Home Novel Cinta Dia Si Katak Puru ( Tajuk Asal : Sekali Ini Saja)
Dia Si Katak Puru ( Tajuk Asal : Sekali Ini Saja)
Farrah Izzlorna
6/8/2014 23:52:11
74,892
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 6

‘’WOW,gempak gila result kau Ary!’’ Jerit Nadia sebaik melihat markah CGPAku.Aku sendiri bagaikan tidak percaya apabila melihat keputusan yang terbentang di depan mata. Tak sangka,aku boleh mendapat CGPA yang begitu tinggi,iaitu 3.87.Bahkan markah CGPAku mengatasi Nadia yang selama ini sering mendapat keputusan yang lebih baik daripadaku semasa kami belajar di SERATAS dulu.

‘’Kuasa Tuhan,Nadia.Aku dah berusaha,dapatlah hasil yang setimpal.Lagipun semua ni berlaku disebabkan kau juga.Kau banyak ajar aku benda-benda yang aku tak tau semua.Jadi benda ni bukan kejayaan aku sorang,tapi kejayaan kau jugak,dan…’’ Aku hampir-hampir saja tersasul menyebut nama Firdaus.

‘’Dan….????’’ Nadia bertanya dengan intonasi yang panjang.

‘’Tak ada apa-apalah.Aku tersilap cakap tadi.’’ Aku pantas berdalih.

‘’Haih,famous lah kau nanti dalam area PASUM ni. Bukan calang-calang orang boleh jawab soalan periksa PASUM yang memang killer habis tu.Mesti kau tak sabar-sabar nak beritahu dia kan.’’

‘’Hah?’’ Aku mengerutkan dahi. ‘’Beritahu siapa?’’

‘’Firdaus.’’

Darahku menyirap apabila Nadia menyebut nama lelaki itu.

‘’Firdaus? Huh! Apasal aku nak kena bagitau dia pulak? Please lah!’’

‘’Hemm,yalah tu.Hari tu bukan main lagi berjanji-janji nak bagitau.Ingat aku tak dengar ke.’’ Balas Nadia dengan senyuman penuh makna.

Aku kematian kata-kata.Tiba-tiba aku berasa malu pula.

‘’Hari tu hari tulah,hari ni hari nilah.Aku tak maksudkan apa yang aku cakapkan masa tu okey.Jadi jangan nak memandai-mandai.’’

‘’Yalah,yalah.Aku percaya cakap kau.’’ Ujar Nadia sambil terus tersenyum-senyum.Entah kenapa, hati naluriku mengatakan,Nadia tidak percaya akan kata-kataku.

MALAM itu,aku belajar sendirian di dalam bilik. Nadia pula sudah lama tidur kerana katanya dia kurang sihat sedikit pada malam itu.

Dett…dett…

Ketika aku sedang mengulangkaji pelajaranku,tiba-tiba telefon bimbitku bergetar dalam jangka masa panjang,menandakan ada panggilan masuk.

Siapalah yang telefon aku malam-malam ni,rungutku.Aku melihat skrin telefon bimbitku.Satu nombor yang tidak kukenali.Aku hanya membiarkan saja.Memang aku tidak suka menjawab panggilan daripada nombor yang aku tak kenal.

Aku menyambung pembacaanku tetapi setelah beberapa minit,nombor itu masih tetap menghubungiku.Bagaikan tidak mahu berhenti selagi aku tidak menjawab panggilannya.Aku mendengus.Tiba-tiba aku terfikir,entah-entah panggilan itu adalah panggilan penting.Kalau tidak takkanlah tak berhenti-henti macam ni. Akhirnya aku menjawab panggilan itu.

‘’Helo,siapa ni?’’

‘’Kau ni Ria eh?’’ Tanpa angin,tanpa ribut,pemanggil itu bertanya siapakah diriku.Nada suaranya begitu kasar sekali.

Apabila nama Ria disebut,aku teringatkan Firdaus.Hanya Firdaus mengenali aku dengan nama itu.Tetapi lelaki yang sedang bercakap denganku sekarang bukan Firdaus. Jadi siapakah dia?

‘’Ya.Aku ni Ria.Kau ni siapa pula? Macam mana kau boleh dapat nombor aku?’’

‘’Kau tak perlu tahu aku ni siapa.Sekarang aku nak kau buka telinga kau luas-luas.Mulai sekarang,aku tak nak kau kacau Firdaus lagi.Kau ni tak tahu malu ke,asyik nak kacau-kacau lelaki? Mana letaknya maruah kau sebagai perempuan?’’ Lelaki itu berkata dengan nada suara yang tinggi.Darahku menyirap apabila mendengar kata-kata lelaki itu. Kurang ajar!

‘’Hei,kau tak ada hak nak kata aku yang bukan-bukan.Kau mempersoalkan maruah aku,diri kau tu bagus sangat ke? Dah sempurna sangat dah,cakap kurang ajar dengan orang macam ni? Lagipun aku cakap dengan Firdaus selama ni,ada kacau kau ke? Ada kacau duit kau sampai nak bising-bising macam ni?’’ Jerkahku,namun nada suaraku masih dikawal agar tidak mengejutkan Nadia yang sedang tidur di katil sebelah.

‘’Ya,memang kau kacau aku! Firdaus tu sepupu aku,kawan baik aku. Jadi aku tak suka dia menghabiskan masa dia bersembang dengan perempuan yang entah apa-apa macam kau ni.Tak habis-habis nak menggatal dengan lelaki macam perempuan yang tak ada akhlak.’’

‘’Hei,kau ni memang lebih sudu daripada kuah kan! Firdaus tak kata apa pun,kau pula yang melebih-lebih.Atau disebabkan tak ada perempuan yang nak rapat dengan kau sebab mulut kau yang tak ada insurans tulah,kau rasa jealous dengan Firdaus.Betul tak?’’ Sinis sekali tutur kataku.

‘’Hah? Firdaus tak kata apa-apa kau cakap?’’ Lelaki itu ketawa berdekah-dekah.Ketawa yang begitu menyakitkan hatiku.

‘’Kalau kau ingat macam tu,kau memang silaplah.Mungkin Firdaus tak pernah beritahu kau sebab dia tak nak kecilkan hati kau,tapi sebenarnya dia rasa menyampah sangat-sangat tahu tak bila kau dan kawan kau yang sorang lagi tu tak berhenti-henti kacau dia.Macam orang yang tak ada life.Macam orang yang kekurangan kasih sayang,asyik nak seeking attention daripada dia.Beritahu cerita-cerita sedih pasal keluarga kau konon-kononnya nak menagih simpati dia.Tapi seriously,kau ingat dia peduli ke? No way lah!

Firdaus tu baik,sebab tulah dia tak sampai hati nak bagitau kau.Tapi memandangkan aku tak sebaik dia,jadi biar aku yang bagitau bagi pihak dia.Bagi dia,kau ni tak lebih dari sekadar perempuan-perempuan gatal yang asyik ganggu hidup dia selama ni,dengan harapan dapat menjadi girlfriendTengku Firdaus Amsyar yang famous,handsome dan kaya-raya.Tapi kau jangan bermimpilah nak dapat apa yang kau nak tu,sebab kau tak setaraf dengan kami.Kami ni dari keluarga kerabat,sedangkan kau? Dari cara kau cakap pun aku dah tahu yang kau ni bukan dari keluarga baik-baik.Asyik mengharapkan agar suatu hari nanti ada lelaki kaya yang akan hadir dalam hidup kau,suap kesenangan dalam mulut kau dan mandikan kau dengan wang ringgit.Dan aku takkan biarkan Firdaus menjadi mangsa kepada perempuan macam kau ni.Kau tu tak layak pun nak menjadi kawan dia,apatah lagi nak menjadi pendamping hidup dia.Jadi janganlah nak jadi macam pungguk yang rindukan bulan,sebab akhir sekali kau juga yang akan kecewa.Sedarlah diri tu sikit.’’

Hatiku bagai dicarik-carik apabila mendengar kata-kata lelaki itu.Mataku mula berkaca-kaca.Benarkah apa yang dikatakan oleh lelaki itu? Adakah itu tanggapan sebenar Firdaus terhadap diriku selama ni? Adakah curahan hati aku selama ini hanya membebankan dirinya? Adakah segala kebaikan yang ditunjukkannya hanya lakonan semata-mata,hanya untuk menjaga hati perempuan yang tak tahu malu ini?

Jika itulah yang difikirkan Firdaus selama ini,aku berasa kecewa.Betul-betul kecewa!

‘’Baiklah,aku takkan ganggu Firdaus lagi.Mulai dari detik ini,aku berjanji aku tak akan menghubunginya lagi.’’ Balasku perlahan.Nada suaraku mulai kendur,tidak marah-marah seperti tadi.

‘’Memang itu yang sepatutnya kau lakukan dari awal lagi.Buktikan yang kau tu masih ada harga diri.Jangan hanya pandai bercakap tapi tidak tahu menunaikan.Kalau aku tahu yang kau masih berhubungan dengan Firdaus lagi…’’ Lelaki itu berkata dalam nada mengugut.

‘’Kau jangan risau.Walaupun aku ni perempuan yang tahu malu,tak ada maruah dan hanya tahu mempergunakan lelaki untuk kesenangan diri sendiri,tetapi aku masih tahu menunaikan janji yang telah aku buat. Jadi kau tak perlu risau.Aku tak akan sesekali mengganggu kawan kau tu lagi dah.Tidak akan pernah sesekali!’’ Balasku penuh emosi.

‘’Bagus. Aku dah tak nak dengar cerita pasal kau atau kawan kau lagi lepas ni. Pesan kat kawan kau tu juga apa yang aku cakap. Aku berharap,ini akan perbualan yang pertama dan terakhir antara kita.Selamat tinggal,Cik Ria.’’

Klik. Talian dimatikan oleh pihak sebelah sana. Dan tanpa disedari,air mataku mengalir kala itu juga.

‘’DASAR budak pembawa malang! Kau dengan mak kau tu sama saja kan,tak habis-habis nak menyusahkan hidup aku!’’

Kata-kata tengkingan itu kembali menyulam mimpiku.Kisah yang berlaku 10 tahun yang lalu masih terbayang-bayang dalam fikiranku.Ketika itu aku masih budak kecil,masih tidak mengerti apa-apa.Mataku hanya terkebil-kebil memandang anak patung permainan berpakaian warna merah jambu yang dipegang oleh sepupuku yang muda dua tahun daripadaku itu.Anak patung itu sungguh cantik.Aku sangat teringin hendak bermain dengan anak patung itu.

‘’Tapi Ariana suka anak patung Sarah tu.Mak cik,boleh tak tolong belikan anak patung tu untuk Ariana?’’ Rengekku manja.Aku meminta tanpa mengenal erti malu.Tanpa mengerti bahawa tiada langsung secubit kasih sayang orang yang kupanggil mak cik itu terhadap diriku.

‘’Banyak cantik muka kau! Apa kau ingat anak patung ni murah? Kau ingat aku dan laki aku cap duit ke apa? Hei,kira bagus tau aku bagi kau menumpang kat rumah aku ni sejak mak kau yang tak guna tu lari tinggalkan kau.Entah apalah malang yang melekat kat badan kau ni sampai mak kandung kau sendiri tak mahu kat kau.Tak pasal-pasal aku pula yang kena bertanggungjawab.’’ Mak Cik Rohana menjuihkan bibirnya.Masih kuingat lagi matanya ketika itu memandangku dengan penuh kebencian.Sementara sepupuku yang bernama Sarah itu hanya tersengih-sengih.Gembira melihat aku dimarahi oleh ibunya.

‘’Mak cik tipu! Abang Haikal cakap mak Ariana meninggal disebabkan kemalangan.Mak tak mungkin akan tinggalkan Ariana.Mak sayangkan Ariana!’’ Kolam mataku berkaca-kaca.Rasa sakit di dalam hatiku akibat kata-kata itu masih dapat kurasa sehingga sekarang.

‘’Hei budak pembawa malang! Abang Haikal kau tu yang penipu,bukannya aku.Kau kata mak kau sayangkan kau? Heh! Memang silap besarlah.Buat pengetahuan,mak kau tu malu tau tak ada anak macam kau ni.Anak luar nikah! Anak yang tak ada bapa.Disebabkan kaulah,dia kena hina dengan orang kampung,kena pulau.Disebabkan kau jugalah,satu keluarga kami menanggung malu,sampai atuk kau meninggal sebab tak tahan mendengar penghinaan orang kampung.DLepas atuk kau mati,mak kau terus lesap dari kampung ni,tak muncul-muncul sampai sekarang.Entah hidup ke mati mak kau tu sekarang.Entah-entah dah jadi bangkai,jadi santapan anjing kurap!’’

‘’Mak cik tipu! Mak tak mungkin buat macam tu! Mak sayangkan Ariana!’’ Aku menjerit-jerit mempertahankan kata-kataku dengan lelehan air mata yang membasahi pipi.

‘’Kalau kau tak percaya cakap aku,cuba kau tanya Abang Haikal,anak aku yang kau percaya sangat tu.Cuba tanya dia,kalau mak kau tu betul-betul mati kemalangan,mana kuburnya? Kenapa Abang Haikal tak pernah bawa kau melawat kubur mak kau macam kita selalu pergi melawat kubur atuk? Dan kau tanya lagi,nama bapa kau siapa? Kalau nama bapa kau lain,kenapa nama kau tu berbintikan Abdullah? Tak macam nama Abang Haikal,berbinkan nama bapanya sendiri.Tak macam Abang Hakim.Tak macam Sarah.Kau tengoklah,mesti dia tak akan boleh jawab punya soalan kau.Sebab apa yang aku cakap tu semua betul!’’

Aku terdiam dan terus masuk ke dalam rumah.Petang itu,setelah Abang Haikal pulang dari sekolah aku terus bertanya kepadanya.

‘’Abang,kubur mak kat mana? Nama bapa Ariana siapa? Kenapa Ariana tak pernah jumpa dia?’’ Baru saja Abang Haikal mahu menanggalkan tali kasutnya,aku terus menerpanya dengan pelbagai soalan.Masih jelas lagi di ingatanku Abang Haikal kelihatan terkejut sekali.Dia menghentikan apa yang dibuatnya dan menoleh pandang ke arahku.

‘’Kenapa Ariana tiba-tiba tanya semua ni kat abang? Selama ni Ariana tak pernah tanya pun.’’ Soal Abang Haikal lembut.

‘’Mak cik yang suruh tanya.Dia kata kalau Abang Haikal tak boleh jawab,maksudnya selama ni Abang Haikal cakap bohong.Mak Ariana sebenarnya tak mati lagi,tapi dia tinggalkan Ariana sebab dia tak sayangkan Ariana.Sebab Ariana ni anak luar nikah.Ariana yang sebabkan kematian atuk.Betul ke semua tu abang?’’ Petah sekali mulutku berkata-kata.Wajah Abang Haikal berubah saat mendengar apa yang aku cakapkan. Tanpa menjawab pertanyaanku,Abang Haikal terus menanggalkan kasut dan masuk ke biliknya,meninggalkan aku terpinga-pinga sendirian.

Malam itu,Abang Haikal tidak keluar untuk makan.Tiga kali aku memanggilnya,tetapi Abang Haikal tetap mendiamkan diri.Mak cik dan pak cik juga tidak berkata apa-apa,seakan-akan mereka sudah menjangka Abang Haikal akan bertindak sedemikian.

Selepas selesai makan,aku terus masuk tidur.Dan tidak berapa lama kemudian,aku terjaga apabila mendengar suara orang bertengkar dari ruang tamu.Suara Abang Haikal dan mak cik.Aku terus membuka pintu bilikku.Dapat kulihat wajah Abang Haikal yang begitu marah sekali.Tidak pernah aku melihat Abang Haikal mempamerkan ekspresi wajah sebegitu.

‘’Kenapa dengan mak ni hah? Sanggup mak suruh Ariana tanya soalan-soalan macam tu kat Haikal.Apa yang Haikal nak jawab dengan dia mak? Apa?!’’ Suara Abang Haikal yang meninggi itu membuatkan aku kecut perut mendengarnya.

‘’Kamu jangan nak kurang ajar dengan mak,Haikal! Jangan kerana budak pembawa malang tu,kamu pula yang jadi anak derhaka.Mak tak rasa apa yang mak buat tu salah.Mak cuma nak dia tahu kebenaran,supaya dia sedar sikit diri dia tu siapa.Kerana dia dan mak dialah,nasab keturunan kita tercemar tahu tak! Mana mak nak letak muka mak ni.Sampai sekarang ni orang kampung asyik mengata kita sebab budak tu tinggal dengan kita tahu tak.’’

‘’Pedulikanlah apa pun yang orang kampung nak cakap mak! Ariana tu masih kecil lagi,masih tak tahu apa-apa.Seharusnya kita jaga dan didik dia dengan penuh kasih sayang,bukannya layan dia macam sampah kat dalam rumah ni.Lagipun bukan dia yang diminta dilahirkan dalam keadaan macam ni,mak.Semua ni salah mak ayah dia,bukannya Ariana.Jadi kenapa Ariana pula yang kena menanggung kesalahan mak ayah dia? Kenapa Ariana pula yang menjadi mangsa kemarahan mak disebabkan apa yang berlaku terhadap keluarga kita? Ini tak adil,mak.Memang tak adil!’’

Pang! Tamparan itu hingap di pipi Abang Haikal.Kuat sekali bunyinya.Abang Haikal menggosok-gosok pipinya yang mulai merah itu seraya memandang kembali mak cik yang sedang merenungnya bagai singa betina yang kelaparan.

‘’Kau jangan nak mengajar aku,Haikal! Aku ni mak kau tau.Mak kau! Seharusnya kau beradab dengan aku. Bukannya jadi biadab macam ni semata-mata nak bela sepupu malang kau tu. Jaga sikit kata-kata kau,Haikal.Jangan sampai kau dilaknat ALLAH S.W.T kerana kelancangan mulut kau kepada mak yang telah bertarung nyawa melahirkan kau ni!’’

‘’Ariana bukan pembawa malang,mak.Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ni umpama kain putih,bersih daripada dosa dan noda.Tiada istilah malang atau tuah yang mengiringi kelahiran mereka.Semua manusia dilahirkan sama saja,mak.Dan Haikal berharap,suatu hari nanti mak akan sedar akan kebenaran kata-kata Haikal ni.’’ Setelah berkata demikian,Abang Haikal menuju ke biliknya.Dan sebelum masuk,Abang Haikal sempat lagi berkata.

‘’Maafkan Haikal jika mak anggap Haikal ni sebagai anak derhaka.Tapi percayalah,Haikal buat semua ni pun sebab Haikal sayangkan mak.Haikal tak nak mak terus berbuat dosa dengan terus menindas Ariana dan menuduhnya yang bukan-bukan.Kita seharusnya melindungi dia,bukannya menambahkan lagi bebannya.’’

Mak cik hanya mengetap bibir apabila mendengar kata-kata Abang Haikal.Aku menutup pintu bilikku kembali.Dan ketika itu hati kecilku sudah dapat merasakan,bahawa mak cik memang bercakap benar.Aku ini memang anak luar nikah. Anak tak sah taraf yang tidak mahu diakui oleh ibu bapa kandungnya sendiri.

Sejak hari itu,aku sudah banyak berubah.Aku lebih banyak berdiam diri dan tidak mahu bergaul dengan sesiapa pun.Suaraku ini bagaikan emas,susah sekali untuk didengari walaupun oleh orang yang tinggal satu rumah denganku.Aku jarang sekali berbual dengan sesiapa pun kecuali Abang Haikal.Abang Haikal banyak memberikan semangat padaku,dan dia jugalah yang memberi aku keyakinan untuk terus menghadapi cabaran di dunia ini,walaupun sebagai manusia yang sikapnya dibenci oleh kebanyakan orang.

Pendiam,tak suka bergaul, lebih suka menyendiri.Itulah diriku.Tetapi aku gembira,kerana dengan cara ini aku dapat mengelakkan diriku dari disakiti sekali lagi oleh orang-orang yang aku sayangi.Biarlah aku dibenci.Biarlah aku dipulau.Biarlah aku dianggap apa pun.Aku tidak kisah.Asalkan hatiku tidak disakiti lagi,itu sudah memadai bagiku.

Tapi hanya disebabkan satu panggilan,segala-galanya berubah.Hatiku sekali lagi disakiti.Diriku sekali lagi dihina dengan pelbagai cercaan dan hinaan,bagaikan aku ini adalah manusia yang paling teruk dalam dunia ini.Yang paling teruk sekali,jiwaku bagai dicarik-carik apabila diberitahu tentang tanggapan Firdaus yang sebenarnya terhadap diriku.Ternyata selama ini dia tak ikhlas berkawan denganku,dan semua yang aku luahkan selama ini hanya menyusahkan dirinya.Kepercayaanku terhadapnya selama ini punah dalam sekelip mata.

‘’Aku bencikan kau,Firdaus.Aku benci kau sangat-sangat.

Tanpa disedari,aku mengungkapkan ayat ini dalam tidurku.Berulang-ulang.

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.