Home Novel Cinta Dia Si Katak Puru ( Tajuk Asal : Sekali Ini Saja)
Dia Si Katak Puru ( Tajuk Asal : Sekali Ini Saja)
Farrah Izzlorna
6/8/2014 23:52:11
74,899
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 3

‘’ARY,it’s time now!’’ Ujar Nadia setelah hampir tiga jam kami membuat ulang kaji di perpustakaan.

‘’Kejaplah.Aku tak habis baca lagi ni.’’ Kataku seraya terus membelek-belek modul Biologi di hadapanku.Mulut Nadia memuncung apabila mendengar kata-kataku itu.

‘’Ha…ha… jangan nak merungut pulak eh.Kau janji apa dengan aku hari tu?’’ Kataku apabila menyedari perubahan mimik muka Nadia.

‘’Yalah,yalah.Tapi cepatlah sikit.’’

Aku menggeleng-gelengkan kepalaku melihat wajah Nadia yang kian gelisah.Kasihan pula melihat dirinya yang bagai cacing kepanasan itu. Akhirnya aku menutup modul Biologiku tanpa menghabiskan nota yang sedang aku pelajari itu.

‘’Dahlah.Jom kita telefon senior kau yang tersayang tu.’’

Nadia bersorak kegirangan mendengar kata-kataku.Beberapa pelajar lain menoleh ke arah kami.Sekali lagi aku menggelengkan kepala melihat telatah Nadia yang keanak-anakan itu.Kami pergi ke kafeteria dan setelah memilih tempat duduk yang agak tersorok,aku mendail nombor Firdaus yang sudah tersemat rapi dalam fikiranku.Sejak aku menghubunginya sejak sebulan yang lalu,nombornya sudah tidak lagi menjadi asing bagiku.

‘’Helo…’’ Kataku apabila panggilanku berjawab.

‘’Assalamualaikum.’’ Sindir suara di sebelah sana.Aku mengetap bibir.Sempat lagi dia menyindirku.Nadia pula tersengih-sengih apabila dapat mendengar suara Firdaus.Seronoklah tu!

‘’Waalaikummussalam,Encik Tengku Firdaus Amsyar.’’ Ujarku dengan nada geram.Sebenarnya aku juga berasa sedikit malu dengan cara dia menyindirku tadi.

Firdaus ketawa.Nampaknya dia dapat mengesan perubahan pada nada suaraku. ‘’Hai,takkanlah baru telefon saja dah marah?’’

‘’Taklah.Bila masa pulak aku marah.Memandai je.’’ Aku berkata selamba.

‘’Yalah tu.Hemm… apa pulak yang kau nak interviewaku hari ni,Cik Ria? Nak tanya pasal apa pula kali ni? Rumah aku,orang gaji aku,atau benda-benda lain lagi?’’

Aku menghela nafas panjang seraya merenung sekeping kertas yang berada dalam tanganku sekarang.Kertas itu mengandungi soalan-soalan yang ingin ditanya oleh Nadia kepada senior kesayangannya itu.Dan banyak di antaranya berupa soalan peribadi.Ah,aku tak faham kenapa perkara ini harus aku yang tanyakan kepada Firdaus.Kenapa tak Nadia saja yang tanya sewaktu dia mesej dengan lelaki itu? Mesti Firdaus ingat aku ni gila sebab asyik bertanyakan hal-hal peribadi dia,desis hatiku.

‘’Tepat sekali,Encik Firdaus.Hari ni aku nak tanya pasal rumah kau pulak.Dulu masa kau sekolah dekat SMK Bayan Putera,kau tinggal di Damansara kan?’’ Aku mula menyoal siasatnya.Nadia di sebelahku mendengar perbualan kami dengan tekun sekali.

‘’Ha’ah.Kenapa?’’

‘’Tapi berdasarkan maklumat seseorang yang boleh dipercayai,kau dah pindah dari Damansara.Jadi sekarang kau tinggal kat mana pulak?’’

‘’Siapa yang bagitau kau pasal benda ni?’’

‘’Rahsialah.Mana boleh bagitau.’’

‘’Kalau macam tu,aku pun tak boleh bagitaulah.’’

‘’Kenapa pula? Susah sangat ke nak bagitau kau tinggal kat mana?’’ Ujarku dengan nada geram.Keengganan lelaki itu menyukarkan lagi kerjaku.

‘’Yalah.Kau sampai tahu dulu aku pernah tinggal kat mana semua.Jadi macam seram jugaklah.’’

‘’Apasal seram pulak? Aku bukannya hantu nak kacau kau pun.Lagipun kalau aku tahu kau tinggal kat mana pun aku takkan cari kaulah.’’

‘’Tak percayalah.Manalah tahu kau ni pembunuh upahan yang nak datang bunuh aku ke.Sebab tulah kau tanya mana rumah aku kan.Jadi senanglah kau nak cari aku nanti.’’

‘’Woi,kalau aku ni betul-betul pembunuh upahan tak adalah aku nak tanya kat kau.Lebih baik aku cari sendiri,lepas tu bunuh kau terus.’’ Hilang sabarku melayan kerenah lelaki ini.

Firdaus ketawa di hujung talian. ‘’Aku bergurau sajalah.Cepat marah betul kau ni.Nak melawak sikit pun tak boleh.’’

‘’Oh,kau tengah buat lawak ke? Kenapa aku tak rasa pun macam nak tergelak?’’ Sinis aku berkata.

‘’Ermmm…mungkin sebab kau tak ada sifat humor dalam diri kau agaknya.’’

‘’Oh,jadi kau nak mengkritik akulah sekarang ni?’’ Jerkahku dengan rasa geram yang semakin menjadi-jadi.

‘’Bukannya aku nak mengkritik.Tapi sejak kau mula-mula telefon aku tu,nada suara kau asyik nak marah je.Cakap pun kasar.Macam aku pula yang ada kat tempat kau dan kau ada kat tempat aku.Padahal sepatutnya aku yang bersikap macam kau sebab kau yang asyik kacau aku,tapi aku tak buat pun macam tu.Bahkan aku cakap dengan kau elok-elok,layan kau baik-baik.Tak bolehkah kau juga melakukan perkara yang sama? Sekurang-kurangnya cakaplah dengan cara baik agar kata-kata kau tu takkan menyakitkan hati orang lain.’’

‘’Kau….’’ Belum sempat aku menghabiskan kata-kataku,Firdaus memotong.

‘’Sekarang ni nak cakap apa pun tak guna,sebab kau tengah marah.Lain kali bila mood kau dah okey dan kau dah fikirkan baik-baik apa yang aku cakap kat kau tadi,barulah kau telefon aku balik.Bye.’’ Setelah Firdaus berkata demikian,dia mematikan talian.Aku terkedu mendengar kata-katanya.Tiba-tiba hatiku tersentap.Belum pernah ada orang yang berani menegurku seperti itu selama ini.

‘’Ary,are you okay?’’ Tegur Nadia apabila melihatku hanya mendiamkan diri.Aku hanya membatu,tidak menjawab.Nadia mula tampak serba-salah. Suasana antara kami terus menjadi tegang.

ADAKAH aku memang seperti apa yang dikatakannya? Adakah aku ni memang dah melampau?

Tanggapan-tanggapan ini menghantui fikiranku sejak perbualanku dengan Firdaus siang tadi.Aku menjadi tidak senang hati.Aku berkalih ke kiri dan kanan,namun entah kenapa mataku masih tidak mahu lelap.Fikiranku seakan-akan terus memaksa diriku agar terus memikirkan apa yang dikatakan oleh Firdaus siang tadi.Aku tak tahu kenapa aku terlalu mengambil kisah akan kata-katanya,walhal selama ini aku tak pernah pun mempedulikan cakap-cakap orang di sekelilingku.Bahkan ketika mereka memanggil aku anak luar nikah sekalipun perkara itu tidak lagi menjadi kudis bagiku.Tapi kenapa kali ini berbeza?

‘’Kau tak kenal lagi dengan senior aku tu,Ariana. Setiap kata-kata yang dia ungkapkan boleh menjadi jampi dalam diri seseorang tu tau.Silap-silap kau pun boleh berubah bila mendengar cakap dia.’’ Aku teringat lagi apa yang diberitahu oleh Nadia pada hari pertama aku menjalankan tugasku sebagai ‘jurucakap’ bagi pihak Nadia.

Ah,mengarutlah! Takkanlah aku dah terkena jampi semata-mata kerana apa yang dia cakap? Aku tak kenal pun dia,jadi takkanlah aku boleh terpengaruh dengan kata-kata dia pulak? Nonsense betul semua tu!

Namun semakin hatiku menolak,semakin kerap kata-kata Firdaus menghantuiku.

‘’Sekurang-kurangnya cakaplah dengan cara baik agar kata-kata kau tu takkan menyakitkan hati orang lain.’’

Aku mengetap bibir. Ah,persetankanlah! Kenapa pula aku nak kena jaga hati dia? Dia bukannya ada kaitan dengan aku pun.Jadi lantak dialah, dia nak sakit hati ke,apa ke. Lagipun kalau tak disebabkan Nadia,aku pun tak inginlah bercakap dengan dia,rungutku di dalam hati. Tetapi rungutanku itu tidak sedikitpun menenangkan hatiku yang gundah-gulana itu.Lalu dalam kesibukan melayan jiwaku yang serabut,akhirnya aku terlelap juga.

SEJAK kejadian tempoh hari,Nadia tidak lagi membangkitkan soal Firdaus kepadaku. Setiap kali kami bercakap,topik kami hanya berkisarkan kepada hal-hal lain.Nadia juga tidak lagi meminta telefon bimbitku,dan Firdaus juga tidak lagi menghantar sebarang mesej.Seharusnya aku gembira kerana memang inilah yang aku harap-harapkan,tetapi entah kenapa hatiku berasa tidak senang dengan keadaan ini.

‘’Nadia.’’

‘’Hemm…’’

‘’Kau dah tak berhubung lagi ke dengan Firdaus?’’

Jari Nadia berhenti menulis.Dia memalingkan wajah kepadaku.

‘’Kenapa kau tanya macam tu?’’

‘’Taklah.Sebab selalu kau yang beria-ia sangat nak mesej dengan dialah,apalah.Tapi sekarang ni lain pulak.’’ Ujarku.

Nadia mendiamkan diri.Dia tidak menjawab pertanyaanku.Aku menarik kerusiku dan duduk di hadapannya.

‘’Semua ni sebab aku ke,Nadia?’’ Soalku setelah itu.

‘’Tak,bukan sebab kau Ary.’’

‘’Habis tu?’’

‘’Entah,mungkin sebab aku sendiri yang tak rasa selesa nak mesej dia lagi.’’

‘’Kenapa?’’

‘’Kau ingat tak dulu,aku pernah bagitau kau yang Firdaus tu baik?’’

Aku mengangguk.

‘’Bila aku kata macam tu,aku benar-benar maksudkannya. I mean,Firdaus yang aku kenal dulu memang baik.Sangat-sangat baik. Baik sampai ke tahap takkan marah pun walaupun orang tu maki dia teruk-teruk.Dia akan senyum je dan akan cuba selesaikan masalah dengan cara baik.Tapi,bila dia sound kau macam tu semalam. Walaupun bagi orang lain benda tu macam biasa je tapi bagi aku yang hanya nampak sisi baik dia saja selama ni… entahlah.’’ Nadia menghempaskan keluhan.

‘’Manusia berubah,Nadia.Tak semestinya dulu dia baik,sekarang pun dia akan baik. Lagipun mungkin aku memang dah melampaui batas,atau dia ada masalah masa kita telefon dia hari tu.Masalah orang manalah kita tahu kan.’’ Ujarku.

Mata Nadia terkebil-kebil melihatku usai aku menyudahkan kata-kataku.Aku memandangnya dengan rasa pelik.

‘’Apasal mata kau terkebil-kebil macam tu?’’

‘’Tak ada apa. Cuma,macam tak percaya yang kau pun akan cakap benda-benda positif macam ni.’’

‘’Ohh…jadi selama ni aku cakap benda-benda negatif sajalah. Sama sajalah perangai kau dengan senior kau tu.Semua nak burukkan aku saja.’’ Aku membuat muka merajuk.

Nadia ketawa kecil. ‘’Yalah,maaf.Tapi baguslah kau dah boleh cakap macam ni.Nampak gayanya kata-kata Firdaus tu boleh bawa kesan ke atas diri kau juga kan.’’ Usik Nadia.

‘’Helo! Apa yang aku cakap ni tak ada kena mengena okey dengan katak puru tu. Please la.’’

‘’Kau panggil dia katak puru?’’ Mata Nadia terbeliak. ‘’Kau ingat dia putera katak ke apa? Dia tu handsome gila okey! Ada ke patut panggil dia katak puru.Panggillah Brad Pitt ke,Tom Cruise ke tak apalah juga.’’

‘’Ah,tak peduli! Aku nak panggil dia katak puru jugak! Katak puru uuuuhh….’’

‘’Ary!’’ Jerit Nadia seraya menggeletek pinggangku.Aku menjerit kegelian lantas menggeletek pinggangnya kembali.Akhirnya kami berdua sama-sama ketawa. Hatiku berasa senang apabila melihat Nadia kembali ceria semula apabila berbicara tentang Firdaus.

Aku mesti buat sesuatu agar Nadia dan Firdaus akan kembali seperti dulu lagi.Aku tak mahu disebabkan aku,hubungan mereka putus pula,tekad hatiku.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.