#6

JAM di pergelangan tangan menunjukkan ke angka 11.00 malam.  Kebanyakan pelanggan sudah beransur pulang. Ketiga-tiga cef terkemuka di Casa Piena telah selesai menyudahkan hidangan terakhir kepada pelanggan sebentar tadi.  Kini masa untuk mereka melepaskan lelah dengan berehat sebentar sambil berbual-bual kosong. Johan, Jeremy dan Monica tersandar di sofa di ruang bilik yang dikhaskan kepada mereka untuk bersantai.

“Penat betul hari ni,” rungut Monica sambil memicit-micit bahunya sendiri dengan kasar.

“Betul tu.  Tak sangka pelanggan lain pun ramai yang datang.  Tak cukup tangan kita semua.” Jeremy turut menyuarakan pendapatnya. Minuman isotonik diteguk bagi menyegarkan badan.

“Semuanya disebabkan kerja keras kau, Jeremy.  Kau memang seorang ketua cef yang hebat,” puji Johan ikhlas.

Dia akui akan kecekapan Jeremy apabila bertindak sebagai ketua di dapur.  Arahannya telus, tegas dan berdedikasi. Dia juga dapat menangani pelbagai ragam pelanggan yang cerewet dengan baik.

“Kerjasama kita semua, bukan aku saja,” ujar Jeremy merendah diri.

Monica menepuk-nepuk bahu Jeremy sambil membuat isyarat bagus dengan ibu jarinya.  Johan ketawa besar melihat ulah mereka berdua yang sememangnya amat rapat antara satu sama lain walaupun berlainan bangsa dan agama.

“Kamu semua kat sini, ya?” tegur satu suara di muka pintu.

Johan, Jeremy dan Monica terus saja menoleh ke arah suara tersebut. Emran tersengih sambil berpeluk tubuh melihat mereka bertiga yang berpeluh-peluh dan tersandar keletihan.

“Bos, nak habis kerja dah ni.  Tak balik lagi?” soal Jeremy seraya mempelawa Emran duduk di sebelahnya.  Emran menapak perlahan ke arah mereka bertiga dan masih lagi menyilangkan tangannya di dada.

“Kejap lagi saya balik.  Pelanggan kita tak putus-putus memuji menu yang dihidangkan.  Kata mereka, kualiti kita setanding dengan kualiti antarabangsa.  Terima kasih.” Emran tersenyum bangga kepada ketiga-ketiga orang cefnya yang sangat berbakat.

“Wow, ini satu berita baik. Nampaknya kita perlu meraikannya!” kata Monica gembira.  Johan dan Jeremy mengangguk sama.

“Betul tu.  Tapi, esok juga merupakan hari yang amat penting.  Saya harap kamu semua dapat kekalkan prestasi seperti hari ini.  Saya janji, kalau pencapaian kamu semua bagus, saya akan bagi saguhati.”

Ketiga-tiga mereka bersorak gembira sambil bertepuk tangan.  Emran memang seorang majikan yang baik dan pemurah. Apalah sangat dengan tekanan yang mereka terpaksa hadapi berbanding keakraban mereka yang sudah menjadi seperti sebuah keluarga.

“Cef saja ke, bos?  Saya tak ada?” Steven tiba-tiba menyampuk lalu meletakkan dua set piza Quattro Stagioni yang baru disediakan di atas meja.  Dalam sekelip mata sahaja piza empat bahagian yang mewakili empat musim sepanjang tahun itu habis dinikmati.

“Jangan risau.  Bahagian awak juga ada, Steve,” kata Emran.

Thank you, bos!”  Berbunga-bunga hati Steven mendengar kata-kata Emran.  Baki piza yang ada dihulur kepada Emran.

“Saya dah kenyang,” jawab Emran.

Malam semakin larut dalam arus masa.  Restoran Casa Piena menutup tirai pada hari itu tepat jam 12.00 tengah malam.  Johan meredah pekat malam dengan berhati-hati. Kepalanya kembali diasak dengan klip video yang dihantar oleh Mael siang tadi.  Gusar hatinya kembali menerjah.

°•°•°•°

“NAK beli rokok pun susah!” rungut Mus sejurus memasuki kereta.

Sejak penemuan mayat Borhan oleh pihak polis, dia dan Epul tidak senang duduk.  Hendak ke mana-mana pun terpaksa berhati-hati kerana takut identiti mereka terbongkar. Walaupun pihak polis belum mendedahkan apa-apa perkembangan siasatan, namun mereka perlu berjaga-jaga.  Manalah tahu kalau-kalau saksi utama pembunuhan tersebut tampil memberikan informasi.

“Rileks lah, bro.  Polis pun tengah cari saksi lagi.  Jadi, janganlah kau kalut sangat. Buat macam biasa sudah,” tegur Epul sambil memandu.

“Kau sedar tak sekarang ni kita sedang diburu?  Sama ada saksi itu tampil atau tidak, kita kena berwaspada.  Lagi satu, kita kena bertindak lebih cepat dari pihak polis untuk mencari saksi tu.  Kalau tidak… meringkuklah kita dalam penjara.” Suara Mus sudah meninggi. Kepulan asap rokok memenuhi ruang kereta.

Epul lemas dalam suasana itu.  Dia menurunkan cermin kereta di bahagian penumpang di mana Mus berada.  Angin malam menerobos masuk melalui cermin yang terbuka luas.

“Apa ni?  Main kasar nampak?” jerkah Mus tidak puas hati.  Asap rokok yang dihembus menerjah kembali ke mukanya.  Terbatuk-batuk Mus apabila tertelan asap rokoknya sendiri.

Epul ketawa mengekek apabila berjaya mengenakan Mus yang panas baran tersebut.

“Kau pun tahu aku tak suka bau asap rokok.  Kenapa kau suka-suka hati hisap rokok dalam kereta ni?”  Epul sakit hati apabila Mus bersikap kurang sopan dan tidak bertimbang rasa.  Tidak tahukah Mus bahawa merokok boleh membahayakan kesihatan.

“Hesy!  Kau ni… nama je penyangak, tapi macam pondan.  Bau asap tak boleh, itu tak boleh. Duduk dalam kubur ajelah senang!”  Rokok yang tinggal separuh itu dilontar keluar. Cermin tingkap yang terbuka luas dinaikkan semula.

Mus bukannya tidak tahu akan kepantangan Epul yang satu itu.  Dia masih ingat lagi muka Epul yang membiru kerana menahan bau asap rokok yang disedut Mukhlis semalam. Tetapi, dia berasa amat tertekan ketika ini. Tertekan dengan desakan Mukhlis, dan juga tertekan kerana habuan yang diterimanya sedikit, tidak setimpal dengan tugas berisiko tinggi  yang dilaksanakan oleh mereka.

Tambahan pula, mereka kini terpaksa menyembunyikan diri dan mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa.  Persoalannya, bagaimana untuk mencari saksi tersebut secara sembunyi-sembunyi begini? Serabutnya kepala memikirkan masalah yang datang bertimpa-timpa.

“Aku tahu kau stress.  Aku pun tengah stress. Selama ni kerja kita lancar je tak ada masalah.  Tapi, merokok bukan jalan penyelesaiannya. Merokok juga boleh membahayakan kesihatan.  Kau kena sedar tu.” Bebelan Epul menyakitkan telinga Mus. Matanya dipejam rapat dan Mus berpura-pura tidur.

“Eleh… macam aku tak tahu kau tu tidur-tidur ayam je.  Tak nak dengar aku membebel la tu,” sambung Epul bersahaja.  Semakin sebal hati Mus bila diejek rakan komplot sendiri.

“Kita nak ke mana ni?” soal Mus setelah melalui satu jam perjalanan tanpa henti.  Dia cuba mengintai keluar, malangnya tidak nampak apa-apa. Cuma kegelapan yang melatari suasana diiringi bunyi deruman enjin kereta.

“Bagus pertanyaan kau tu.  Sekarang ni, kita tak perlu nak semakkan kepala hotak.  Kita pergi berlibur dulu!” Epul menjawab pertanyaan Mus sebentar tadi.

“Kau cakap betul-betul, Epul.  Kita kat mana ni? Aku tak ada mood nak happy-happy sekarang ni.  Eh, kita sekarang ni jadi buruan polis. Kau dah lupa ke?” Mus merengus geram.  

Adakalanya dia langsung tidak dapat meneka tindak-tanduk Epul.  Pemuda itu seringkali membuat keputusan tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu.  Justeru, Mus seringkali berperang mulut dan menganggap Epul begitu mementingkan diri sendiri.

“Tenang dulu, Mus.  Aku tahu apa yang aku buat.  Kau tengah stress, kan?” tanya Epul dengan nada serius.

“Yalah!” Mus mengiyakan sambil memutar bola mata.

“Haaa… aku pun stress!  Si Mukhlis pun satu hal.  Janji bulan bintang bagai, sudahnya kita yang menanggung.  Aku tak nak kau cakap banyak, kau ikut je mana aku bawak kau pergi.  Faham?” Lain benar gaya si Epul malam ni. Tidak ‘lembik’ dan menurut seperti selalu.

“Suka hati kaulah!”  Mus menyandarkan tubuh di kerusi penumpang.  Matanya dipejam kembali. Bertekak dengan Epul pun tiada guna.  Membazirkan air liur saja.

°•°•°•°

TAJUDIN mengerling skrin telefon pintarnya yang menyala.  Tanpa berlengah, panggilan yang amat ditunggu-tunggu olehnya diangkat. Tajudin tekun mendengar ulasan Doktor Wee di talian. Setelah beberapa minit berbicara, panggilan itupun ditamatkan.  Tajudin mencapai jaket yang digantung di kerusi dan bergegas keluar dari biliknya.

“Putra… ikut saya.  Kita ada kerja,” arah Tajudin kepada anggota bawahannya.

Putra menyambar kunci kereta di atas meja lalu mereka berdua mengatur langkah ke tempat parkir yang terletak di belakang bangunan bercat biru-putih itu.

“Kita nak ke mana ni, tuan?” Putra bertanya sejurus tali pinggang keledarnya dipasang.

“Hospital,” balas Tajudin sepatah.

“Laporan autopsi forensik dah keluar,” sambung Tajudin lagi.

Patutlah ketuanya menggelabah semacam.  Maklumlah, Tajudin diasak dengan pertanyaan demi pertanyaan berhubung kes yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini.  Baik di pejabat mahupun di kedai kopi, kes itu senantiasa meniti di bibir-bibir mereka. Tidak kurang juga ada yang membuat pelbagai spekulasi sendiri.

°•°•°•°


Previous: #5
Next: #7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh