#16

"LIAN sila tahan pesalah di nombor 5.  Pesalah-pesalah lain masukkan ke dalam lokap semula."  

Ada sesuatu yang Tajudin harus selesaikan.  Sesi kawad cam sudah tamat lebih 15 minit yang lalu.  Johan dan Tajudin kembali ke pejabat untuk proses seterusnya.

"Encik Johan…," panggil Tajudin mendatar.  Wajahnya yang keletihan diraup hingga ke dagu.

"Ya, tuan."

"Saya harap pilihan yang awak buat tadi adalah tepat.  Segala-galanya bergantung kepada awak selepas ini," terang Tajudin dengan tenang.

Terdiam Johan tatkala Tajudin bergantung sepenuh harapan kepadanya.  Tepatkah keputusan yang diputuskan tadi? Bagaimanakah akan nasib pesalah itu?  Fikirannya semakin kusut. Rasa bersalah kian mengasak diri. Tangan digenggam kuat.  Giginya juga diketap geram.

"Kenapa?" tanya Tajudin dengan sorotan mata yang tajam.  Dia kenal akan bahasa tubuh Johan. Tidak susah untuk dia meneka apa yang ada dalam kepala pemuda itu setelah apa yang dia lalui.

Johan menggeleng.  Namun, tindakannya tidak seiring dengan hati.  Sesal. Apakan daya perahu sudah terlajak dilayar.   Ternyata Johan tidak akan berterus-terang. Dia lebih suka bermain tarik tali. Terpaksalah Tajudin melaksanakan pelan lain pula. Ketukan di pintu kian meresahkan Johan.  Tersembul wajah Lian di sebalik pintu dengan tabik hormat.

"Masuk… mana pesalah nombor 5?" tanya Tajudin sambil mengintai keluar.

Pesalah nombor 5 masuk dalam keadaan yang sama seperti tadi. Tangannya bergari dengan kaki yang dirantai. Wajah Johan serta-merta berubah pucat.  Wajah itu yang menghantuinya dirinya sejak tadi. Terkaku Johan di kerusi. Lidah juga kelu untuk berkata-kata.  Rasa takut membeliti seluruh jiwa dan raga.

"Ini pesalah nombor 5 yang awak pilih tadi. Saya tanya awak sekali lagi. Betulkah ini pembunuh Borhan yang awak nampak?" Tajudin menahan kedua-dua belah tangannya di atas meja.  Matanya mencerun tajam kepada Johan yang diam membisu.

Tajudin mengeluh kasar.  Dia berjalan mundar-mandir di depan Johan sambil meraup muka.  Kerusi yang diduduki Johan dipusing dengan kasar. Posisi Johan kini betul-betul menghadap batang tubuh Tajudin. Biar mata bertentang mata, supaya tiada lagi rahsia antara mereka.

"Encik Johan, tolong bagi kerjasama! Jangan membisu begini. Betulkah ini pelakunya?" Suara Tajudin yang kuat itu bergema di ruang biliknya.

Tergagap-gagap Johan untuk menjawab.  Wajah Tajudin dan pesalah nombor 5 dipandang silih berganti.  Perlahan-lahan kepalanya tergeleng. Bertambah sakit hati Tajudin.  Apakah bentuk permainan Johan yang sebenarnya?

"Kalau awak dah tahu itu bukan pesalah yang sebenar, kenapa awak tak nafikan?  Awak tahu tak perbuatan awak ni adalah salah? Awak boleh dituduh kerana memberi keterangan palsu kepada pihak polis!"  

Tajudin sudah hilang sabar.  Orang seperti Johan, otaknya perlu dibasuh cukup-cukup.  Lian dan pesalah itu menyaksikan perbalahan itu dengan senyap.  Bukan hal mereka untuk masuk campur.

"Awak tahu siapa dia ni?"  Tajudin menyoal, seraya jari telunjuk dituding kepada pesalah nombor 5.  

Johan menggeleng perlahan. Sebenarnya dia tahu, tetapi dia tidak pasti bagaimana untuk menjelaskannya.

"Lian, lepaskan dia," arah Tajudin tegas.

Gari dan dan rantai yang terikat di badan pesalah itu dibuka serta-merta. Pesalah nombor 5 kini bebas sepenuhnya untuk bergerak. Langkah diatur menghampiri Johan yang kebingungan.

"Johan, aku tak sangka sampai begini sekali benci kau terhadap aku.  Aku dah minta maaf banyak kali, Johan," kata pesalah tersebut kecewa.

"Sudahlah, Putra.  Dia memang pentingkan diri sendiri.  Hal serius dianggap main-main. Hei, awak ingat ni semua drama ke?"  hambur Tajudin geram. Matanya yang merah menyala mencerlung tepat kepada Johan.

"Tuan, izinkan saya bercakap dengan Johan sebentar," pinta Putra sopan. Nampaknya mereka perlu menyelesaikan perkara pokok dahulu sebelum berkisar ke perkara yang sepatutnya.

"Baiklah.  Awak boleh pergi."  Izin diberi tanpa melihat sedikitpun ke arah mereka berdua.

Johan membuntuti langkah Putra yang masih tersarung baju banduan dengan terpaksa.  Pelbagai soalan mengasak benaknya yang padat dengan teka-teki. Pantri itu hanya ada mereka berdua.  Sengaja Putra mengunci rapat pintunya agar mereka tidak diganggu. Satu muk coklat panas berasap diletakkan di depan Johan.  Putra duduk di kerusi meja makan juga dengan muk berisi minuman panas.

Johan angkat muka, merenung tampang wajah Putra yang tersenyum melihatnya. Sesaat kemudian, pandangannya terjatuh kepada muk di hadapannya.

"Aku tahu kau tengah bingung sekarang ni.  Jadi aku akan jelaskan hal sebenar. Nama aku Putra.  Putra Rafiuddin. Kau dengan Mael panggil aku…."

"Rafi…," celah Johan.  Roman wajahnya bertukar lucu.  Johan ketawa sekuat hati sambil memegang perut.  Rupa-rupanya Putra dan Rafi adalah orang yang sama.

"Jadi, selama ni aku dengan Mael kena tipu dengan engkaulah?" tuduh Johan setelah ketawanya tersisa.

"Bukan menipu.  Tapi lebih kepada melindungi identiti yang sebenar. Aku seorang detektif, perisik dan juga penyiasat bagi kes-kes berskala besar. Sekarang ni identiti sebenar aku bukan lagi rahsia. Tapi aku harap, biarlah hanya kita berdua yang tahu, bukan orang lain.  Termasuklah Mael."

Johan angguk setelah agak lama berfikir.  Dia bersetuju dengan perjanjian itu. Diakui dirinya sedikit terkejut.  Dalam masa yang sama, rasa bersalah menular dalam diri kerana telah bersikap tidak profesional dalam urusan kawad cam sebentar tadi.

"Rafi… eh, Putra…."

"Panggil je aku Rafi."  Minuman diteguk buat penghilang dahaga.

"Okey.  Ada satu hal yang menjadi tanda-tanya.  Kenapa kau pecah masuk bilik aku?" Segaris senyum terkoyak di bibir Rafi.  Nampaknya ini masa sesuai untuk dia berterus-terang.

"Aku cari bukti.  Hasil semakan rakaman CCTV jelas menunjukkan wajah kau yang handsome tu ada semasa hari kejadian."

"Habis tu, macam mana kau tahu aku terlibat?"  Berlapis dahi Johan bertanya.

"Sebenarnya, aku sendiri pun tak tahu.  Kau di antara orang-orang yang disyaki. Sebab itulah aku ceroboh bilik kau untuk cari lebih bukti. Tekaan aku semakin kuat bila kau buang baju sukan kau pada hari yang sama," jelas Rafi panjang lebar.

Termenung Johan apabila mengetahui perkara duduk yang sebenar.  Akibat salah faham dan juga terlalu mengikut hati yang panas, dia langsung tidak memberi peluang kepada Rafi untuk mendapatkan penjelasan.  Teruk muka Rafi ditumbuk tanpa belas.

"Aku minta maaf.  Aku memang pengecut.  Aku tak berani untuk beritahu polis.  Aku… aku…." Kelu lidah Johan untuk meneruskan kata.

Semuanya terjadi akibat salah faham. Johan mungkin takut untuk membantu kerana kurangnya pendedahan antara polis dan orang awam.  Ada hikmah di sebalik semua yang berlaku. Hubungan mereka kembali jernih dan persepsi Johan terhadap Rafi kini berubah seratus peratus.

"Johan… jangan takut untuk bekerjasama dengan kami. Apa jua bukti yang kau ada tolong kemukakan kepada kami.  Hal selebihnya, biar pihak polis saja yang uruskan."

Anggukan Johan menandakan dia sedia menyatakan hal yang sejujurnya.  Tiada apa-apa lagi yang harus disembunyikan.

"Jadi, malam ni aku boleh balik rumahlah?" Rafi tersengih nakal.  

Sudah beberapa hari dia tidur di pejabat.  Sakit-sakit tubuhnya akibat tidur di atas lantai yang sejuk.  Dia rindukan suasana bilik yang tenteram dan tilam yang empuk.  Boleh saja dia abaikan ugutan Johan. Sikapnya yang tidak suka mengeruhkan keadaan menyebabkan dia beralah.  Hadiah dari kesabaran yang diterimanya cukup manis; sebuah silaturahim yang lahir dari kejujuran dua hati yang saling memaafi.

Johan terbangun dari kerusi secara spontan tatkala fikirannya terlintas akan sesuatu.  

"Video!  Aku ada rakam pembunuhan tu!"

Satu-satunya bukti penting yang dia ada perlu diserahkan segera. Tiada sebab lagi untuk dia terus menyimpan video tersebut lama-lama

°•°•°•°


"TERIMA kasih, Johan.  Bukti ini sudah cukup kuat untuk mencari pembunuh kes tersebut.  Kau ambil langkah yang cukup berani dalam memudahkan kerja kami," puji Rafi ikhlas.

Pendrive yang mengandungi rakaman penting itu diserah kepada Rafi. Manakala rakaman di dalam MacBook miliknya terus dipadam. Hatinya lega kerana tidak perlu lagi hidup dalam ketakutan.

"Aku rakam secara spontan. Nyaris-nyaris aku ditangkap oleh penjahat.  Perasaan takut tu tak usah cakaplah. Rasa nak terkencing dalam seluar.  Kalaulah aku serahkan bukti ni lebih awal…."

"Sudahlah.  Perkara dah lepas.  Esok datang ke balai untuk rakam percakapan."

"Kau tahu tak, mati-mati aku ingat kau ni samseng.  Tak sangka kau rupa-rupanya seorang anggota polis." Johan ketawa geli hati.  

Dia masih ingat lagi, suatu hari Rafi pulang dengan kesan luka-luka di badan.  Ditambah pula dengan sikap sambil lewa Rafi. Sesiapa sahaja yang melihatnya pasti berfikir yang bukan-bukan.  Itulah, dia sendiri yang mengundang persepsi negatif orang lain.

"Aku tahu.  Aku tak salahkan sesiapapun.   Ini harga yang perlu aku bayar setelah aku masuk dalam pasukan.  Aku juga tak mampu untuk halang tanggapan negatif orang lain terhadap aku.  

Di sebalik semua itu, aku dapat lihat dunia dengan lebih luas.  Bagaimana manusia melihat dan melayan kita mengikut acuan yang dibawa. Bagaimana rasanya kita berada dalam kasut orang lain. Dan bagaimana kita berdepan dengan pelbagai situasi yang mencemaskan," terang Rafi panjang lebar. Terbit rasa kagum di jiwa Johan akan pengorbanan yang terpaksa dilakukan oleh Rafi.

"Baru aku faham.  Maafkan aku jika selama ni aku bersikap dingin pada kau.  Aku buta dalam menilai manusia pada luaran sahaja. Aku rasa diri aku dah cukup bagus. Sebenarnya aku silap. Aku terlalu mendabik dada hingga aku lupa ada orang lain yang lebih mulia dari aku."  

Johan beristighfar, mengharapkan titik hitam dalam hatinya tidak memonopoli roh dan jiwa.  Apakan daya masa tidak boleh diputar kembali. Hanya ucapan maaf terluah di bibir tanpa jemu.

"Ala… bosanlah macam ni.  Aku dah lama maafkan kau. Tak payah nak cakap pasal ni lagi.  Buat perut aku makin lapar je." Rafi mengusap perutnya yang kelaparan.  Dia berkira-kira untuk memasak mi segera lantaran itu sahaja kepakaran memasak yang dia tahu.

"Kalau macam tu, kau duduk dulu kat depan.  Sekejap lagi aku masak menu istimewa untuk kau."  Kening Johan dijongket berkali-kali.

"Nasib baik kau ni jantan.  Kalau perempuan dah lama aku lamar jadi bini aku.  Hahaha."

Terserlah sisi lucu Rafi saat itu.  Johan mengacah untuk menumbuk Rafi dengan buku lima.  Langkah Rafi dibawa ke ruang tamu rumah mereka dan punggung dihenyak ke sofa seraya mencapai alat kawalan jauh. Bunyi sudip dan kuali saling berlaga di dapur serentak dengan bau harum yang menyusup keluar dari dapur.

Mael pulang dengan menggunakan perkhidmatan teksi.  Tersenyum Mael tatkala melihat tayar keretanya yang pancit sudah diganti.  Johan betul-betul telah mengotakan janjinya siang tadi. Kasut ditanggalkan di depan pintu rumah.  Bunyi riuh-rendah suara Johan dan Rafi saling bertingkah di dalam rumah amat merisaukan Mael. Tergesa-gesa dia mencucuk anak kunci ke dalam lubang kunci.  Pintu gelangsar ditolak kuat, dan dia terus menyusup masuk ke dalam rumah.

"Sudah-sudahlah tu bergaduh!"   

Tempikan kuat itu menyebabkan Johan dan Rafi berpaling serentak ke arah Mael yang berserabai dengan tali leher yang dilonggarkan dan stoking yang belum sempat dicabut.


°•°•°•°


Previous: #15
Next: #17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh