Home Novel Cinta SHIA
Bab 18

Papa awak dan daddy saya adik beradik. Jadi, kita sepupu."

Soalan yang ke 39 dah berjawab. Ada berbaki 961 lagi soalan bakal dijawab. Di kala itu dah terbit rasa menyesal kerana ikrarkan janji semalam walaupun pagi itu seawal bangun tidur Nedim dah bersedia dari segi mental. Dia juga telah bersedia andai dibelasah hari ini.

"Silakan. Awak boleh tanya apa sahaja." 

Semua soalan sebelum ini berkisar nenda sahaja. Ini soalan Shia yang pertama perihal orang tuanya.

"Siapa abang siapa adik?"

"Papa awak sulung. Daddy saya bongsu."

"Agak-agak, apa yang telah berlaku sampai saya dipelihara oleh orang lain?"


Jari Nedim bermain-main di dagu. Wajahnya licin tanpa misai dan janggut.

"Ini teori sayalah. Sejarah cinta arwah papa dan mama Shia ni macam filem P. Ramlee, Ibu Mertuaku. Nenda ada calon dia sendiri. Papa Shia pula pencinta yang setia. Jadi, perkahwinan diteruskan tanpa restu nenda. Nak mudahkan rintangan, mereka terpaksa... " 

Tak sampai hati pula nak habiskan ayat walaupun wajah Shia tenang sahaja, tak macam semalam. Soalan masih berterusan.

"Hubungan nenda dengan arwah mama?"

"Dah berbaik. Arwah Mama Shia adalah menantu kesayangan nenda mengalahkan bonda saya." 


Shia angguk-anggukkan kepala. Selamba sahaja dia duduk di tanah sambil bersandar di tiang pangkin. Tangannya melakar sesuatu di tanah dengan kayu.

"Awak tahu daripada mana cerita papa dan mama tu? Dari Nenda?"

Nedim ketawa kecil. Kalaulah hidupnya semudah itu, semudah sesi soal jawab Shia dan dia, pasti hatinya dah tenteram tak seperti sekarang.


"Nenda tak akan buka mulut pasal hal itu. Tapi tak la susah mana nak tahu semua gosip dalam keluarga. Lepak aje kat dapur semasa jamuan keluarga. Makcik-makcik Bawang ramai suka bawa mulut."

Jawapan itu berjaya membuatkan Shia mengangkat wajah. Dari awal pertemuan mereka, gadis itu asyik tundukkan kepala. Barangkali dia malu dengan wajahnya.

"Ada Makcik Bawang ye dalam keluarga kita?"

Shia tahu, perkataan kita berbunyi janggal di pendengaran dia dan Nedim. Namun kuat pula keinginan ingin tahu.

Kali ini Nedim ketawa kuat. Berlebih-lebihpun ada.

"Untie dan Uncle kita, kalau sesekali dapat berkumpul memang riuh. Nak tahu hal harta, saham, golf, perniagaan, dusun,  boleh lepak di ruang tamu atau anjung. Kalau nak tahu gosip hangat dua tiga pupu, tentang anak-anak mereka, ringankan tulang membantu mereka di dapur. Alah... manusia kan semua macam tu. Kitapun sama. Sesekali bertemu kawan-kawan lama macam-macam cerita yang terkeluar. Tak begitu Shia?"


Seharusnya wajah itu manis mengiyakan kata-kata Nedim tatkala mengenang rakan-rakannya sendiri. Akan tetapi Shia nampak terkedu dengan senyuman yang dipaksa. Nedim juga terdiam lama. Setelah memasukkan dirinya ke dalam kasut Shia, dia nampak realiti yang dilalui oleh sepupunya itu. Senyuman hambar Shia tadi mungkin bermaksud ketiadaan pengalaman berborak sehingga larut malam dengan rakan-rakan sebayanya.


Soalan-soalan Shia terhenti di situ. Nedim cuba stabilkan kembali emosi mereka. Kelak dia harus lebih berhati-hati lagi dengan lidahnya. Laluan hidup gadis itu tak sama seperti remaja lain.

"Soalan tentang saya tak ada ke?" 

Nedim cuba ketawa. Sedikit lagi dia boleh jadi badut. Cuba menggembirakan hati orang lain dengan ketawa yang dibuat-buat. Tapi cubaannya menjadi. Senyuman hambar tadi telah ada rasa. Lengkung bibir Shia naik lebih tinggi. Mata cacatnya juga nampak tersenyum.

"Tak perlu. Saya dah dapat apa yang saya nak tahu."

Jawapan yang tersembunyi di dalam jawapan. Nedim tak puas hati. Dia nak tahu apa maksud sebenar kata-kata itu.

"Masih banyak tentang saya yang awak patut tahu. Wajah yang kacak ni menyimpan seribu rahsia, tahu!"


Kali ini Shia ketawa. Sah, dia ada bakat jadi badut. Nedim biarkan sahaja nada gembira itu berdendang lama-lama. Ketawa Shia bunyi tertahan-tahan. Mungkin kebiasaan itu dah sebati dalam diri gadis itu. Biasa menahan perasaan, biasa memendam rasa.

"Saya nak tahu hati awak sahaja. Itu sudah cukup."

Ayat bersahaja Shia menangkap perhatian Nedim. Tak siapa pernah perduli tentang hatinya. Arwah daddy dan bonda sibuk dengan hati mereka yang berantakan. Ketika kedua orang tuanya bercerai, dia turut merasa tempias. Dua dewasa itu sibuk mengubati hati masing-masing. Dia dah tahu erti terpinggir dari usia kecil lagi. Nedim membongkokkan sedikit tubuh. Itu menjadikan kedudukan dia dan Shia selari dan rapat. 

"Apa yang awak tahu tentang hati saya? Kenal saya pun tidak?"

Nedim tahu nada itu menjengkelkan. Tapi dia tak perduli.

"Saya tahu hati itu tulus dan murni mengasihani nenda. Itu sahaja yang saya perlu tahu tentang awak."


Memang patut dia terkasima mendengar ucapan sebegitu. Ah, gadis itu bagaikan bilik ajaib. Satu pintu akan membawa kepada pintu yang lain. Setiap bukaan, mempesonakan . Nedim simpulkan senyuman.

"Dan saya amat-amat bersyukur atas ihsan awak itu. Sekurang-kurangnya saya tak perlu risaukan nenda."

Puas diasak dengan persoalan, dia mahukan peluang yang sama.Nedim mencuba nasib. 

"Sebenarnya saya tunggu awak bagi peluang saya bertanya pula. Tapi saya tahu, awak mesti tak bagi punya."

Shia mengangguk laju sambil ketawa. Pemuda itu semakin pandai membaca fikirannya.


"Okey, kita buat macam ni. Kalau awak lihat muka saya sekarang, agak-agak awak, apa yang saya nak tanyakan tentang awak?"

"Sindrom Treacher Collins. "

Nedim kelihatan terpinga-pinga dengan perkataan itu.

"Itu jawapan, bukan soalan. Awak boleh google maksudnya nanti. Jangan takut, ia tak berjangkit."

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.