Home Novel Thriller/Aksi KORNEA
KORNEA
Ruby Annas
6/9/2019 09:03:54
1,933
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
#10

HARI berganti hari, hidup Johan seperti seorang banduan yang menyembunyikan diri setelah lolos dari penjara. Dia hanya keluar apabila perlu.  Kebanyakan masa Johan banyak dihabiskan di rumah, terperuk di dalam bilik dan bermain game di telefon pintar.

Johan lakukan  semua itu demi mengelak dia bertembung dengan pembunuh Borhan dan juga dicari oleh polis. Adakalanya, dia berasa amat bersalah terhadap keluarga mangsa kerana takut untuk tampil ke depan sementelah dia adalah saksi utama kes pembunuhan itu.  

Bila difikir-fikir semula, rasa bersalahnya semakin menggunung kerana membiarkan orang jahat terlepas bebas di luar sedangkan keluarga mangsa terpaksa meratapi pemergian arwah tanpa mengetahui siapakah pembunuhnya yang sebenar.

Bukannya Johan tidak pernah cuba memberanikan diri untuk membantu. Malah dia ada pergi ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan. Rasa takut yang terlalu mencengkam dan juga bayangan pembunuh yang datang silih berganti menerpa mindanya.  Akhirnya Johan melangkah pergi dengan rasa sesal yang tidak terperi. Johan menjadi buah mulut rakan-rakannya apabila dia tidak lagi menyertai sebarang aktiviti bersama-sama.

“Johan, boleh aku masuk?”  Suara Mael mengejutkan Johan dari lamunan yang panjang.

“Masuklah.”   

Daun pintu dikuak perlahan. Terjengul wajah tersengih Mael melihat Johan yang tercongok di depan MacBook miliknya dengan kusyuk.

“Kau sibuk ke?  Buat apa?” Langkah Mael diatur ke meja kerja Johan, cuba mengintai apa yang sedang dilakukan oleh Johan ketika itu.

“Tak adalah.  Aku bosan, jadi aku tengok movie,” terang Johan dan menutup MacBook dengan segera apabila Mael cuba menyentuh papan kekunci MacBook itu.

Satu rahsia besar yang tersimpan di dalam MacBook tidak harus diketahui oleh sesiapa.  Justeru, Johan perlu berjaga-jaga dengan sesiapa saja yang mahu menceroboh barang peribadinya hatta kawan baiknya sendiri.

“Haaa… memang sesuai sangatlah aku cari kau sekarang ni.  Kawan-kawan kita ajak main futsal petang ni kat tempat biasa.  Kau pun cakap bosan terperuk kat rumah macam jeruk," ajak Johan.

“Kau sajalah yang pergi.  Aku malas.”

Johan bangun menuju ke katil bujangnya.  Tubuh tinggi lampai itu direbahkan ke katil.  Mata melihat siling putih yang beku. Sesungguhnya fikirannya juga kosong dan beku seperti itu.

Mael mengeluh dan pipi yang tidak gatal digaru.  Bukan sekali dua Johan menolak ajakannya. Terlalu kerap dia disogok dengan alasan klise.  Malas. Penat. Bermacam-macam alasan lagi sehingga Mael tidak mampu lagi mencairkan hati dan meruntuhkan tembok kedegilan Johan.

“Aku tengok kau ni semacam je sehari dua ni.  Selalunya kau tak macam ni. Pantang ajak main bola laju je kau setuju.  Ini tak, kau asyik mengelak tak sudah-sudah. Joging pun tak nak. Kau ada masalah ke, Johan?”

Tanpa segan silu, Mael duduk di birai katil dan cuba untuk menyelami hati Johan.  Hati kecil Mael kuat menyatakan bahawa Johan sedang dibelenggu oleh masalah yang dia sendiri tidak tahu.  Johan tetap membisu. Soalan Mael dibiarkan sepi tanpa jawapan. Dia malas untuk bertekak dengan Mael dan memanjangkan cerita.

“Johan… kau kenal aku bukannya sebulan dua.  Kita kenal sejak di universiti lagi. Kalau kau ada masalah, beritahulah aku.  Jangan pendamkan seorang diri. Mudarat nanti,” nasihat Mael tanpa jemu.

Johan memejam mata.  Seperti biasa, dia cuba mengelak daripada berkata-kata.  Moga Mael memaafkan dirinya kerana sudah jauh berubah. Johan telah membina satu garis pemisah sehingga hubungan mereka semakin renggang.

“Ayah kau sihat?”  Soalan yang tidak disangka-sangka terluah dari bibir Johan.  Satu soalan sebagai penamat segala tanda-tanya Mael terhadap dirinya.

“Alhamdulillah.  Ayah aku beransur baik,” jawab Mael gembira.

“Lama tak balik kampung kau.  Minggu depan kita balik, nak?”  

“Orang mengantuk disorongkan bantal, mestilah aku nak!  Tapi, aku tak dapat nak sambung cuti. Hujung minggu bolehlah.”  Bersinar-sinar bola mata Mael mendengar ajakan Johan.

“Tak apa, sekejap pun jadilah.”  

Johan mahu menenenangkan amukan jiwanya yang gundah. Tempikan hatinya hampir membuatkan dia gila. Bila di kampung, pasti dia dapat membuang jauh-jauh semua masalah yang melanda walaupun buat sementara waktu.

°•°•°•°

CASA PIENA mula dipenuhi dengan para pelanggan pada waktu puncak. Dapur menjadi tempat yang paling sibuk. Suasana bingit dengan suara yang saling bertingkah dan perkakas dapur yang digunakan.  Dapur Casa Piena bagaikan sebuah medan perang buat tiga orang cef yang bertarung bagi menyiapkan pesanan pelanggan.

Waiter…,” panggil seorang gadis yang duduk tegak di kerusi.

“Ya, Cik,” sahut pelayan Casa Piena bernama Kenji.

Creamy Ravioli ni tak sedap,” adu gadis berkenaan.  

Hidangan yang dimaksudkan cuma dijamah sedikit.  Namun, tekaknya menolak apabila ia gagal memikat selera gadis berani itu. Ini bukanlah rasa Creamy Ravioli yang sebenar.  

“Maafkan saya, Cik.  Kami akan tukarkan dengan yang lain,” ujar Kenji dengan rasa bersalah.

“Hanna, kenapa ni?” soal rakan gadis itu yang sejak tadi hanya memerhati.  Gadis beranting-anting labuh itu tunak merenung Hanna yang menolak pinggannya ke tepi.

“Tak ada apa-apa.  Cuma ravioli ni tak sedap, itu saja.”  Hanna mengulangi kata-katanya

Hanna masih tidak puas hati dengan hidangannya.  Mulutnya dilap dengan napkin dan gelas berkaki tirus di sebelahnya diangkat lalu air sejuk itu dihirup perlahan.

“Saya tukarkan hidangan yang baru, ya, Cik?” ulang Kenji lalu berlalu ke dapur.

Johan mengerling pinggan Creamy Ravioli yang terusik sedikit dan nama Kenji dipanggil.

“Kenapa ni, Kenji?” tanya Johan meminta kepastian.

“Ada pelanggan mengadu, Cef. Dia kata, errr….”  Kenji serba-salah untuk meneruskan ayat yang seterusnya..

“Kata apa?”  Suara Johan meninggi.

“Dia kata Creamy Ravioli ni tak sedap!”  Akhirnya ayat itu meluncur keluar dari bibir Kenji.  Wajahnya ditunduk ke lantai.

“Apa?  Tak sedap?  Mana pelanggan tu?”  

Johan menanggalkan apron lalu meluru keluar ke depan restoran.  Dia cukup pantang apabila masakannya dikritik kerana setiap hidangan akan disediakan mengikut standard dan akan diuji terlebih dahulu bagi menjamin kualiti rasanya dan bukannya dibuat  sambil lewa.

Kenji menunjukkan ke arah meja yang dimaksudkan.  Malangnya kelibat dua orang gadis berkenaan telahpun tiada.  Mereka mungkin sudah pergi memandangkan waktu rehat telah tiba ke penghujungnya.

“Huh!  Dah balik pula,” omel Johan sambil bercekak pinggang.  

Langkah dibawa kembali ke dapur kerana banyak lagi pesanan yang belum selesai.

Kehadiran pelanggan semakin reda setelah masuk waktu makan malam.  Rentak kesibukan mereka juga semakin berkurangan. Nama Johan diseru oleh Kenji ketika dia baru saja menyiapkan pesanan Linguine Alla Puttanesca.

“Ada apa, Kenji?”  Pandangan Johan jatuh kepada satu beg kertas yang dihulur kepadanya.

“Apa ni?” tanya Johan dengan dahi berlapis.

Kenji tersengih dan teragak-agak untuk menjawab.  “Gadis yang mengadu tadi bagi kat Cef,” ujarnya jujur.

Johan mengelap tangannya di apron. Setelah itu, isinya dikeluarkan dari beg kertas itu.  Satu bekas makanan berbentuk bulat diletakkan di atas meja.  Sebaik saja penutupnya dibuka, Johan terpana melihat Creamy Ravioli yang yang masih panas dan berasap.

Kenji menghampiri Johan yang terkaku di tempatnya.  Patutlah Johan terdiam, mungkin dia terkejut dengan pemberian yang tidak disangka-sangka itu.  Tambahan pula, ia adalah hidangan yang dikatakan tidak sedap oleh gadis yang sama pada siang tadi.

“Ehem… Cef, tak nak rasa ke?”  Kenji menyoal sambil meletakkan garpu di tepi bekas makanan berkenaan.  Kening lebatnya dijongket berkali-kali dengan riak nakal. Melebih-lebih pula si Kenji ni.

Johan teragak-agak pada mulanya, kemudian ravioli tersebut bersatu juga dengan tunas rasanya.  Dia memejamkan mata. Sedap. Lembut. Creamy Ravioli oleh gadis misteri itu terasa cukup bahan-bahannya; isi ayam yang dicincang, bayam muda, cendawan dan juga keju Romano. Semuanya teradun sebati.

“Boleh saya rasa?”  Pertanyaan Kenji menghapuskan lamunan Johan yang dibawa ke awan biru sedetik lalu.  

Dengan gelojoh Kenji menyumbat Creamy Ravioli ke dalam mulut walaupun tidak dipelawa.  Terasa hangat darah yang menyerbu ke muka Johan. Segan menerpa bilamana aksinya tadi ditonton secara percuma oleh Kenji.  Malahan, Kenji juga mempamerkan reaksi yang sama.

“Mana pelanggan tu, Kenji?” desak Johan serius.  Ditolak tepi segala rasa malu yang menebal.

“Kat luar, dia datang dengan kereta warna biru,” jawab Kenji laju.  Ulah spontan Johan mengundang rasa lucu bagi Kenji. Namun, dia tidak sampai hati untuk meledakkan ketawanya.

Tanpa membuang masa, Johan bergegas keluar mencari gadis yang dimaksudkan.  Malangnya bayang gadis itu lenyap dalam pekat malam sejurus dia memasuki ke dalam kereta berwarna biru itu.  Hembusan pawana membawa bersama haruman minyak wangi fruity-floralSandalwood dan Vanilla membuai perasaan Johan yang penasaran.

“Jumpa tak Hanna, Cef?”  Kenji beria-ia ingin tahu.

"Hanna?  Siapa Hanna?" tanya Johan kembali.  Wajah Kenji disorot tajam. Entah nama gadis mana yang Kenji petik.

"Laaa… Hanna nama gadis Creamy Ravioli tu lah. Saya dengar kawan dia panggil nama tu siang tadi" Bersungguh-sungguh Kenji menerangkan.

Bekas makanan itu dipegang erat oleh Kenji seperti pemberian itu adalah untuknya semata-mata.  Menyedari akan maksud mata helang Johan, Kenji meletakkan bekas itu kembali ke meja. Kedua-dua belah tangannya diangkat sebagai tanda memohon maaf.

"Sorry, cef.  Sedap sangat ravioli ni.  Terliur saya bila tengok cef makan," kata Kenji bersahaja.   

Selepas menuturkan ayat itu, Kenji menyambung tugasnya di luar, meninggalkan Johan yang termenung bersama bekas makanan di tangan.

"Hanna…."  Tercetus nama gadis ravioli itu di bibir Johan.


°•°•°•°

"KAU ni macam budak-budaklah, Hanna," tegur Shakira sejurus Hanna menjalankan misinya.

"Mana ada.  Aku cuma bagi dia rasa Creamy Ravioli yang sebenar.  Itu je." Hanna membela diri. Dia menyembunyikan senyuman di sebalik cawan kopi yang diminum.

"Kau tak payah nak sembunyikan senyuman kau kat belakang cawan tu.  Aku bukannya kenal kau sehari dua," tempelak Shakira geram. Dia memang cukup arif dengan sikap Hanna.  Tapi perbuatan Hanna kali ini dirasakan agak melampaui batas.

"Okey, okey.  Aku minta maaf.  Aku bukan berniat nak mempertikaikan kredibiliti dia sebagai seorang cef. Aku cuma nak dia tahu, hidangan dia tadi tu memang langsung tak boleh diterima.  

Menipu namanya tau kalau dia hidangkan masakan  tu atas nama Creamy Ravioli kepada para pelanggan.  Tahu tak, itupun adalah satu bentuk pencabulan makanan," bebel Hanna dengan bibir nipisnya.

Terbatuk-batuk Shakira mendengar hujah tidak masuk akal Hanna.

"Apa kau cakap tadi?  Pencabulan makanan? Eh, Hanna.  Cef tu pun manusia biasa macam kita juga. Mungkin tadi dia memang ada buat silap. Jadi rasa ravioli tu tak menepati anak tekak Italiano kau yang peka tu.  

Dia mungkin ada masalah yang kita tak tahu.  Sekurang-kurangnya dia cuba yang terbaik untuk memenuhi selera kita.  Entah, entah, kau tu yang cerewet!" bidas Shakira tepat ke batang hidung Hanna.

Hanna bungkam.  Buat beberapa detik yang berlalu dia dikepungi dengan rasa bersalah.  Ada benarnya juga kata-kata Shakira tadi. Jarinya digigit apabila menyedari perbuatannya itu tadi adalah salah. Hendak tunjuk pandai tetapi tak kena tempat.

"Gigitlah jari tu sampai putus!"  Shakira tidak habis-habis menekan Hanna yang sedia resah.

"Apa aku nak buat ni, Sha?" tanya Hanna lambat-lambat.  Akhirnya buah fikiran Shakira juga yang ditanya.

"Nak buat apa lagi?  Minta maaf ajelah!" Berdas-das peluru berpandu keluar dari mulut berbisa Shakira. Air liur yang ditelan Hanna tersekat di kerongkong.

°•°•°•°








Previous: #9
Next: #11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ruby Annas