Home Novel Cinta Seluruh Cinta
Bab 2

Zafril duduk bersila di sebelah neneknya yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri. Dari tadi dia menggenggam erat tangan tua itu. Dia tidak mahu langsung melepaskannya. Sakit Mak Biah semakin teruk, nafasnya turun naik. Dia berdoa semoga dia sempat bertemu dengan anak tunggalnya Aishah. Hati tuanya sangat merindukan pelukan dan ciuman si anak. Dia ingin memohon maaf pada si anak kerana memisahkan ibu dengan anaknya sendiri. Bukan niat Mak Biah untuk memisahkan mereka anak beranak tapi dia tidak mahu hidup Zafril disia-siakan kelak. Dia tak yakin Aisyah akan menjaga Zafril dengan baik, dia takut peristiwa Aisyah hampir membunuh anaknya sendiri akan berulang. Dia juga mahu Aisyah memulakan hidup baru, dia tidak mahu anaknya terus dihantui peristiwa lampau yang pahit itu.

“Nek..nenek rehat ye, nenek tidur dulu. Nanti bila dia dah sampai Aril kejut nenek.” 

“Aril…ibu…bukan..dia.” Mak Biah memandang Zafril lama. Dia faham perasaan Zafril yang diabaikan ibu dari kecil sehingga dia meningkat dewasa sekarang. Dia tahu Zafril rindukan ibunya. Selepas Aishah di halau keluar rumah, Zafril menangis teruk. Sehari selepas itu dia demam panas. Mak Biah memujuk Zafril dengan pelbagai cara dan hanya dengan kata-kata, ‘Esok ibu balik. Kalau ibu balik tengok Aril demam macam ni nanti ibu marah. Aril kena sihat selalu nanti ibu pun sayang selalu. Ibu tak marah-marah dah.’ Alhamdulillah Zafril sembuh dan setiap hari dia duduk di muka pintu menunggu kepulangan ibunya. Sehingga bila dia mula bersekolah dan dia mula faham kenapa ibunya tidak pernah balik dan dia mula faham yang ibunya tidak pernah sayang dia. 

“Tu kau tengok tu anak haram. Dia ingat bila pindah sini orang tak tahu yang dia tu anak haram. Tengoklah sampai mak dia sendiri pun tak sanggup nak bela. Dah sedap-sedap buat, bila mengandung dapat anak haram senang je bagi orang tua yang bela. Binatang pun tahu sayang anak.” 

“Ye ke Siah. Tak tahu pulak aku dia anak haram. Budaknya baik, elok sopan. Tapi sayang anak haram. Kesian.”

“Betul..mak dia jahat. Tu yang sampai mengandung anak haram. Kesian Mak Biah dia pulak yang kena bela budak tu. Kalau aku lah tak ingin aku nak jaga anak haram. Biar mak dia yang jaga. Pandai buat tak pandai jaga.”

Kata-kata inilah yang buatkan Zafril sedar dan tahu siapa dirinya yang sebenar. Ketika itu dia berumur 12 tahun baru dia tahu siapa dia sebenarnya. Zafril ada bertanyakan pada nenek tentang perkara ini namun nenek sering mengelak. Nenek cuma cakap yang ibu tidak bersalah, ibu sayang Zafril. 

“Semua yang jadi pada kita atas dunia ni ada sebab dan musababnya. Aril kena sentiasa bersyukur pada Allah kerana ada ibu dan nenek yang sayang Aril. Kalau ibu tak sayang dia tak akan kirim duit untuk Aril sekolah. Syurga Aril dibawah telapak kaki ibu. Sejahat mana pun dia, dia tetap ibu Aril. Aril kena hormat dia. Ingat pesan nenek Aril.” 

Setiap kali soalan ini diutarakan, setiap kali itu juga jawapan ini yang dia terima sehingga Zafril malas lagi untuk bertanya. Kata-kata orang kampung juga dia sudah lali. Kata-kata itu bagi Zafril hanya seperti angin sepoi yang mengenai wajahnya dan terus berlalu pergi. Zafril sudah lali, dia yakin Allah sentiasa ada dengannya dan Allah tahu apa yang terbaik untuk setiap hambanya.

 “Aril mintak maaf nek. Nek rehat ye, Aril nak solat asar sekejap.” 

“Ye..pergilah.” Zafril bangun meninggalkan neneknya untuk menunaikan solat asar. Dia tahu nenek tidak sabar untuk berjumpa dengan ibu. Semoga ibu pulang dan tidak mengecewakan hati nenek. Soal dirinya dia sendiri tak pasti apa perasaan dia sekarang, teruja? gembira? sedih? Entahlah..yang pasti dia belum bersedia untuk berjumpa dengan ibunya. Kalau bukan permintaan nenek meminta ibu pulang, dia pasti takkan hubungi ibu untuk maklumkan tentang keadaan nenek yang tenat. Demi nenek dia sanggup lakukan apa saja.

Usai solat asar, seperti biasa Zafril akan membantu Mak Biah untuk mengambil wudhuk dan menunaikan solat secara baring. Alhamdulillah selama Mak Biah sakit solatnya sentiasa terjaga, dia sangat bersyukur di kurniakan cucu sebaik Zafril.

Setelah Mak Biah selesai solat kedengaran bunyi kereta memasuki perkarangan halaman rumah mereka. Zafril yakin itu kereta milik ibunya. Zafril melihat wajah nenek yang terpancar kegembiraan. 

“Assalammualaikum.” Air mata Mak Biah mengalir laju bila mendengar suara itu memberi salam. Mak Biah cuba bangun tapi dia tak berdaya untuk berbuat demikian.

“Waalaikumussalam. Masuklah, nenek ada dalam bilik.” Zafril hanya memandang sekali lalu wajah-wajah dihadapannya. Dia masih belum bersedia. Laju langkah kaki menuju ke bilik nenek, tak sanggup untuk terus berdepan dengan insan yang sangat dia rindu. 25 tahun dia pendam rindu dan dia sendiri tidak pasti masihkah rindu itu wujud dalam dirinya.

“Mak…Mak..ampunkan Cah mak. Cah berdosa mak..ampunkan Cah.” Tangisan Puan Aishah bergema satu bilik. 

“Cah…mak rindu..” Dahi Puan Aisyah dikucup lembut Mak Biah. Lama Puan Aisyah memeluk ibunya. Zafril tak sanggup melihat adegan itu lebih lama kerana bila-bila masa saja empangan air matanya akan pecah. Zafril terus keluar meninggalkan ibu, nenek dan seorang lelaki mungkin ayah tirinya.

“Aril…mari makan..ibu masak lauk kari ikan kegemaran Aril.” Puan Aisyah cuba menarik perhatian anaknya untuk berbual. Sedari dia sampai tadi anaknya itu sering mengelak, mungkin anaknya sudah benci pada dia. Semasa anaknya menyambut mereka petang tadi dia langsung tidak cam itu anaknya. Wajahnya sudah berubah, dulu Zafril iras Azman tapi sekarang wajah itu lebih iras wajahnya sendiri. 

“Terima kasih. Saya dah kenyang.” Zafril terus berlalu meninggalkan ibu dan ayah tirinya. 

“Sabar sayang. Bagi dia masa, jom kita makan.” Mujurlah suaminya faham situasi yang sedang berlaku, jika tidak tentu keadaan akan semakin rumit. Puan Aisyah menarik kerusi di sebelah suaminya. Semoga suatu hari nanti Zafril akan terima dia sebagai ibu. 

“Cah..tidur dengan mak ye…Aril pun..tidur sini.” Permintaan nenek buatkan Zafril tidak mampu untuk menolak. Dia terus memeluk erat tangan nenek dan merebahkan kepalanya di sebelah nenek. Puan Aisyah turut berbuat demikian. Di sebelah kanan anak disebelah kiri pula cucu. 

“Nenek bahagia Aril. Aril ingat lagi pesan nenek?” Soal Mak Biah sayu.

“Ingat nek. Dahlah nenek, kita tidur ye. Nenek kena tidur awal.” Zafril mencium ubun-ubun neneknya.

“Nanti nenek dah takde, Aril jaga mak. Macam Aril jaga nenek.” Zafril senyap. Dia tidak mahu menjawab apa-apa sebab dia tidak yakin untuk memberikan sebarang jawapan.

“Mak..kita tidur ye. Cah sayang mak. Ampunkan Cah mak.” Puan Aisyah bersuara bila Zafril terus menyepi. Dia tahu anaknya tidak mahu memberi sebarang komen tentang penyataan Mak Biah tadi.

“Mak dah ampunkan. Jangan abaikan anak kamu lagi. Bagi dia masa untuk terima semua ni.” 

“Ye mak. Mak tidur ye.” Puan Aisyah menarik selimut yang hanya menutupi kaki Mak Biah. Dia cuba untuk betulkan selimut anaknya namun cepat-cepat ditepis Zafril. Puan Aisyah tersentak namun cepat-cepat dia tersenyum memandang anaknya. Zafril hanya berdengus dan terus memejamkan matanya. Puan Aisyah tetap tersenyum, dia nampak anaknya sangat comel. Dia tahu anaknya tengah merajuk. 25 tahun bukan satu tempoh yang singkat. Kalau dia di tempat Zafril mungkin dia akan bertindak sama seperti anaknya atau mungkin lebih teruk lagi.

“Mak sayang anak mak..nenek sayang cucu nenek.”

Malam itu mereka bertiga kembali bersama, tidur Mak Biah sangat nyenyak. Impiannya menjadi kenyataan malam ini. Dia berdoa semoga akan ada sinar baru dalam hidup cucunya. Semoga hati cucunya lembut memaafkan si ibu yang tinggalkan dia 25 tahun dulu. Semoga anaknya Aisyah dapat melupakan kisah silam dan buka lembaran baru dalam hidupnya. Hidup kita tidak akan aman dan tenteram selagi dendam dan amarah ada dalam hati kita. Besar ganjarannya sebagai insan yang teraniaya memaafkan orang yang buat aniaya pada kita.

Zafril duduk termenung di atas pangkin dihalaman rumah, dia langsung tidak peduli keadaan sekeliling. Pemergian nenek pagi tadi sangat memberi kesan pada dirinya. Dia hilang tempat bermanja, walaupun umurnya telah mencecah 27 tahun tapi dia masih perlukan nenek untuk dia meluahkan rasa, tempat dia menumpang kasih. Ralat rasanya kerana terlalu mengikut kata hati membawa diri terlalu lama di tanah orang putih. Tujuan dia kembali 5 bulan yang lalu semata-mata untuk menjaga nenek. Tapi hari ini, dia telah kehilangan nenek. Nenek kenapa terlalu cepat nenek pergi. Aril belum puas nak bermanja dengan nenek. Ampunkan Aril sebab terlalu lama tinggalkan nenek. Allah…aku rindu nenek. Zafril mengesat pipi, air mata tumpah lagi. 

“Aril…boleh abah duduk.” Tuan Sharif mengambil tempat disebelah Zafril setelah Zafril mengenjak ke tepi memberi ruang kepada ayah tirinya. Zafril tahu ayah tirinya seorang lelaki yang baik, beruntung ibu dapat suami yang baik.

“Esok ikut abah dan ibu balik kuala lumpur ye. Lagipun minggu depan Aril dah mula kerja dekat KL kan?” Tuan Sharif mula bicara, dia khuatir jika ada kata-katanya akan buatkan si anak berkecil hati. Dia tahu Zafril anak yang baik, walaupun baru beberapa hari dia bersua muka dengan Zafril tapi dia tahu Zafril anak yang bertanggungjawab. Mak Biah memang mendidik Zafril dengan ilmu agama. Imam solat jenazah tadi Zafril yang imamkan tanpa ada rasa kekok. Bertuahnya Mak Biah dan isterinya juga bertuah punya anak sebaik Zafril. Jauh beza sikap Zafril dengan anak lelakinya, Imran. 

“Takpe Pak cik, saya dah beli tiket bas.” Jawab Zafril jujur.

“Ok kalau macam tu nanti sampai stesen bas abah ambik, Aril tinggal dengan kami ye dekat KL.”

“Eh tak pe. Saya dah dapat bilik sewa. Bujangkan bilik sewa pun cukup dah.”

“Jangan la macam tu. Kecik hati ibu nanti. Aril tinggal dengan kami ye. Lagipun rumah tu abah dengan ibu je yang tinggal. Imran ada rumah sendiri Imani pula duduk asrama.” Pujuk Tuan Sharif lagi.

“Mintak maaf Pak Cik, saya tak nak.” Zafril masih bertegas dengan keputusannya. Dia tidak mahu menyusahkan ibunya yang selama ini telah buang dia jauh. Dia tak mahu menjadi beban. Lagipun dia bukannya budak-budak. Dia sudah 27 tahun. Selayaknya dah boleh jadi bapak orang dah.

“Aril…panggil abah bukan pak cik.” Permintaan ayah tirinya hanya dipandang sepi. Dia belum bersedia untuk menerima semua ini. Walaupun penerimaan ayah tiri terhadapnya sangat baik, tapi dia masih belum bersedia. Dia sudah biasa hidup sendiri, 7 tahun di negara orang banyak mengajar dia erti hidup sebenar. Lagipun selama ini dia cuma ada nenek tanpa ahli keluarga yang lain. Selama ini segala susah senang dan sakitnya dia tanggung sendiri, dia tak pernah dan takkan susahkan orang lain. 


Puan Aisyah berat hati meninggalkan Zafril, perasaan yang sama dia rasakan 25 tahun dulu malah lebih sakit lagi. Dia sangat rasa bersalah terhadap anaknya, anak yang tidak pernah berdosa menjadi mangsa keadaan. ‘Zafril..kalaulah ibu boleh undurkan masa, ibu takkan benarkan semua ini terjadi. Ibu takkan buat anak ibu menderita, sedih dan kecewa dengan hidup ini. Sebab ibu, Zafril tidak pernah bahagia, tidak pernah rasa hidup seperti orang lain. Maafkan ibu sayang.’ Kata-kata itu hanya di ungkapkan dalam hati sahaja. Berat benar mulut ini untuk meluahkan segala-galanya. Sangat berat. Allahuakbar. 

“Aisyah..sudahlah. Dia masih belum bersedia untuk terima semua ini. Bagi dia masa, awak kena selalu berdoa supaya Allah lembutkan hati dia untuk terima awak dan kita semua. Kita balik dulu sayang.” Puan Aisyah hanya mengangguk lesu. Terasa lemah kaki melangkah. Besar dosa dia pada anak itu. Ya Allah semoga aku diberikan peluang untuk menebus semua kesalahan aku padanya.

Zafril memandang sepi kereta ibu dan ayah tirinya meninggalkan perkarangan rumah, tanpa sedar ada air mata yang mengalir. Sungguh dia rindu wanita itu, hati ini sangat mahu memeluk tubuh itu. Dia ingin mencium tangan wanita yang pernah mengusap kepalanya dulu. ‘Ya Allah sukar untuk aku ungkapkan betapa aku rindu..ibu..Aril rindu..sangat rindu..tapi..Aril takut..Aril takut ibu akan buang Aril lagi macam dulu. Semoga suatu hari nanti kita akan bersama ibu. Aril sayang ibu..Lillahhitaa’la’


Previous: BAB 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh kayrania