Home Novel Cinta SHIA
Bab 3

~Shia 3~


Pagi itu Shia mengikut Nenek membeli barang-barang dapur di kedai Runcit Pak Somad. Kedai itu telah lama diusahakan oleh Pak Somad. Selain ke pasar, Nenek Jah gemar membeli barang keperluan harian di situ.


Bagi Shia pula, kedai itu seumpama syurga. Segala benda menarik minatnya. Hampir terjejer air liur Shia melihat gula-gula yang memenuhi balang-balang.


“Ambillah.”


Shia berpaling untuk melihat si empunya suara. Seorang lelaki berbadan besar dengan jambang memenuhi sebahagian wajahnya menegur. Serta merta suara Cikgu Rahimah terngiang-ngiang di gegendang telinga.


“Jangan mudah percaya dengan orang yang kita tak kenali.”

“Jangan terima gula-gula atau coklat dari mereka yang kita tak kenal.”

“Jangan terima ajakan orang asing. Bahaya. Mereka mungkin mahu menculik kita.”


Perlahan-lahan langkah diundur ke belakang. Lelaki itu berterusan menghulur gula-gula kepada Shia walaupun berkali-kali Shia menggeleng. Suara bagai tersekat di tengah kerongkong. Shia hanya mampu menggerakkan biji mata mencari kelibat Nenek Jah.


“Haaa… di sinipun kamu.”


Shia tarik nafas dalam-dalam sebaik sahaja mendengar sapaan Nenek Jah. Cepat-cepat dia berlari dan menyembunyikan diri di belakang orang tua itu.


Nenek Jah segera menggenggam jari Shia. Cucunya itu dipimpin sehingga ke kaunter bayaran.


“Shia nak beli apa?”


Cemasnya masih belum hilang. Shia terlupa semua perkara yang menguasai nafsunya tadi. Dia hanya mampu menggeleng.


“Ini je ke barang kamu Jah?” tanya Pakcik Somad.


“Haah. Tolong kirakan berapa bayarannya.”


Semua barang telah dimasukkan ke dalam beg plastik.Setelah itu Pakcik Somad memasukkan kesemua beg plastik itu ke dalam raga Nenek Jah pula.


“Berapa nak kena bayar ni Somad?” 

Dompet kecil telah tersedia di tangan Nenek Jah.


“Ambil je la Jah.”


“Eh! Jangan macam ni Somad. Kamu tu berniaga.”


Pakcik Somad pamerkan senyuman. Malu-malu dia memberi penjelasan.


“Bukan aku Jah. Tu, menantu baru Rosdi dah pesan tadi. Dia nak bayarkan semua barang kau ni.”


Nenek Jah berpaling dan melambai ke arah lelaki yang sedang mengundurkan motosikalnya. Jambang lebat lelaki itu sedikit terselindung di sebalik topi keledarnya. Lelaki itu membalas lambaian Nenek Jah.


Keluar sahaja daripada kedai Pakcik Somad, Nenek Jah hulurkan sebungkus besar gula-gula berbalut kertas berwarna keemasan. Gula-gula yang sama dihulurkan lelaki yang menakutkan Shia tadi.


“Nenek belikan untuk Shia ke?”


Gula-gula yang diambil dari tangan Nenak Jah terus dibuka bungkusannya dan hilang dalam mulut Shia.


“Tak. Pakcik dalam kedai tadi yang bagi pada Shia.”


Manis gula-gula yang dikemam tidak dapar menghilangkan rasa bersalah Shia.


“Nek, macamana kita nak tahu orang tu jahat ke baik? Boleh nampak ke dekat muka dia?”


Nenek Jah senyum-senyum. Dia tahu kenapa soalan itu terkeluar dari mulut Shia.


“Kebaikan dan kejahatan tu semuanya berpunca dari sini.” 

Nenek Jah menepuk dadanya sebelum menyambung kata.


“Oleh kerana ia terselindung, susah juga kita nak tahu orang tu jahat ke baik melainkan dia zahirkan perbuatan baik atau jahatnya. Kalau dia berbuat kebaikan, dah tentu dia baik. Macam tu juga sebaliknya.”


Gula-gula kedua juga selamat masuk dalam mulut Shia. Bayangan pakcik berjambang yang menakutkan tadi sudah mula lunak. 


“Kadang-kadang kita boleh lihat samada orang tu jahat atau baik dari air muka dia.”


“Air muka?”


“Hurmm… apa kata hati kita ketika kita renung diri dia. Macam tu lah lebih kurang.”


“Tapi pakcik tadi baik walaupun muka dia nampak jahat.”


Nenek Jah lepaskan ketawa. Giginya yang dah berjarak-jarak jelas kelihatan.


“Shia kecil lagi. Sebab tu Shia tak pandai baca air muka orang. Nenek awal-awal lagi dah tahu Pakcik yang hadiahkan Shia gula-gula ni baik hati.”


Sepanjang perjalanan pulang, Shia cuba memahami semula kata-kata Nenek Jah tadi. Berbelit bunyinya tapi masih boleh difahami.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.