#5

SUASANA di bilik mayat itu diselubungi kesedihan dan tangisan dari ahli keluarga mangsa. Pihak wartawan bertungkus-lumus cuba mendapatkan skop berita yang terbaik bagi stesen televisyen dan syarikat akhbar masing-masing. Kebanyakan ahli keluarga mangsa menolak untuk ditemu bual lantaran tidak mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan orang ramai.

Kerdipan cahaya silih berganti dari lensa kamera saat isteri mangsa rebah dan pengsan kerana tidak dapat mengawal perasaanya yang hiba kerana kehilangan suami tercinta secara tragis.

Di dalam bilik mortuari, seorang pegawai perubatan, pembantu, pegawai kanan polis yang bertindak sebagai pegawai penyiasat kes dan juga seorang jurugambar dari PDRM mengelilingi mayat mangsa yang pucat dan terdapat beberapa kesan luka di tubuhnya. Penutup muka dan sarung tangan dipakai bagi mematuhi prosedur yang telah ditetapkan ketika proses autopsi ke atas mayat dijalankan. Kesan darah pekat masih terpalit pada bahagian dada mangsa yang terkena tembakan.

Darah yang mengotori dada mangsa dilap terlebih dahulu. Kemudian, dengan berhati-hati Doktor Wee menekan scalpel ke dalam kulit dada mangsa untuk membuat bukaan kecil bagi mengeluarkan peluru yang terbenam di situ.

"Suspek memang sengaja menyasarkan jantung mangsa sebagai sasaran," ulas Doktor Wee.

Sebutir peluru yang ditembak melepasi toraks mengenai tepat ke jantung dan menyebabkan denyutannya terhenti. Doktor Wee yang berpengalaman lebih enam tahun dalam bidang itu kelihatan cekap dan berpengetahuan tinggi. Peluru yang berjaya ditarik keluar tersebut dimasukkan ke dalam bekas khas untuk dihantar ke makmal forensik.

Doktor Wee memeriksa pergelangan tangan mangsa yang terdapat kesan lebam di permukaan kulit yang agak jelas kelihatan.

"Nampaknya mangsa telah diikat sebelum ditembak mati. Mangsa mungkin diculik dan bahagian pergelangan tangannya diikat dengan ketat sehingga menimbulkan kesan lebam," jelas Doktor Wee lagi.

Jurugambar merakam secara dekat kesan lebam yang dimaksudkan. Jelas kelihatan corak tali yang digunakan untuk mengikat mangsa. Pemeriksaan yang dilakukan begitu teliti. Hujung kuku mangsa turut diperiksa dan setiap apa jua kesan yang tertinggal diambil untuk pemeriksaan.

Rambut mangsa bunuh yang dikenal pasti sebagai Borhan bin Sulaiman itu disikat perlahan dengan sikat bergigi rapat dan sekeping kertas diletakkan di bawahnya. Segala kekotoran, debu hatta benda asing yang melekat pada rambut mangsa akan jatuh di atas kertas tersebut. Butiran halus itu turut dimasukkan ke dalam bekas untuk diuji kaji. Bahan sekecil itu tidak boleh dipandang remeh, malah ia amat penting dan mampu memacu ke petunjuk yang seterusnya.

"Terdapat satu luka kecil di tepi telinga mangsa. Mungkin akibat dipukul oleh objek tumpul."

Kepala mangsa dipusing dengan cermat untuk pemeriksaan lanjut.

"Nampaknya ada satu lagi kesan kecederaan di bawah kepala mangsa. Saya rasa, ia disebabkan oleh impak akibat terjatuh dari tempat tinggi. Walau apapun, keputusan yang tepat akan diperolehi selepas imbasan tomografi dilakukan untuk melihat corak kecederaan pada tengkorak mangsa." Doktor Wee berkata dengan penuh karisma.

Setiap sudut tubuh mangsa turut diperiksa dan mengambil masa sehingga lebih empat jam. Tidak ketinggalan juga darah si malang yang akan diuji kaji sekiranya terkandung sebarang racun, toksik mahupun narkotik yang turut menjadi punca kematiannya.

Doktor Wee menanggalkan sarung tangan dan juga penutup muka setelah proses autopsi tamat. Begitu juga dengan Pegawai Penyiasat berkenaan.

"Keputusan autopsi dan laporan lengkap akan diketahui selewat-lewatnya pada lusa ini. Saya sendiri akan hubungi tuan selepas keputusan tersebut berada di tangan saya," janji Doktor Wee.

"Baiklah. Terima kasih, doktor."

Mereka berdua berjabat tangan sebelum masing-masing berlalu pergi. Jenazah akan diserahkan kepada keluarga mangsa untuk urusan pengebumian. Tajudin selaku Pegawai Penyiasat kes pembunuhan tersebut pulang ke pejabat dengan segera kerana ada tugas lain yang menanti.

°•°•°•°

"TAKKANLAH tiada saksi langsung bagi kes ni?" tanya pegawai atasan Tajudin.

"Setakat ni tiada seorang pun yang tampil untuk memberi keterangan, tuan. Tetapi kita telah membuat hebahan melalui media masa dan juga media sosial berhubung perkara ini. Saya pasti, tentu ada sekurang-kurangnya seorang saksi yang melihat atau mengesyaki ada perbuatan jenayah yang terjadi di situ," terang Tajudin panjang lebar.

"Saya tak mahu dengar perkataan 'mungkin.' Saya nak saksi yang boleh beri keterangan dan bukti-bukti lain sekiranya ada. Awak pun tahu prosedurnya, bukan?" Tajudin ditekan hebat oleh Supt. Jasmit yang terkenal dengan ketegasannya.

"Saya minta maaf, tuan. Saya akan pergi semula ke lokasi pembunuhan untuk membuat pemeriksaan lanjut." Tajudin tahu dia perlu berusaha lebih gigih. Petunjuk yang ada masih belum mencukupi untuk mencari petualang di sebalik pembunuhan tersebut.

"Baiklah. Pastikan kertas siasatan lengkap sebelum diedar kepada pendakwa raya," ujar Tuan Jasmit berbaur arahan.

Tajudin memberi tabik hormat sebelum bergerak ke lokasi kejadian bersama seorang anggota bawahannya. Sekitar matanya menjadi lebam kehitaman seperti beruang panda kerana tidak cukup rehat semenjak kes tersebut diteraju olehnya. Itulah sebuah pengorbanan yang harus dilakukan demi menegakkan keadilan dan memastikan negaranya yang tercinta sentiasa aman dan damai.

"Kita dah sampai, tuan." Suara Detektif Putra menyedarkannya dari lamunan.

Saki-baki minuman tin berkafein itu diteguk sehingga habis lalu dia keluar dari perut kereta. Tali rintangan polis berwarna kuning-hitam mengelilingi kawasan kejadian. Tajudin dan Putra menarik tali rintangan tersebut ke atas dan memboloskan diri ke tempat pembunuhan. Kesan darah yang sudah kering masih jelas kelihatan di tanah dan juga batu kerikil.

"Semua bukti telah dibawa ke makmal forensik, Putra?" tanya Tajudin.

"Sudah, tuan," jawab Putra sambil tersenyum.

Corak tayar yang tertinggal pada tanah yang lembab masih jelas kelihatan. Corak tapak kasut mangsa dan pembunuhnya juga ada di situ, tetapi kurang jelas. Mungkin ada terjadinya pergelutan antara mereka sebelum pembunuhnya menembak mati si mangsa. Seterusnya lensa mata Tajudin merayapi ke pokok-pokok yang merimbun. Entah mengapa hatinya terdetik untuk mendekati kawasan di situ. Di perdu sebatang pokok tidak jauh dari lokasi kejadian itu terdapat kesan rumput mati seperti dipijak seseorang ataupun ditindih oleh satu beban yang berat.

"Tengok ni. Corak begini hanya berlaku apabila dibebani dengan sesuatu benda yang berat," terang Tajudin seraya menyentuh rumput yang sudah layu dan kekuningan tersebut.

"Maksud tuan?" Putra kurang pasti tentang andaian Tajudin. Padanya, rumput-rumput tersebut kelihatan biasa sahaja. Tiada apapun yang berbeza. Tajam benar penglihatan Tajudin pada hemat Putra.

"Cuba awak tengok rumput-rumput di sana. Hijau, utuh berdiri dan masih segar. Sedangkan di sini." Tajudin menunjukkan kawasan yang dimaksudkan kepada Putra dengan lebih jelas. "Rumput-rumput di sini tidak sama dengan yang di sana."

Putra mengangguk berkali-kali dan sudah mula faham dengan maksud yang hendak disampaikan oleh Tajudin. Lingkungan kawasan bersaiz 50 centimeter itu ditanda oleh Tajudin lalu kamera telefon pintarnya diketik untuk mengambil gambar di kawasan yang bertanda tersebut.

"Kat sini ada binatang liar ke Putra?" soal Tajudin dengan serius.

"Setahu saya tak ada, tuan. Lagipun, sini bukannya hutan. Pendapat saya, kawasan ini agak jauh dari pandangan orang ramai. Mustahil ada yang berani masuk ke sini. Tambahan pula, ada gaung di bawah sana." Putra memberikan pendapat berdasarkan pemerhatiannya.

"Baiklah. Teori awak agak logik dan boleh diterima akal. Selalunya orang datang ke sini untuk berjoging saja. Mereka takkan ambil risiko yang boleh membahayakan keselamatan diri," ulas Tajudin pula.

Tajudin melangkah semakin jauh ke dalam taman diekori oleh Putra. Ranting-ranting patah dan satu kesan tapak kasut di tanah lembab menarik perhatian Tajudin. Setiap apa jua tanda yang menimbulkan rasa curiga di hati Tajudin dirakam dengan telefon pintarnya. Corak tapak kasut suspek dibandingkan dengan corak tapak kasut yang baru ditemuinya.

"Tengok ni. Corak kedua-dua tapak kasut ni berbeza, bukan?" Putra menjengah ke skrin telefon pintar milik Tajudin. Dia mengelus dagunya sambil tersengih tatkala melihat dua corak tapak kasut yang berlainan saiz dan bentuk.

Bulat mata Tajudin mengikuti setiap kesan yang ada sehinggalah laluan tersebut membawa mereka ke jalan masuk taman berkenaan dan menjadi jalan pintas untuk keluar dari taman itu. Tajudin yakin, sesiapa jua yang keluar dari situ cukup arif dengan selok-belok di taman berkenaan.

"John Doe...." gumam Tajudin.

"John Doe? Siapa tu, tuan?" Berlapis dahi Putra mendengar sebaris nama yang disebut oleh ketuanya tadi.

"Saya namakan saksi misteri itu sebagai John Doe," jelas Tajudin mengulum senyum.

"Oh!"

"Putra, tolong hubungi pasukan CSI sekali lagi untuk memeriksa bukti-bukti baru," arah Tajudin.

"Baik, tuan." Putra melingkari perimeter tapak bukti yang baru dengan tali rintangan berlogo polis itu agar tidak dicerobohi sesiapa sementara menunggu pasukan CSI tiba.

°•°•°•°












Previous: #4
Next: #6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh