Home Novel Cinta SHIA
Bab 30


Hari ini Walid nampak sedikit tenang. Shia biarkan lelaki itu memulakan perbualan. Lagipun, Walid yang nak sangat jumpa dia. Ikutkan Shia, dia sangggup tanggung rindu daripada dihempap masalah lagi. Penat menghadap wajah masam Si Walid.


“Kau tahu tak ada perjumpaan kelas kita hari ni? Diaorang ajak berkelah di air terjun. Dekat kolam dua tingkat tu. Last borak-borak sebelum keputusan STPM keluar.”


Dah selalu sangat Shia terpinggir dengan aktiviti berhibur sebegini. Samada kedatangannya tak dialu-alukan atau memang kalau dia tak datang langsung lagi bagus. 


“Cuma satu sahaja aku nak ingatkan kau…”

Shia masih tak buka mulut. Tunggu Walid habiskan ayat dia.

“Jangan sesekali kau bagitahu kawan-kawan kita tentang apa yang aku cakap hari tu. Kalau ada sesiapa yang tahu, siap kau!”

“Kau ni nak menggugut ke nak mengajak aku?”

Shia tegakkan tubuh dan silangkan tangan ke dada. Akal terkeliru seketika dengan ugutan Walid. Shia nak menjeling tetapi tak jadi melihatkan wajah Walid yang semakin ketat

“Si Suhana tu beria suruh aku ajak kau. Aku buat tak reti nanti, lagi la bertalu-talu dia whatsapp aku. Malas aku nak layan. Hah! Datang je la petang ni lepas asar. Kau datang lenggang-kangkung je. Tak payah bawa apa-apa. Makanan, minuman , semua diaorang dah sediakan."

Shia tak mengangguk, tak mengiya. Dia rasa nak datang, dalam masa yang sama rasa tak perlu datang. 

“Aku tunggu kau kat sana.”

Shia biarkan sahaja Walid melangkah pergi dengan sebuah keluhan.


Entah kenapa detik masa dirasakan bagai berlari hari ini. Sekejap sahaja dah dengar azan Asar. Shia melihat jam tangan. Andainya waktu menurut apa yang tertera pada jarum panjang dan pendek di tangannya, dah lama dia putarkan jarum-jarum itu ke belakang. Lama masa dibiarkan berlalu lagi. Minit berganti jam. Setelah itu hatinya semakin meresah. Ingatan terhadap Walid terasa terbeban.


Sinar matahari masih menerobos dari celah pepohon besar dan tegap yang memayungi bumi. Shia tahu petang semakin berganjak ke senja. Niatnya hanya mahu menjenguk sebentar dan memenuhi permintaan Walid. Kalau kawasan perkelahan kosong tanpa rakan sekelas yang menanti nanti, Shia akan terima. Tatkala kaki berhati-hati memijak batu licin menuju ke kawasan air terjun, wajah gadis tinggi lampai memenuhi ingatan. Suhana berpindah ke sekolahnya selepas peperiksaan SPM. Gadis itu cantik dan peramah. Dalam masa yang singkat sahaja Suhana telah menjalinkan persahabatan dengan semua rakan barunya. 


Suhana melaung nama Shia dari jauh sebaik sahaja pandangan mereka bertemu. Gadis itu bangkit dari tempat duduknya lalu mendapatkan Shia. Lengan Shia dipaut menuju ke kawasan sekelas berkumpul. 

“Shia, mari duduk di sini. Ambil ni makan.”

Nawal, rakan sekelas dan satu pengajian Al-Quran Shia menghulurkan pinggan plastik kepadanya. Semua makanan di pinggan lain dah tinggal sisa. Pasti Nawal sengaja menyimpan bahagian itu khas untuknya.

“Terima kasih Nawal.”


Shia nak labuhkan punggung di sisi Nawal tetapi tangan Suhana menarik Shia menjauhi rakan-rakan yang lain. Mereka berdua duduk di atas batu yang kering. Sambil menyuap makanan, sambil itu Shia mendengar celoteh Suhana. Rasanya Shia dah tahu akan tujuan utama Suhana berpesan kepada Walid pagi tadi. Gadis itu juga gilakan Walid sama seperti dia. Cuma Suhana tak berani meluah berdepan. Bimbang risiko dicemuh nanti.


“Shia, boleh tolong aku tak? Tolong bagi surat ni dekat Walid.”

Sekeping sampul surat berbunga-bunga yang telah dilipat dua diberikan kepada Shia.

“Kau tak rasa ketinggalan zaman ke Su? Sekarang orang ajak datang kenduri kahwinpun pakai facebook, whatsapp. Mana ada orang luah cinta guna surat macam kau ni.”

Shia ketawakan Suhana. Gadis itu tidak terasa hatipun.

“Itu lagi bahaya Shia. Matlumat mudah sampai, nanti mudah juga tersebar. Kau tahulah Walid tu sukar diramal. Kalau dia mengamuk dan sebarkan ayat-ayat cinta ni, habislah aku!”

“Cerdik. Tak sia-sia kau sekolah menengah lama-lama.” 


Ketawa dua sahabat itu kedengaran kuat sehingga mendapat jelingan Walid dan Ihsan. Pemuda itu dan sahabat baiknya duduk di atas batu besar yang mengalirkan air sungai. 


“Amboi itik hodoh tu beria ketawa dengan bunga larangan aku,” kata Ihsan dengan bibir sedikit menjuih. Lelaki itu mula menaruh hati pada Suhana sejak hari pertama gadis itu menjejakkan kaki ke kelas mereka. Selepas itu, kerap juga dia cuba menawan hati Si Gadis. Suhana hanya melayannya seperti rakan biasa. 


Habis makanan di dalam pinggan, Shia merapati gigi air untuk membasuh tangan. Tajam anak mata Ihsan merenung belakang Shia. Mulut tersenyum senget. Belakang Shia nampak macam bola sepak manakala sungai bagaikan gawang gol tanpa penjaga.


Dush! Sekali tendang sahaja Shia dah tertonggeng lalu melurut atas batu licin sehingga ke bawah. Gadis itu terbenam ke dalam lubuk air buat seketika lalu timbul semula. Shia menguak kaki dan tangan sehingga tiba ke tebing batu. Ketawa rakan-rakannya dia buat tak perduli. 


Suhana meluru menghampiri Shia. Anak matanya memanah dua lelaki masih terbahak-bahak ketawa, Walid dan Ihsan. Jelingannya tidak berupaya menghentikan ketawa yang sedang bergema.

“Kau okey ke Shia?”

Shia mengangguk. Nampak barisan gigi yang jarang-jarang bila dia tersengih. 

“Segar badan  terbenam dalam air sejuk, walaupun datang sini tadi aku tak bercadangpun nak mandi.”

Jenakanya tak mendapat perhatian Suhana. Marah betul rakannya kepada Walid dan Ihsan. Jua kepada rakan lain yang turut ketawa dari jauh. 

Di pinggir tebing bukit, satu sosok tinggi lampai yang tak lepas mata memerhati lagak kedua pemuda di sungai sedang  galak menahan kemarahan yang semakin membara. Jari yang mengepal dah mengeluarkan asap ungu.


“Woi, Walid! Ihsan! Kitaorang balik dulu.”

Laungan sekumpulan rakan lelaki yang dah mula angkat kaki disahut dengan lambaian tangan dua sahabat itu dari dalam air sahaja. Kumpulan rakan perempuan termasuk Nawal juga mula meninggalkan jeram.

“Jomlah kita balik, Shia.”

Shia turuti sahaja ajakan rakan sekelasnya itu. Beriringan Shia dan Suhana menuruni kawasan berbukit yang berbatu dan licin. Mereka melalui laluan di tebing yang sama semasa pendakian. Suhana menegur aliran air yang tiba-tiba sahaja terlihat deras dan bergelodak.

“Eh! Shia. Kau rasa ada hujan di puncak bukit tak? Cuaca terik je dari tengahari tadi.”

Lekas-lekas Shia buang pandangan ke air yang dah keroh. Hatinya dah tak keruan. Eh! Mendadak perubahan air ini. 


Shia berpaling ke belakang memerhati aliran di hulu sungai. Di masa itu juga dia nampak ombak sungai yang menggulung tinggi dan deras. Serentak jeritan Suhana dan tarikan tangan gadis itu agar Shia terhindar dari bahaya. Usaha Suhana sia-sia. Hanya dirinya seorang yang berganjak ke tepi bukit apabila Shia menyentak pegangan Suhana dan meluru ke arah arus deras.


“Shia! Jangan!”


Hanya doa yang mampu Suhana usahakan kini. Tubuh Shia hilang dalam sekelip mata apabila sahabatnya itu menghumbankan diri ke dalam arus yang sedang menggila.

Previous: Bab 27
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.