Home Novel Cinta SHIA
Bab 43

Setelah jelas Sang Raja berpaling daripada tawarannya, Akhtar mula bertindak. Tenang sahaja dia berlari anak. Akhtar dapat melhat pegangan pedang musuh semakin kejap. Mereka telah bersedia menghadapinya. Cuma mereka tidak bersedia dengan cara dia berhadapan lawan.

Satu jentikan dikenakan pada mini pedang yang bergantungan bak pendulum pada rantai hitamnya. Serakan kemilau cahaya ungu terpancar dari buah rantai itu. Sebaik sahaja cahaya itu menghilang, sebilah pedang panjang telah tergenggam di tangan Akhtar. Akhtar lajukan larian sambil menghumban pedang Setia itu ke hadapan. Pantas kedua tapak tangan menepuk sisi tumpul besi itu. Satu lagi serakan cahaya ungu muncul. Pedang Setia itu menghasilkan pendua dari senjata berlainan jenis. Katana yang terhasil disambar dengan tangan kiri manakala Pedang Setia erat dalam genggaman tangan kanan.


Kini, kakinya sudah tidak jejak tanah. Mantel yang mengembang mengangkat tubuh tinggi. Sebentar sahaja mata musuh-musuh yang terbeliak beserta mulut yang terlopong luas singgah di pandangan. Setelah itu kesemua kepala itu tergolek di lantai terpisah dari badan. Katana dan Pedang Setianya berpesta darah. Sebaik sahaja kaki mendarat di hadapan tangga singgahsana, beberapa lagi musuh tumbang terkena hujung bilah kedua senjatanya. Akhirnya hanya tinggal dia dan Sang Raja. Akhtar melepaskan katana. Bilah melengkung itu hilang sebaik sahaja mencecah lantai. 


"Tuanku mahukan keadilan. Nah! Aku berikan maksud keadilan menurutku. Satu senjata melawan satu."


Mata Sang Raja meliar. Dia menyeringai sebelum menyerang. Dentingan demi dentingan pedang bergema seirama dengan asakan demi asakan yang diterima Akhtar. Kekuatan yang dimiliki lawan setanding dengannya. Akhtar dapat merasakan semua itu. Oleh yang sedemikian, sedikitpun dia tidak melonggarkan tumpuan.


Tatkala wajah mereka saling berhadapan dengan mata pedang lawan masing-masing, Akhar berpusing dan menujah sikunya terhadap lawan. Sebelum Sang Raja terundur, tendangannya juga sempat mengenai belakang Akhtar. Jarak kedua-dua mereka menjauh. Akhtar yang terhumban hadapan  membuat balik kuang di udara beberapa kali. Dia sempat mengimbangkan tubuh, mendepakan kedua tangan sebelum mendarat dengan sempurna di atas peterana. Lawannya sedang mengurut-ngurut rusuk di tengah-tengah Balairong.


"Tsk... Tsk... Gahnya hanya di mata. Selesanya tiada. Bagaimana bisa tuanku berlama-lama bersemayam di sini." Peretana diduduki. Tangan direhatkan atas pemegang berkepala ular. Bibir Akhtar terpamer senyum sinis.


"Itu adalah kerana tempat itu sememangnya tidak layak untuk tuan hamba. Apa benar dikau bergelar Sang Dewa? Kedengaran seperti jenaka."

Sang Raja membuak ketawa.


Bingkas Akhtar bangun. Dari pandangan sisi, kepala ditelengkan sedikit mengukur kedudukan lawan dengan tepat. Dalam satu gerakan pantas, tendangan padu dihala mengenai peterana. Binaan daripada saduran emas itu tercabut dari panca prasada dan melayang laju menuju tuannya. Terkejut Sang Raja. Pedang dilepaskan lalu kedua belah tangan dihala ke hadapan menahan hentakan pancalogam tersebut. Tubuhnya terselamat walaupun terseret ke belakang. Kelegaan Sang Raja hanyalah sementara. Tak semena-mena satu daya yang lebih kuat di peterana yang telah ditahan tadi telah menolak tubuhnya deras ke belakang sehingga tubuh berlaga ke dinding. Dia jatuh terduduk.


Akhtar hanya menggeleng dan tersenyum. Tendangan yang pertama itu hanyalah umpan. Daya tujahan mata pedang yang dikenakan ke atas logam itu adalah sasaran utama. Laju Akhtar meluncur ke hujung balai. Tangan kekarnya mencekak tengkuk lawan lalu diangkat tinggi. Kaki Si Raja tergapai-gapai. Mulutnya terbuka mencari lebih udara. Malangnya hanya cecair hijau yang mencucuri tekaknya. Serentak botol kecil dan tubuh lawan dilepaskan. Mata Sang Raja terpejam dan celik menahan kesakitan yang mula menjalar di mulutnya.


"Tiada bezanya manusia, dewa mahupun mambang selagi berajakan nafsu. Itulah sehina-hina makhluk."


Kepala Sang Raja diusap lembut. 

"Siong itu akan tertanggal nanti. Begitu juga dengan kuasa yang melingkarinya. Tuanku masih punya masa untuk bertaubat."


Akhtar menuju ke arah rakan-rakan yang senantiasa bersedia. "Mari kita tinggalkan tempat ini."


Satu persatu mantel di tubuh kembang dan menerbangkan mereka tinggi.


"Ayuh, Anaga. Tinggalkan segala kesedihanmu di sini. Gadis istana itu sudah tiada lagi."


Anaga yang masih bertelut di situ bersujud lama. Lantai tanah dicium dengan penuh syahdu. Matanya merah tatkala tubuh ditegakkan semula. Tanpa memandang Akhtar, lelaki itu berpesan, "Kuasa darah itu lebih kuat daripada apa yang kita ketahui, Akhtar. Ia meninggalkan sepi di hatiku. Bayangan perempuan itu masih mengekoriku." 


Previous: Bab 42
Next: Bab 44

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.