Home Novel Cinta SHIA
Bab 8


Lenggok alunan suara kanak-kanak di rumah teres Rafei mengalahkan irama bunyi-bunyian cengkerik dan riang-riang. Malam itu, rutin pengajian Al-Quran di rumah Rafei sedang berlangsung. Berderet-deret kanak-kanak sedang menunggu giliran untuk disahkan bacaan. Tenang sahaja pemuda itu mendengar bacaan Shia.


"Esok sambung baca muka surat sebelah pula."

Setelah Al-Quran ditutup, Shia bangun dan mengubah posisi ke barisan belakang. Pucat muka Zuhair apabila Rafei melambai dengan bilah rotan.

"Sini, duduk depan ustaz."

Baru sahaja sepatah ayat keluar daripada mulut Zuhair, hentakan rotan di lantai simen telah membuatkan jantung Zuhair bergegar kuat.

"Hah! Baca Basmalah betul- betul. Jangan baca sambil lewa. Basmalah ni sebahagian daripada surah Al- Fatihah. Rukun dalam solat mengikut pandangan imam mazhab kita, Imam Syafie."

Walaupun mulut dah mula mencebik, Zuhair ulang semula bacaan dengan bersungguh-sungguh.


"Shia." 

Nawal berbisik. Shia dah tahu apa kehendak gadis itu.

"Kau baca pelan-pelan. Shia tengokkan."

Begitulah selalunya. Shia tak lokek ilmu. Rakan sepengajian yang lambat menangkap cara bacaan, akan Shia ajar dan betulkan terlebih dahulu sebelum mereka menghadap Ustaz Rafei.


Usai pengajian sebelum pulang ke rumah, Shia hulurkan bekas kek pemberian Cikgu Rahimah. Shia perasan, air muka Ustaz Rafei sama dengan wajah Cikgu Rahimah di kala nama Ustaz Rafei disebut. Berseri-seri Rafei tatkala menerima bekalan kek.

"Ustaz suka dekat Cikgu ke?" Shia menduga dengan pertanyaan.

Rafei tayang senyuman manis walaupun lain yang dijawabnya.

"Ustaz tak nak jawab."

"Eh! Kenapa? Kalau dalam ujian, tak jawab soalan dapat hadiah rotanlah nanti daripada cikgu."

Shia cuba memujuk lelaki yang dia amat hormati.

"Sebab kita orang Islam kena bercakap benar walaupun pahit sekalipun. Nabi yang suruh tau."

"Ustaz cakap je la apapun. Shia janji akan rahsiakan daripada Cikgu Rahimah."


Rafei tahu sangat perangai Shia. Anak ini pasti akan berusaha bersunggub-sungguh jika ada perkara yang dia hajati.

"Sebab ustaz tak nak jadi pengecut."

Pengecut? Nak jawab soalan sebegitupun kena berani ke? Kalau salah bukannya Shia boleh merotan. Shia semakin jauh ke lembah kelam.

"Hanya orang pengecut sahaja yang suka berbohong. Suka berselindung daripada kebenaran. Suka memberi dalih yang direka. Ustaz nak jadi orang yang berani. Jadi ustaz tak nak lah jawab apa yang Shia tanya."


Shia menggaru kepala. Semakin berbelit penjelasan Rafei. Macam senang je yang dia tanya. Tapi tak mengapa. Bagi Shia kasih sayang mereka lebih penting daripada jawapan ustaz.

"Ustaz ni gentleman la. Shia suka."

Ketawa kecil mula kedengaran. Usikan belum bermula tetapi hati Rafei dah kegelian. 

"Gentleman? Camana pulak tu?"

"Ia lah. Kalau tak nak, cakap tak nak. Kalau nak, cakap nak. Terus terang macam tu. Walaupun Shia kecewa tak dapat jawapan, tapi Shia suka la orang macam tu."


Jawapan Shia membuatkan senyuman Rafei semakin lebar sehingga ke telinga. Gigi putihnya kemas tersusun. Peluang untuk mengusik dah tiba.

"Shia nak tanya... ustaz suka dekat Cikgu Rahimah ke, suka dekat Shia ni?"

Meluru tangan Shia menutup mulutnya yang lebar tersenyum. Shia jawab malu-malu.

"Shia pun tak nak jawab la. Tak nak jadi pengecut. Sama macam ustaz kan?"

Seiring mereka berdua ketawa.


Malam yang indah itu tidak berakhir di situ. Adam mengiringi Shia yang pulang bersendirian. Jarak rumah Shia dan rumah Ustaz Rafei tidak begitu jauh.


"Wah! Hebatlah kau ni Adam. Elok je kau jalan walaupun mata asyik merenung bulan. Tak jatuh pun."

Pesona bulan penuh malam itu bagai telah menawan Adam. Sedikitpun dia tak pandang ke arah Shia.

"Kalau kau jadi aku, tentu kau pun rasa sama macam ni."

Wajah comel Adam dan bulan diamati berselang-seli. 

"Aku nampak kau berdua sepadan je. Sama-sama cantik."


Shia rasa ada angin kuat yang menampar kepalanya. Dia tertunduk menahan asakan. Matanya melirik ke sisi. Tangan budak comel itu masih bersilang di belakang tubuh. 

"Adam! Kau yang buat aku tadi kan?"

Hilaian Adam begitu nyaring sehingga Shia tertoleh-toleh ke semua arah. Bimbang juga jika ada manusia lain yang terdengar.


"Cantik tu cuma pandangan mata kasar sahaja. Sedangkan apa yang hati kita cari adalah sebuah keindahan. Macam bulan di atas sana. Bulan itu sendiri tak lah cantik sangat tetapi cahaya terangnya yang menyuluh langit malam menonjolkan keindahan bulan. Macam kau juga Shia..."

Ayat Adam tergantung tatkala sinar matanya menjamah wajah Shia.

"Kau juga indah bak rembulan itu..."

Adam tak sedar ucapan indah itu tak sepadan dengan wajah mentahnya. Kata-kata itu bagaikan meluncur daripada mulut orang dewasa. Malah intonasi suaranya juga kedengaran janggal.


Pujian Adam membuatkan Shia terdiam. Ayat itu begitu asing sehingga kedengaran di antara nyata dan ilusi. 

"Aku ni indah? Kat mana kau nampak benda tu?"

Kali ini tiada lagi ketawa yang ditujukan buat diri sendiri. Shia benar-benar mahu tahu.

"Hatimu."


Adam teringat peristiwa semalam. Kejadian itu berlaku dalam perjalanan pulang ke rumah. Seperti hari- hari yang lalu, habis sahaja sesi sekolah, Shia hanya bersendirian pulang ke rumah. Dari jalan utama, Shia membelok ke laluan denai. Kalau di musim tengkujuh, laluan itu pasti akan menyelimuti kasut sekolahnya dengan lumpur merah. 


Tidak jauh dari situ, Walid dan rakannya telah menanti di tengah jalan. Shia bagai dipandang dengan batang hidung Walid sahaja. Tinggi wajahnya didongak.


Shia menghentikan langkah. Hati tertanya-tanya akan hal yang mungkin berbangkit. Tapi rasanya sampai tahun depan pun tak habis. Walid memang tak reti duduk diam di dalam kelas. Ada sahaja pelajar yang diusiknya. Shia pun sering menjadi mangsa.

"Woi Shia! Kau nak jadi hero kelas ke? Semua yang aku buat salah. Kau je yang baik?"

Suara Walid semakin meninggi.

"Eh! Tak betul ke? Memang kau banyak buat salah dalam kelas."

Shia mempertahankan diri.

"Banyak pula mulut kau ye. Kalau bengkak agaknya boleh bercakap lagi tak haah?"

Mata Walid dah terjegil. Kecut juga perut Shia. Rakan-rakan pengampu Walid hanya menunggu arahan.


"Aku tahulah aku ni nakal. Tapi yang kau pergi catat nama aku banyak- banyak dalam buku hijau tu buat apa?"

"Tu lah kau. Siapa suruh tidur dalam kelas agama semalam. Kan dah tak tahu. Ustazah cakap, kalau orang bagi amanah dekat kita, kita kenalah jaga. Kalau tak, haa jadi orang munafik. Geng neraka tu."

Panjang lebar Shia memberi penjelasan.


"Sudahlah Shia. Tak payah nak jadi ustazah kat sini. Aku tak bagi kau report pasal aku je. Nama orang lain lantaklah aku tak kisah. Kalau daddy aku kena panggil dengan guru besar nanti..."

Keras amaran diberi. Shia mengerti sebab kemarahan Walid. Tetapi dia juga tak mampu mengelak. Itu tugas dia selaku ketua kelas.


"Apa kata kau insaf, Walid. Senang. Aku tak payah tulis nama kau banyak-banyak. Kau pun tak perlu risau pasal bapak kau."

"Ah... Anak pungut. Malas aku nak dengar cakap kau lagi."


Walid memberi isyarat kepada rakan-rakannya agar mara ke hadapan. Semuanya buat muka bengis ala-ala samseng. Penumbuk telah pun dikepal.


Shia terdiam. Wajahnya pucat. Akan tetapi ketakutannya terarah ke lain. Di belakang Walid dan kawan-kawannya. Di situ Adam berubah wajah. Agak menakutkan kerana warna mata putihnya telah menjadi merah pekat. Malah tubuh Adam juga mulai renggang dari tanah dan semakin meninggi.


Tiba-tiba sahaja sebatang dahan patah melayang di udara lalu berhenti di hadapan Shia. Terpinga-pinga melihat kejadian di depan mata, Walid dan rakan-rakannya mematikan langkah dan memandang sesama mereka. Kemudian dahan itu bergerak laju menghampiri mereka.

"Jangan! Jangan apa-apakan kawan aku!"

Teriakan Shia menghentikan dahan kayu betul-betul di hadapan hidung Walid sebelum terjatuh menimpa kakinya. Walid menjerit kesakitan. Suaranya terketar-ketar ketika berkata, "Ada... hantu!"


Terhencut-hencut Walid berlari meninggalkan Shia. Kawan-kawannya turut bertempiaran meninggalkan kawasan itu. Setelah suasana mulai aman, mata Adam bertukar semula seperti yang biasa dilihat Shia.


"Kenapa kau halang aku?" Adam bertanya dengan hati yang kesal.

Shia tersenyum sebelum menjawab.

"Kalau kau buat macam tu, kaupun sama macam diaorang. Aku tak nak. Tapi, best la kau punya kuasa."


Terasa benar senyuman yang terpamer begitu kelat. Kata-kata Shia itu benar-benar meruntun kalbunya. Hati anak itu begitu indah. Adam semakin jauh terperosok ke dalam pesona Shia.

Itu juga merupakan kekalahan kali kedua. Adam masih lagi mengira...

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.