Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novel Cinta Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Aira Aliff
5/2/2015 15:23:41
43,405
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 20

Hanya dengan sekali lafaz, termeterailah ikatan antara Leya Aulia dan Umayr Darius. Majlis yang hanya dibuat secara sederhana terasa meriah dengan kehadiran keluarga dan tetamu-tetamu lain.

Darius menoleh memandang daddynya. Di wajah tua itu ada genangan air jernih. Dia tahu daddynya pasti sedih dengan pernikahannya ini. Dia memandang pula pada maminya dan wajah itu kelihatan gembira. Gembira kerana apa yang dihajati maminya telah pun tercapai.

Dia melangkah menghampiri kedua orang tuanya. Tangan daddynya dicium perlahan sebelum memeluk lelaki itu. Belakang tubuhnya terasa diusap perlahan.

“Daddy doakan Darius bahagia. Apa sekali pun penyebab pernikahan ini, Dia tanggungjawab Darius…” ucap Dato Firdaus perlahan lalu meleraikan pelukan mereka. Pipi Darius disentuh sebelum dia mengukir sebuah senyuman.

Darius beralih pada maminya. Tangan maminya disalam dan dikucup sebelum memeluk tubuh maminya. Dia sedar sikap maminya yang kadang-kadang agak melampau. Meskipun orang sekelilingnya mengatakan dia anak mak hingga sanggup mengikut segala arahan maminya, dia tidak peduli. Dia pekakkan telinga kerana wanita di depannya ini adalah ibunya. Yang telah mengandungkannya dan melahirkannya ke dunia ini dengan pertaruhkan nyawanya sendiri. Oleh itu salahkah dia andai mengikut kehendak maminya walau ia bertentangan dengan kehendaknya.

Dia menoleh pula pada sahabatnya yang tersenyum memandangnya. Dia menghampiri lalu memeluk Ashriq.

“Terima kasih Ash. Terima kasih kerana selalu ada di sisi aku…” Bisiknya perlahan sebelum meleraikan pelukan mereka. Ashriq hanya tersenyum. Sedikit sebanyak terharu juga dia dengan ucapan tersebut.

Kini tiba saatnya dia menemui gadis yang baru sahaja menjadi isterinya. Jantungnya berdegup tiba-tiba. Dia menarik nafas dan melepaskan. Beberapa kali dia melakukan yang sama. Bahunya terasa ditepuk. Dia menoleh pada Ashriq dan sahabatnya itu mengangguk perlahan. Dengan rasa gementar dia melangkah perlahan menghampiri gadis yang sedang tunduk dan dikelilingi oleh saudara-saudara perempuannya serta tetamu-tetamu lain. Dia duduk di depan isterinya. Wajah itu masih juga tunduk. Malu barangkali.

“Assalamualaikum…” ucapnya perlahan. Salam yang diberikan bersambut namun wajah itu tetap juga menunduk. Dengan perlahan dagu si isteri diangkat dan bila wajah yang tadi menunduk semakin jelas di matanya membuatkan dia kaku. Bagaikan sebuah mimpi. Benarkah atau hanya ilusinya semata-mata. Debaran di dada semakin kuat berdetak. Inikah jawapannya? Jawapan di sebalik pertemuan-pertemuan mereka. Jawapan di sebalik wajah yang sering hadir tika dia memejamkan mata. Ya Allah, inikah maksud-Mu? Diakah yang menjadi pilihan-Mu untuk aku dampingi?

Dadanya terasa sebak tiba-tiba. Birai matanya juga terasa panas. Dia tidak tahu perasaan sebenarnya saat ini. Apakah patut dia bersyukur atau sebaliknya. Bibirnya mengukir senyum dan dalam tidak sedar pipi si isteri diusap perlahan.

Leya tunduk menyalami pemuda yang baru pertama kali ditemuinya ini. Lelaki yang telah sah bergelar suaminya. Ada rasa sendu yang mengusik apa lagi melihat wajah-wajah yang mengelilinginya. Tidak seorang pun dia kenal. Semuanya wajah-wajah asing. Saat dahinya dikucup oleh suaminya, air mata yang ditahan menitis akhirnya. Saat itu dia dapat merasakan ada jari yang menyentuh lembut pipinya. Dia merenung wajah suaminya dengan mata yang berkaca. Dia cuba untuk menahan air jernih itu dari mengalir namun bila ingatannya singgah pada uminya, air jernih yang cuba ditahan terus sahaja mengalir.Sungguh dia tidak menduga yang dia akan melalui pernikahan yang begini.

Bila pemuda yang baru saja bergelar suami padanya membawa dia dalam pelukan dia hanya membiarkan. Wajahnya disembamkan pada dada si suami dan melepaskan tangisannya. Rasa sendu yang bermukim bagaikan tidak lagi mampu dikawal. Pelukan di tubuhnya juga terasa semakin erat dan dia turut membalas pelukan tersebut.Dia sudah tidak peduli apa sekalipun pandangan tetamu-tetamu yang hadir. Dia hanya mahu melepaskan segala tekanan yang ada dan dia akui pelukan ini begitu mendamaikan jiwanya yang sedang bercelaru. Kehadiran suaminya ini bagaikan dahan untuk dia berpaut. Segala keresahannya sebelum ini bagaikan terus hilang.


**********************************************


Emelda termenung sendirian. Keadaan sekeliling langsung tidak diendahkan. Dia melihat jam di pergelangan tangannya. Dah 8: 40 malam maknanya Darius sudah selamat menjadi seorang suami. Dia melepaskan keluhan. Macam-macam yang dia rasa saat ini. Menyesalkah dia?

“Kenapa termenung ni? Dari tadi I tengok you tak habis-habis termenung kemudian mengeluh. You ada masalah..?” Nafiz memandang gadis di depannya ini. Dari tadi lagi dia sudah menyedari akan sikap pelik Emelda. Gadis itu kelihatan gelisah. Entah apa yang sedang difikirkan hingga begitu sekali ketara perubahan sikap Emelda.

“Darius nikah malam ni…” ujar Emelda perlahan. Dia menoleh pada Nafiz di sebelahnya tapi Nafiz kelihatan diam sahaja.

“You menyesal…?” soal Nafiz. Dia tahu penyebab pernikahan Darius. Hubungan baiknya dan Emelda membuatkan mereka semakin rapat sementalah dia dan Emelda banyak bekerjasama dalam projek-projek yang memerlukan dia sebagai fotographer. Mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain. Sejak di university lagi. Mungkin hubungan baik antara mereka juga membuatkan Emelda senang bercerita dan meluahkan masalahnya padanya.

“Perlu ke I menyesal? Entahlah Fiz. Mesti you cakap I bodoh kan…” sahut Emelda. Sekali lagi dia melepaskan keluhan.

“I tak nak komen apa-apa cuma I harap you tak menyesal dengan apa yang dah you putuskan. Kerjaya bukan segalanya dalam sebuah kehidupan Mel. Dalam hidup ni cinta dan kasih sayang adalah perkara yang bukan semua orang dapat memilikinya. Ramai kat luar sana tak kira lelaki atau perempuan yang berjaya dan ada kerjaya yang bagus tapi dalam kehidupan mereka, kosong. I tak mahu you jadi salah seorang dari mereka Mel….”

“Hubungan I dan Darius tidak akan terjejas dengan pernikahan tersebut. Pernikahan mereka hanya untuk sementara dan bila tiba saatnya hubungan kami akan kembali pada asal….” ujar Emelda dengan yakin.

“Keyakinan tu bagus Mel tapi kalau terlalu tinggi keyakinan tu, I takut you akan tersungkur nanti.You never know what you have until you lose it…” balas Nafiz sekadar mengingatkan Emelda.

Emelda hanya menjungkit bahu. Dia percayakan Darius dan cinta mereka. Dia yakin Darius tidak akan berubah. Dia menarik nafas dan kemudiannya lepaskan. Ini keputusannya dan dia tidak perlu menyesal atau terbeban kerana ini pilihannya. Sebaik mendengar pengumuman tentang penerbangannya dia terus bangun dan melangkah masuk diekori Nafiz. Dia perlu gandakan usahanya andai dia mahu impiannya cepat tercapai dan dia tidak perlu terlalu memikirkan tentang hubungannya dan Darius kerana dia yakin antara dia dan Darius ada ikatan cinta yang kuat. Bila semuanya selesai, dia dan Darius akan kembali pada asal. Tiada lagi desakan Datin Aida dan tiada lagi isteri kontrak Darius. Yang ada hanya dia dan Darius.


********************************************


Setelah segalanya selesai dia duduk di beranda rumahnya. Ashriq masih setia menemaninya. Di bawah kelihatan beberapa pekerja dari pihak catering yang ditempah maminya sedang mengemas segala perkakas yang digunakan ketika majlis tadi. Tubuhnya terasa lenguh. Meskipun majlisnya sederhana sahaja namun cukup meriah dengan kehadiran saudara mara serta kenalan terdekat.

Teringat dia akan apa yang berlaku tadi. Hingga kini dia masih dapat rasakan pelukannya pada isterinya. Dia tidak tahu apa yang menghasutnya melakukan demikian tapi sebaik melihat air mata si isteri buatkan hatinya menjadi pedih tiba-tiba dan rasa pedih itulah yang pernah dirasai waktu pertama kali melihat gadis itu menangis berbulan dulu. Dia tidak tahu apa sebenarnya yang sedang dirasai isterinya ketika itu namun dia dapat melihat ada kepedihan di mata yang sedang berkaca itu. Dia menarik gadis itu dalam pelukannya agar tindakannya itu dapat mengurangkan sedikit tekanan yang dirasai dan dia rasa tindakannya berjaya bila melihat senyuman yang terukir di bibir isterinya sebaik pelukan mereka terlerai. Melihat senyuman tetamu-tetamu yang hadir barulah dia tersedar di mana mereka kala itu. Wajah isterinya terus berubah kemerahan bila mereka tidak sudah diusik. Dia yang turut menyedari akan wajah si isteri yang sudah kemerahan hanya tersenyum. Siapa sangka gadis yang berjaya menarik perhatiannya di kala bertemu telah menjadi isterinya yang sah.

“Pandai sungguh mami kau pilih calon. Cantik weh. Aku rasa tak keterlaluan andai aku katakana wife kau lagi cantik dari Emelda. Kalau macam ni aku pun nak minta mami kau tolong carikan jugalah calon untuk aku…” ujar Ashriq. Wajah sahabatnya itu kelihatan bersungguh dengan apa yang baru sahaja diucapkan. Darius hanya ketawa tanpa komen apa-apa.

“Tapi kan Darius, apa yang aku lihat tadi macam bukan kahwin paksa. Masa kau peluk wife kau tu, dalam hati aku ni tak putus berdoa agar itulah jodoh kau yang sebenarnya. Daddy kau pun aku nampak tersenyum. Weh kau dah mula jatuh cinta dengan wife kau ya. Cinta pandang pertama ke? Tulah eksyen lagi kan dah tersuka…” gelak Ashriq dengan katanya sendiri.

“Hisy kau ni membebel aje dari tadi. Tak penat ke mulut kau tu…” sahut Darius. Sahabatnya itu dijelling tajam.

“Rilek la bro. Wah baru berubah status terus jadi sensitive….” Makin kuat ketawa Ashriq lebih-lebih lagi melihat wajah Darius yang sudah berubah warna.

“Emelda tak datang ke..?” soal Ashriq tidak mahu lagi berterusan mengusik Darius. Mahu jadi hijau wajah sahabatnya itu nanti.

“Dia mungkin dalam penerbangan ke Paris…” sahut Darius perlahan. Sebenarnya dia masih berharap agar Emelda datang dan menghalang penikahan itu namun akhirnya dia yang semakin kecewa. Emelda semakin jauh dari gapaiannya.

“Sejujurnya aku berharap kau mampu buka ruang hati kau untuk isteri kau. Pertama kali melihatnya tadi aku dapat rasa dia gadis yang baik…”

Kali ini Darius pula yang ketawa. Baikkah andai sanggup gunakan diri untuk duit semata-mata. Dia pasti bukan sedikit ganjaran yang di terima isterinya itu.

“Kenapa kau ketawa..?” soal Ashriq pelik.

“Aku ketawa sebab kau kata isteri aku tu baik. Baik ke kalau sanggup gunakan maruah diri semata-mata kerana duit…” Sinis sahaja Darius menjawab.

“Mungkin dia ada sebab yang kita tak tahu. Jangan mudah menyimpan tanggapan buruk pada orang Darius…”

“Dahlah aku dah malas nak fikir. Otak aku ni dah sendat dengan pelbagai masalah…”

Ashriq mengangkat bahu. Mengerti di saat ini Darius sedang celaru dengan apa yang baru sahaja terjadi ditambah pula rasa kecewanya terhadap si kekasih hati. Sebelum berlalu pergi sempat dia memberikan kata semangat agar tabah mengharungi segalanya dan sempat juga dia memberi amaran agar jangan perlakukan macam-macam pada isteri yang baru di nikahi sekalipun tidak menyukai pernikahan ini.

Darius hanya menganguk sahaja. Di saat ini dia tidak tahu harus bagaimana. Di dalam sana isterinya sedang menanti. Bolehkah dia menjalankan tangungjawabnya sebagai ‘suami’ hanya untuk mendapatkan zuriat yang diinginkan maminya. Tergamakkah dia menyentuh gadis itu hanya kerana keinginan maminya dan bagaimana pula untuk dia berkompromi dengan hatinya yang hanya menggambarkan Emelda sebagai isteri dan ibu kepada zuriatnya. Segalanya semakin kusut.

Di saat dia mengharapkan kehadiran Emelda, gadis itu pula pergi mengejar impiannya. Mengapa begitu sukar untuk kekasihnya itu mengerti akan isi hatinya. Rasa kecewanya terhadap Emelda semakin dalam dirasakan. Cintanya bagaikan dipersendakan gadis itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aira Aliff