#19

"MAEL, telefon kau mana?"  Tergesa-gesa Johan menerkam Mael yang baru selesai membersihkan diri.

Mael terpinga-pinga melihat gundah-gulana Johan yang tidak bertepi.  Sesekali, Johan terjenguk-jenguk ke arah pintu. Panjang leher Mael melihat ke arah yang sama.  

"Kenapa ni?  Gelisah semacam je?"  Tersentak Johan dengan pertanyaan pemuda itu.  Mael tidak boleh tahu. Biar dia sahaja yang menanganinya.  

"Aku nak pinjam telefon kau sekejap," ulang Johan lagi.  Mukanya pucat lesi seperti zombi.

"Telefon kau mana?" soal Mael kehairanan, seraya menghulur telefon pintarnya yang baru diambil di bilik tidur.

"Tertinggal dalam kereta."  Ringkas jawapan Johan.  

Tangannya terketar-ketar menyambut telefon pintar dari Mael.  Semakin bertambah curiga Mael. Tidak mungkin rakannya itu terlibat dalam penyalahgunaan narkotik.  

"Tenang dulu, Johan.  Tarik nafas dalam-dalam." 

Mael cuba membantu meredakan kegelisahan Johan yang semakin menjadi-jadi. Johan menjarakkan diri dari Mael.  Dicari nama Rafi dalam senarai kenalan telefon berkenaan. Nombornya didail dan deringan pertama mula berbunyi.

"Hello…," ucap Rafi laju apabila melihat nama Mael terpapar di skrin.

"Rafi, aku rasa pembunuh tu ada kat depan rumah kita sekarang ni."  Johan berkata yakin dalam intonasi suara rendah. Saat itu Mael sedang menukar pakaiannya di kamar.

"Apa?  Kau pasti?"  Rafi menyambar kunci motor di atas meja lalu segera ke parkir bangunan bercat putih dan biru itu.

"Aku pasti!  Ce… cepat sikit Rafi.  Aku takut!" gesa Johan kalut.  Penjahat seperti itu pastinya sanggup berbuat apa sahaja. 

"Okey, aku gerak sekarang.  Kau jangan keluar dari rumah tu.  Duduk aje diam-diam. Mael mana?"  

"Mael ada dalam bilik."  

"Bagus.  Kunci pintu elok-elok.  Sekejap lagi aku sampai."  Rafi memutuskan talian. Topi keledar dipakai lalu memecut laju ke rumah mereka.

Johan berjalan tidak tentu arah di ruang tamu.  Tidak semena-mena, matanya tertancap pada pintu utama yang ternganga.  Dia meluru laju ke arah pintu lalu mengintai keluar. Kelihatan Mael menggenggam sesuatu di tangan kanannya, iaitu telefon pintar milik Johan yang tertinggal di dalam kereta.  Arterinya seakan kaku, merenjat tubuh Johan yang ketakutan. Kalaulah Mael tahu malapetaka apa yang bakal menimpa mereka, sudah pasti pemuda itu tidak berani ke mana-mana hatta bergerak seinci sekalipun.

"Mael!  Masuk, lekas!" gamit Johan cemas.  Mata meliar melihat keliling.

Kenderaan tadi masih gah terparkir di tepi jalan.  Johan seratus peratus yakin, segala gerak-geri mereka diperhatikan oleh penjahat-penjahat itu sekarang ini.  Sepasang kaki Mael berjalan longlai ke pintu utama seperti itik pulang petang. Tersengih-sengih Mael mengembalikan telefon pintar Johan yang sentiasa bergetar.  Deretan pesanan WhatsApp dari Hanna masuk bertali-arus. Maklumlah, Johan baru saja bergelar tunangan orang. Tidak henti-henti gadis itu bertanya khabar. Atau mungkin juga meluahkan kata-kata manis cinta.

Pintu ditutup rapat dan dikunci.  Johan mengintai di sebalik langsir.  Cermin kereta kenderaan itu diturunkan separuh.  Namun, pekat malam yang gelap itu mengehadkan pandangannya.  Bayangan sosok manusia di dalam kenderaan itu tidak jelas kelihatan.  Jantung Johan tidak henti-henti berdetak laju. Keringat membasahi pelipis.  Lemah segala sendi yang mengikat pergerakannya. Lumpuh segala anggota.

"Aku tak faham dengan kau ni.  Takut semacam je. Kau intai apa tu?"  Mael cuba menyelak langsir lebih luas. Pantas tindakan Mael ditegah.

"Jangan!  Duduk aje diam-diam kat situ!"  Johan memberi amaran.  

Kelibat Rafi masih belum kelihatan lagi.  Tidak senang duduk Johan dibuatnya. Pintu kenderaan itu sedang dibuka oleh seseorang dari dalam.  Baru sebelah kaki memijak tanah, deruman enjin motor Rafi semakin mendekati rumah mereka. Pemandu itu tidak jadi untuk keluar.  Kebetulan pula, Rafi tiba tepat pada masanya dan memberhentikan motorsikalnya di belakang kenderaan itu.

Tergesa-gesa pemandu berkenaan memasuki ke dalam keretanya semula dan memecut laju tanpa sempat Rafi bertindak apa-apa.

"Tak guna!" marah Rafi.  Nombor pendaftaran kenderaan itu tersemat kemas dalam ingatan.  Tapi Rafi teramat yakin, bahawa itu bukan nombor pendaftaran yang sah.

Rafi menolak motorsikalnya ke halaman rumah.  Telefon pintar melekap di cuping telinga. Dia sedang bercakap dengan seseorang di talian.

"Baiklah, terima kasih," ucap Rafi lalu perbualan ditamatkan. Telahannya tepat.  Pemandu itu menggunakan nombor pendaftaran yang palsu hasil semakan rakan sekerjanya tadi.

"Rafi!" Johan memanggil kuat.

"Kau tak apa-apa?" soal Rafi.  Motorsikalnya ditongkat di ruang parkir.

"Aku okey," balas Johan gugup.

Mael terpinga-pinga seorang diri.  Dia langsung tidak tahu apa-apa. Johan dan Rafi seolah-olah sedang berkomplot dan merahsiakan sesuatu daripada pengetahuannya.  Dan dia yakin, perkara itu amatlah serius.

"Ada apa-apa yang aku tak tahu ke?" celah Mael sambil memeluk tubuh.

"Dia orang nampak kau, tak?"  Rafi bertanya lagi. Soalan Mael dibiarkan tergantung.

"Aku rasa, ya.  Mael dah terlibat sama dalam hal ni."  Mereka berdua menoleh ke arah Mael yang mula bercekak pinggang.

"Aku rasa aku berhak tahu sesuatu."  Mael berjalan ke arah sofa, melabuh punggung di situ.

Mereka berdua membuntuti langkah Mael dan mengambil tempat di hadapannya.  Johan menyiku Rafi yang diam sejak tadi. Dia tidak tahu hendak mula dari mana.

"Dah lima belas minit kita duduk kat sini.  Punggung aku pun dah naik kebas. Kau orang memang nak buat aku tertunggu-tunggu macam patung cendana, ke?"  Mael menuding jari ke arah mereka berdua yang diam tidak berkutik.

"Errr… kau cakaplah, Rafi."  Siku Rafi disenggol Johan. Dia enggan menatap muka Mael yang sedang marah.

"Kaulah yang beritahu dia dulu."  Kali ini lengan Johan pula disiku.

"Dari tadi asyik bisik-bisik sesama sendiri.  Nak terpacak kat sini sampai besok pagi ke macam mana?"  dengus Mael geram.

Johan menghembus nafas panjang.  Dia berdiri dan bersedia untuk bercerita.  Pelbagai reaksi dapat dilihat pada raut wajah Mael yang mendengarnya dengan tekun.  Sesekali, dia memejam mata. Selepas itu, Mael meramas-ramas jari-jemarinya. Posisi duduknya juga berubah-ubah.  Rafi sekadar memasang telinga sambil memeluk tubuh.

"Aku minta maaf sebab merahsiakan hal ini daripada kau.  Aku harap kau faham akan situasi aku." Johan mengambil tempat di sebelah Mael yang membisu.

Bukan biasa-biasa masalah yang ditanggung Johan.  Barulah Mael mengerti akan perkara duduk yang sebenar.  Jauh di lubuk hati, ada terselit rasa takut.  

"Kau juga kena berhati-hati, Mael.  Walaupun kita belum pasti siapa pemilik kenderaan tadi, tapi tidak salah kalau kita selalu menjaga diri masing-masing."

Tiba-tiba Mael teringatkan Shakira.  Dia jadi takut untuk berjumpa dengan Shakira.  Takut sekiranya Shakira dijadikan sasaran setelah dia terheret sama dalam masalah Johan.  

"Mael, kau fikir apa?" tanya Johan pelik.  Mael yang banyak mulut bertanyakan itu ini mula diam membisu.

"Shakira…."  Terluah nama itu di bibirnya.

Rafi mengerti akan maksud Mael.  Hal inilah yang paling dia takuti.  Perkara ini perlu dibincang bersama Tajudin.  Pastinya kekusutan Tajudin semakin bertambah. Demi keselamatan mereka berdua, Rafi tiada pilihan lain.

°•°•°•°


"NYARIS-NYARIS aje tadi!" bentak Mus.  Tin minuman kosong disepak dan bergolek ke tepi tebing.

"Kau sepatutnya bersyukur.  Setidak-tidaknya kita sempat lari.  Kalau tidak, mungkin kita berdua dah bermalam dalam lokap."  

Epul tidak pernah berlapik bila bercakap.  Apa yang ada dalam kepalanya itulah yang keluar dari mulut.  Jelingan maut dilempar kepada Epul yang duduk santai di bahagian penumpang.  Mus berada di luar mengambil angin, dan juga menghambur rasa marah yang bersarang di dada.  Mereka terpaksa melarikan diri ke pinggir bukit yang jauh dari pandangan orang ramai.

"Boleh tak jangan cabul sangat mulut kau tu?  Jangan tambah lagi masalah yang sedia ada. Boleh?"  pinta Mus dengan nada sarkastik.

"Masalah kau bertambah sebab kau yang cari sendiri.  Kau kena ingat, akulah yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah kau malam tu.  Malam celaka yang kau bunuh anak bini engkau. Aku tak fahamlah, kau tak sayangkan dia orang ke?"  Kedua-dua belah tangan Epul ditongkat ke pintu kereta. Sengaja dia merenung Mus yang agak tersentak dengan kata-katanya.

"Kau jangan sebut lagi pasal kejadian hari tu.  Bukti semua kita sudah hapuskan. Pihak polis takkan tahu punyalah!"  Ayat Mus berbaur bangga.  

Peristiwa berdarah itu sudah dua bulan berlalu.  Berita tentang penemuan mayat mereka langsung tidak didengari atau tersiar di mana-mana berita ataupun media sosial.  Mus tidak perlu rasa takut lagi tentang hal itu. Lokasi rumah Johan juga berjaya dikesan. Cuma latar belakang Johan masih samar-samar.  Dia perlu bekerja lebih keras untuk mengumpul maklumat tentang diri Johan secara terperinci.

"Aku takkan lupa kejadian tu sampai bila-bila.  Disebabkan kau, aku demam berhari-hari lamanya. Kau memang gilalah, Mus.  Orang gila saja yang sanggup bunuh anak dan isteri sendiri."  

Epul tidak henti-henti membangkitkan kemarahan Mus.  Tidak reti bahasa nampaknya lelaki itu. Mulutnya terus berbunyi, mengomel entah apa sehingga telinganya berdengung.

"Diamlah!  Kau nak terima nasib sama macam dia orang ke?"  

Epul teguk liur kelat.  Ugutan Mus menutup mulutnya dari terus berkata-kata.  Tidak mustahil nyawanya melayang akibat mulut lancangnya yang tidak beralas.  Masih terbayang-bayang mayat Yati dan jasad anak-anak Mus yang pucat lesi.  

Bayang itu sentiasa menghantui dirinya setiap malam sehinggalah ke hari ini.  Memorinya kembali berputar pada malam mereka ke kandang babi di ceruk pedalaman yang memakan masa hanpir tiga jam perjalanan.    Tidak pernah terfikir oleh Epul akan tindakan kejam yang dilakukan Mus hingga sejauh itu.

Beberapa minggu sebelum itu.

"Mus, tempat apa ni?"  Epul menyoal curiga. Jalan yang dilalui begitu sempit dan gelap.  Bulu tengkuk berdiri tegak. Suasana di sekitar gelap dan kelam.

"Ikut sajalah.  Aku tahu benar selok-belok di sini."  Mus menghembus asap rokok keluar tingkap.  Pening kepala Epul menyerang saat terhidu bau asap tembakau.

"Dah sejam lebih kita berjalan.  Mana kau nak pergi sebenarnya?" Menggertap gigi Epul tatkala isi di dalam but kereta berantakan setiapkali melalui jalan yang tidak rata.

Mus menghala pandangan ke depan.  Bibir menyungging senyum. Dia yakin tiada sesiapa yang akan berada di situ pagi-pagi buta begini.

"Sampai dekat simpang tiga tu, kau belok ke kiri.  Pandu lagi dalam dua puluh minit, sampailah kita nanti," terang Mus yakin.  Renyai hujan mengiringi perjalanan mereka ke lokasi yang dituju.

"Padam lampu kereta tu lekas."  Mus memberi arahan sejurus enjin kereta dimatikan.

"Kau duduk dulu di sini.  Aku nak keluar tinjau kawasan."  Pintu kereta dibuka lalu kaki kirinya yang keluar dahulu.

Bau busuk menerpa ke rongga pernafasan.  Mus menahan nafas. Mata melingas ke setiap ceruk kawasan kandang.  Bayang-bayang manusia tiada di situ. Ikut logik akal, siapa saja yang sanggup tinggal di kawasan berhampiran kandang yang busuk.  

Mus memberi isyarat selamat kepada Epul yang sibuk menampar-nampar nyamuk di lengan.  Berbintat-bintat lengannya akibat nyamuk yang menyedut darahnya. Epul menyumpah-nyumpah dalam hati.  Berganda-ganda nasib malang menimpanya pada saat itu. But kereta dibuka. Dua bungkus plastik hitam diangkat ke atas bahu.

"Berat nak mampus!" Rungutan Epul bertingkah dengan bunyi cengkerik.  

Hanyir darah kembali menyengat hidung.  Epul terpaksa menahan, kerana lupa memakai penutup hidung.  Mus mengangkat bungkusan plastik hitam yang kedua. Tiba di tepi kandang babi, Mus mengangkat plastik tersebut melepasi kandang kayu yang tingginya separas dada.  Bahagian bawah plastik dicarik supaya berlubang.

Buk!  Buk!

Kepingan-kepingan badan Yati jatuh ke dalam kandang.  Hembusan angin malam bertiup membawa bau darah sehingga beberapa ekor babi terjaga dari tidur.  Haiwan berbadan besar itu mendengus. Kuat sekali dengusannya sehingga membangunkan rakan-rakannya yang lain.  Kaki pendeknya berjalan laju ke arah anggota tubuh Yati yang bergelimpangan.  

Krup!  Krap!

Ngeri sekali bunyi tulang-temulang Yati yang hancur dikunyah.  Epul meletakkan beg plastik yang terakhir di atas tanah, iaitu beg yang mengandungi mayat anak-anak kecilnya. Tanpa membuang masa, Mus terus saja melakukan hal yang sama seperti tadi.  Epul berasa loya dan mual. Dia kembali ke kereta lalu mengurungkan diri di dalamnya. Mujurlah ketika itu waktu malam. Jika di siang hari, sudah tentu Epul tidak lalu makan atau segala isi perutnya termuntah keluar.

"Hahaha.  Mati! Mati!  Mati!" Ketawa Mus menyentap sanubari Epul.  

Jika diikutkan hati, mahu saja Epul beredar dari situ tanpa mempedulikan Mus lagi.  Malangnya dia dan Mus perlu menghadap Mukhlis yang semakin menipis kesabarannya.

'Mus gila!  Mus gila!' kutuk Epul dalam hatinya saja.  

Mus menonton darah dagingnya sendiri dibaham rakus oleh binatang ganas bagaikan sebuah pesta.  Entah di mana letaknya hati dan sikap perikemanusiaan dalam diri lelaki keparat itu.  

"Bisinglah!"

Bahu Epul ditolak kuat, geram dengan bunyi dengkur Epul yang lena dibuai mimpi.  Rokok terakhir dicampak ke tanah dan dilenyek dengan kasut bagi menghapuskan bara yang bersisa.

Setelah sekian lama melayan gejolak perasaan, Mus  masuk semula ke dalam kereta. Cermin tingkap diturunkan.  Langit hitam menjadi indah dengan hiasan bintang-bintang yang bergantungan.  Deru angin menyapa wajah yang yang berjambang melata dan tidak terurus. Epul di sebelahnya telah lena dibuai mimpi.  Tubuh Epul ditolak lantaran terganggu dengan dengkuran kuatnya.

Matanya masih belum mahu lelap.  Terkebil-kebil dia melihat keluar dengan fikiran kosong.  Jaket di tempat duduk belakang dicapai lalu disarung ke tubuh.  Agak sejuk cuaca pada malam itu.

"Masalah kau bertambah sebab kau yang cari sendiri."

Masih terngiang-ngiang ayat itu di telinganya.  Benarkah dia yang sebenarnya bersalah? Sebatang rokok lagi ditarik dari kotak.  Dijeling Epul yang sedang tidur atau sedang berpura-pura tidur. Dia tidak ambil peduli.  Asap berbau tembakau dihembus bangga.  

Melayang-layang jiwanya bersama tebaran asap putih.  Semuanya sudah berlaku dan berlalu. Tidak guna disesali lagi.  Bingit leteran Yati mahupun teriak anak-anak kecil tidak lagi mengganggu lohong telinga.  Dia kini bebas seperti burung di awan.

°•°•°•°


Previous: #18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh