Home Novel Cinta SHIA
Bab 14

Puas menangis, Shia melepaskan tekanan perasaan di pinggir hutan. Angin yang bertiup lembut berjaya membuat jiwanya damai seketika.


"Eh! Adam. Dah lama aku tak nampak rupa hodoh kau ni."

Adam tidak bersuara. Dia hanya merenung tajam.

Kemunculan Adam mencetuskan kelegaan. Shia perlukan tempat untuk mencurah perasaan. 

"Shia dah tak ada siapa-sapa lagi di dunia ni, Adam. Semuanya dah pergi tinggalkan Shia. Mak abah buang Shia. Nenek Jah..."


Bibir diketip erat. Shia menahan pilu yang semakin kuat. 

"Semalam ramai orang. Hari ini kau sorang je yang sudi temankan Shia."

Mata Shia kembali berkaca. Sebak dada Shia tak hilang-hilang semenjak semalam. Setelah perkhabaran duka dia dengari.

"Adam... boleh tak Shia ikut Adam?"


Masih tiada suara yang boleh didengari Shia. Adam tunding jari ke belakang. Ke arah belukar dan hutan.

"Dekat paya belakang sana?"

Adam mengiyakan jawapan dengan anggukan.


Shia lap air mata dengan belakang tapak tangan. Dia menoleh ke belakang. Rumah papan yang sudah berusia ditatap dengan hati yang sebak. Mata berlari-lari ke segenap ruang bagai mendakap kenangan indah yang pernah hadir di situ.

"Tinggal di sini sorang-sorang pun tak seronok juga. Jom. Shia ikut Adam balik rumah."


Lebar senyuman kedua sahabat. Mereka merentas denai sehingga ke hujung hutan. Paya besar di hujung kampung itu amat indah. Shia berdiri di pinggir tebing. Dia memerhati Adam melangkah sehingga ke tengah paya. Permukaan air bagaikan tanah landai di kaki Adam. Sedikitpun dia tidak tenggelam. Adam melambai-lambai dari jauh. 


Air hijau itu tidak membias bayang-bayang Shia. Sebaliknya Shia boleh nampak wajah manis Nenek Jah di situ. "Nek,..."

Shia tahan sebak. Susah nak bercakap kalau menangis.

"Baru je sehari nenek tak ada. Shia rasa bosan sangat. Penat dah bercakap sorang-sorang. Shia rindukan nenek. Shia nak peluk nenek... tapi... nenek dah tak ada."

Perlahan sahaja ucapan terakhirnya. "Nek. Shia sayangkan nenek. Shia akan ingat nenek sampai bila-bila."

Shia angkat muka. Adam masih lagi melambainya. Dia sudah bersedia untuk mengikuti jejak Adam.


"Shia!! Tunggu!"

Jeritan Rafei sungguh nyaring sehingga unggas-unggas yang mencari makan di situ bertempiaran lari. Shia turut terperanjat. Langkahnya serta merta mati.

"Shia nak ke mana, Sayang?"

Berlawan dengan suara tadi, kata-kata  Rafei diucap dengan lemah lembut.


"Nak ikut kawan. Dah tak ada sesiapa yang sayang Shia sekarang."

Entah kenapa setelah memandang wajah Rafei, Shia kembali sebak. Segala kepiluan yang bersisa terburai lagi. Shia menangis sehingga teresak-esak . Dia melepaskan kesedihan yang masih berlarutan.


"Kecil hati cikgu dengar Shia cakap macam tu. Cikgu dan Ustaz kan sayang Shia."

Rahimah yang baru sahaja tiba terus sahaja bersuara dengan nafas yang dicuri-curi. Penat dia mengejar di belakang Rafei. 


Mulut bakal tunangannya terkumat-kamit. Bacaan ayat Al-Quran perlahan sahaja didengari.


Shia lontarkan pandangan ke wajah  Rahimah dan Rafei silih berganti. Berkali-kali. Gadis kecil itu mencari jalur keikhlasan. Sebaik sahaja Rahimah mendepakan tangannya, Shia yakin apa kata hati. Perlahan-lahan Shia merapati mereka. Kedua tangan Rahimah melingkari tubuh Shia dengan erat.

"Shia takkan keseorangan lagi. Cikgu dan Ustaz akan senantiasa ada dengan Shia. Kami akan jaga Shia."

Sebak suara Rahimah. Shia balas pelukan dengan erat. Selepas seketika dia berpaling ke belakang. Adam tidak kelihatan di mana-mana.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.