Home Novel Umum Koleksi Cerpen
Cerpen 4 : Patah Dahan Tempat Berpaut
Gelap pekat malam menambahkan rasa sunyi hati Kamari. Hujan yang rintik-rintik dengan bulan yang tidak mendandankan wajahnya turut menambah kepilauan hatinya. Tiga orang anaknya sudah hanyut dibuai mimpi. Entah berapa kali berkalih tidur, Kamari tidak pasti. Sayu melihat nasib anaknya yang masih kecil, sudah kehilangan ayah tempat bermanja.

Belanja harian Kamari dan anak-anaknya agak kurang sejak suaminya Maniam ditahan di penjara. Kamari masih ingat beberapa bulan dulu Maniam pulang tergesa-gesa dalam keadaan mabuk pada satu malam.

Lolongan anjing bersahut-sahutan di kawasan kejiranan tempat Kamari tinggal. Bunyi tapak kaki menghampiri bahagian hadapan rumah kemudian terhenti.

"Hei, buka pintu," bunyi suara kedengaran dari luar rumah.

Rumah teres satu tingkat di Taman Teratai itu seolah-olah bergegar dengan ketukan yang kuat dari luar. Anak-anaknya yang sedang tidur turut terbangun.

Kamari yang bimbang dengan suasana itu,lewah untuk membuka pintu . Ketukan pintu dari luar semakin kuat. Jam sudah menunjukkan pukul 1.00 pagi.

"Hei, buka pintu!" Bunyi ketukan semakin kuat.

Kamari akur dan berserah. Dia tahu bahawa yang mengetuk pintu itu ialah suaminya Maniam. Dia mencari alasan melambat-lambatkan untuk membuka pintu itu. Kamari tahu cepat dengan lambat membuka pintu dia tetap akan dimarahi oleh suaminya.

Pintu pun terkuak dengan kasar dari luar.

"Awak tak dengarkah, pekak?" dengan nada kasar Maniam bersuara.

"Minta duit, saya perlukan duit sekarang!" Maniam mengeraskan suaranya.

"Saya tidak ada wang," bantah Kamari.

Mana ada lagi wang. Wang yang ada ketika itu cukup untuk menampung keperluan Kamari anak-beranak. Wang itu diperolehi dengan titik peluh Kamari sendiri. Nasib baik Kamari mempunyai kerja. Kamari bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah pejabat kerajaan di Putrajaya.
Kepada pekerjaan itu Kamari  bergantung hidup anak-beranak.

Maniam yang mencari rezeki dengan memandu lori, kerapkali tiada di rumah. Kadang-kadang Maniam memandu bas tambahan, terutamanya di musim perayaan apabila ramai penumpang di ketika itu dan syarikat bas tidak dapat menampung keperluan penumpang.

Nak harapkan Maniam jauh sekali. Sikap Maniam yang suka berjudi dan menggemari minuman keras, sungguh menjengkelkan Kamari. Habis wang dibelanjakan oleh Maniam, bagi memenuhi hobinya.

"Saya tahu awak ada wang, jangan tipu saya," balas Maniam dengan bengis.

Sebuah tamparan hinggap di muka Kamari. Anak-anaknya yang melihat kejadian di depan mata menangis. Sedih dengan perlakuan bapa terhadap ibu mereka.

Samson, anak lelaki berumur 11 tahun cuba memeluk ibunya untuk menenangkan keadaan tetapi dikuis dengan kasar oleh ayahnya, Maniam.

Maniam seterusnya meragut seutas rantai yang dipakai oleh Kamari dengan kasar. Rantai itu adalah pemberian ibunya Kamala.

"Beri saya pinjam rantai ini. Saya perlukan wang!" Dengan kasar Maniam meragutnya dan kemudian memasukkannya ke dalam kocek seluar. Maniam menuju ke bahagian dapur sambil merungut. Kemudiannya keluar meninggalkan Kamari serta anak-anaknya dalam pekat malam.

Bunyi enjin motorsikal EX5 menderu meninggalkan rumah Kamari. Kamari tahu Maniam sudah pun keluar dari rumah. Ketiga-tiga anaknya datang memeluknya.

"Kamari, apa sudah jadi?" Jesha kakak ipar Kamari yang tinggal berdekatan rumahnya datang ke rumahnya malam itu.

Jevan, abangnya yang juga suami kepada Jesha juga turut datang. Malam itu mereka tidak tidur hingga ke pagi, menangisi nasib mereka yang malang. Kamari sedih diperlakukan begitu. Bukan sekali dua, malah sudah berkali-kali Kamari dikasari. Dipukul Maniam semahunya, kadang-kadang tanpa sebarang sebab.

Malam itu adalah malam terakhir Kamari melihat suaminya sebelum suaminya dicekup oleh anggota Polis dalam satu serbuan. Maniam terlibat dalam beberapa kes jenayah, bersama rakan-rakannya yang lain.

Ketika diserbu, Kamari dan rakan-rakan sibuk bermain judi di sebuah rumah kosong di pinggir Pekan Dengkil.  Ramai yang dicekup oleh pihak Polis ketika serbuan dilakukan.

Berita penangkapan sekumpulan penjudi itu telah disiarkan dalam Slot rangkuman Siaran 999 pada hujung minggu itu. Hazlin Hussain melaporkan seperti berikut

"40 orang di dalam sebuah premis di Jalan Wangsa, Dengkil, lari lintang-pukang apabila premis berkenaan diserbu sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Dengkil dalam Ops Dadu yang dijalankan semalam. Pegawai Turus Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Dengkil ASP Shaari Yaaza berkata dalam serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 5.30 pagi itu, seramai 40 kaki judi ditahan untuk siasatan".

Kata ASP Shaari lagi "Kita turut merampas wang tunai berjumlah RM10,108 berserta pelbagai jenis peralatan perjudian," katanya kepada pemberita di sini hari ini."

Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 kepada pemilik premis atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Mereka yang terlibat bermain judi pula boleh didakwa mengikut Seksyen 7(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda tidak lebih RM5,000.

Maniam telah ditahan reman dan kemudiannya selepas perbicaraan, Mahkamah telah menjatuhi hukuman enam bulan penjara dan denda sebanyak seribu ringgit.

-------------------------------------------------------------------------------

Maniam telah dipenjara. Biarlah dia menerima hukumannya. Biar dia tahu susah payah tanpa keluarga. Ada keluarga dibiarkan, tidak dilayan dengan baik.

Panas yang berpijar pagi itu diredah juga oleh Kamari  untuk melawat Maniam di penjara. Di kehijauan hutan dalam perjalanannya menaiki bas RapidKL, kelihatan seekor helang menyambar seekor tikus. Cengkaman kuku helang yang kukuh itu tidak dapat melepaskan tikus yang lemah. Kamari merasakan dia adalah tikus yang dicengkam helang yang ganas.

Dia tidak lupa kepada Maniam. Kesibukannya menguruskan anak-anak membatasi kekerapan lawatannya terhadap Maniam di penjara.

Sekeping kaca yang lut sinar memisahkannya dengan Maniam. Hanya satu set intercom menjadi penghubung dirinya dengan Maniam. Dia rasa amat sedih, tapi apa kan terdaya.

“Anak-anak sihat?” Maniam bertanya.

Bagi Kamari pertanyaan Maniam seperti ubat yang menyembuhkan luka. Maniam jarang mengambiltahu hal anak-anak mereka ketika berada di rumah. Maniam tidak mengendahkan Samson, Jevi dan Joshi ketika di rumah.

“Anak-anak semua baik. Mereka rindukan abang, “jelas Kamari melalui intercom sambil melemparkan senyuman.

Seorang Wardar penjara bernama Kumar mengawasi pertemuannya dengan Maniam. Itu adalah prosedur biasa. Kamari melihat Wardar Kumar selalu memerhatikannya setiap kali dia melawat Maniam di penjara. Perbualannya dengan Maniam juga seolah-olah didengar dengan teliti oleh Kumar.

Sebenarnya Wardar Kumar masih bujang dan mempunyai seorang kakak yang tinggal berjiran dengan Kamari, di Taman Teratai. Kamari tidak menyedarinya. Kisah Maniam telah diceritakan oleh kakak Kumar, Jesha. Jesha telah menceritakan hal jirannya, Maniam kepada Kumar.

Hari itu ketika tamat waktu melawat, Kumar menegur Kamari. Dia ingin membantu Kamari yang dilihatnya bersusah payah setiap bulan melawat suaminya, Maniam di penjara.

Achi, boleh ikut saya. Saya boleh hantar Achi ke Stesen LRT?” tegur Kumar.

Saya sudah tamat bertugas, tiada masalah,” tambah Kumar.

Kamari mempunyai saiz badan yang kecil. Kumar tidak menyangka bahawa Kamari sudah pun hampir mencapai umur 40an. Kumar simpati dengan nasib Kamari.

Memikirkan sukar untuk mendapatkan teksi, Kamari pun mengikut Kumar. Kumar menghantar Kamari ke stesen LRT. Pertemuan itu berakhir.

"Nanti saya ke Taman Teratai, saya ada seorang kakak di sana," kata Kumar sambil berlalu pergi. Meninggalkan Kamari dengan tanda-tanya

-----------------------------------------------------------------------------------

Sebulan selepas itu Kamari mengunjungi Maniam.

"Lagi tiga minggu boleh keluar," Maniam menjelaskan melalui set intercom.

Perkataan 'keluar' yang didengar dari mulut Maniam seolah-olah satu hukuman bagi Kamari. Bagi Kamari biarlah penjara menjadi guru yang terbaik bagi Maniam. Biar Maniam serik.

"Awak tak dengarkah?" Maniam seakan marah apa yang dikatakannya tidak dijawab oleh Kamari.

"Dengar, saya tahu abang akan dibebaskan," Kamari lantas menjawab dengan sekuntum senyuman.

"Jauhkan diri dengar Kumar," pinta Maniam.

Kamari agak kaget kerana secara tiba-tiba Maniam menyebut nama Kumar. Kumar tidak bertugas ketika itu. Dia digantikan dengan Wardar Lasim.

Maniam masih marah. Dia tahu Kamari mengikut Maniam ke stesen LRT pada bulan lepas, ketika Kamari pulang dari melawatnya di penjara. Dia terdengar Kumar berbual-bual dengan Wardar Lee, sewaktu dia di dewan makan.

"Aku kasihan lihat satu Achi itu. Muda-muda sudah tanggung susah. Anak tiga orang, suami pula kena penjara," kata Maniam kepada Wardar Lee.

"Aku tolong hantar ke stesen LRT hari itu," jelas Kumar.

Kata-kata Kumar itu menyemarakkan api cemburu di dada Maniam. Meredap sedikit demi sedikit seperti api dalam sekam.

"Tunggu nanti aku keluar," Maniam berbisik sendiri.

-------------------------------------------------------------------------------

Minggu berikutnya Maniam dibebaskan setelah tamat menjalani hukuman penjara selama enam bulan. Dia pulang ke rumahnya bersendirian kerana tiada siapa yang menjemputnya. Kamari juga tidak datang kerana perlu berkerja.

Dia sampai di rumahnya di Taman Teratai. Rumahnya kelihatan sunyi. Anak-anaknya juga tiada di rumah kerana mereka bersekolah.

Maniam masuk ke rumah dan meletakkan barang-barangnya di dalam rumah. kemudian dia keluar ke gerai makan yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Di situ masih ada kawan-kawan yang boleh diajak berbual.

"Bila keluar," selamba saja Maniam ditanya oleh Pak Dali, tuan punya gerai itu.

"Pagi ini. Cuti sudah habis," kata Maniam berseloroh.

Sebuah kereta berhenti. Sesusuk tubuh yang keluar dari kereta itu amat dikenali, Kumar.

Kumar datang ke rumah kakaknya di Taman Teratai dan secara kebetulan bersua dengan Maniam di gerai itu. Kumar terlihat Maniam tetapi dia tidak mengendahkannya. Dia masuk ke gerai Pak Dali dan memesan teh ais bungkus.

Beberapa minggu selepas itu, Maniam masih terlihat keliabt Kumar. Suatu petang dia memerhatikan Kumar menurunkan Kamari dari kereta di tengah jalan hampir ke rumahnya. Kumar secara kebetulan terjumpa Kamari berjalan dari jalan besar setelah turun dari bas. Kumar menumpangkan Kamari.

--------------------------------------------------------------------------------

"Masih lagi jumpa jantan itu?" dengan berang Maniam bertanya kepada Kamari, apabila Kamari masuk ke rumah.

Kamari rasa amat takut. Dia rasa amat bersalah. Dia tidak menyangka Maniam melihat dia turun dari kereta milik Kumar.

"Balik pun sudah naik kereta sekarang," kata Maniam dengan nada mengejek.

Maniam kemudian keluar dari rumah. Bunyi deruan enjin EX5 menandakan Maniam telah keluar dari rumah.

Kamari menghidangkan makan malam untuk anak-anaknya. Keempat-empat beranak sedang menikmati makan malam.

Beberapa minggu lagi, perayaan Deepavali akan disambut. Siaran TV juga telah menyiarkan iklan-iklan berkaitan Deepavali setiap hari. Kamari harap perayaan tahun ini lebih bermakna dengan adanya Maniam di samping keluarganya.

Sedang mereka menikmati makan malam, Maniam pulang ke rumah dalam keadaan mabuk. Cakap-cakap dari rakannya mengatakan Kamari berjumpa Kumar ketika dia di dalam penjara, amat menyakitkan hatinya. Api kemarahannya semakin membakar.

"Abang nak makan, nanti saya ambilkan," Kamari cuba berlembut dengan Maniam. Kamari terus bergerak ke dapur untuk mengambil makanan.

Maniam mengikutnya dari belakang tanpa berkata apa-apa. Kamari merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku pada malam itu. Anak lelakinya, Samson berlari mendapatkan Mak Cik mereka Jesha, setelah isyarat diberikan oleh ibunya. Mungkin ibunya akan dipukul dengan teruk.

"Jika ada apa-apa, tolong panggilkan Mak Cik Jesha," pesan Kamari pada Samson pada suatu petang.

Maniam semakin menggila, dia mencapai sebilah pisau yang ada di dapur lantas menikam ke arah Kamari. Tikamannya mengenai bahagian bawah perut kamari. Tidak puas dengan tikaman pertama Maniam menikam lagi, di tempat yang sama. Kamari rebah dengan darah berlumuran.

Jesha baru saja sampai ketika Kamari ditikam. Kedua-dua anak Kamari menangis semahu-mahunya melihatkan keadaan ibu mereka yang cedera parah. Jesha menerpa ke dapur mendapatkan Kamari yang luka parah, tenat.

Maniam mencampakkan pisau, kemudian melarikan diri. Dia tidak memperdulikan halangan. Anaknya Samson turut dirempuhnya dan terjatuh. Samson menangis.

Kamari telah kaku. Tikaman bertubi-tubi diperutnya begitu parah. Dia tidak sempat diselamatkan lagi. Jesha hampir rebah melihatkan keadaan adiknya yang kaku itu.

Jevan melaporkan kejadian kepada pihak Polis. Tidak berapa lama kawasan rumah itu telah dipenuhi oleh orang ramai yang hendak mengetahui apa yang telah berlaku.

Polis menjalankan gerakan memburu Maniam. Bagaimana pun gagal menangkapnya. Seminggu selepas kejadian Maniam menyerah diri di IPD Dengkil.

Deepavali tahun ini tidak bercahaya bagi Jesha dan Jevan. Apa lagi bagi Samson, Jevi dan Joshi. Ibu mereka telah pergi dan ayah mereka ditangkap Polis. Pasti akan dipenjarakan sekali lagi. Tiada kolaj dan lampu pada Deepavali ini. Sayu

Keesokan harinya, muka depan akhbar harian penuh dengan tajuk utama "Bekas Banduan Bunuh Isteri Menyerah Diri.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.