Home Novel Cinta Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Aira Aliff
5/2/2015 15:23:41
113,649
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

Majlis pernikahannya dengan anak tunggal Datin Aida akan berlangsung minggu depan. Segala persiapan diuruskan sepenuhnya oleh Datin Aida. Dia hanya perlu menyiapkan diri sahaja. Mudahnya kehidupan orang-orang kaya. Ada duit segalanya menjadi mudah. Bak kata orang hanya dengan petik jari, semuanya settle. Bila dia terfikirkan akan pernikahan tersebut, tubuhnya pasti akan menggigil. Jenis perkahwinan bagaimanakah akan dilaluinya nanti. Sendat otaknya bila teringatkan akan perkara itu.

Pernikahannya juga terpaksa dirahsiakan dari rakan-rakan mahupun keluarganya sendiri. Dia merahsiakannya kerana tidak mahu ada masalah timbul kelak sedangkan dia tahu pernikahan ini hanya untuk sementara. Sebaik dia melahirkan zuriat buat keluarga Datin Aida, dia perlu pergi meninggalkan semuanya. Sedikit pun dia tidak berhak ke atas zuriat itu. Bunyinya terlalu kejam tapi itulah perjanjian yang telah ditandatanganinya.

Bila tiba saatnya nanti mampukah dia untuk menghadapinya sedangkan itu juga zuriatnya. Zuriat yang akan dikandung dan dilahirkan dan mampukah untuk dia bertahan andai haknya ketika itu dinafikan. Oh Tuhan, jenis kehidupan apakah yang akan aku lalui nanti. Akan bahagiakah atau hidup ini akan lebih menderita. Sesungguhnya dia takut untuk menghadapinya. Takut andai dia tidak cukup kuat untuk melaluinya. Akan rebahkah dia di kaki takdir andai kudratnya sudah hilang untuk terus melaluinya. Ya Allah, Kau pimpinlah aku untuk aku terus berdiri di laluan takdir-Mu. Sesungguhnya hanya pada-Mu tempat aku berpaut. Tempat untuk aku terus meminta sedikit kekuatan. Bantulah aku untuk aku berdepan dengan setiap takdir yang telah Engkau catatkan untukku.

Dia meraup wajah. Keluhan berat juga dilepaskan. Dadanya terasa semakin sesak apa lagi bila membayangkan akan sikap sebenar bakal suaminya nanti. Jenis bagaimanakah lelaki itu. Apakah jenis yang baik atau jenis yang kaki pukul. Risaunya dia bila memikirkannya. Mungkinkah dia akan menjadi mangsa keganasan rumah tangga yang sering muncul di dada-dada akhbar? Tubuhnya terasa menggigil. Dia menjadi takut tiba-tiba. Terasa mahu saja dia menghubungi Datin Aida dan membatalkan semua yang telah dirancang tapi bagaimana pula dengan uminya. Keadaan uminya semakin parah dan jalan yang ada untuk menyelamatkan uminya adalah menikahi anak Datin Aida.

Dia masih ingat lagi akan ketakutannya seminggu yang lepas bila uminya tiba-tiba jatuh dan terpaksa di kejarkan kembali ke hospital untuk mendapatkan rawatan segera. Hampir tiga hari uminya tidak sedarkan diri. Di saat itu terasa jantungnya juga bagai direntap.

Dia mendongak merenung langit di atas. Andai ini pengorbanan yang harus dia lakukan, dia rela demi nyawa uminya. Dia pasrah andai memang sudah begitu takdir hidupnya. Kepalanya kembali merenung depan. Melihat ketenangan tasik di depannya membuatka dia sedikit lega. Sejak dari dulu, bila dia serabut dengan masalah pasti dia akan ke sini. Tempat yang menjadi kegemarannya dan juga Erina. Banyak kenangan bersama Erina tercipta di sini. Kalaulah Erina ada di sisinya saat ini pasti sahabatnya itu akan cuba untuk menceriakannya. Bersama Erina, segala masalah yang berlingkar bagaikan hilang dari kotak fikirannya. Sahabatnya itu memang bijak mencipta suasana bila dia dalam masalah.

“Baliklah Rin, aku perlukan kau….” getusnya perlahan bersama sendu yang cuba ditahan.


****************************************


Darius semakin gelisah. Tarikh nikahnya hampir tiba. Serabut kepalanya bila memikirkan soal itu. Keputusan yang bodoh. Dia tidak mampu menghalang apalagi membantah keputusan maminya. Sedari kecil begitulah sikap maminya. Setiap arahannya adalah muktamad. Suka atau tidak bukan menjadi soal buatnya. Daddynya pula terlalu banyak mengalah hingga maminya tidak lagi menghormati dia sebagai ketua keluarga. Di saat ini ingin sahaja dia menghilangkan diri. Dia buntu dengan apa yang terjadi. Dia bagaikan tersepit. Kiri atau kanan penamatnya tetap sama.

Masalah yang sedang dihadapinya secara tidak langsung turut menjejaskan tumpuannya pada tugas-tugasnya. Beberapa perbincangan dengan pelanggan terpaksa diambil alih oleh Ashriq dan daddynya sendiri. Mujurlah mereka memahami akan keadaan dirinya kala ini. Daddynya pula sentiasa memberinya semangat meskipun tidak dapat menghalang keputusan yang telah dibuat maminya.

“Apasal termenung ni..?” soal Ashriq sebaik melangkah masuk ke ruang pejabat sahabatnya itu.

Darius mendongak. Melihat Ashriq yang sudah pun duduk di depannya membuatkan dia menggelengkan kepala perlahan. Sahabatnya ini suka benar meredah masuk ke biliknya sesuka hati.

“Aku tengah pening. Tarikh nikah aku dengan entah mana-mana perempuan tu ada seminggu saja lagi. Buntu kepala otak aku ni Ash…”

“Kau dah tak ada pilihan lain Darius selain menuruti arahan mami kau tu. Emelda macam mana? Dia dah tahu ke yang kau nak nikah lagi seminggu..?” Ingin sekali dia melihat apakah reaksi Emelda sebaik berita ini disampaikan. Sungguh dia tidak mengerti bila Emelda sanggup melepaskan Darius menikahi gadis lain. Benar-benar tidak mengerti akan pendirian gadis itu.

“Aku belum bagitahu dia lagi. Dia ada kat Hong Kong sekarang ni. Lagi dua hari baru dia balik…” terang Darius. Dia mahu menyampaikan berita itu bila Emelda ada di depannya. Mahu melihat reaksi kekasihnya itu.

“Apa agaknya reaksi dia ye. Mungkin ke dia akan bersedih..?” Pertanyaan Ashriq dibiarkan sepi kerana dia sendiri tidak tahu apakah kekasihnya itu akan bersedih dengan berita ini atau sebaliknya.

“Apa pun aku harap kau terima semua ini dengan reda. Keputusan telah pun di buat. Pengantin perempuan pun dah ada. Hanya tinggal seminggu sahaja lagi. Meskipun aku bersimpati namun aku pun tak mampu lakukan apa-apa untuk menolong kau. Mungkin ini adalah takdir hidup kau…”

“Cukuplah kau sentiasa ada bila aku perlukan kau. Aku dah bersyukur sangat ada sahabat macam kau. Sahabat yang tak pernah tinggalkan aku meski dalam apapun situasi yang aku hadapi. Terima kasih banyak-banyak Ash. Kau sebenarnya dah banyak bantu aku….” sahut Darius dengan senyuman. Sokongan Ashriq sudah cukup untuk dirinya. Benar kata sahabatnya ini. Keputusan telah pun dibuat. Pengantin perempuan pun sudah ada. Segala persiapan juga telah dibuat. Apa lagi yang boleh dia lakukan selain menerimanya dengan reda. Mungkin sudah begini takdir hidupnya.

Sebaik Ashriq keluar dari biliknya, dia turut melangkah keluar. Keluar untuk mencari sedikit ketenangan.

Sekali lagi Darius membawa diri ke tasik di Putrajaya ini. Dia melangkah perlahan dan langkahnya terhenti sebaik menyedari seseorang yang sedang termenung tidak jauh darinya. Lama dia perhatikan wajah itu akhirnya dia mengukir senyum.

“Berjumpa lagi kita…” bisiknya perlahan lalu dia kembali meneruskan langkah ke bangku yang pernah dia duduki berbulan dulu. Saat pertama kali dia menemui gadis itu.Di bangku inilah dia duduk sambil merenung gadis yang tidak dikenalinya.

Dari jauh dia memerhati. Wajah itu kelihatan mendung. Entah apa pula yang sedang melanda kali ini. Wajah mendung itu mengundang rasa aneh dalam hatinya. Jantungnya tiba-tiba berdegup pantas. Berkali-kali dia cuba mencari jawapannya namun ia tetap kosong tanpa berjawab. Persoalan itu seakan pertanyaan yang tiada jawapannya. Lama dia memandang wajah itu sebelum melarikan pandangan mengadap tasik di depannya.

Mindanya mula berfikir maksud di sebalik pertemuan ini. Entah apa yang ingin Allah tunjukkan padanya. Sejak akhir-akhir ini wajah gadis ini sering sahaja mengganggunya. Bila matanya terpejam, bayangan gadis ini juga yang muncul dan bukannya wajah Emelda si kekasih hati.

Setiap kali wajah itu hadir, rentak rasa dalam hatinya berubah aneh. Dia tidak tahu perasaan apa. Apa yang pasti, ada rasa damai dan indah.

Dia kembali menoleh ke arah kirinya namun kelibat gadis itu sudah tidak ada lagi. Melilau matanya mencari sehinggalah dia melihat gadis itu yang sedang berjalan menghampiri tempat parkir dan kemudiannya berlalu dengan kereta MyVi putih.

Terlayar senyuman di bibir. Entah kenapa di hatinya berharap benar agar gadis itu masih di situ. Walau hanya dapat memandang dari jauh namun ia sudah cukup untuk mendamaikan jiwanya yang sedang sarat dengan macam-macam perkara. Siapakah dia?

Ya Allah, andai diberi kesempatan, ingin aku mengenalinya. Mengenali dia yang mendamaikan jiwaku ini.
Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aira Aliff