Home Novel Cinta SHIA
PROLOG

                                PROLOG


Ibarat puntung sabut kering, sedikit sahaja jeraminya tersiut pencucuh api, nyalaan itu lekas membara. Sedikit demi sedikit sabut akan terbakar sehingga rentung kesemuanya.


Begitulah juga kisah ini bermula. Dari bisik-bisik sehingga akhirnya menjadi gosip hangat di alam yang terlindung daripada mata manusia itu.


Akhtar melangkah kemas. Gema lebah tadi lama-kelamaan membentuk patah kata. Cuping tirusnya menangkap beberapa butir kata.

"Anak Adam itu telah lahir."

"Seribu tahun dia telah menanti. "

"Beruntunglah dia."

"Dia pasti akan menelan cahaya ungu itu."

Beberapa pasang mata telah menjeling. Pasti mimik muka mereka juga berbeza mengikut tanggapan masing-masing.


Akhtar tak perdulikan semua itu. Langkahnya lurus menuju ke gawang utama Taman Astaka.

"Mari ke mari Akhtar."

Seorang lelaki melambai pemuda itu dari tempat duduknya. Janggut putihnya mencecah rumput biru.

Akhtar turut bersila di samping orang tua itu.

"Hulurkan tanganmu."

Permintaan itu ditunaikan. Garis-garis ungu berselirat menghiasi tapak tangannya. Setangkai mawar putih diletakkan di situ.


Akhtar membiarkan sahaja perlakuan Dukun Samudra. Hanya dalam beberapa detik, Mawar Putih di telapak tangan berubah bentuk. Dari kudup menjadi kembang dan akhirnya layu dan kering.

"Kau hanya punya satu peluang. Sehingga hujung nyawanya."


Air liur ditelan berkali-kali. Tekaknya masih terasa kering. Akhtar lepaskan keluhan kasar. Wajahnya penuh ketegangan.

"Ingat, Akhtar. Petik di kala ia bersemi. Minum airnya. Nescaya kau akan bebas menghirup udara di sana semahumu."


Dukun Samudra mengutip semula bunga kering di tangan Akhtar. Putih matanya bergenang air.

"Samaada air itu menjadi azimat atau racun, kaulah yang akan menentukannya."

"Tok pernah rasa air itu?"

Perlahan kepala diangguk. Kolam mata Dukun Samudra melimpah air.

"Air itu telah menjadi racun di dalam hidupku... buat selama-lamanya."


                    ___________________________________


Agak lama tangan Nenek Khadijah menghayun buaian. Zikir zanji semakin tidak kedengaran. Kepala menjenguk ke dalam kain buai. Suaranya lembut menegur bayi.

"Sekejap buka mata, sekejap tutup. Lekas tidur sayang."

Lalu hayunan diteruskan buat seketika. Nenek Khadijah melayangkan pandangan ke daun tingkap. Resah terkeluar dari mulutnya.

"Dah dekat tengahari. Dapur tak berasap lagi ni."

Sekali lagi dia menjenguk ke dalam buaian. Setelah itu Nenek Khadijah bangun menuju ke dapur.


Kini, ada kaki yang terjengket-jengket menuju ke arah buaian. Meskipun ghaib pada pandangan mata manusia, langkah itu tetap diatur penuh cermat.


Akhtar tidak terus menyelak kain batik lepas itu. Dia duduk bertimpuh buat seketika sambil mengurut-ngurut dada. Gemuruh masih bermaharajalela semenjak dia membuat keputusan untuk melihat bayi itu.


Nafas diatur kembali. Udara ditarik masuk ke rongga dada lalu dilepaskan perlahan-lahan. Dia masih lagi teragak-agak di saat kain buaian diselak.

"Eh! Tak tidur lagi."

Mata itu sedang tepat memandangnya. Akhtar membalas pandangan. Cemasnya telah hilang berganti suatu perasaan yang begitu aneh. Tiba-tiba sahaja Akhtar tersentak. Mukanya berkerut menahan kesakitan. Tangannya menekan-nekan dada.


Bayi itu sedang melancarkan beberapa panah dari pancaran matanya. Bilah tajam itu menerobos terus ke hati melalui anak mata Akhtar. Sejurus, segala perasaannya telah dimatikan. Atau lebih tepat lagi telah dikosongkan. Tiada sebarang perasaan terkandung di situ.


Kini, mata kecil  itu menarik Akhtar ke sebuah lembah yang indah. Cahaya ungu berserakan di sana sini.

Akhtar terpana. Lekas-lekas dia mengundur. Gerak anak matanya laju. Mulutnya separa terlopong bersama desahan yang kuat. Akhtar cuba menyimpul kejadian.

Adakah dia telah dijampi?


Kekuatan yang bercempera tadi dikumpulkan semula. Sekali lagi nafas panjang dihela. Dalam gerak yang paling cermat, Akhtar mengintai semula anak Adam yang terbaring di dalam buaian. Mata yang telah menjampinya tadi telah tertutup. Sebuah senyuman yang paling menawan menghiasi wajah si kecil.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.