Home Novel Thriller/Aksi KORNEA
KORNEA
Ruby Annas
6/9/2019 09:03:54
937
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 20

"INI tak boleh jadi.  Nampaknya mereka sudah berani tunjuk muka.  Semuanya gara-gara si Zarul!" Tajudin mengepal penumbuk.  Kulit mukanya memerah seperti udang dibakar.

"Saya cadangkan kita tempatkan beberapa anggota kita di kawasan rumah kami sebagai langkah berjaga-jaga.  Mudah untuk kita menangkap suspek-suspek itu nanti. Saya yakin, mereka akan datang lagi ke situ selagi hajat mereka tidak tercapai," ulas Putra penuh yakin.

"Nampaknya begitulah.  Nanti saya minta kelulusan dari Tuan Jasmit.  Tolong minta Johan berhati-hati. Saya bimbang suspek-suspek tersebut sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan Johan."

"Saya harap perkara ni dapat diselesaikan dengan cepat.  Bukan Johan seorang sahaja yang tinggal di situ. Mael juga terlibat sama."  Putra meluahkan rasa bimbangnya yang bertali-arus.

"Saya faham, Putra.  Apatah lagi suspek-suspek kita mempunyai senjata.  Kita tak boleh ambil remeh segala kemungkinan yang bakal berlaku."

Panjang langkah Tajudin diatur ke bilik Jasmit.  Berita yang baru diterima perlu dimaklumkan kepada ketua jabatannya segera.  Gah sekali papan nama yang tergantung di luar pintu pejabat Jasmit itu. Dengan beberapa kali ketukan di pintu, suara garau Tuan Jasmit mempelawa tetamunya masuk.

"Selamat pagi, tuan."  Tajudin memberi tabik hormat.  

Jasmit yang tekun membuat kerja mengangkat mukanya, sekaligus membuang pandang kepada Tajudin yang kelihatan serius.

"Selamat pagi.  Silakan duduk. Saya agak, ada hal penting awak jumpa saya."  

Jasmit menyulam jari-jemari.  Diramas-ramas jari besar itu menanti jawapan balas dari Tajudin yang baru melabuh punggung di kerusi.

"Memang hal penting.  Hal ini membabitkan keselamatan saksi utama kes pembunuhan Borhan."

"Maksudnya?"  

Tubuh Jasmit yang kekar disandar di kerusinya yang empuk.  Wajah yang kian dimamah usia itu tidak lekang dengan raut serius yang jarang-jarang mengukir senyum.

"Lokasi satu-satunya saksi kita telah diketahui suspek.  Mereka telah cuba memecah masuk ke dalam rumah. Mujur Putra datang tepat pada masanya.  Untuk makluman tuan, saksi utama kita iaitu Johan, adalah rakan serumah Putra. Saya mohon keizinan tuan untuk tempatkan beberapa orang anggota kita di rumah mereka sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan suspek memiliki senjata api."

Jasmit mengangguk faham kemudian berkata, "baiklah, saya luluskan.  Awak sedia tahu apa yang perlu dibuat. Sekiranya keselamatan saksi terancam, kita terpaksa bawa hal ini kepada Unit Perlindungan Saksi," ujar Jasmit tegas.

"Baik, tuan.  Terima kasih."  

Langkah dibawa keluar setelah tabik hormat diberi.  Tajudin perlu mengadakan mesyuarat khas berhubung perkara tersebut.  Johan juga akan dipanggil untuk menjelaskan tugas mereka.

"Jadi, saya tidak boleh ke mana-mana.  Begitu?" soal Johan tidak puas hati apabila dinyatakan tentang kawalan keselamatan yang ditetapkan kepadanya.

"Bukan begitu.  Pihak polis akan menggunakan kaedah serampang dua mata.  Beberapa orang anggota kami akan ditempatkan di kawasan rumah awak.  Dan beberapa orang lagi akan menjaga keselamatan awak ketika berada di luar.  

Awak bebas untuk ke mana-mana sahaja dengan kawalan kami dari jauh.  Dan ini juga dapat mengumpan suspek agar keluar dari sarang dan membolehkan pihak polis menangkap suspek dengan mudah."

Termenung Johan memikirkan perancangan itu.  Walaupun keselamatannya dikawal rapi oleh anggota polis, bahaya tetap ada di mana-mana.  Hatinya memberontak geram. Kalaulah dia bertindak lebih cepat dan tidak mengelak untuk memberi keterangan awal, pasti kes itu tidak serumit ini.

"Lian dan Hafez, kamu berdua berkawal di rumah Johan.  Bertugas mengikut syif. Manakala, dua orang anggota lagi akan mengawasi gerak-geri Johan di luar.  Laporkan perkembangan kepada saya dari semasa ke semasa.

"Johan, awak ada apa-apa soalan lagi?" tanya Tajudin sebelum bersurai.

"Tak ada, tuan."

"Okey.  Ingat, awak berlagak seperti biasa.  Pergi kerja juga seperti biasa. Kita tidak tahu siapa suspek yang sebenar.  Boleh jadi mereka berada dalam kalangan orang-orang yang terdekat dengan kita.  Jangan buka mulut walau apa pun yang berlaku. Faham?" Pandangan Tajudin mencerun ke wajah Johan yang terlakar sejuta kerisauan.

"Saya faham, tuan."

"Baik.  Mesyuarat bersurai." 

Rafi mendapatkan Johan yang masih termenung di bilik mesyuarat yang bersebelahan dengan bilik Tajudin.  Dia dan rakan-rakan pasukan yang lain akan sedaya-upaya melindungi Johan sehinggalah suspek-suspek tersebut diberkas.

"Kau fikir apa lagi, Johan?" tegur Rafi lembut.

Keluhan terluah di bibir bersama seribu persoalan yang menyerang benaknya secara bertubi-tubi.  Wajah ibu, ayah dan Hanna berlegar-legar di fikiran silih berganti. Dugaan yang menghimpit diri tidak tertanggung lagi olehnya.

"Macam-macam, Rafi.  Sampai sakit kepala aku ni.  Apalah nasib aku. Lepas satu, satu masalah menimpa."

"Sabar, Johan.  Aku faham. Sebab itulah kami bertungkus-lumus mengumpul maklumat.  Aku yakin, sikit masa lagi kes ini akan selesai. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua."

Johan beri senyuman kelat, sekadar penghias muka yang sedang dirundung masalah. 

"Jom, pergi makan.  Aku belanja. Mi kari kat kantin ni paling sedap dalam dunia.  Betul, aku tak tipu!"

Johan akhirnya ketawa besar.  Dia semakin selesa dengan Rafi.  Ternyata hati pemuda itu tidak seburuk penampilannya.  Segala-galanya dilakukan kerana terpaksa. Demi tugas kepada masyarakat dan negara, ada beberapa perkara dalam hidup yang terpaksa dikorbankan.  Dan bagi Johan, itu adalah sebenar-benar pengorbanan bagi seorang insan yang sanggup bersusah-payah membantu mereka tanpa mengira agama, bangsa dan pangkat. 

Yang lebih penting lagi, mereka langsung tidak saling mengenali antara satu sama lain.  Atas nama tanggungjawab yang diamanahkan, semuanya dilakukan dengan ikhlas. Walaupun adakalanya nyawa mereka sendiri yang menjadi taruhan demi keamanan dan keselamatan negara tercinta.

°•°•°•°


"DAH puas kau orang semua main-mainkan aku.  Kau orang ingat boleh senang-senang hilangkan diri macam tu je?"  sembur Mukhlis tepat ke muka Epul dan Mus yang sedang membaca akhbar.

"Kau orang anggap aku macam tunggul!  Nak duit ke tak nak?"

Epul angguk laju-laju seraya tersengih.

"Nak!  Nak!"

Mukhlis tersenyum sinis.  Mus sakit hati melihat senyuman itu.  Dalam benak Mus yang tersisa kesan khayal, dia membayangkan wajah kacak Mukhlis yang mungkin hancur dek buku limanya.  Ditahan rasa amarah yang semakin membara di dada. Dia punya rancangan yang lebih besar, yang Epul sendiri tidak tahu. Dalam diam, dia mula menyimpul agenda.

"Bos nak kami cari budak tu?  Boleh, tapi dengan satu syarat."  

Mus berdiri menghadap Mukhlis berwajah cemberut.  Dia turutkan permainan Mus yang ternyata bukan lawannya.  Sosok Mus ditatap dengan ekor mata. Benci menguasi perasaannya ketika itu.

"Heh, berani kau cabar aku?" sindir Mukhlis yang juga berdiri, bertentang mata dengan Mus bak ahli gusti yang bersedia untuk berlawan.

"Terpulang.  Saya tak rugi apa-apa.  Tapi, bos jangan menyesal kalau nama bos bakal terpampang di muka depan akhbar ni."  

Gulungan akhbar di tangan Mus dihempas ke meja.  Anak mata Mukhlis mengikut perbuatan Mus yang sengaja menabur garam pada luka yang masih parah.

"Kau….!"  Jari telunjuk Mukhlis dihala tepat ke muka Mus yang mempamerkan riak sombong.   Epul cuma mampu menjadi pemerhati dan tidak berniat untuk campur tangan, asalkan dia memperolehi wang yang didambakan.

Dada Mukhlis berombak kencang.  Otot-otot muka bergerak serentak dengan gertapan gigi.  Melihatkan Mus yang tidak berganjak dengan pendiriannya, Mukhlis akhirnya terpaksa melawan egonya sendiri agar perbuatan khianatnya tidak diketahui umum. 

Impaknya amat besar dalam hidupnya yang mula selesa mengecap kejayaan dunia. Jiwa yang kacau-bilau dipujuk sendiri supaya reda. Nafas ditarik panjang dan dibuang dalam hela perlahan.  Kepala diangkat dan mencari-cari anak mata Mus yang tajam bak helang.

"Aku tak janji akan setuju dengan syarat yang kau berikan jika tidak menepati kehendak.  Kau jangan lupa yang kau sedang bermain dengan api." 

Kata-kata itu tidak sedikitpun menggoyah keberanian Mus.  Malah dia tidak sabar-sabar lagi untuk melihat kehancuran Mukhlis yang telah meragut ketenangan hidupnya dalam beberapa bulan ini.

"Aku jamin, kau akan sanggup berbuat apa sahaja demi menjaga maruah kau.  Beginilah. Aku akan tetapkan syarat-syarat yang adil buat kau, aku dan juga Epul."  

Mus menghenyak punggungnya di kerusi.  Kedua-dua belah kaki diangkat lalu disilangkan ke atas meja.  Manakala, kedua-dua belah tangannya pula memanggung kepala. Semakin menggelegak api kebencian Mukhlis dengan aksi gila Mus di depan mata.

'Mus sememangnya hilang akal!' kutuk Epul dalam hati.

"Syarat yang pertama, aku nak duit lima puluh ribu ringgit seorang masuk ke dalam akaun kami dalam masa 24 jam.  Ingat, dalam tempoh 24 jam sahaja! Kalau tidak, segala bukti urus niaga kita akan terdedah di dada akhbar dalam masa satu hari sahaja."

"Apa?"  Mukhlis terjerit kecil.  Angka yang dipinta bukanlah sedikit.  Dia perlukan sedikit masa untuk menguruskannya.

"Nanti!  Aku belum habis cakap lagi.  Duit tu kami perlukan untuk mencari saksi tak guna tu.  Kalau kau gagal, siap-sedia untuk meringkuk ke dalam penjara.  Hahaha!"  

Mukhlis mengepal penumbuknya dalam diam.  Mus mengugutnya tanpa rasa bersalah dan dia suka melihat raut wajah Mukhlis yang cuak tetapi bertopengkan keberanian palsu.  Selama ini, Mukhlis hanya mahu mereka mengikut telunjuknya tanpa gagal. Kini, dia sudah bertemu buku dengan ruas.  

"Syarat yang kedua pula.  Aku nak kereta baru! Pihak polis sudah mengecam kereta buruk tu.  Kalau kau nak segala-galanya berjalan lancar, kau setuju saja dengan syarat-syarat yang dinyatakan tadi.  Aku beri jaminan, tak sampai seminggu saksi tak guna tu akan kami tangkap."

Mukhlis terasa sesak dalam atmosfera yang berhawa dingin itu.  Berani sungguh Mus memerasnya sebegitu sekali. Apa pilihan yang dia ada?  Segala bukti perbualan dan urus niaga mereka di aplikasi WhatsApp disimpan rapi oleh Mus.

Lama Mukhlis termenung.  Syarat-syarat yang dikemukakan memerlukan modal yang amat besar.  Agenda yang dirancang akhirnya memakan dirinya sendiri.

"Weh, Mus!  Kau dah gila ke?" bisik Epul ke telinga Mus yang sedang mengelamun dengan kemewahan yang bakal dikecapi.

"Diamlah kau.  Aku tahulah apa aku buat." 

Epul kembali ke tempat duduknya.  Tidak guna dia bertekak. Epul sudah cukup arif dengan kegilaan Mus yang tidak kenal erti takut.  Tidak sekelumitpun rasa sesal menjalar di hati Mus yang keras seperti batu.

"Apa jaminan bukti itu akan terhapus?  Aku kenal kau, Mus. Kau lelaki licik!"

"Ini Mus lah.  Bukannya Mukhlis.  Kau mudahkan kerja kami, jadi kami akan mudahkan kerja kau.  Sekarang ini, semua keputusan terletak di tangan kau. Kau jangan pandai-pandai nak main helah.  Anak bini aku sendiripun aku boleh bunuh, inikan pula kucing kurap seperti kau."

Gelak ketawa Mus bergema di dalam kamar itu.  Mukhlis menelan liur yang bergumpal. Percaturannya silap kali ini.  Apatah lagi bila melihat Mus sedang bermain-main dengan sepucuk pistol di tangannya.  Pistol sama yang pernah meragut nyawa Borhan, seteru yang paling dibenci.

"Baiklah.  Aku setuju.  Kau menang kali ni, Mus.  Tapi, awas… jika kau mungkir janji, aku akan hantar orang lain untuk buru kau orang berdua.  Aku pernah lakukan ini sekali. Jangan ingat aku sanggup berdiam diri," tutur Mukhlis penuh amaran.

Epul terkebil-kebil menyaksikan perang dingin antara mereka berdua.  Jauh di lubuk hati, dia mengagumi keberanian Mus yang berjaya menjinakkan Mukhlis yang tegas.  

"Esok, aku akan hantar kereta baru ke satu lokasi rahsia yang akan diberitahu.  Tentang wang itu, aku akan uruskan hari ni juga. Aku pegang janji kau, sebagaimana aku akur akan semua syarat-syarat itu."  Mukhlis berkata sebelum berlalu pergi. 

Mus mengangkat ibu jarinya tinggi ke udara.  Lekas-lekas Epul merapati Mus yang beralih duduknya ke sofa.

"Apa ilmu kau pakai?  Senang-senang je si Mukhlis tu dengar cakap kau?"  tidak sabar-sabar Epul menyoal.  

Mus tidak berminat untuk menjawab.  Cuma jari telunjuknya saja mengetuk-ngetuk tepi kepalanya beberapa kali.  Epul cebir bibir tanda menyampah dengan sikap takbur Mus.  

'Cerdiklah sangat.  Padahal tak ada hati perut!' omel Epul dalam hati.

"Kau mengata aku ke, Epul?  Sepatutnya kau ucap terima kasih kat aku sebab tak lupakan bahagian kau."

Tangan kanan Mus menyeluk kocek seluar.  Satu bungkusan empat segi digenggam kemas.  Epul sudah tahu akan tindakan Mus seterusnya.  Segera dia melangkah pergi menghirup udara luar.  Tidak sanggup dia membiarkan paru-parunya rosak akibat menghidu asap nikotin yang mengandungi pelbagai bahan kimia yang membahayakan kesihatan.  Kepalanya digeleng kesal.

Senyuman Epul lebar hingga ke telinga tatkala memeriksa baki akaun di dalam bank.  Jumlah angka yang banyak dan tidak pernah terjangkau dek fikirannya terpapar jelas di skrin mesin juruwang otomatik.

"Yahoo!  Kaya aku, Mus.  Kaya!" 

Mus tersengih lebar.  Telatah Epul tidak ubah seperti baru menang loteri bernilai satu juta ringgit.

"Terima kasih, Mus.  Kalau tak kerana kau, aku tak merasa hidup senang macam ni."  Epul mengira-ngira kepingan tebal duit kertas di tangannya.   

"Itu upah kau sebab tolong aku.  Harap lepas ni kau tak ungkit apa-apa lagi dengan aku."  

"Lepas ni kita nak pergi mana?" Epul bertanya setelah menyimpan dompet ke dalam kocek seluar berjenama Snail.

"Aku baru terima lokasi dari Mukhlis.  Jom, kita kutip kereta baru." Kening Mus dijongket berkali-kali.  Girang hati mereka setelah Mukhlis mengotakan syarat-syaratnya semalam.  Ternyata ugutannya tidak sia-sia.

Kenderaan yang dipandu Mus menelusuri jalan ke lokasi yang ditetapkan.  Epul di sebelah tempat duduk penumpang berdengkur kekenyangan setelah menikmati satu pinggan nasi briyani berlaukkan kari kambing.  Setelah tiba ke lokasi, Mus mengejutkan Epul supaya bangun.

"Kita dah sampai ke?" Terpisat-pisat Mus bertanya.  Saki-baki Red Bull di dalam tin disedut sehingga habis.  Tubuhnya yang lesu kembali bertenaga.  

"Keluar cepat.  Mukhlis cakap, kereta baru tu ada kat belakang bangsal sana.  Itupun kalau dia tak tipu kitalah." Pintu kereta dibuka luas.  Mus mengitari sekeliling. Beberapa meter di depan, terdapat sebuah bangsal terbiar yang diliputi lumut hijau dan tumbuh-tumbuhan liar.

"Dalam banyak-banyak tempat, kat sini dia sorokkan kereta ni," keluh Epul sambil meregangkan urat saraf yang tersimpul setelah menempuh dua jam perjalanan.

"Tak payah cakap banyak.  Bantu aku cari kereta tu."  

Epul membuntuti langkah Mus yang beberapa langkah ke depan.  Lalang setinggi lutut diharung begitu saja. Bunga-bunga kemuncup melekat di kaki seluar mereka, menimbulkan rasa miang di betis Epul.

Saat memasuki bangsal terbiar itu, mereka menemui beberapa botol air kosong, straw dan juga lilin berselerakan di lantai simen.  Tersungging senyuman Epul memikirkan kemungkinan bangsal itu pernah dijadikan sarang bagi penagih dadah seperti Mus.

Tanpa sengaja, Epul merempuh batang tubuh Mus yang berhenti secara tiba-tiba dan berdiri tegak seperti tiang elektrik.

"Kenapa berhenti?" tanya Epul pelik.

"Tu…."  Muncung Mus dihala ke depan, menunjukkan satu objek besar yang bertutup dengan kanvas hijau.

Tanpa membuang masa, Epul menapak laju ke arah objek yang dilitupi kanvas berkenaan.  Hujung kain itu ditarik sekaligus mendedahkan rupanya yang sebenar.

Kaki Epul terundur beberapa langkah.  Terkejut dengan apa yang terhidang di depan mata.  Dia melontar pandang ke arah Mus dengan rasa tidak percaya.

"Mustahil!"

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ruby Annas