Home Novel Cinta Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Aira Aliff
5/2/2015 15:23:41
113,695
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

Sebaik selesai makan malam, Datin Aida mengajak Darius dan Dato Firdaus ke ruang tamu. Sudah tiba masanya untuk dia memberitahu tentang calon isteri Darius. Pernikahan Darius dan Leya perlu disegerakan. Dia sudah tidak mahu berlengah lebih lama sementalah perjanjian juga sudah dibuat.

"Mami dah jumpa calon isteri kamu..."ujar Datin Aida sebaik melabuhkan duduk di sebelah Dato Firdaus.

Dato Firdaus dan Darius tergamam mendengarnya.

“Darius tak setuju. Apa sekalipun Darius tetap membantah…” Dengan tegas Darius menyatakan pendiriannya.

“Saya juga tak setuju. Tolong hentikan rancangan mengarut awak tu…” Dato Firdaus turut membantah. Kali ini dia tidak akan membiarkan isterinya sewenang-wenang membuat keputusan. Dia akan mempertahankan kebahagiaan puteranya. Cukuplah selama ini isterinya menjadikan Darius seperti robot yang hanya menurut segala perintahnya.

“Keputusan saya muktamad. Sama ada awak dan Darius setuju atau tidak, pernikahan tu tetap akan berlangsung dua minggu dari sekarang…” Dengan tegas juga Datin Aida menetapkan keputusannya.

“Kerana harta, sanggup awak perjudikan masa depan anak sendiri. Tak cukup lagi ke kemewahan yang dah saya hadapkan pada awak hingga awak sanggup meneruskan rancangan gila awak tu?”

“Saya buat semua ni bukan untuk saya tapi untuk Darius, untuk kita….”

“Untuk awak, bukan untuk kami…” sahut Dato Firdaus lantang. Sikap isterinya kali ini benar-benar menguji kesabarannya.

Darius hanya diam tidak berkutik. Dia hanya mampu memandang dan mendengar pertelingkahan antara mami dan daddynya. Andai dia tidak mengingatkan diri siapa dirinya dan Datin Aida, pasti akan dilawan sehabisnya tapi kerana dia seorang anak yang wajib hormat ibunya, maka dia terpaksa menelan segala olahan maminya. Memberontak pun hanya dalam hati. Sejak dari dulu apa yang keluar dari mulut Datin Aida harus dilaksanakan. Daddynya sendiri tidak mampu melawan, apalagi dia sebagai anak.

“Darius akan ikut cakap mami tapi Darius tak mahu ambil tahu apa-apa pun tentang pernikahan tu. Darius tak nak campur dan Darius juga tak nak tahu siapa calon yang dah mami pilih. Mami uruskan semuanya sendiri. ….” Dengan rasa terpaksa, dia bersetuju juga akan rancangan maminya. Dia tidak mahu daddy dan maminya bergaduh kerana dirinya. Biarlah dia mengalah andai itu mampu memuaskan hati maminya.

Dengan langkah lemah, dia bangun untuk beredar. Kunci kereta dicapai. Ketika ini, dia mahu jauh dari mami dan daddynya. Dia mahu bertenang setelah ketenangannya dikocak dek rancangan gila maminya.

Datin Aida tersenyum lebar sebaik mendapat persetujuan Darius. Jelingan suaminya juga langsung tidak dihiraukan. Sebaik Dato Firdaus berlalu, dia hanya mencebik. Biarlah suaminya itu mahu mogok sekalipun. Yang penting, segala harta arwah Tan Sri Firhad perlu disahkan secepat mungkin. Dia tidak mahu segala aset itu lama berada di bawah kuasa Dato Amir.


******************************************


“Apa hal tiba-tiba datang rumah aku…?” soal Ashriq sebaik mendekati Darius. Terkejut juga dia tadi apabila uminya memberitahu akan kedatangan Darius. Selama ini Darius selalunya akan menghubunginya terlebih dahulu sebelum ke mari.

“Tak boleh ke aku singgah sini? Kalau kedatangan aku mengganggu kau, aku balik dulu la…” sahut Darius seakan berjauh hati.

“Weh, sejak bila dah pandai merajuk dengan aku ni? Itu pun nak sentap. Macam perempuan la kau ni….” ujar Ashriq lalu ketawa perlahan. Alahai, sensitif pulak sahabatnya malam ini.

“Aku tengah tension ni…” Keluhan dilepaskan. Hanya pada Ashriq tempat dia mengadu. Sejak dari kecil lagi mereka berkongsi rasa hati. Andai dia tidak puas hati dengan mami atau Emelda, Ashriqlah tempatnya meluah kata.

“Apa pulak halnya kali ni? Emelda buat perangai lagi? Ke mami kau yang buat perangai…” soal Ashriq ingin tahu. Wajah muram Darius sudah cukup untuk buat dia mengerti. Hanya dua manusia itu sahaja yang mampu membuat riak wajah sahabatnya ini berubah. Darius yang dikenali sejak kecil tidak mudah melatah tapi cukup bijak menyelesaikan hal-hal yang berlaku di persekitarannya tapi tidak kalau ia berkaitan Datin Aida dan Emelda. Darius lebih banyak mengalah dari mempertahankan pendapat dan kehendaknya.

“Mami aku dah jumpa calon isteri aku…”

“Maksudnya…?”

“Calon isteri yang bersedia dinikahkan dengan aku dan kemudian lahirkan anak aku…” terang Darius.

“Cepatnya mami kau buat kerja. Dia pergi agensi cari jodoh ke..?” soal Ashriq lalu ketawa perlahan. Dia sebenarnya langsung tidak terkejut kerana dia juga mengenali siapa Datin Aida. Mami sahabatnya itu akan melakukan apa saja demi mencapai matlamatnya.

“Ash, aku tengah serius ni. Kepala aku dah cukup berselirat nak-nak bila fikirkan yang pernikahan tu akan berlangsung dua minggu dari sekarang…”

Melihat wajah bengang Darius, ketawa Ashriq terus mati. Aduh, silap timing pulak.

“Mami kau memang pantas. Siapa gadis tu..?” soalnya lagi selepas berdehem beberapa kali.

Darius menjungkit bahu. Tidak kuasa dia hendak ambik tahu siapa gadis yang turut gila seperti mami dan Emelda.

“So apa kau nak buat sekarang…?”

“Apa lagi yang aku boleh buat Ash selain siapkan diri untuk majlis tu nanti. Kau pun tahu perangai mami aku tu macam mana kan….” ujar Darius dengan suara perlahan. Wajahnya diraup berkali-kali.

Ashriq hanya diam mendengar. Memang sudah dijangka ini keputusan Darius. Sejak Darius bercerita akan rancangan Emelda dan persetujuan Datin Aida lagi dia sudah dapat mengagak yang Darius terpaksa mengikut juga walau dia tidak bersetuju.

“Kau rasa betul ke keputusan yang aku buat ni. Macam mana hidup kami selepas pernikahan tu nanti. Dengan Emelda lagi. Hisy serabut la kepala otak aku…”

Bahu Darius ditepuk perlahan.

“Kalau dah itu keputusannya, mahu atau tidak kau kena juga tempuh. Tak payah kau nak serabutkan kepala otak kau. Serahkan saja pada Allah. Ini yang Emelda dan mami kau nak jadi kau teruskanlah. Apa-apa sekalipun yang akan terjadi di kemudian hari, biar Allah yang tentukan….” Dia hanya mampu menasihati dan memberi sokongan buat sahabatnya ini. Meskipun dia bersimpati, apa daya dia untuk menolong Darius. Hanya dengan menjadi sahabat dan pendengar sahaja dia mampu. Sekurangnya tindakannya ini mampu mengurangkan sedikit bebanan yang dipikul Darius.
Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aira Aliff