#17


TERLOPONG Mael melihat dua orang pemuda itu sedang berseronok di ruang tamu sambil menikmati pasta. Mereka juga sedang rancak berbual dan menyaksikan perlawanan bola sepak di kaca TV. Kelopak mata digosok berkali-kali. Otaknya cuba memproses apa yang terlayar di depan mata. Tidak cukup dengan itu, pipinya ditampar kuat, manalah tahu jika dia sedang bermimpi saat itu.

"Macam tak cukup kuat je tamparan kau tu. Ke kau nak aku tempeleng kau lagi sekali? Aku boleh je, tak ada masalah. Kan, Rafi?"

Rafi ketawa besar melihat reaksi spontan Mael. Dia mengajak Mael menyertai mereka dan pasta yang masih banyak di dalam bekas dicedok ke dalam pinggan. Terkebil-kebil mata Mael seperti cicak tertelan kapur. Mana mungkin dua orang seteru itu duduk bersama dan kelihatan sungguh ceria.

"Kau orang ni...." Mael tidak jadi bertanya. Pasta di dalam pinggan juga belum dijamah.

Rafi dan Johan berpandangan sesama sendiri. Kasihan pula melihat raut wajah Mael yang sarat dengan tanda tanya. Johan meletakkan pinggannya di atas meja. Manakala laras suara pada TV diturunkan, menjadikan suasana senyap dan sepi.

"Tak payah nak kerut-kerut dahi. Mulai sekarang, Rafi akan tinggal di sini semula." Johan tersenyum kepada mereka berdua.

"Alhamdulillah... termakbul juga doa aku siang malam." Mael menadah tangan tanda syukur. Gembira melihat persengketaan mereka menemui titik akhir. Dia tahu, Johan tidak akan selamanya menyimpan dendam.

Rumah itu kini riuh-rendah dengan suara mereka bertiga. Siapa sangka hubungan persahabatan itu akan terjalin dengan lebih erat lagi. Setiap apa yang berlaku, pasti ada hikmah di sebaliknya. Api kebencian telah terpadam sepenuhnya. Namun, janji tetap janji. Biarlah Johan sahaja yang tahu siapa Rafi yang sebenarnya tanpa perlu mendedahkannya kepada sesiapa.

°•°•°•°


BARANG-BARANG yang tersusun di atas meja habis bertaburan ke lantai. Mukhlis mengamuk selepas terbaca artikel terkini tentang pembunuhan Borhan. Ternyata sia-sia saja dia mengupah Mus dan Epul untuk menghapuskan Borhan. Tugas semudah itupun gagal dilaksanakan. Berani pula mereka menagih bayaran yang mahal.

"Kalau kau orang tak jumpa aku dalam masa 12 jam, aku jamin mayat kau orang pula yang terhumban dalam gaung!"

Telefon pintar dihempas ke meja. Dia mahu lihat selama mana dua lelaki dungu itu mampu mengelak daripadanya. Telah agak lama dia diberi janji-janji palsu. Dia cukup pantang apabila ditipu. Separuh upah juga telah dilunas. Mana mungkin upah dibayar penuh untuk khidmat yang belum terlaksana sepenuhnya?

"Aduh! Gawat ni!" Epul mencekak rambut hingga ke belakang.

Ketenangan jiwanya dikocak dengan pesanan surara dari Mukhlis. Kebetulan poketnya juga sudah kering. Bahana mengikut nafsu sebagai tahi judi, duit yang segunung kini menjadi padang pasir yang tandus. Dia cuba menghubungi Mus, malangnya panggilan itu tidak diangkat. Mahu atau tidak, terpaksa juga dia mencari Mus di rumah.

Ugutan Mukhlis tidak boleh diambil ringan. Lelaki berpoket tebal dan agak berpengaruh itu sanggup berbuat apa sahaja asalkan matlamatnya tercapai. Lagipun silap mereka juga kerana lesap begitu sahaja tanpa khabar berita.

Hujan lebat diiringi petir sabung-menyabung. Lena Mus terganggu dek panahan petir yang membelah langit. Ditambah pula dengan tangisan nyaring anaknya kerana takut dengan bunyi yang kuat itu. Bantal yang dijadikan alas kepala diambil buat tutup telinga. Namun cara itu tidak berkesan, lantaran tangisan bayi tersebut semakin lantang, berlawan dengan petir ganas di langit.

"Yati! Boleh tak kau diamkan budak tu? Memekak sajalah!" jerit Mus dari dalam bilik.

Bayi tersebut tidak henti-henti menangis. Bingung Yati dibuatnya. Sudah pelbagai cara dilakukan untuk meredakan tangisan anak kecil itu. Malangnya, semua itu tidak berhasil.

"Kau pekak ke, Yati? Aku nak tidur pun tak boleh!" Mus memberontak di dalam bilik. Kaki dihentak-hentak ke dinding.

"Budak tu bukannya reti bahasa. Dia nak menangis jugak saya nak buat macam mana lagi?" Keras suara Yati menjawab.

Naik gila Mus dibuatnya. Kepala diserang pening kesan pengambilan ganja yang berlebihan. Bantal dilempar ke sana-sini. Selimut juga dilontar entah ke mana. Dia bangun dan duduk di tepi katil. Tangan memicit kepala dengan decitan di bibir. Pandangannya merayap ke pintu bilik. Laju kaki diayun ke pintu.

Kalau Yati tidak mampu berbuat apa-apa, biar dia sahaja yang bertindak. Merah padam muka Mus merenung Yati yang sibuk menenangkan anak mereka. Yati duduk membelakangi Mus yang mara dengan perlahan-lahan. Kaki kanannya diangkat tinggi lantas menendang tubuh kurus Yati sehingga tersungkur ke lantai bersama bayi mereka. Anak kecil itu dipeluk dan dicium-cium wajah comelnya berulang kali.

"Awak dah gila ke?"

Siku dan dahi Yati tercedera kerana terseret di lantai simen yang tidak beralas. Bayi kecil itu semakin kuat menangis, bertingkah dengan bunyi hujan yang menimpa atap. Kawasan rumahnya itu semakin sepi apabila malam menjelma.

"Ya! Memang aku gila. Aku naik gila dengar suara budak sial ni menangis!"

Kepala bayi itu ditunjal-tunjal kasar dengan jari telunjuk. Si kecil menangis sehingga tidak keluar suara. Mukanya biru kerana terlalu banyak menangis.

"Jangan sentuh budak ini!"

Yati sakit hati melihat perangai Mus yang langsung tidak ada rasa kasih kepada anak sendiri. Mujurlah anak sulung mereka sedang nyenyak tidur setelah perutnya kenyang diisi.

"Aku dah cakap... jangan biar budak tu menangis lama-lama. Tapi kau degil!"

Mus menumbuk muka Yati sekuat hati sehingga bayi mereka tercampak ke lantai. Yati berasa seperti hendak pitam. Keluar cecair merah dari rongga hidung dan mulut Yati.

"Lelaki dayus!" jerit Yati di depan muka Mus yang menyinga.

Air ludahnya tepat mengenai pipi Mus yang masih menggenggam penumbuk. Rambut Yati ditarik sekuat hati sehingga wanita itu meraung kesakitan. Bagai dirasuk hantu, tubuh Yati diheret kasar. Yati cuba berpaut kepada apa-apa sahaja yang ada untuk mempertahankan diri. Sebiji gelas kaca yang terletak di atas meja tergolek jatuh ke lantai lalu pecah dilanggar oleh Mus.

Mus tidak menghiraukan serpihan kaca yang berserakan itu, malah tubuh Yati diseret bersama-sama serpihan tajam itu sehingga melukai perut dan betis Yati yang terdedah. Tidak cukup dengan itu, kepala Yati di hantuk ke dinding kayu berulang kali sehingga berdarah. Tangisan dan jeritan kesakitan Yati bergema di seluruh rumah.

"Kau yang nak semua ni terjadi, kan? Mulut kau tu kalau tak menjawab memang tak sah. Rasalah habuan ni!"

Apalah daya Yati untuk melawan. Dibiar sahaja tubuhnya dikerjakan seperti kain buruk. Tendangan demi tendangan singgah di badan Yati bersama tumbukan yang bertubi-tubi di muka.

"Sakit! Sakit!"

Yati merayu-rayu minta dilepaskan. Mus semakin ganas membantai Yati sesungguh hati. Dinding kayu itu dibasahi darah pekat. Yati terbaring lesu di lantai simen setelah puas dibelasah oleh Mus. Darah berlinangan di lantai akibat kecederaan serius yang dialaminya. Akhirnya Yati kaku tanpa suara dengan mata terbuka.

"Matilah kau!"

Baru setapak melangkah, telinganya diganggu dengan tangisan oleh anak-anaknya sendiri. Tanpa belas kasihan, kedua-dua anak itu diangkat lantas dibawa ke bilik air. Hujan semakin lebat menyimbah bumi. Sekuat mana pun tangisan anak-anak itu, ia tetap tidak akan didengari sesiapa. Tambahan pula, jarak rumah antara satu sama lain agak jauh. Pintu bilik air ditendang kuat dengan kakinya sehingga ternganga luas.

Tanpa belas ihsan, kanak-kanak tersebut dihumban ke dalam kolah yang dipenuhi air. Terkapai-kapai mereka berdua kerana kelemasan bersama suara jeritan ketakutan. Pintu bilik air dikunci dari luar. Rintihan suara itu sudah tidak kedengaran lagi. Tidak sampai lima minit, kanak-kanak malang itu tenggelam ke dasar kolah.

Mus kembali ke ruang tamu dengan dengusan nafas yang tidak sekata. Rambutnya kusut bersama kesan darah Yati yang melekat di bajunya. Dia duduk di lantai dengan sebatang rokok yang baru dinyalakan di celahan bibir. Asap rokok menerawang ke udara. Mus langsung tidak menyesal akan perbuatan kejam terhadap anak dan isterinya sendiri. Malah, dia merasakan separuh daripada beban yang tergalas di bahu hilang begitu sahaja. Hatinya lapang. Jiwanya kembali tenang. Jasad Yati yang terbujur di tengah-tengah ruang tamu dijeling sekilas dengan senyuman sinis.

Tok!

Tok!

"Mus... aku ni, Epul. Bukalah pintu ni," panggil Epul dari luar.

Batang rokok yang tinggal separuh dilenyek ke dalam bekas abu rokok. Mus bangun lalu menapak ke arah pintu utama. Selaknya ditarik dan daun pintu terkuak lebar, membenarkan Epul memasuki rumah itu tanpa rasa takut dan berbelah-bagi.

"Kau buat apa? Dari tadi aku telefon tak angkat-angkat. Kau tahu tak, si Mukhlis tu dah mengamuk cari kita. Dia bagi kita tempoh dua belas jam untuk jumpa dia. Kalau tak...." Epul melalukan jari telunjuknya ke leher, isyarat mereka akan dibunuh.

Mus tidak memberi sebarang reaksi. Dia membuat muka selamba dan kata-kata Epul dibiar seperti angin lalu. Hidung Epul terganggu dengan bau hanyir dan memualkan. Matanya melingas sekeliling dan berhenti pada sebujur jasad yang terbaring di lantai dan dibasahi darah.

"Allah! Apa kau dah buat ni, Mus?"

Epul menggigil ketakutan. Seumur hidupnya, inilah kali pertama dia melihat mayat yang berlumuran darah di depan mata kepalanya sendiri. Sewaktu pembunuhan Borhan tempoh hari juga, hanya Mus yang bertindak ganas dan menolak tubuh Borhan ke dalam gaung. Dia sekadar menculik dan mengawasi tindak-tanduk Borhan sahaja. Tidak lebih dari itu.

"Aku yang bunuh. Kenapa? Kau takut?" sindir Mus dengan herotan di bibir.

"Ta... tapi, kenapa? Bini kau tu. Anak-anak kau mana?"

Pandangan mata Epul dilontar ke segenap penjuru rumah. Hanya tubuh Yati yang kelihatan. Anak-anak mereka tiada di situ. Epul mula membuat andaiannya sendiri.

"Kau jangan cakap... yang... kau bu... bunuh anak-anak kau juga?" Terasa lemah segala sendi Epul. Tergamak Mus membunuh mereka anak-beranak. Sudah dirasuk syaitankah lelaki durjana itu?

"Adalah... dia orang semua ada. Kat dalam kolah."

Mus ketawa besar. Epul sudah jatuh terduduk. Dia langsung tidak menyangka akan terlibat dalam kancah pembunuhan kejam yang dilakukan oleh Mus. Patutlah Mukhlis bersungguh-sungguh mahukan Mus mengetuai misi mereka. Rupa-rupanya Mus punya sisi kejam yang dia sendiri tidak tahu.

"Tak lawaklah, Mus. Kau jangan main-main." Epul cuba menduga.

"Tu... perempuan sial yang terbaring jadi mayat tu tak cukup ke untuk buat kau percaya? Kau nak bukti apa lagi? Nak aku bawak budak-budak dalam kolah tu ke sini? Begitu?" tanya Mus bengis.

Epul geleng kepala laju-laju. Dia kini berada dalam sebuah rumah yang terjadinya pembunuhan kejam. Ini bermakna, dia boleh dituduh sebagai rakan subahat. Mus tersengih lucu melihat wajah pucat Epul yang terkejut seperti melihat hantu. Malang sungguh nasib Epul malam itu.

"Alang-alang kau kat sini, apa kata kau tolong aku buang bangkai-bangkai ni semua."

Mus menepuk bahu Epul dengan kuat sehingga tubuhnya terinjak ke depan. Lidah kelu dengan tiba-tiba. Hanya bola matanya saja yang bergerak mengikut pergerakan Mus.

"Hoi! Kenapa tercegat saja? Marilah ke sini."

Terasa pahit liur yang ditelan. Mahu atau tidak, Epul terpaksa juga menolong Mus membuang mayat-mayat di dalam rumah itu. Epul menatap wajah Yati sekilas. Bengkak-bengkak di bahagian muka wanita malang itu amat ketara. Bahagian tubuhnya yang lain juga habis lebam-lebam akibat dipukul. Tanpa sedar, Epul menggeleng kesal.

"Nak buang ke mana ni?" soal Epul setelah jasad Yati dimasukkan ke dalam plastik hitam yang tebal.

Puas mereka cuba melipat kaki dan tangan Yati yang kekejangan itu agar plastik itu mudah diikat. Malangnya tangan jasad tersebut asyik terkeluar.

"Argh! Hidup menyusahkan aku! Mati pun tetap menyusahkan aku juga!" Mus membentak geram. Tubuh Yati diheret ke bilik air. Epul cuma bertindak sebagai pemerhati. Apa lagi yang hendak dilakukan oleh Mus kali ini.

Seketika kemudian, Mus keluar semula dari bilik air dan langkah dibawa ke sinki. Dia tercari-cari akan sesuatu. Bibir lebam itu mengukir senyum tatkala terlihat objek logam yang tajam terselit di celahan rak.

"Hei, kawan! Kau biar betul?"

Kepala lutut Epul menggigil. Mus kini benar-benar sudah hilang akal. Epul lari ke ruang tamu seraya menutup telinga. Tidak sanggup rasanya untuk mendengar bunyi tetakan pisau pemotong daging ke atas manusia. Mus memang benar-benar sudah gila!

"Hoi, pengecut! Kau sembunyi dekat sini buat apa?"

Entah bila Mus muncul di depan Epul yang masih bersandar di dinding.

"Astaghfirullah...."

Epul menutup mukanya dengan telapak tangan. Semestinya darah Yati mengotori wajah dan baju yang dipakai oleh Mus. Mus seolah-olah sedang bermandi darah.

"Aku dah uruskan dia orang semua. Sekarang ni, tolong aku bersihkan darah-darah tu semua. Aku penat ni lapah orang." Mus ketawa lagi seperti manusia yang tiada hati perut.

Kerja-kerja pembersihan dan penghapusan bukti berlangsung sehingga beberapa jam. Bau hanyir darah berganti dengan bau peluntur dan sabun. Jiran-jiran berdekatan sudah lena diulit mimpi. Tepat jam dua pagi, Mus dan Epul berhempas-pulas mengangkat plastik-plastik hitam ke dalam but kereta.

"Kita nak pergi mana?" Epul bertanya sejurus enjin kereta dihidupkan.

Dalam serakan cahaya bulan yang mengambang penuh, senyuman Mus kelihatan amat ngeri. Epul mengalih pandangannya ke tempat lain. Telinganya sempat menangkap kata-kata Mus buat kali terakhir.

"Ke kandang babi."

°•°•°•°


Previous: #16
Next: #18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh