Home Novel Cinta Seluruh Cinta
Bab 3

“Abang aril tak ikut, dia nak settle kan hal kat kampung dulu. Minggu depan baru dia datang. Lagipun lepas ni abang Aril akan duduk dengan kita tau. Dia dah dapat kerja dekat Damansara.” Jawapan Puan Aisyah menggembirakan Imani. Sejak dia tahu dia mempunyai seorang lagi abang, dia sangat teruja untuk berjumpa dengan abangnya itu. Selama ini dia hanya melihat gambar sahaja. Dah lama dia pasang angan-angan untuk berjumpa berdepan dengan abang sulungnya. 

“Aril nak tinggal sini? Dia nak duduk bilik mana? Bilik bibik?” Soal Imran anak lelakinya pula. Sikap Imran berbeza dengan Imani. Imran sangat tidak menyenangi Zafril. Baginya Zafril adalah musuh. Dia rasa tergugat dengan kehadiran Zafril dalam rumah ini. 

“Bilik Im la..Im kan dah tak tinggal sini. Biarlah Abang Aril duduk situ.” Jawapan si Ayah buatkan si anak tersentak.

“Mana boleh. Lepastu kalau Im balik sini Im nak tidur mana?”

“Tidur sebilik dengan abang Aril la.” Imani ketawa memandang abangnya. Kelakar dia melihat wajah kelat si abang.

“Im tahu ibu dengan Abah tak suka Im balik sini kan. Ok faham. Im balik dulu.” Imran terus berlalu meninggalkan insan-insan yang dia rasakan sangat tidak adil pada dirinya. 

“Tengok abang, dah merajuk anak teruna awak tu.” Aisyah hanya tersenyum. Dia tahu rajuk Imran tak lama, faham sangat dah dengan sikap anak teruna seorang itu. Semoga Imran dan Zafril akan berbaik seperti mana Imran berbaik dengan Imani.



Hari ini Zafril perlu tinggalkan rumah yang terlalu banyak menyimpan kenangan dalam dirinya. Kenangan manis dan pahit hidup bersama nenek. Banyak yang nenek ajar dan bekalkan pada dia untuk meneruskan hidup di atas muka bumi Allah yang banyak ranjau dan onak duri yang perlu dia tempuhi. 

Zafril menutup pintu, dia akan pastikan rumah peninggalan nenek dan datuknya akan terjaga rapi sepanjang dia bekerja di Kuala Lumpur nanti. Sebab itu, Zafril telah pun mengupah Abang Man, iaitu jiran terdekat dia untuk membersihkan dalam dan perkarangan rumah seminggu sekali.

“Terima kasih abang Man, Kak Nah sebab sudi tolong jaga nenek selama saya tiada dekat sini. Mulai hari ini saya amanahkan rumah dan tanah ini untuk abang jaga. Setiap bulan saya akan masukkan duit ke dalam akaun bank abang macam biasa.”

“Aril, abang dan kakak ikhlas tolong. Kami dah anggap Nek Biah dan kau macam keluarga kami sendiri. Kau tu duk KL jaga diri, jangan lupa jenguk mak kau. Seburuk mana kisah lampau dia, dia tetap mak kau. Ingat Aril, kalau nak hidup bahagia dekat dunia ni, hati seorang ibu kita kena jaga.” Pesanan Abang Man berjaya menjentik hati kecil Zafril. Dia hanya tersenyum dan menganggukkan kepala. Tubuh Abang Man dirangkul erat. Selama dia tinggalkan nenek keluarga inilah yang banyak membantu. Sejak mereka berpindah ke kampung ini lagi Abang Man dan Kak Nah adalah orang yang paling rapat dengan dia. Tiada rahsia antara dia dengan pasangan suami isteri itu. 

“Kalau rindu kami, rindu nenek. Balik la, jangan sampai enam tujuh tahun baru balik. Kami sentiasa ada disini. Kalau ada calon isteri nanti jangan lupa kenalkan dengan akak tau.” Usik Kak Nah. Zafril ketawa senang dengan usikan itu. 

“Iye lah. Aril mintak diri dulu. Abang dan akak jaga diri, kalau ada apa-apa masalah telefon saya. Jangan malu-malu. Ini buat belanja budak-budak. Assalammualaikum.” Duit kertas RM50 4 keping diselitkan dicelah tangan Abang Man. Zafril tahu Abang Man perlukan duit itu. Walaupun kehidupan abang man sekeluarga susah tapi mereka tidak pernah meminta dengan orang. Mereka berusaha mencari duit sendiri dengan tenaga tulang empat kerat untuk sekolahkan 3 orang anak mereka. Dalam diam Zafril kagum dengan Abang Man dan Kak Nah. 

“Walaikumussalam. Aril kau memang adik yang baik. Abang tahu kau juga anak yang baik. Semoga hati kau lembut untuk terima ibu kau semula.” Abang Man dan Kak Nah melambai tangan pada Zafril. Mereka pasti akan rindukan Zafril. Terutama 3 orang anak mereka yang agak rapat dengan Zafril. Puas la nanti nak menjawab soalan anak-anaknya tentang kehilangan Zafril.


Rancangan untuk menyewa bilik di Kuala Lumpur di batalkan, Zafril mencari rumah sewa lain. Apartmen dengan 3 bilik dan 2 bilik air menjadi pilihan hatinya. Walaupun sewanya agak mahal tapi Zafril puas hati kerana apartmen itu sangat dekat dengan tempat kerjanya. Dia tidak perlu membazir duit untuk membeli kenderaan untuk ke tempat kerja. Cukup jalan kaki dia sudah sampai, kesihatan pun terjaga. Hari-hari jalan kaki kan?tak payah pergi gym. 

Sudah hampir 3 bulan Zafril di Kuala Lumpur, namun sekali pun dia tidak pernah menjenguk ibunya. Dia tahu dimana rumah ibu, dia tau dimana syarikat ayah tirinya. Tapi dia masih belum kuat untuk berhadapan dengan ibunya. 

Hari minggu ini Zafril keluar jalan sendirian, pusat membeli belah KLCC menjadi sasaran untuk dia menghabiskan masa hujung minggunya. Kerja sebagai seorang arkitek agak memenatkan, setiap hari jam 9 malam baru dia keluar dari bilik pejabatnya pulang ke rumah. Jika ada masalah ditapak projek hujung-hujung minggu begini maka, Zafril akan seharian menghabiskan masanya disana. Tiada komitmen dalam sebarang hubungan hidup membuatkan Zafril senang dengan kerjayanya sekarang. Malah dia sudah berangan-angan untuk punya syarikat arkitek sendiri suatu hari nanti. 

Zafril memandang skrin iklan untuk pembelian tiket wayang, dia mahu menonton wayang hari ini. Kebetulan cerita Avengers Infinty kegemarannya sudah berada dipanggung sekarang. Tak kisah lah tengok wayang seorang diri pun yang penting cerita best. Zafril mengambil tempat untuk beratur bagi membeli tiket wayang.

“Weh, ya Allah. Zafril? Bila masa kau balik Malaysia? Apasal kau tak bagitahu aku?” Tegur seorang lelaki. Zafril hanya tersenyum dengan teguran lelaki itu.

“Assalammualaikum. Kau ni salam mana? Jom borak sana.” Zafril menarik tangan lelaki yang menegurnya tadi.

“Waalaikumussalam. Teruja tengok kau, hahahha. Kau dah kerja sini kan?” Zafril menggelengkan kepalanya. Teruja? Apa punya jawapan la.

“Aku kerja dekat damansara, tinggal pun kat sana. Aku ingatkan kau dekat Australia lagi, sebab tu aku tak bagitahu kau apa-apa. Sorry la sahabat.” Zafril menepuk bahu sahabatnya perlahan.

“Sahabat konon, eh kau nak tengok wayang movie Avengers baru kan? Jom, aku dah ada 2 tiket untuk aku dan kau. Hari ini aku belanja kau tengok wayang. Tapi kau kena belanja aku popcorn 1.” 

“Popcorn? Macam budak-budak la kau ni.”

“Ah tak kira, popcorn 1 air mineral 1. Aku tunggu sana.” Zafril gelak besar dengan perangai sahabat baiknya yang tak pernah berubah dari zaman universiti sehingga hari ini. Sikap sahabatnya inilah yang selalu menenangkan dia jika dia dalam kesedihan. Sahabat yang bernama Zulkarnain ini banyak berkongsi rahsia suka dukanya. Sahabat yang tak pernah lokek dengan kasih sayang dan wang ringgit. Sahabat yang sentiasa ada tika dia susah dan senang. 


“Best betul movie tadi. Tak pernah mengecewakan, 10 bintang aku bagi.” 

“Terima kasih belanja aku tengok wayang tadi. Sebenarnya tiket tadi untuk siapa? Mak we kau eh?” Soal Zafril. Zulkarnain mencebikkan bibirnya.

“Mak we? Tak lah. Adik aku, beria janji nak tengok wayang dengan aku. Last minute cancel, dia pergi tengok wayang dengan kawan-kawan dia dekat midvalley, bengang betul aku.” Kata-kata Zulkarnain mengundang tawa Zafril. Lucu. Dia tahu Zulkarnain mempunyai seorang adik perempuan, dia sangat sayangkan adiknya itu. Zafril juga mengenali adik Zulkarnain iaitu Zulaikha. 

“Dah kau tak payah nak gelakkan aku. Eh kau balik Malaysia sebab nenek sakit ke? Ni kau kerja dekat sini pulak nenek tinggal sorang la dekat kampung?” Soalan Zulkarnain menyentak Zafril. Senyuman yang bermain dibibirnya tadi terus mati. Wajah Zafril yang ceria bertukar mendnng.

“Nenek dah meninggal dunia 3 bulan lepas. Aku ada call kau, tapi tak dapat.” 

“Innalillahhiwainnailaihirrojiun. Aku mintak maaf Aril, aku takde masa tu. Aku di Australia sebab tu kau call aku tak dapat.”

“Aku faham. Dah 3 bulan, tapi rasa macam baru semalam nenek tinggalkan aku.” 

“Sabar Aril. Allah sayangkan nenek kau. Hmm, ibu kau ada balik?” Zafril diam. Dia tak mahu bercerita tentang ibu. Dia belum bersedia untuk berkongsi cerita dengan sesiapa pun tentang perasaanya sekarang.

“Aku faham kau Aril. Bila kau ready nak share kau tahu mana nak cari aku. Nombor telefon dan alamat rumah aku masih sama. Aku kerja dekat area sini jugak, tapi kerja aku selalu kena outstation, terbang sana sini. Tapi bila senang aku akan call kau kita lepak minum, makan.” Zulkarnain kenal Zafril bukan setahun dua tapi hampir 7 tahun. Dia tahu sikap Zafril yang agak perahsia orangnya. Jika dia mahu bercerita sesuatu hal tak perlu ditanya dia sendiri yang akan membuka mulut. Zafril hanya tersenyum, syukur dia punya sahabat sebaik Zulkarnain. Sahabat yang benar-benar ikhlas berkawan dengannya walaupun tahu status dia yang sebenarnya. Status anak luar nikah adalah satu status yang sangat hina dan jijik pada pandangan manusia di muka bumi ini. Mereka semua lupa bahawa setiap anak luar nikah yang lahir atas muka bumi ini tidak pernah minta untuk dilahirkan dari hasil perhubungan yang haram. Allahhuakbar, manusia memang mudah menjatuhkan hukuman!


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh kayrania