agar kawan Shia berubah, dapat petunjuk Tuhan."


Shia terdiam sebentar sebelum mencapai tangan Nenek Jah. Bau wangi melekat di deria baunya tatkala tangan tua itu dicium.


"Jalan baik-baik. Belajar rajin-rajin." Nenek Khadijah melaung dari pangkin.

"Ya Nek!" jeritan cucunya kedengaran dari jauh.


Hari persekolahan selalunya damai. Walaupun bergelar ketua kelas, Shia masih tidak diperdulikan. Rakan satu kelas hanya akan menegur jika ada perkara yang mustahak sahaja. Jarang benar sapaan girang menyambut kehadiran gadis kecil itu. Akan tetapi hari ini, Shia bukan sahaja rasa tidak diperduli, malah disisihkan.


Satu kelas dijemput meraikan hari jadi Walid kecuali Shia. Majlis kecil-kecilan itu di adakan di bucu kantin. Sorak dan tepukan tangan bergema dari situ. Lebar benar senyuman Walid ketika dia membelah kek yang diselaputi coklat tebal. Shia hanya menelan air liur yang tak putus-putus terkumpul di dalam mulut lalu beredar. Langkahnya perlahan menuju ke hujung padang. Pokok mangga yang semakin tinggi menjulang menjadi tempatnya berlindung dari panas jua menjadi teman buat melepas keluhan. 


Dah beberapa hari Shia tak pergi ke kantin. Hanya dengan melintasi tempat itu sahaja sudah buat air liurnya kecur. Itu belum lagi memandang beraneka juadah dan makanan yang dijual dan terhidang di dalam bekalan makanan rakan sekelas. Selalunya Nenek Jah bekalkan biskut kering empat segi. Kadangkala Nenek Jah terlupa nak beri duit belanja atau bekalan makanan seperti hari ini dan hari-hari sebelumnya. Mahu tak mahu terpaksalah Shia telan sahaja bekalan air kosongnya. 


"Assalamualaikum, Shia." 


Suara lembut menyapa Shia. Cikgu Rahimah merapati anak murid kesayangannya. Shia jarang sekali ada masalah dengan pengajarannya. Hanya sekali diajar terus anak itu ingat.


"Wa'alaikumussalam Cikgu."


Manisnya Cikgu Rahimah berbaju kebaya labuh dengan padanan tudung berwarna sedondon. Wanita itu menghulurkan tangannya. Dua bekas makanan dipegang kemas. Meskipun tak boleh terbuka luas, Shia pasti matanya nampak besar ketika itu. 


"Cikgu ada masak kek red velvet malam tadi. Nah, satu bekas untuk Shia. Satu lagi... "

Cikgu Rahimah malu-malu nak menyambung kata.

"Tahu. Untuk Ustaz Rafei."

Lebar senyuman Cikgu Rahimah mendengar nama lelaki itu disebut. 

"Petang nanti masa mengaji Al-Quran, Shia bagi pada ustaz."


Shia telan air liur. Bekas makanan di tangan dibelek-belek. Pandangan matanya penuh pengharapan ketika berkata-kata.

"Boleh Shia terus makan kek ni Cikgu?"


Mata anak itu mengingatkannya kepada mata kucing-kucing terbiar yang sering mencari sisa makanan di belakang rumahnya. Walaupun kelaparan binatang itu pasti akan memandangnya sejenak sebelum membaham apa yang dia lempar. Hati berpuput sayu. Cikgu Rahimah tahu latar belakang ekonomi penjaga anak muridnya itu. 

"Makanlah Shia. Cikgu letak banyak kek tu. Kalau ada lebih, nanti bagi Nenek Khadijah rasa sikit."


Shia tak tunggu lama. Ingatan terhadap kek coklat Walid segera hilang sebaik sahaja kek gurunya itu masuk ke dalam mulut.

"Sedapnya kek ini, Cikgu."


Suka benar hati Cikgu Rahimah melihat mulut kembong Shia. Sambil itu, dia cuba mencungkil rahsia.

"Ustaz Rafei garang tak?"

Meskipun reja-reja kek masih di dalam mulut, Shia tetap menjawab.

"Garang macam harimau!"

Wajah manis Cikgu Rahimah sedikit tegang. Shia tersengih-sengih. Sengaja dia memancing kata. Nak tengok reaksi cikgunya itu.

"Itu kata kawan-kawan mengaji yang lain la. Shia suka Ustaz Rafei. Dia baik macam pari-pari dalam buku cerita tu."

Barulah berseri semula muka Cikgu Rahimah.

"Aik! Ada ke pari-pari lelaki? Dalam cerita dongeng semuanya perempuan."

Shia ketawa kuat.

"Kalau macam tu, ustaz seorang je la pari-pari lelaki. Pari-pari yang kacak."

Kata-kata Shia disambut deraian ketawa yang panjang dari Cikgu Rahimah.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.