Home Novel Cinta Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Aira Aliff
5/2/2015 15:23:41
113,680
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

Setelah berfikir dia akhirnya akur dengan permintaan uminya untuk pergi bercuti. Permohanan cutinya juga telah diluluskan oleh ketuanya.

“Dengarnya mula minggu depan Leya dah start cuti?” soal Hanani. Haiza yang duduk di sebelahnya hanya mendiamkan diri.

“A’ah kak. Umi yang minta Leya pergi bercuti. Leya tak mahu umi tambah susah hati. Mungkin lepas bercuti nanti, Leya semakin okey…”

“Pergilah, Leya. Sejak kejadian dulu tu, akak tengok Leya kerja tak berhenti. Betul kesibukan itu mampu buat kita lupa akan sengsara di jiwa, namun ia hanya bertahan seketika dan bila bersendirian, pasti sengsara itu datang kembali. Selagi Leya tak lepaskan semua keperitan itu, Leya akan terus merasai kesakitannya. Leya kena kuat, dik…” Haiza pula menasihati. Sebagai seorang wanita, dia juga mengerti sengsara yang dideritai Leya. Sungguh dia kasihan dengan gadis di depannya ini. Andai dulu gadis ini seorang yang periang dan sering tersenyum namun kini, gadis itu lebih banyak mendiamkan diri. Senyuman yang terukir pun sekadar melindungi duka di hatinya.

“Betul kata kak Haiza, Leya. Lupakanlah semuanya. Biarpun tidak mudah, tapi Leya kena cuba. Lepaskan segalanya. Reda dengan apa yang terjadi. Akak dah rindu sangat dengan adik akak yang periang dan suka tersenyum tu. Akak harap bila balik bercuti nanti, Leya yang dulu juga turut kembali…” Tutur Hanani dengan senyuman. Jauh di sudut hatinya dia berdoa agar gadis di depannya ini kembali seperti Leya Aulia yang mereka kenali dulu.

Leya melebarkan senyuman. Terharu dengan pengertian dan sifat ambil berat kedua-dua wanita di depannya ini. Kini dia sedar, meskipun dia kehilangan sahabat dan lelaki yang dicintainya, namun Allah masih kurniakan dia insan-insan yang masih menyayanginya dan mengambil berat akan dirinya. Insan-insan yang tidak pernah jemu menasihati dan memberi semangat buat dirinya. Meskipun ada seorang dua yang memandangnya sinis, namun masih ramai yang berdiri di sisinya. Dia sepatutnya bersyukur dengan semua yang dimilikinya itu.

“Carilah pengganti Leya. Kalau tak dapat yang macam Aaron Aziz, dapat yang macam Enrique Iglesies pun dah kira okey,” ujar Haiza dengan tawa kecilnya.

“Amboi kak, tingginya permintaan. Enrique Iglesias tu mamat paling hot tau. Nak dapat macam Enrique tu, Leya kena terbang ke Miami la,” sahut Leya yang juga turut ketawa dengan ocehan Haiza. Hanani juga turut ketawa. Senang hatinya melihat tawa Leya.

“Tak payah susah-susah pergi Miami Leya, kat Malaysia pun ada. Tak percaya cuba Leya tengok pakwe meja belakang Leya. Fuh, handsome tu Leya. Kalau akak ni tak ada Abang Naim, harus akak pergi tackle pakwe tu,"ujar Haiza. Matanya masih memandang pemuda yang duduk selang empat meja dari mereka.

“Gatalnya kau Haiza. Tak padan dah ada laki. Ingat sikit dengan Naim. Tahu dek Naim nanti, kecik hati dia…” Hanani pula bersuara apabila temannya ini masih memandang pemuda di depan mereka itu. Dia sendiri akui akan ketampanan yang dimiliki lelaki itu. Nampak hebat dalam suit korporat yang sudah pasti berjenama dan mahal.

Ketawa Haiza mendengar rungutan Hanani. Dia masih waras. Dia memandang sekadar mengagumi ketampanan pemuda di depannya. Sedikit pun tidak memasang niat untuk mencurangi suaminya Naim. Dengan adanya Naim di sisi, dia sudah cukup bersyukur.

“Aku tengok ajelah,sekadar cuci mata. Cuba Leya tengok pakwe tu, mana tahu kot-kot tersangkut nanti,” Sendanya dengan tawa yang perlahan.

“Tak kuasa la Leya. Pakwe handsome ni tak boleh percaya sangat kak. Banyak auta,” sahut Leya tidak berminat. Sedikit pun dia tidak menoleh seperti yang dipinta Haiza.

“Lelaki tu handsome tambah pulak dalam suit korporatnya tu. Nampak hebat dan berkarisma. Mesti anak orang kaya. Tak ada maknanyalah dia nak pandang perempuan-perempuan yang bukan dalam kasta yang sama dengannya.…” Hanani menyuarakan pendapat.

“Eh, mana kau tahu? Tak semua anak orang kaya macam tulah,” bantah Haiza.

“Kalau macam tu, kau pergilah cuba dapatkan nombor phone dia….”

“Hoi, nak mampus? Aku ni bini orang. Kau pun sama. Amboi tadi mengata aku bukan main rupanya dia pun berminat juga. Ceh. Mengata dulang paku serpih…”

Hanani sudah melambakkan tawanya. Boleh pula dia menyuruh Haiza pergi tacklepemuda itu. Memanglah tempah bala.

“Bukan untuk kau, tapi untuk si Leya ni. Kau ingat aku dah hilang akal? Tak pasal-pasal aku kena ‘hambat’ dengan si Naim.”

Leya yang sedari tadi hanya jadi pemerhati hanya menggeleng melihat telatah Haiza dan Hanani. Boleh pula Haiza dan Hanani berdebat tentang lelaki yang mereka sendiri tidak kenali.

“Dah la, kak. Kita bukan kenal dia pun dan dia pun tak mungkin kenal kita. Masa rehat pun dah sampai hujung ni. Jomlah,” tutur Leya lalu bangun dari duduknya. Hanani dan Haiza juga turut bangun dan mereka terus melangkah keluar dari restoran tersebut.




Mendengar tolakan kerusi dari arah depan membuatkan Darius mendongak memandang lurus ke depan. Kelihatan tiga wanita yang mula berdiri untuk berlalu dari situ. Tatkala wajah si gadis yang berkurung ungu berpaling, jantungnya mula dihentak debaran.

Wajah itu. Ya, dia yakin itulah gadis yang pernah ditemuinya dua bulan yang lalu. Matanya masih terus mengiringi langkah gadis itu. Patutlah sedari tadi jantungnya asyik berdebar, rupanya inilah penyebabnya. Dia memegang dadanya. Masih terasa degupannya. Begitu kuat. Untuk apakah debaran ini? Mengapa hatinya bergetar walau hanya dengan melihat wajah itu? Dia kurang mengerti. Entah perasaan apa yang sedang bergolak di jiwanya saat ini.

“Apasal tiba-tiba kau seperti berkhayal ni?” soal Ashriq yang pelik melihat perubahan yang ditunjukkan sahabatnya itu.

“Kau pernah rasa tak, jantung kau tiba-tiba berdebar bila pertama kali jumpa seseorang yang kau langsung tidak kenal dan tak pernah jumpa?”

Ashriq mengerutkan dahi.

“Maksud kau..?”

“Aku tak tahu, Ash. Dua bulan dulu aku jumpa gadis ni. Aku nampak dia yang ketika itu sedang menangis, bersedih dan entah kenapa dekat sini turut terasa sakit,” terang Darius dan jarinya menuding ke arah dadanya.

“Wajahnya bagaikan magnet yang menarik untuk aku terus memandangnya. Wajahnya buatkan aku lupa tentang kemarahan aku pada Emelda. Wajah yang berikan aku ketenangan. Pertama kali aku bertemunya dan walau hanya memandangnya dari jauh, tetapi getaran di hati aku ketika itu….” Bicaranya terhenti. Sukar untuk dia nyatakan perasaan sebenarnya tika memandang gadis itu.

Interesting,” sahut Ashriq. Badannya disandarkan ke kerusi. Tangannya memutar-mutarkan telefon bimbitnya yang berada di atas meja.

“Mungkin kau dah jatuh cinta dengan dia. Cinta pandang pertama, mungkin…” ulasAshriqmemberi pendapat.

Ketawa Darius mendengar pendapat sahabatnya itu. Kepalanya digeleng perlahan.

Nonsense. Kau ingat ni zaman dulu-dulu, pertama kali jumpa terus jatuh cinta,” sahut Darius dengan ketawa yang masih bersisa. Entah apa yang ada dalam kepala sahabatnya itu sehingga mengatakan demikian. Mengarut sungguh.

Ashriq mengangkat bahu. Dia hanya menyatakan pendapat. Dia sendiri mana pernah mengalaminya jadi dia hanya menyatakan apa yang terlintas di fikirannya sahaja. Dia sendiri kurang yakin akan ungkapan cinta pandang pertama. Masih wujudkah cinta sebegitu di zaman yang serba canggih ini?
Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aira Aliff