Home Novel Umum Koleksi Cerpen
Cerpen 1 : Cinta Milo
Rakan serumah mentertawakan hasrat murninya untuk menamatkan zaman bujang. Mereka tidak faham hasrat Jibam. Hasrat yang telah lama dipendam.

"Hang kalau nak bernikah tak salah. Bagus ..".Lotpi memberi nasihat.

"Tapi jangan main hentam saja ... pilih-pilihlah sama," tambah Lotpi.

"Awat dah tak ada anak dara lain ka"?. Jaki menambah.

"Aku rasa dengan kulit hang ni sesuai hang cari minah Bangla," Kodi menggamatkan suasana dalam rumah bujang yang dihuni oleh enam orang itu.

Suasana jadi riuh hingga menggamatkan. Turut merasa adalah tiga orang anak dara di rumah sebelah iaitu Leha, Madu dan Kino.

Besoknya, Leha bertanyakan Jiebam.

"Awat hampa dok riuh semalam?".

"Tak dak apa ... depa dok tengok TV cerita lawak tu," balas Jibam.

"Tak kan sampai gamat banyak tu," balas Leha.

Leha berasal dari Tanjung Tokong, tanah ibu-bapanya dah lama diambil oleh tauke Cina untuk buat kondo mencakar langit. Keluarganya berpindah ke Kampung Benggali, Bagan Ajam.

"Ini kawan kita sesuai dengan minah Bangla," balas Lotpi yang tiba-tiba muncul.

"Ha ha ha," Leha gelak tiga kali

"La ... awat nak pi cari minah Bangla? cek kan ada. Cek dah lama tunggu,"
spontan mengerekot Leha menjawab, sambil tangannya berpintal-pintal.

Jibam meninggalkan Lotpi dan Leha.

--------------------------------------------------------------------------------------

Segalanya bermula minggu lepas.

Petang itu Jibam ke Mini Market milik Pak Nuji. Satu-satunya Mini Market Melayu dalam deretan kedai milik Mat Bangla yang berkahwin dengan wanita india muslim tempatan.

"Pak Nuji Milo ada dak"?.

"Minum milo anda jadi sihat dan kuat".

"Sutinah, ambil Milo untuk Jibam!".

"Milonya sudah kehabisan Pak," balas Sutinah.

"Mustahil habis, tadi baru disusun atas rak," Pak Nuji beritahu Sutinah.

"Iya ada Pak ada Pak," Sutinah baru tersedar arahan bossnya.

Sutinah, gadis Lombok datang ke Pulau Pinang untuk mencari nafkah. Dia meninggalkan ibu dan bapanya di Lombok, Indonesia. Kali pertama dia bekerja di rumah Tauke Ah Seng dan bininya Ah Lian.

Satu hari Tauke Ah Seng dan Ah Lian berbincang sesuatu.

"Aya, apa macam Milo sudah habis, baru dua tiga hari wa beli," kata Tauke Ah Seng penuh kehairanan.

"Ah Man, anak kita suka minum Milo," balas Ah Lian.

"Apa macam cepat habis ma ...," begitu hairan Tauke Ah Seng.

Setelah disiasat nampaknya serbuk Milo diratah oleh Sutinah. Milo adalah makanan kelas pertengahan di Lombok. Harganya mahal. Apabila Sutinah dapat setin Milo habis diratahnya. Sudah beberapa kali kedua laki bini itu terserempak dengan Sutinah yang meratah serbuk Milo.

"Ini wa susah hati ma ... colgate pun manyak cepat habis," beritahu Ah Lian pada lakinya.

"Apa macam habis, macam Milo ka?" hairan Tauke Ah Seng.

"Itu colgate manyak cepat habis," tambah Ah Lian.

Siasat punya siasat Sutinah menggunakan colgate sebagai pencuci mukanya setiap hari.

"Colgate bapak rasa amat sejuk, banyak buih bagus untuk mencuci muka," Sutinah beri alasan apabila disoal-siasat.

Patutlah Ah Seng melihat muka Sutinah berseri-seri. Licin dari muka isterinya Ah Lian.

Tauke Ah Seng memberhentikan Sutinah dari menjadi bibik di rumahnya. Dia menghubungi wakil Agen Pekerja Asing. Dia melaporkan bahawa Sutinah tidak patuh senarai tugas pada Lampiran A. Tapi sebenarnya dia bimbang takut lupa muka bininya, Ah Lian. Muka Sutinah semakin berseri-seri.

Selepas dibuang kerja dari rumah Tauke Ah Seng, Sutinah mendapat kerja baru sebagai pembantu di Mini Market milik Pak Nuji.

"Saya suka Milo, Mas," kata Sutinah dengan mulutnya dipenuhi serbuk Milo.

Ketika Jibam jumpa Sutinah. Mulut Sutinah penuh serbuk milo. Jibam kaget kerana ada orang yang ada hobi yang sama dengannya, meratah serbuk milo.

"Saya pun suka milo," balas Jibam.

Muka Sutinah yang memancar seperti disilang dengan Fair and Lovely, membuatkan Jibam tak tidur malam. Jibam bernyanyi-nyanyi kecil dalam perjalan pulang.

Kau umpama bunga yang mekar di hatiku, bait lagu dari kumpulan May. Nyanyian Mus, telah diubahsuai oleh Jibam menjadi Kau umpama serbuk Milo.
----------

Jiebam balik ke rumah seperti biasa apabila habis bekerja. Sampai di rumah dia berehat seketika sambil menonton TV. Rakan-rakannya tiada di rumah ketika itu. Rumah kelihatan sunyi sepi, tanpa suara rakan-rakan.

Setelah hampir dua jam menonton TV, jiebam terlelap di atas sofa. Dia akhirnya masuk ke dalam sebuah taman yang indah. Jiebam berlari-lari riang sambil menikmati udara yang segar di atas lereng sebuah bukit yang menghijau. Burung-burung beterbangan di ruang langit yang luas. Cahaya matahari bersinar lembut diliputi oleh segumpal awan yang nipis. Sungguh nyaman.

Bunyi suara perempuan mengejutkan Jiebam. Dia kenal benar dengan suara itu. Baru sahaja dia bertemu dengan pemilik suara itu, namun wajah itu kekal diingatannya. Dia berhenti dari berlari dan cuba mencari di mana arah suara itu.

“Mas Jibam,” secara tiba-tiba wajah Sutinah muncul di sebalik pokok.

“Mas Jibam,” suara itu memanggil.

“Sutinah, apa yang kau buat di sini?” Jibam bertanya.

“Enggak apa-apa Mas, aku cumanya berjalan-jalan saja. Langsung terus ketemu Mas,” balas Sutinah.

“Sutinah, kemari kamu!” panggil Jibam.

“Kemana Mas?” Sutinah menjawab ringkas.

“Kau umpama bunga yang mekar di hatiku,” Jibam secara spontan berkata.


“datanglah padaku Mas!” balas Sutinah.

Jibam kemudian cepat-cepat bergerak mendekati Sutinah. Seketul batu yang terpacak di hadapannya di langgarnya. Dia jatuh tersembam. Kakinya amat sakit. Dia mengaduh kesakitan. Sakit kerana benda yang dilanggarnya cukup keras.

“Aduh … aduh … aduh,” Jibam mengaduh kesakitan.

“Aduh,” sakitnya masih terasa.

Wajah Sutinah hilang dari pandangan matanya. Dia melihat seekor helang yang besar datang melayang dan menyambar Sutinah. Helang itu dengan pantas membawa Sutinah pergi jauh.

“Mas Jibam!” pekik Sutinah ketika dibawa terbang oleh helang yang ganas itu.

Sutinah! Sutinah! Sutinah!” Jibam memekik memanggil nama itu.

Kaki Jibam masih sakit. Dia tidak dapat membantu Sutinah yang dibawa pergi oleh seekor helang yang ganas itu.

Suasana menjadi gelap dan kemudian cahaya terang menusuk matanya. Dia mendengar satu suara.

“Jibam oii Jibam, dah Maghrib ni. Bangun cepat!” dia mendengar suara rakan serumahnya, Lotpi.

“Aku dengar hang menjerit tadi hang panggil sapa?” Tanya Lotpi sambil ketawa kecil.

“Hang panggil sapa?” ulang Lotpi setelah melihat Jibam terpinga-pinga.

Dimana aku? Dimana?” satu pertanyaan pula yang diterima oleh Lotpi.

“Dimanakah aku?” Jibam masih terpinga-pinga.

Oiioii! Disinilah … di rumah kita,” jawab Lotpi.

“Hang tu mengigau, teruklah,” Lotpi menambah sambil mencebik mukanya melihat telatah Jibam.

Lotpi menambah “Tu lah tidur lagi waktu petang.”

“Sudahlah, dah nak masuk Maghrib ni, elok hang pi mandi. Malam ni kan ada ceramah Maulud di surau? Cepatlah kita pi sama-sama,” Lotpi memberi peringatan kepada Jibam tentang majlis pada malam itu di surau, berdekatan dengan rumah sewa mereka.

“OK … ok,” jawab Jibam ringkas.

“Ni sapa pula yang sepuk kain atas lantai ni?” Lotpi kurang berpuashati dengan segumpal kain pelikat warna biru yang berlingkar seperti ular tidur di atas lantai di ruang tamu.

“Oh!, aku punya tu … lupa,” balas Jibam.

“Kita berkumpul padam ini bagi mengingati junjungan besar, Rasulullah SAW sempena sambutan Maulid Rasul,” Ustaz Salhi meneruskan ceramahnya.

Seterusnya, Ustaz Salhi mengisahkan tentang ‘ibrah’ ataupun pengajaran-pengajaran yang dapat dikutip dari sejarah kelahiran Rasulullah. Dan akhirnya setelah hampir satu jam ceramah ditamatkan.

Mereka kemudiannya menunaikan solat Isya’ secara berjemaah, Ustaz Salhi menjadi Imam. Selesai solat, jamuan dihidangkan untuk para Jemaah.

“Orang bujang, kalau majlis macam ni beruntung,” Pak Nuji menyapa Jibam dari belakang. Lotpi yang baru hendak menyenduk kari ayam ke dalam pinggannya tersengih dengan teguran Pak Nuji.

Ya Pak Cik. Kalau macam ni hari-hari lagi OK,” tambah Lotpi.

“Awat hang senyap saja? Ada yang tak kena ka?” Pak Nuji bertanya setelah melihat Lotpi tidak membalas usikannya.

“Dia mengigau tu … tak habis-habis,” jawab Lotpi dengan ketawa kecil.

“mengigau apa?” Pak Nuji inginkan penjelasan.

‘Shhhy,” Jibam memberi isyarat supaya halnya tidak menceritakan halnya kepada Pak Nuji.

“Oh! Tak dak apa. Dia bila tidur suka mengigau,” balas Lotpi setelah melihat isyarat Jibam. Dia perlu menyimpan hal kawan serumahnya.

“Baca ayat Al-Quran banyak-banyak, sebelum tidur! Insya-Allah taka pa,” Pak Nuji berpesan.

“Tak dak apa Pak Nuji, mengigau milo saja,” balas Jibam sambil menyenduk nasi, kari ayam dan sedikit acar timun ke dalam pinggannya.

Jibam duduk semeja dengan Pak Nuji dan Lotpi berserta lain-lain Jemaah yang ada. Beberapa kelompok Jemaah yang lain duduk menikmati hidangan jamuan itu sambil berbual. Habis jamuan, Jibam dan Lotpi pulang ke rumah mereka.

---------------------------------------------

Sesampai di rumah Lotpi dan Jibam tidak banyak berbual. Mereka masuk ke bilik masing-masing. Besok keduanya perlu bangun awal untuk bekerja.

Jibam masuk dan merebahkan badannya di atas katil. Fikirannya bercelaru. Dia melihat ke arah kipas yang berpusing ligat di siling. Seekor cicak gemuk sedang menanti mangsa berdekatan dengan lampu kalimantang yang terletak terkehadapan dari kipas yang berpusing. Seekor rama-rama kecil hinggap di lampu yang sedang bernyala itu. Rama-rama mengepakkan sayapnya. Cicak gemuk dengan pantas mengeluarkan lidahnya. Tamat riwayat hidup rama-rama itu di mulut cicak. Kenyang cicak.

Jibam memikirkan apa nasibnya. Dia memikirkan sesuatu. Sama seperti rakyat berpendapatan rendah yang memikirkan tentang kenaikan harga gula, harga minyak dan lain-lain keperluan harian yang menjerut kehidupan.

Jibam tidak begitu kisah tentang kenaikan harga gula kerana dia mempunyai pendapatan bulanan. Jibam kasihan kepada penduduk kampung yang hanya mempunyai motosikal sahaja. Kebanyakkan mereka mempunyai anak yang ramai. jika hendak ke pekan akan dibawa membonceng beramai-ramai, melintasi jalan yang sibuk. Kadang-kadang membawa anak yang masih kecil yang diletakkan di bahagian hadapan motorsikal.

Jibam selalu terserempak dengan bapa yang membawa anak-anak membonceng motosikal, ketika merentasi jalan balik ke rumahnya dari tempat kerja setiap hari.

“Mas, kalau di Indonesia harga gulanya mahal,” Sutinah pernah memberitahunya suatu petang ketika dia mengunjungi mini market Pak Nuji.

“Gula Aren Batok Bengkulu saja, harganya lima belas ribu rupiah gitu, satu kilo,” tambah Sutinah.

“Kalo gula putih pula, lima ratus tiga puluh lima ribu rupiah bagian lima puluh kilo,” tambah Sutinah lagi.

“Bisa aja Pak Menteri, Wali Kota, kepala Kantor dan seumpamanya enggak terkesan dengan harganya. Mereka punya uang,” tambah Sutinah lagi.

“Di Malaysia pula, gomen minta rakyat kurang ambil gula. Gula kurang nanti sakit kencing manis pun kurang,” Pak Nuji yang sedang menyusun barang pula mencelah. Dia sudah lama mengamati perbualan Sutinah dan Jibam.

“Memang benar Pak, semakin kurang gula pokoknya bisa selamat dari diabetes,” balas Sutinah.

“Gimana ya kalau milo pun turut naik harganya?” pertanyaan Sutinah menyebabkan Jibam dan Pak Nuji terkebil-kebil.

“Milo kesukaanku,” pintas Jibam.

“Kesukaanku juga,” balas Sutinah.

“Pak Cik pun suka juga,” Pak Nuji melahirkan persaanya.

Ketiga-tiga mereka ketawa berderai hingga menarik perhatian beberapa pelanggan yang masuk ke dalam mini market Pak Nuji.

“Cari apa bung?” Tanya Sutinah kepada seorang pelanggan.

“Cari setin milo, yang 1 kilo ada tak?” pelanggan tersebut memberi respon.

Ketawa Sutinah, Jibam dan Pak Nuji seterusnya bersambung-sambung apabila mendengar pertanyaan pelanggan tadi. Dia kelihatan kehairanan dengan ketawa itu.

“kesukaan ramai,” balas Jibam.

“Ada-ada,nanti saya ambilkan,” balas Sutinah sambil menahan ketawa. Kemudian Sutinah berlalu pergi meninggalkan Pak Nuji dan Jibam.

“Kamu tahu milo keluaran Malaysia memang sedap.Penuh dengan coklat. Tidak seperti keluaran Indonesia atau Thailand. Katanya di Australia pun tidak sesedap keluran Malaysia,” beritahu Pak Nuji.

“Dibungkuskan di Malaysia Pak Nuji. Prosesnya di Singapura juga. Sama seperti air, dihantar ke Singapura dan diproses kemudian dibeli pula oleh Johor,” tambah Jibam.
----------------------------------------------------------------------------------

Jibam meletakkan bungkusan Milo tiga dalam satu di atas meja di dapur. Bungkusan itu baru dibeli di mini market Pak Nuji dalam perjalanan balik ke rumah sewanya.

Berdekatan dengan bungkusan milo itu terdapat sebungkus kuih sagun. Entah siapa punya bungkusan itu. Sagun yang bulat dibentuk-bentuk berwarna jingga tersusun rapi.

“Mungkin milik Lotpi,” fikir Jibam.

Ketika itu tiada sesiapa di rumah. Mungkin kawan-kawan serumahnya bekerja lebih masa. Jibam melihat di luar rumah sewa, dari arah tingkap dapur. Seekor burung gembala kerbau sedang mematuk-matuk sekeping biskut, kemudian beberapa ekor lagi turut dan merebut cebisan itu. Seekor dari burung itu terbang jauh bersama sebahagian cebisan biskut ke arah pokok kelapa yang berada berdekatan kawasan lapang di hadapan dapur rumah sewa.

“Nak hidup, “ perbuatan burung-burung tadi tertanam dalam jiwanya.

“Nak hidup kena berusaha,” getus hatinya lagi.

Sekumpulan orang ramai di kawasan taman perumahan itu sedang mengelilingi gerai kecil Naina Mansoor di pinggir jalan, menghala ke blok berdekatan. Cendol mamak itulah bahan jualan Naina Mansoor di situ. Cendolnya laris terutamanya ketika waktu rembang dan petang.

“Sungguh kreatif mereka mencari rezeki,” hati Jibam bergetus lagi memerhati keadaan sekeliling.

Jibam terkenangkan kata-kata Pak Nuji sewaktu berbual pada suatu petang.

“Orang pendatang ini pandai cari makan di Malaysia.”

“Kumpul duit banyak-banyak hantar balik ke negara depa.”

“Ya lah, banyak sangat kerja orang kita diambilalih kaum pendatang,” balas Jibam.

“Salah orang kita juga, pilih kerja,” balas Pak Nuji.

“Di tempat tumpuan pelancong, kaum pendatang ramai yang cari makan,” tambah Pak Nuji.

Sutinah yang sedang menyusun biskut di atas rak turut menjampuk perbualan Pak Nuji dan Jibam. Hatinya berbunga riang setiap kali melihat Jibam sentiasa datang ke mini market Pak Nuji, tempat Sutinah berkerja.

“Di Cameron Highlands sana jauh … di atas sana, ramai kawan-kawan Sutinah berjualan, cari makan. Lumayan Pak,” jampuk Sutinah.

“Sudah kerja di ladang-ladang sayur, strawberry … masih berjualan di pasar malam, atau di mana sahaja yang ada peluang. Begitu juga di Kuala Lumpur dan Bandar-bandar seluruh Malaysia, “tambah Sutinah.

“Ya lah, Pak Nuji lihat di Berincang, ramai yang menjual pakaian, makanan, dan gorengan sayur-sayuran serta lain-lain hasil tanaman, ramai orang Indonesia,” tambah Pak Nuji.

Pak Nuji dan Jibam berhati-hati dalam tutur kata mereka. Mereka tidak mahu menyinggung perasaan Sutinah yang datang dari Indonesia.

“Yang masalahnya ramai pendatang dari Nepal dan Vietnam bertugas dengan syarikat keselamatan di bangunan-bangunan kerajaan. Mereka ngak punya IC, tapi ribut bertanyakan IC orang tempatan,” ujar Pak Nuji sambil meniru lenggok Bahasa Indonesia.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.