Home Novel Cinta Dia Si Katak Puru ( Tajuk Asal : Sekali Ini Saja)
Dia Si Katak Puru ( Tajuk Asal : Sekali Ini Saja)
Farrah Izzlorna
6/8/2014 23:52:11
74,867
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 12

‘’ARIANA tu entah apa-apa saja kan,benci betul aku bila tengok muka dia.’’

‘’Entah! Dahlah perangai tu macam Hitler,asyik nak marah orang tak habis-habis.Itu tak kena,ini tak kena.Padanlah tak ada orang yang berani nak mengurat dia.Umur dah 25 tahun,tapi boyfriend pun tak ada lagi.Aku berani betlah,jadi anak dara tualah nanti dia tu.’’

‘’Betul apa yang korang cakap tu. Aku sendiri pun tak faham,kenapalah tiap-tiap tahun dia boleh dapat Anugerah Khidmat Cemerlang.Kerja tak bagus mana pun aku tengok.Bodek bos lebih saja dia tu.Padahal bukannya hebat sangat pun!’’

Itulah kata-kata ‘hikmat’ yang kudengari saat aku melangkahkan kaki ke pejabat pada hari itu.Cakap-cakap mengumpat yang sudah lali singgah di telingaku ini.Aku pantas menuju ke meja perempuan-perempuan yang bercakap buruk tentangku tadi.

‘’Tapi sekurang-kurangnya,walaupun aku ni tak ada boyfriend,bakal jadi anak dara tua,perangai macam Hitler sekalipun,aku tak adalah menghabiskan masa mengumpat macam korang. Jadi tak payahlah nak fitnah aku konon-konon aku dapat anugerah Khidmat Cemerlang tu sebab aku pandai bodek bos.Aku dapat sebab aku rajin,aku layak.Bukan macam korang,tak habis-habis nak buat dosa pagi-pagi buta macam ni.’’ Sindirku.Mereka tersentak dengan kehadiranku yang tiba-tiba itu. Tak ada seorang pun yang bersuara.

‘’Eh,kenapa diam pulak ni? Cakaplah lagi.Takkanlah berani nak cakap belakang saja.’’ Aku terus menyindir mereka lancang.Apabila mereka hanya diam,aku tersenyum sinis.

‘’Tulah,lain kali kalau nak mengata orang,tengok tempatlah.Tunggulah sampai waktu balik kerja ke,apa ke.Ini tak,nak mengutuk pun main terjah ikut suka hati korang saja.Kan sekarang dah malu sendiri.’’

Haha.Puas hatiku.Aku terus menuju ke bilikku tanpa mempedulikan mata-mata pekerja lain yang mengekori langkahku.Aku sudah biasa menjadi perhatian ramai seperti ini.Bukan kerana aku cantik.Bukan kerana aku disukai.Tetapi kerana kelancangan mulutku.Tetapi aku tidak kisah dengan perspeksi orang lain terhadap diriku.Bukannya mereka yang memberi makan kepada aku pun.

Ketika aku sedang sibuk menyiapkan kerjaku,tiba-tiba interkom di hadapanku berbunyi.

‘’Ariana,sila datang ke bilik saya sekarang.’’ Arah Tengku Yusrizal,pengarah urusan di syarikatku.

Aku segera keluar dari pejabatku dan menuju ke arah pejabat Encik Yusrizal.Sambil-sambil itu aku menghadiahkan jelingan kepada orang yang menyindir aku tadi.Mereka menundukkan kepala dan berpura-pura membuat kerja. Setelah Tengku Yusrizal mengarahkan aku masuk,aku duduk di atas kerusi di hadapan mejanya.

‘’Ya Tengku,ada apa-apa yang boleh saya bantu?’’ Soalku hormat.Tengku Yusrizal memang amat kusegani.Hanya dialah satu-satunya orang di syarikat ini yang aku hormat dengan sepenuh hatiku.Bagiku,sepanjang bekerja di bawah satu bumbung dengannya sejak dua tahun yang lalu,dia adalah seorang bos yang begitu berdedikasi dan mengambil berat tentang orang-orang bawahannya.Jarang dapat jumpa bos yang begitu baik seperti itu.

‘’Sebenarnya,tujuan saya panggil awak ni kerana saya nak minta tolong kepada awak,Ariana.Awak tahu kan yang tak lama lagi,saya akan bersara?’’

Aku mengangguk. Memang aku sudah maklum akan hal itu.

‘’Disebabkan itulah,saya mengambil keputusan untuk menyerahkan jawatan saya sekarang ni kepada anak lelaki saya yang bongsu,Tengku Nazrul Hakimi.Dia baru balik dari luar negara dua minggu lepas. Mulai minggu depan,dia akan mengambil alih jawatan saya ni.Jadi saya harap,awak akan membantunya dalam menguruskan perniagaan syarikat kita ni sekiranya dia memerlukan bantuan awak.’’

Aku terkejut apabila mendengar amanatTengku Yusrizal itu.

‘’Tetapi kenapa saya,Tengku? Kan masih ada orang yang lebih berpengalaman daripada saya dalam syarikat ni. Saya tak rasa yang saya boleh memikul tanggungjawab yang sebegini besar.’’ Aku cuba menolak.

‘’Ya,saya tahu ada orang yang lebih lama berpengalaman daripada awak.Tapi daripada mereka semua tu,awaklah yang paling saya percaya.Lagipun saya tahu yang kredibiliti awak memang tak perlu diragui lagi.Kalau tak,takkanlah selama dua tahun berturut-turut awak dapat mempertahankan Anugerah Khidmat Cemerlang syarikat kita ni.Bukan calang-calang orang boleh mendapatnya.Jadi saya berharap dengan segala kebolehan yang awak ada tu,awak boleh membantu saya,Ariana.’’

‘’Tapi….’’ Aku masih keberatan.

‘’Awak jangan bimbang,Ariana.Sebenarnya sebelum pulang ke Malaysia,anak saya tu dah bekerja di syarikat Pak Ngahnya di London selama beberapa tahun.Jadi dia dah berpengalaman,cuma kamu perlu menolongnya dalam urusan tertentu saja. Beritahu apa-apa yang patut.Saya betul-betul berharap yang kamu takkan menolak,Ariana.Anggap sajalah ini permintaan saya yang terakhir sebagai bos kamu sebelum saya bersara nanti.’’ Tengku Yusrizal terus berusaha meyakinkanku.

Aku merenung wajah Tengku Yusrizal lama.Sungguh,aku tidak sampai hati mahu menolak permintaan bosku yang telah banyak berjasa padaku itu.Akhirnya,dengan rasa terpaksa aku bersetuju juga.

PUKUL 12.30 tengah hari.Waktu makan tengah hari sudah tiba.Aku menggeliat,mahu melepaskan penat.Akhirnya,separuh kerjaku sudah siap.Setelah mengemaskan fail-fail di atas meja,aku keluar dari pejabatku.

Hari itu,aku bercadang untuk makan di kafeteria sahaja.Dan seperti biasa,aku sendirian.Ketika aku berjalan di lobi,tiba-tiba aku ternampak Nadia.Nadia tersenyum apabila melihatku dan berlari-lari anak mendapatkanku.Aku mengeluh.Sejak perselisihan faham yang terjadi antara kami dua hari lepas,aku dan Nadia langsung tidak bertegur-sapa.

‘’Ary,jom kita pergi makan.Aku belanja kau.’’ Ajak Nadia ceria seraya menarik tanganku.Aku pantas menarik tanganku dari peganganku.

‘’Pergilah ajak boyfriendkesayangan kau tu. Selalu suka sangat makan sekali dengan dia.’’ Ujarku dingin.

‘’Alah,janganlah macam ni.Takkan marah lagi kot.’’ Pujuk Nadia.

‘’Buat apa pula aku nak marah dengan kau? Aku kan yang sebenarnya salah,suka sangat menyibuk hal kau dengan teman lelaki kau.Dan untuk itu,aku minta maaf sangat-sangat dan mulai hari ni,aku janji takkan ambil tahu dah hal kau dengan dia.Suka hati kaulah nak buat apa pun dengan dia,nak balik rumah lewat macam mana pun,aku takkan peduli lagi.Minta maaflah sebab selama ni aku jadi kawan kau yang sangat busybody.Mesti kau meluat gila dengan perangai aku kan.’’ Ujar aku berjauh hati.

‘’Ary,janganlah macam ni.Okey,aku tahu aku salah dalam hal ni.Aku tahu,kau buat macam ni sebab kau ambil berat kat aku,sebab kau bimbangkan aku.Tak sepatutnya aku cakap macam tu dekat kau.Dan aku juga nak minta maaf sebab mungkir janji.Lain kali,aku janji aku takkan buat lagi perangai macam tu.Jadi please,tolonglah maafkan aku.Setiap manusia lakukan kesilapan kan.Sedangkan Nabi S.A.W pun ampunkan umatnya.’’ Nadia terus memujukku.Aku merenung wajahnya lama sebelum menghempaskan keluhan.

‘’Yalah,yalah.Aku terima maaf kau tu.Tapi itu tak bermakna yang perspeksi aku terhadap Adnan berubah tau.Aku tetap tak suka dia,faham?’’ Aku mengingatkan Nadia.

Nadia tersenyum ceria. ‘’ Tak apa,tak apa.Asalkan kau dah memaafkan aku pun dah cukup.Dan sebagai tanda meraikan persahabatan kita yang kembali terjalin dan juga atas kejayaan kau meraih anugerah Khidmat Cemerlang selama dua tahun berturut-turut,aku nak bawa kau ke satu tempat yang istimewa.Dan aku berani bet yang kau mesti suka punya.’’

Aku mengerutkan dahi. ‘’Tempat apa?’’

‘’Alah,ikut sajalah.’’ Nadia mengenyitkan mata.Aku tersenyum nipis,mengalah dengan Nadia.

‘’NI tempat apa ni?’’ Soalku apabila Nadia memberhentikan kereta di depan sebuah gerai makan yang terletak di tepi jalan.

‘’Kedai makanlah.Takkanlah kedai repair kereta pulak.’’ Kata Nadia seraya membuka pintu keretanya.

‘’Aku tahulah.Tapi kenapa kau bawa aku ke sini?’’

‘’Sebab makanan kat sini sedap.Dulu aku selalu datang makan kat sini dengan kawan-kawan aku.Kebetulan pula tempat makan ni dekat dengan sekolah aku.Tapi bila dah habis sekolah,aku tak pernah datang ke sini lagi.Hari ni pulak tiba-tiba aku teringin nak makan kat sini,sebab tulah aku ajak kau sekali.’’ Ujar Nadia.

‘’Kau ajak aku datang sini sebab nak meraikan kejayaan aku ke atau nak mengenang kembali kenangan lama?’’ Soalku,sengaja mengusiknya.

Nadia ketawa. ‘’Dua-dualah.’’

Aku dan Nadia berjalan beriringan masuk ke kedai makan itu.Aku melihat begitu banyak orang sekali yang beratur untuk membeli makanan.Nampaknya betullah kata Nadia,makanan di sini sedap.Kalau tidak takkanlah sampai begitu ramai sekali orang yang datang pada hari-hari kerja macam ni. Itu pun aku dan Nadia bernasib baik kerana berjaya mendapat tempat duduk.

‘’Kau pergilah dulu ambil makanan.Kalau tak ada orang jaga tempat ni maunya diambil orang lain pulak nanti.’’ Arah Nadia kepadaku.

‘’Sempat ke?’’ Aku berasa risau pula apabila melihat barisan yang begitu panjang sekali.

‘’Sempatlah. Lagipun kau ni kan pekerja kesayangan bos.Kalau sekali-sekala masuk lambat apa salahnya.’’

‘’Ermm,yalah.’’ Aku segera pergi beratur di barisan yang panjang itu.Ketika aku sedang beratur itu tiba-tiba pula hujan turun dengan lebat sekali ketika itu.Aku mengeluh.

Angin tiada,ribut tiada tiba-tiba pula hujan turun.Lambatlah aku balik ke pejabat nanti.Dengan jammed lagi,rungutku.

Akhirnya setelah lebih kurang sepuluh minit beratur,sampai juga giliranku.Aku mengambil penyepit yang disediakan dan mengambil seekor ketam.Ketika aku mahu meletakkan ketam itu ke dalam pinggan nasiku,tiba-tiba tanganku disiku seseorang dari arah depan.Ketamku itu jatuh bergolek di atas lantai.

Aku melihat ketam masak masam manisku yang telah menjadi sejarah itu.Tambah menyakitkan hatiku apabila melihat ketam itu dipijak-pijak oleh orang ramai sehingga menjadi lumat.

‘’Minta maaf cik,saya tak senga….’’

‘’Hei,awak ni buta ke hah!’’ Aku terus menjerkah lelaki kacak yang berdiri di hadapanku itu.Apabila melihat wajahku,lelaki itu tergamam.Dia terus merenung wajahku buat seketika.Bagai ada sesuatu pada wajahku yang menarik perhatiannya.

Aku berasa geram lantas menolak tangan lelaki itu dengan penyepit yang aku pegang.Cawan yang berisi air kopi yang dipegang oleh lelaki itu terpercik di atas kemejanya.Kemeja hijaunya yang basah akibat terkena hujan itu kini bertompok-tompok hitam pula.Lelaki kacak berkulit cerah dan berkumis nipis itu merenung ke arahku.Aku terkejut dengan apa yang aku lakukan tetapi kerana ego,aku tidak mahu minta maaf.

‘’Awak jangan salahkan saya.Awak yang mula dulu.’’ Aku mempertahankan diriku.Lelaki itu tidak berkata apa-apa.Tiba-tiba dia berjalan mendekatiku.Aku mengambil tindakan berjaga-jaga.Manalah tahu kalau dia mahu mengapa-apakanku.

Namun telahanku silap.Lelaki itu mengambil pinggan nasi dalam peganganku dan mencedok lauk-pauk ke dalam pinggan itu.Dia turut mengambil ketam yang paling besar sekali.Aku terkedu dengan perbuatannya.

‘’Apa awak buat ni? Kalau nak makan ambillah pinggan sendiri.Tak tahu nak beratur pula tu.’’ Marahku.

Lelaki itu mengalihkan pandangan kepadaku.Dia tersenyum seraya menyerahkan pinggan nasi itu kepadaku. ‘’Nah,saya ambil untuk awak!’’

‘’Hah?’’ Aku terkejut.

‘’Sebagai tanda minta maaf sebab saya terjatuhkan ketam awak tadi.Saya juga akan bayar harga nasi dan lauk-pauk ni.Jadi saya harap awak janganlah marah lagi.’’

Sekali lagi aku terkedu.Lelaki ini,kenapa dia bersikap seperti ini? Kenapa dia masih sebaik ini denganku walaupun setelah apa yang aku lakukan kepadanya? Bukankah dia sepatutnya marah padaku? Bukannya memohon maaf kepadaku dan nak belanja aku pula!

Tiba-tiba aku terasa malu ketika itu.

‘’Tak payahlah! Awak ingat saya tak mampu nak bayar ke?’’

Wajah lelaki itu berubah apabila aku berkata begitu. ‘’Bukannya begitu maksud saya,cik.Saya ikhlas nak….’’

‘’Tak payah nak ikhlas-ikhlas sangatlah.Ingat saya tak tahu ke niat tak baik awak tu.’’

‘’YA-ALLAH,saya betul-betul tak berfikiran macam tu pun.Saya memang ikhlas nak minta maaf dengan awak.Saya tahu ni salah saya.’’

‘’Jangan nak berpura-pura baik sangatlah.’’ Aku mendengus.Aku berasa meluat pula mendengar kata-kata lelaki kacak itu.Mula-mula memanglah baik,pijak semut pun tak mati.Tapi bila dah dapat,dibuangnya kita macam sampah.Dasar lelaki! Kutukku.Mengingati apa yang berlaku kepada makku dulu membuatkan aku menjadi geram.

‘’Ary,apa yang terjadi ni?’’ Tiba-tiba Nadia muncul dalam keramaian itu.Terpancar raut kehairanan pada wajahnya apabila melihat aku sedang bertengkar dengan seorang lelaki yang tak dikenali.

‘’Dia nilah! Pergi jatuhkan makanan aku.’’ Rengusku seraya menudingkan jariku ke wajah lelaki itu.

Apabila Nadia memandang wajah lelaki itu,aku melihat perubahan pada wajah Nadia.Ada riak terkejut,gembira dan tak percaya.Nadia terpaku buat seketika.Aku pula yang berasa hairan.Adakah Nadia mengenali lelaki ini?

‘’Abang Firdaus!’’ Dua patah perkataan yang terbit dari mulut Nadia itu membuatkan aku tergamam.Terus aku memandang wajah lelaki di hadapanku itu. Firdaus?

‘’Awak kenal dengan saya ke?’’ Soal lelaki itu hairan.

‘’Saya ni Nadia,junior Abang Firdaus masa sekolah menengah dulu.Tak sangka saya dapat jumpa Abang Firdaus dekat sini setelah sekian lama.’’ Ujar Nadia dengan wajah ceria.

‘’Oh,ya ke.Abang pun tak sangka dapat jumpa dengan junior sekolah lama kat sini.’’ Firdaus mengukir senyuman,tanda turut gembira dengan pertemuan tak disangka itu.

Aku berasa macam sesak nafas apabila mendengar perbualan antara mereka berdua. Aku terasa macam berada di dunia lain.Fikiranku terus kosong.Sungguh,aku tidak tahu bagaimana mahu berhadapan dengan Firdaus ketika ini!

Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.