#15

"JOHAN mana?" soal Jeremy apabila kelibat Johan langsung tidak kelihatan hari itu.

"Cuti sakit," jawab Monica yang sedang mengikat apron di pinggangnya yang ramping.

"Sakit apa?  Demam?" Jeremy bertanya lagi.  

Semalam, Johan langsung tidak menunjukkan sebarang gejala akan jatuh sakit.  Rasa risau bertunas di hati Jeremy sekiranya sakit yang dialami Johan menjadi lebih serius.  

Monica dapat mengesan riak kerisauan Jeremy.  Langkahnya diatur merapati Jeremy yang sedang termenung jauh.  Wajah kacak itu ditatap agak lama sebelum dia membuka mulut.

"Johan cakap dia cuma demam biasa.  Agaknya semalam dia terkena hujan. Jangan risau, okey?" Lunak suara Monica memujuk.

Jeremy mengoyak senyum hambar. Anak mata Monica bersinar-sinar tatkala Jeremy merenungnya agak lama. Kevin yang berada berhampiran terdengar perbualan mereka berdua tanpa mereka sedari. Jarang Monica bertutur lembut begitu dengan orang lain.  Cef Pastri itu seorang yang amat tegas tetapi cekap di dapur. Suaranya nyaring bak halilintar membelah bumi ketika menggalas tugas sebagai Ketua Cef. Lain pula halnya bila berdepan dengan Jeremy.

"Siapa nak ganti tugas Johan?"  

Ada satu lagi perkara yang dirisaukan Jeremy.  Ketiadaan Johan bakal merencatkan operasi restoran itu. Justeru, dia perlu mencari jalan agar restoran dapat beroperasi seperti biasa, walaupun kekurangan seorang cef penting.

"Aku boleh ganti tempat Johan.  Tak ada masalah. Lagipun kerja aku dah hampir siap."

Jeremy mengangkat ibu jari.  Kerja menjadi mudah apabila mereka bertiga berkerjasama dengan baik. Secawan Espresso dihulur kepada Jeremy sebagai pengecas tenaga.

"Terima kasih."  

Langkah Jeremy diatur ke ruang kerjanya.  Sorotan mata Monica mengekori jejak langkah Jeremy dengan hati berbunga.  Anak mata Monica melekat pada wajah Kevin yang tersengih penuh makna.

"Espresso untuk saya tak ada ke, Cef?" Kevin bergurau sambil tangannya lincah membuat kerja.

"Ambil sendiri," balas Monica mengejek.  Kevin ketawa besar melihat pipi Monica yang merona merah.

°°•°•°•°


JOHAN memicit pelipis.  Selepas menghantar pesanan kepada Monica, telefon pintarnya ditutup.  Apa yang ditakutinya selama ini menjadi kenyataan. Sejak semalam kepalanya seperti hendak pecah memikirkan jalan agar tidak dikesan oleh penjenayah-penjenayah yang banyak menyusahkan hidupnya.

'Serabut betullah!'  Hati Johan membentak-bentak geram.

Tubuhnya melorot ke lantai setelah sekian lama tersandar di dinding. Telapak tangan ditongkat ke dahi. Kedua-dua belah kakinya dibengkok sehingga kepala lutut menyentuh dada.  Selepas solat Subuh, Johan berkurung dalam bilik. Waima setitik air pun langsung tidak diminum.

Tok!  Tok!

Johan tersentak dengan ketukan kuat di pintu biliknya.  Dia cuba membatukan diri, apakan daya desakan Mael yang seakan-akan merayu itu berjaya menghakis kedegilan Johan.

"Johan… kau ada kat dalam?  Tayar kereta aku pancit. Kau tolong hantar aku ke pejabat, boleh?"

Jam di atas meja dilirik.  Kurang tiga puluh minit lagi pukul 8 pagi.  

"Okey.  Kau tunggu kat luar dulu. Sekejap lagi aku keluar," sahut Johan dari dalam.

Dia terpaksa berlakon dan menjalani hari-hari yang mendatang seperti biasa.  Baik di hadapan Mael, Hanna, mahupun di depan Jeremy dan Monica. Beberapa minit kemudian, pintu bilik Johan dikuak dari dalam.  Mael yang berpakaian kemas dengan kemeja dan seluar panjang tersenyum memandangnya.

"Maaflah, Johan.  Aku terpaksa minta bantuan kau.  Balik nanti kau tak payah ambil aku.  Aku boleh naik teksi saja," beritahu Mael bersungguh-sungguh.

"Tak mengapa.  Lagipun aku lambat lagi masuk kerja.  Pasal kereta kau tu nanti aku akan uruskan," janji Johan bersungguh-sungguh.

"Ish… banyak sangat dah ni kau tolong aku.  Tak terbalas jasa kau pada aku. Entah panjang umur entah tidak aku ni nak balas budi kau semula."  Tiba-tiba saja jiwa Mael dicengkam kebimbangan.

"Kau cakap apa ni?  Setiap yang hidup pasti akan mati.  Sudahlah… kau tak payah nak feeling sangat pagi-pagi ni, boleh tak?"  

Mimik muka Johan tampak serius.  Dia tidak suka Mael bercakap tentang itu.  Cukuplah dia seorang saja yang melihat nyawa manusia yang tidak berdosa dicabut oleh manusia lain yang tidak berhati perut dan kejam.

Setelah menghantar Mael ke tempat kerjanya, Johan terus pulang ke rumah.  Dia berhasrat menukarkan tayar kereta di bengkel berdekatan. Johan mengambil kunci kereta Mael di dalam biliknya lalu bergegas keluar ke ruang parkir.  Tayar ganti dikeluarkan dari but kereta bagi kegunaan sementara untuk ke bengkel.

Usai membayar kos yang dinyatakan, Johan bergerak untuk pulang ke rumah.  Sedari tadi, sebuah kereta pacuan empat roda telah mengekorinya sejak dia di bengkel lagi.  Bebola matanya meliar untuk mengawasi tindak-tanduk pemandu misteri berkenaan.

'Apa aku nak buat ni?'  Pemandu misteri berkenaan tidak putus-putus mengekori Johan.

Puas Johan mengumpan pemandu itu dengan berlegar-legar di lalu lintas yang agak sibuk.  Namun, dia tetap juga diekori setiap masa sehingga Johan hampir berputus asa. Lebih-lebih lagi apabila teringatkan pembunuh Borhan.  Hatinya yang berani menjadi kecut tiba-tiba. Pelbagai andaian buruk sudah terlintas di fikiran.

Ketika melalui kawasan yang agak sunyi, pemandu berkenaan bertindak liar dengan menghadang laluan Johan sehingga pemuda itu tiada jalan keluar untuk melepaskan diri.   Dua orang lelaki bertubuh kekar keluar dari kenderaan tersebut. Johan mati akal untuk bertindak. Jantung semakin kuat berdetak mengepam darah dengan lebih laju. Bintilan peluh berjuntaian di dahi walaupun digigit udara sejuk dari alat penyaman udara.

Lelaki-lelaki itu mara dengan wajah serius.  Pintu kereta yang sedia berkunci masih tidak menjamin keselamatan Johan sepenuhnya. Air liur yang bergumpal di tekak ditelan berulang kali.  Tiada apa yang diharapkan Johan melainkan memohon kepada Allah agar dirinya dilindungi dari setiap penjuru bahaya.

Tok!  Tok!

Bertalu-talu ketukan di cermin tingkap kereta yang dipandu Johan. Johan memberanikan diri menurunkan sedikit cermin tingkap berkenaan setelah diberi isyarat untuk bercakap.  Ruang itu cukup-cukup untuk mereka berkomunikasi antara satu sama lain.

"Ini Encik Johan bin Selamat?" tanya salah seorang daripada mereka.

Johan mengangguk sekali. Bagaimana mereka tahu akan nama penuhnya?

"Saya diarahkan untuk membawa tuan berjumpa dengan bos kami."

"Maaf, saya tak ada apa-apa urusan dengan bos Encik berdua."  

Suara Johan yang gementar cuba dikawal.  Emosinya tidak perlu dikocak sedemikian rupa semata-mata untuk menakut-nakutkannya.  Mereka berbicara sesama sendiri buat seketika. Kemudian, kad kuasa berlambang polis ditunjukkan kepadanya sekaligus mengusir rasa bimbang di hati Johan.   

Nama pada kad-kad kuasa itu diteliti dengan pantas.  Hafez dan Lian, seorang anggota berketurunan Tionghua.

"Sila beri kerjasama kepada pihak polis.  Kami cuma perlu bawa Encik ke balai," kata anggota polis yang bernama Hafez dengan tegas.

Johan tiada pilihan lain lagi.  Mahu atau tidak dia terpaksa mengikut arahan mereka dengan perasaan yang bercampur-baur.  Jantung kembali berdetak kuat memikirkan sebab dia ditahan. Adakah mereka benar-benar anggota polis, ataupun mereka sekadar menyamar dan mengaku sebagai anggota polis demi menghapuskan bukti yang ada padanya.

Johan keluar dari kereta dan masuk ke dalam kenderaan pacuan empat roda milik anggota polis berkenaan. Manakala, kereta Mael dipandu oleh Lian dan mengekori Johan dan Hafez dari belakang.

Suasana sunyi sepi tanpa bicara. Anggota polis di sebelahnya diperhati dengan ekor mata.  Tubuhnya tegap dan berotot. Mimik muka serius dengan kumis nipis di atas bibir. Fokus memandu tetap menjadi keutamaan dan had laju dipatuhi mengikut undang-undang jalan raya.

Persepsi negatif Johan terhadap warga polis mula terhakis tatkala etika yang dipamerkan setanding dengan integriti yang dilaungkan selama ini.  Setengah jam kemudian, mereka masuk ke perkarangan balai polis yang tersergam dengan bangunan biru putih.

"Mari, saya bawa Encik Johan jumpa dengan bos saya," ujar Hafez sopan sejurus pintu kereta dibuka.

Arahan mudah itu dituruti Johan. Dada semakin berdebar-debar apabila pintu masuk kaca ditolak. Johan masih diiringi Hafez ke tingkat dua bangunan biru putih tersebut. Mereka berdua berhenti di hadapan pintu kayu bertulis nama 'Tajudin.'

"Selamat pagi, tuan.  Saya bawa saksi kes sepertimana diarahkan."  Hafez berdiri tegak sambil memberi tabik hormat.

"Baik, terima kasih."  Tajudin mengangguk.

Pintu ditutup rapat setelah Hafez melangkah pergi.  Kini, hanya Tajudin dan Johan duduk berdua-duaan di kamar kerja.  Sedari tadi, Johan asyik tertunduk menekur lantai. Jari-jemari digenggam kemas.  Peluh jantan mula merenik di dahi. Nafas yang dihela terasa sukar. Bahasa tubuh Johan mudah saja dibaca oleh Tajudin.  Dia tahu Johan gelisah dan takut. Tetapi, tindak-tanduknya selama ini amat dikesali. Tidak sepatutnya Johan berdiam diri begitu sedangkan pihak polis bertungkus-lumus mencari saksi.

"Encik Johan… saya ASP Tajudin, Pegawai Penyiasat kes pembunuhan Borhan.  Saya rasa Encik Johan cukup tahu tentang itu." Tajudin memulakan bicara. Dia berdiri di tepi meja berhampiran kerusi yang diduduki Johan.  

"Saya mahu awak tengok betul-betul rakaman CCTV yang akan saya tunjukkan nanti.  Sesi interogasi akan dilakukan selepas itu," kata Tajudin tegas.

Johan meneguk liur dengan perit. Dadanya seperti ingin pecah. Bagaimana pihak polis dapat menjejaki dirinya sedangkan dia sudah lama bersembunyi.  Papan kekunci komputer ditekan. Seminit kemudian, rakaman CCTV terpapar di skrin.

Johan angkat wajah dan memberi perhatian terhadap rakaman berdurasi lima minit.  Tampang wajahnya yang turut terakam membuatnya tergemap. Liur diteguk semakin laju.  Tayangan sengaja dipegun pada wajah Johan. Tajudin memutar pen sebelum menyambung perbualan.

"Rakaman menunjukkan awak berada di kawasan riadah sebelum pembunuhan itu terjadi.  Malangnya, kelibat awak tidak langsung terakam selepas Borhan dibunuh. Boleh awak beritahu saya, ke mana awak pergi dalam tempoh itu?"

Johan tahu tiada guna lagi dia mencipta alasan.  Pihak polis pasti lebih cekap dalam mengendalikan satu-satu kes.  Justeru, dia harus jujur dalam menyalurkan maklumat yang diperlukan.

"Saya memang berada di situ.  Saya telah menyaksikan segala-galanya. Maafkan saya, saya memang pengecut! Saya tak berani melaporkan hal yang sebenarnya kepada pihak polis," tutur Johan tersekat-sekat namun penuh penyesalan di dada.  Dirasakan diri tidak berguna dan bertindak melepaskan tengkuk sendiri.

"Encik Johan, awak tahu tak perbuatan awak menyebabkan perjalanan kes tergendala?  Awak sepatutnya bertindak cepat. Awak sanggup biarkan pembunuh tersebut bermaharajalela di luar sana?  Apa yang awak fikir pada masa itu? Takut? Takut bukan alasan. Pihak polis tak akan suka-suka mendedahkan identiti saksi lebih-lebih lagi kes berprofil tinggi seperti ini kepada orang luar.

Awak sepatutnya yakin dengan kami. Saya tidak layak untuk menghukum awak.  Tapi atas dasar perikemanusiaan, saya boleh katakan awak memang bersikap mementingkan diri.  Mujurlah ada rakaman sebagai bukti." Tajudin menatap wajah Johan yang sarat dengan penyesalan.  Diluahkan segala apa yang terbuku di dada.

Di pundaknya terletak tanggungjawab yang amat berat.  Jika ramai lagi orang awam yang bersikap seperti Johan, maka indeks jenayah akan semakin meningkat di negara ini.

Satu plastik lutsinar diletakkan di atas meja, setentang dengan Johan.  Di dalamnya terdapat sepasang baju sukan yang amat dikenali Johan. Terbuntang matanya melihat baju sukan yang telah dibuang ke dalam tong sampah menjadi salah satu bukti penting pihak polis.

"Awak kenal baju ni?" soal Tajudin.  Nada suaranya mengendur, tidak setegas tadi.

"Ke… kenal.  Itu baju saya.  Tapi…."

"Tapi awak dah buang dalam tong sampah.  Begitu?"

Johan angguk sekali.  Daya ingatannya kuat. Baju itu dibuang terus dan tidak pernah diambil tahu selepas itu.  

"Saya ada banyak soalan untuk tanya awak.  Sebelum itu, adakah awak dapat mengecam wajah-wajah pembunuh tersebut?"

"Ingat!  Saya ingat, tuan!  Mana mungkin saya lupa," balas Johan bersungguh-sungguh.

"Jika begitu, kami akan aturkan satu sesi kawad cam sebentar lagi.  Saya benar-benar berharap, awak dapat beri kerjasama dengan kami. Boleh, Encik Johan?"  Nada suara Tajudin kembali serius.

"Baiklah.  Saya janji akan beri kerjasama."  

Tajudin mengangkat gagang telefon. Setelah beberapa minit berbicara gagang diletak ke tempat asal.  Tunak matanya menikam wajah Johan yang tidak senang duduk. Postur tubuh Johan seringkali berubah.  Sekejap bersandar di kerusi, sekejap duduk tegak dan wajahnya yang kegelisahan itu diraup.

Ketika sedang melayan perasaan, sekali lagi anggota yang membawanya ke situ datang berjumpa Tajudin.  

"Semuanya sudah siap-sedia, tuan," beritahu Hafez dengan hormat.

"Baik.  Encik Johan, sila ikut saya."  

Johan membuntuti langkah Tajudin dari belakang.  Mereka memasuki satu bilik hujung di sebelah kanan bangunan itu.  Ini merupakan perkara baru buat Johan. Kali pertama dia akan melakukan kawad cam.  Dinding bilik bersaiz sederhana besar itu dicat dengan warna hitam. Terdapat satu cermin besar dan panjang di situ.  

Butang mikrofon di tepi dinding ditekan, lantas lampu kecil di sisinya menyala warna merah.

"Lian, suruh semua pesalah masuk!" arah Tajudin.

"Awak jangan risau.  Mereka takkan nampak awak di sini.  Apa yang awak perlu buat ialah mengecam wajah-wajah pesalah tersebut dengan teliti."  Bahu Johan ditepuk-tepuk perlahan untuk meredakan rasa gementar yang membelit diri Johan.

Bunyi rantai yang terseret di lantai simen menarik perhatian Johan. Enam orang pesalah yang berpakaian lokap berwarna jingga berjalan memasuki bilik khas di sebelah mereka.  Kedua-dua tangan dan kaki mereka dirantai dan digari atas faktor-faktor keselamatan. Pesalah-pesalah itu berdiri betul-betul di depan cermin besar dalam bilik gelap itu.  Di atas kepala mereka pula, terdapat deretan nombor yang ditampal di dinding bernombor 1-6.

Johan menarik nafas dalam-dalam sebelum dilepas kasar.  Rasa ragu-ragu tidak semena-mena menujah hati. Satu per satu wajah pesalah-pesalah itu diteliti, dan pandangannya terhenti pada wajah pesalah bernombor 5.  

"Awak sudah buat keputusan?" soal Tajudin di belakangnya.

"Beri saya sedikit masa lagi," rayu Johan.  Anggukan Tajudin menyatakan isyarat setuju.

Sekali lagi wajah mereka diteliti. Anak mata Johan tetap pegun pada wajah pesalah di nombor 5.

"Dia!" beritahu Johan separuh menjerit.

"Pesalah di nombor 5!" jelas Johan lagi mengesahkan pilihannya yang muktamad.  Jari telunjuk dituding tepat pada wajah pesalah di nombor 5 yang berdiri tegak dengan posisi tangan yang digari ke belakang.

°•°•°•°





Previous: #14
Next: #16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh