Home Novel Cinta Dia Si Katak Puru ( Tajuk Asal : Sekali Ini Saja)
Dia Si Katak Puru ( Tajuk Asal : Sekali Ini Saja)
Farrah Izzlorna
6/8/2014 23:52:11
75,049
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 11

ENAM TAHUN KEMUDIAN...

‘’DENGAN bangganya,saya mengumumkan bahawa anugerah Khidmat Cemerlang syarikat Cemerlang Holdings bagi tahun ini sekali lagi menjadi milik, Cik Nur Ariana Abdullah!’’

Tepukan yang gemuruh kedengaran di dalam dewan yang sederhana besar itu.Aku bangun dari tempat dudukku,seraya berjalan menuju ke arah pentas.Penampilanku malam itu sangat ringkas,hanya memakai baju kurung bercorak bunga-bunga kecil berwarna merah dan hanya bedak asas yang menjadi mekap pada wajahku.Jauh berbeza sekali dengan para hadirin lain yang memakai baju-baju yang serba mewah dan bergemerlapan di sana-sini.

‘’Cik Ariana,sila berikan ucapan.’’ Ujar pengerusi majlis sebaik aku berada di atas pentas.Aku mengeluh.Memang inilah saat-saat yang aku paling setiap kali menghadiri majlis itu.Kalau nak bagi anugerah tu,bagi sajalah.Ni nak suruh orang berucaplah,apalah.Banyak songeh betul,rungutku dalam hati.

‘’Assalamualaikum dan salam sejahtera para hadirin sekalian.Sebenarnya,saya tak ada apa-apa rahsia yang mahu dikongsikan.Sekiranya anda hendak berjaya,kena ada keazaman,kerajinan dan kesungguhan dalam setiap perkara yang anda lakukan.Dan selepas itu,tidak mustahil sekiranya anda pula yang menggantikan tempat saya di atas pentas ini pada tahun hadapan.Sekian,terima kasih.’’

‘’Cik Ariana,siapakah yang menjadi pendorong anda untuk bekerja keras sehingga mampu meraih anugerah Khidmat Cemerlang ini pada setiap tahun sejak anda menyertai syarikat Cemerlang Holdings ini?’’ Tiba-tiba pengerusi majlis itu bertanya saat aku baru saja mahu melangkah turun dari pentas.Mendengar soalannya itu,aku tersenyum sinis.

‘’Awak tahu tak yang soalan awak tu sangat kelakar?’’ Soalku.

Wajah pengerusi majlis itu berubah apabila mendengar kata-kataku.Sementara hadirin yang lain mula berbisik sesama sendiri.

‘’Untuk pengetahuan anda semua,saya berjaya seperti sekarang atas usaha saya sendiri.Tiada sesiapa pun yang menjadi pendorong saya.Kalau ada pun,hanyalah diri saya sendiri. Jadi nasihat saya,kita jangan terlalu bergantung harap kepada orang lain untuk berjaya.Kejayaan kita ditentukan oleh diri kita sendiri,bukannya orang lain.’’

Seluruh isi dewan terdiam.Tiada tepukan yang gemuruh kedengaran seperti tadi.Aku tidak peduli.Macamlah selama ini aku peduli pun.Lagipun kalau tak disebabkan arahan syarikat dan paksaan Nadia,aku sendiri pun tidak mahu hadir ke majlis tersebut.

Aku menggenggam trofi dan sijil yang dimenangiku sebentar tadi dan berjalan keluar dari dewan tersebut.Aku menaiki bas lalu pulang ke rumah.

AKU membelek-belek kertas kerja yang berselerakan di atas meja itu.Sesekali aku menjeling jam yang pada dinding.Pukul 11.00 malam.Aku mengeluh.Hari sudah begini lewat,tetapi Nadia masih tidak pulang ke rumah.Sudahlah tadi dia memungkiri janji mahu menemani aku ke majlis ulang tahun syarikat,sekarang dia pulang lewat tanpa langsung memaklumkan kepadaku ke mana dia pergi.Dan paling merisaukan aku,dia keluar bersama Adnan ,lelaki yang bagiku langsung tidak boleh dipercayai.

Tiba-tiba aku mendengar tombol pintu rumah yang disewaku bersama Nadia itu dibuka dari luar.Aku menjengahkan kepalaku ke arah pintu.Aku mendengus apabila melihat Nadia sedang berdiri bersama Adnan di luar.Mereka kelihatannya sedang bercakap sesuatu dengan mesra sekali.Aku bangun dan pergi ke pintu.

‘’Lambat balik?’’ Teguranku mengejutkan mereka.Perbualan mereka terus terhenti.

‘’Err…. Kitorang pergi somewhere tadi.Sebab tulah lambat sikit.Sorry.’’ Nadia menjelaskan kepadaku bagi pihak mereka berdua.Aku dan Adnan bertentang mata.Adnan merenungku bagai tidak berpuas hati denganku. Jelik aku melihat pandangannya.

‘’Lambat pun agak-agaklah.Ingat elok sangat ke bawa anak dara orang keluar sampai malam-malam macam ni? Tak pernah belajar adab ke kat sekolah dulu?’’ Sengaja aku menyindir Adnan.

‘’Memanglah aku pernah belajar.Tapi tak sangka pula ada orang kolot yang masih mempraktikkan benda-benda tu pada zaman sekarang ni.Zaman dah maju okey,modenlah sikit.Takkanlah setakat balik lewat sikit pun nak bising.’’ Adnan terus membalas.

‘’Kenalah bising,sebab Nadia ni perempuan.Kau lelaki.Nanti apa-apa terjadi,kau nak bertanggungjawab ke? Macamlah aku tak kenal perangai lelaki macam kau ni.’’

‘’Hoi,kau ingat kau ni siapa hah?’’ Adnan kelihatannya sudah hilang sabar denganku.

‘’Hei korang,sudahlah.’’ Nadia cuba menamatkan pertelingkahan antara kami berdua. ‘’Adnan,you balik dulu ya.Nanti I call you balik.’’

Adnan tak berpuas hati dengan kata-kata Nadia,tetapi apabila dipujuk oleh Nadia berkali-kali,akhirnya dia mengalah.Sebelum dia meninggalkan rumah,dia sempat menghadiahkan pandangan tajam berbaur amaran kepadaku.Aku tersenyum sinis.Ingat aku takut sangat ke!

‘’Kau ni kan Ary,kenapa suka sangat cari pasal dengan Adnan tu?’’ Soal Nadia setelah menutup pintu rumah.

‘’Sebab aku tak suka kat dia.’’ Aku berkata selamba.Sememangnya aku sudah berterus-terang dengan Nadia sejak dari awal lagi bahawa aku tidak suka akan teman lelakinya itu.

‘’Tapi kenapa?’’

‘’Sebab dia dah ajar kau agar memungkiri janji dengan kawan baik kau sendiri.’’

Nadia tersentak. Wajahnya berubah. ‘’Apa maksud kau?’’

‘’Aku terdengar perbualan kau dengan dia siang tadi.Kau tak jadi nak temankan aku ke majlis syarikat aku tu sebab dia tak bagi kan?’’

‘’Bukan macam tu,Ary.Kebetulan hari ni ada majlis hari jadi kawan dia juga.Dia ajak aku dan aku pun…’’

‘’Apa? Kau tak boleh menolak?’’ Aku tersenyum sinis kepada Nadia. ‘’Kau dah berjanji dengan aku sejak sebulan lepas,Nadia.Tapi kau senang-senang saja batalkan janji kita tu sebab dia ajak kau pergi partykawan dia. Last minute pula tu.Adilkah macam ni?’’

‘’Ary,aku minta maaf.Tapi bila dia dah ajak,aku tak sampai hati nak tolak permintaan dia.Tambahan pula dia bukan main lagi merayu aku agar pergi dengan dia.’’

‘’Walaupun dia tahu yang kau sepatutnya temankan aku hari ni? Bila dia dah tahu barulah dia nak terhegeh-hegeh ajak kau pergi partykawan dia semua? Aku memang dah agak yang dia memang jenis lelaki macam ni.Sejak mula-mula lagi kau perkenalkan aku kat dia,aku dah tahu yang dia bukan lelaki baik.’’

Raut wajah Nadia berubah merah apabila mendengar kata-kataku.

‘’Stop it,Ariana! Kau boleh marah aku,tapi jangan sesekali kutuk Adnan macam tu.Aku tak suka!’’ Ujar Nadia dengan rasa marah.

‘’Kenapa? Tak suka bila aku dedahkan sisi buruk teman lelaki kau tu? Tak boleh terima kenyataan yang Adnan tak sebaik yang kau sangkakan?’’ Soalku dengan berani.

‘’Ya! Memang aku tak suka.Tiada sesiapa pun yang berhak untuk mengkritik dia,termasuklah kau!’’

‘’Inilah akibatnya kalau fikiran tu dah terlalu taksub dengan cinta.Sampai kejahatan di depan mata pun kau tak boleh nak nampak.’’

‘’Biarlah kalau aku dah dibutakan oleh cinta sekalipun.Sekurang-kurangnya aku tak macam kau.Gara-gara nak melayan kau yang terlalu emosi sampai tak menyempat-nyempat nak meluah perasaan,Firdaus terlibat dalam kemalangan yang hampir meragut nyawa dia.Elok sangatlah tu kan.’’ Luah Nadia tanpa disedarinya.Seketika kemudian dia tergamam,tidak menyangka yang dia akan berkata begitu.

Suasana menjadi sepi terus antara kami berdua.Mulutku tertutup rapat,tidak lagi lantang berkata-kata seperti tadi.Aku pantas mengemas fail-failku yang bertaburan di atas meja dan melangkah ke arah bilikku.Lepas masuk,aku menutup pintu bilikku kasar dan bersandar di belakangnya.

Aku tidak menyangka bahawa setelah sekian lama,nama itu akan disebut lagi di hadapanku.Ingatanku kembali mengenang perbualan terakhir di antara aku dan dirinya dahulu.Perbualan terakhir yang hampir meragut nyawanya.Aku mengetap bibir.

Aku pergi ke katilku dan mengeluarkan sebuah buku dari dalam laci. Aku mengeluarkan sehelai keratan akhbar yang terselit di sebalik buku itu dan membacanya buat sekelian kalinya.

GOMBAK – Mangsa dalam satu kemalangan jalan raya yang berlaku di sini baru-baru ini,Tengku Firdaus Amsyar Tengku Farizuddin,23 , telah disahkan berada dalam keadaan stabil setelah koma selama beberapa minggu.Doktor yang merawatnya bagaimanapun memberitahu,mangsa masih perlu penjagaan rapi untuk memastikan dia pulih sepenuhnya dari kecederaan yang dialami.

Keratan akhbar itu aku peroleh,enam minggu selepas tragedi itu berlaku.Hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa leganya hati ini apabila tahu bahawa Firdaus terselamat daripada kemalangan yang dahsyat itu,walaupun doktor sendiri telah memberitahu pada awalnya bahawa Firdaus mempunyai peluang yang sangat tipis untuk hidup.Namun perkara itu tidak sedikitpun menghapuskan perasaan bersalah dalam hatiku.Dan hari ini, setelah enam tahun berlalu, Nadia telah membangkitkan kembali kenangan pahit itu dalam fikiranku.Tatkala aku sedang berusaha untuk melupakan segala-galanya dan meneruskan kehidupanku.

Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.