#3

DENTUMAN bertalu-talu di pintu bilik Johan agak mengganggu konsentrasi Rafi.  Entah apa yang ditukang oleh Johan tanpa mempedulikan perasaan isi rumah yang lain.  Hilang sudah seleranya untuk menghabiskan baki makanan yang ada. Bunyi bising tersebut akhirnya tiada lagi setelah beberapa minit kemudian.

Johan keluar dari biliknya dan terus ke ruang dapur bersama satu plastik hitam di tangan ketika Rafi sedang mengacau minumannya di situ.  Johan agak tersentak dengan kelibat Rafi yang tidak terurus. Rambut panjang pemuda itu dibiarkan terurai melepasi bahu. Manakala, jambangnya pula sengaja dibiarkan tumbuh melata di wajah.

“Kau tak kerja ke hari ni?”  Johan memulakan pertanyaan setelah berdehem beberapa kali, mematikan rasa janggal yang wujud antara mereka.

“Tak… aku kerja malam,” balas Rafi seraya mencicip minumannya yang masih berasap.  Matanya dikerling kepada plastik sampah yang disandarkan ke tepi dinding sebentar tadi.

“Dah makan? Jom, minum sama-sama,” pelawa Rafi dengan suara serak sambil tersenyum.  

Gigi putihnya tersusun cantik tatkala bibir itu merekah. Sejujurnya, Johan agak kurang senang dengan Rafi kerana penampilannya yang berserabut. Tubuh Rafi yang tidak berbaju itu penuh dengan kesan parut baru dan lama. Entah apa pekerjaan yang dilakukan oleh Rafi, tidak pula Johan cuba cari tahu.

Belum sempat Johan berkata-kata, telefon pintarnya yang terletak di dalam kamar berdering.  Johan memberi isyarat untuk beredar untuk menjawab panggilan berkenaan. Sebaris nama yang terpapar di skrin telefon itu mengembalikan ingatannya dahulu yang kacau-bilau sebentar tadi.

“Assalamualaikum….” Johan memberi salam.

“Waalaikummusalam.  Johan, kau pergi mana?  Banyak kali aku call kau tadi tapi tak dapat,” tanya si pemanggil.

Sorry, Mael.  Aku tak perasan telefon aku off tadi.  Kau balik jam berapa?” Johan masih ingat akan janjinya kepada Mael sebelum rakan serumahnya itu berangkat pulang ke kampung iaitu menjemputnya pulang ke rumah mereka.

“Jam 8.30 malam ni.  Aku cuma nak ingatkan kau awal-awal.  Takut nanti lupa pula. Kalau nak diikutkan, aku boleh aje naik teksi.”

“Tak payahlah.  Membazir je naik teksi.  Aku boleh ambil kau kat airport.  Lepas tu bolehlah kita lepak kat tempat biasa,” kata Johan lagi.  

“Baiklah.  Kau tunggu aku kat sana je nanti.  Jangan nak merewang ke mana-mana pula cuci mata tengok awek,” seloroh Johan sambil ketawa.

“Hahaha.  Ada-ada je kau ni.  Kalau iya pun, apa salahnya?”  Pecah lagi tawa mereka berdua.

Sedikit-sebanyak, beban di kepala Johan reda seketika.  

Setelah menamatkan panggilan, Johan kembali ke dapur untuk membasahkan tekak.  Kelibat Rafi sudah tiada di situ. Satu dengkuran kasar terdengar di sebalik pintu bilik Rafi yang sedikit ternganga.  Satu muk berisi coklat panas sudah siap dibancuh. Melihat akan langsir yang terbuka luas membuatkan jantung Johan kembali berdetak kencang. Terus saja langsir itu ditarik dan suasana rumah itu kembali suram dan gelap.

Untuk menghabiskan masanya hari itu, Johan bercadang untuk menonton TV.   Figura seorang pembaca berita wanita yang sopan bertudung muncul di skrin sebaik saja butang ON ditekan.  Laras suara dinaikkan sedikit ketika berita dalam negara disiarkan.  Dia memasang telinga dan memberi sepenuh perhatian terhadap berita yang dipaparkan.  Manalah tahu, jika mangsa bunuh tadi sudah ditemui dan liputannya tersebar ke seluruh negara.  

'Nampaknya si mangsa masih belum ditemui…,” gumam Johan sendiri setelah slot berita tamat.

Program TV yang selanjutnya tidak sedikitpun menarik minat Johan. Lantas dia menutup siaran dan beredar ke kamar. Pintu bilik ditutup rapat.  Selak yang baru dipasang juga ditarik sejurus menekan kunci pada tombolnya. Semuanya itu sebagai langkah berjaga-jaga setelah apa yang berlaku awal pagi tadi.  Dia duduk di sudut bacaannya yang menempatkan pelbagai buku-buku masakan dan novel. Sebagai seorang cef di restoran Itali yang terkenal di bandar itu, dia perlu sentiasa melengkapkan dirinya dengan ilmu masakan dan mengingati setiap bahan yang akan digunakan bagi menjamin kualiti rasanya yang sama.

'Dah lewat ni. Baik aku bersiap-siap,’ desisnya sejurus lensa mata tertancap pada jam berbentuk Menara Eiffel di atas meja.  

Selepas mengerjakan solat fardhu Isyak, Johan menyiapkan dirinya seringkas mungkin.  Sebenarnya, dia berasa sangsi dan risau sekiranya penjenayah-penjenayah tersebut berjaya menjejakinya ke situ.  Setelah memastikan tiada aktiviti mencurigakan di luar rumahnya itu, dia menutup kepalanya dengan hoodie dari jaket yang dipakainya.


°•°•°•°

“KAU datang memang tepat pada masanya,” puji Mael sejurus memasuki perut kereta.  Johan tersenyum seraya menyambut huluran salam dari Mael setelah hampir seminggu berpisah.

“Ayah kau macam mana?” soal Johan bertanya khabar.  Stereng diputar untuk keluar dari lapangan terbang dan menghala ke destinasi seterusnya.

“Alhamdulillah.  Pembedahan tu berjalan lancar. Kesihatan ayah pun bertambah baik.  Cuma kena banyak berpantang makan. Mak ayah aku kirim salam. Mereka cakap dah lama kau tak datang jenguk mereka kat kampung.”

“Waalaikummusalam.  Iyalah, lama juga tu.  Kau pun tahu aku susah nak ambil cuti.  Aku pun terbayang-bayang ikan pekasam yang mak kau buat,” kata Johan.

“Bercakap tentang ikan pekasam.  Mak aku ada kirim banyak ikan pekasam untuk anak angkat dia. Sayang betul dia kat kau, kalah anak kandung dia sendiri.” Nada suara Mael kedengaran seakan-akan merajuk.

“Hai… takkan itu pun nak cemburu? Kata anak jantan.” Johan menumbuk perlahan rusuk kanan Mael sehingga sahabatnya itu menyeringai kesakitan.  Perbuatan Johan dilihat agak kasar, tetapi itulah sebenarnya cara mereka bergurau sejak di zaman universiti lagi.

Johan memberhentikan keretanya di hadapan sebuah kedai mamak yang dibanjiri oleh ramai pelanggan. Layar putih yang dipasang dengan projektor menayangkan filem Inggeris lama bertajuk Predator yang terbit pada tahun 1987 dan berjaya memecahkan panggung wayang di seluruh dunia. Filem yang diarahkan oleh John McTiernan itu masih mempunyai peminatnya yang tersendiri.

“Kita duduk kat sinilah.  Aman sikit,” ajak Mael ke satu sudut yang agak jauh dari layar.  Johan menurut sahaja tanpa banyak soal.

Mael memesan dua keping roti canai bersama kari kambing.  Manakala, Johan pula lebih suka kepada roti nan dan ayam tandoori.  Kesedapan ayam tandoori itu kerana terdapat ramuan rahsia di dalamnya.  Sebelum itu, sudah acapkali Johan mendesak tukang masak ayam tandoori tentang ramuan rahsia yang dimasukkan ke dalam rempah.  Ayam tandoori di kedai-kedai yang lain tidak selazat di sini. Namun, tukang masak itu bertindak mengunci mulut sambil menggeleng.

“Rahsia juga, bhai,” jawab tukang masak tersebut apabila ditanya.

Berkat kesabaran dan kecekapan tunas rasa Johan, dia akhirnya berjaya membongkar ramuan rahsia tersebut.  Rahsianya ialah beberapa paket rencah mi segera digaul mesra bersama ramuan-ramuan yang lain. Niatnya sekadar berkongsi ilmu masakan.  Tidak terdetik sedkitpun untuk mencaras perniagaan orang lain.

“Rafi ada kat rumah?” tanya Mael selepas menyuap makanan.

“Entah.  Motorsikal dia tak ada tadi.  Pergi kerja kut,” balas Johan malas.

“Asal malam je hilang.  Balik pagi-pagi buta. Agak-agak kaulah, dia tu kerja apa, eh?”  Mael bertanya lagi.

Walaupun hampir setahun tinggal bersama, mereka belum cukup mengenali Rafi.  Hubungan mereka agak kurang mesra lantaran waktu kerja yang tidak sama.

“Kau tanyalah dia.  Habis kasut-kasut dia bertaburan kat luar rumah tu. Tak reti langsung nak susun elok-elok. Padahal dah tua bangka!”

Menyesal pula Mael membangkitkan hal Rafi.  Dia tahu bahawa Johan tidak begitu menyukai Rafi yang serabai dan kelam-kabut itu.  Tetapi, Rafi agak ramah juga orangnya. Mungkin suatu hari nanti hubungan mereka bertiga akan rapat seperti rakan-rakan yang lain.

Usai menikmati makan malam mereka berdua bergerak untuk pulang.  Sewaktu berjalan menghampiri ruang parkir, tubuh Johan dilanggar seseorang tanpa sengaja.

“Maaf,” ucap suara garau tersebut.

Johan mengangkat wajah untuk melihat empunya suara, tetapi lidahnya kelu dan langkahnya terkaku serta-merta.  Tanda lahir di kening lelaki itu masih terakam kemas di mindanya. Hoodie ditarik kemas menutupi kepala.  Tanpa disedari tindak-tanduk Johan diperhatikan oleh Mael.

“Jom, cepat!” ajak Johan takut-takut.  Dia menyerahkan kunci kereta kepada Mael.  Setelah apa yang disaksikan olehnya tadi urat sarafnya seakan lumpuh dan tubuhnya tidak mampu digerakkan lagi.

“Kau tolong pandu.  Aku… aku sakit kepala,” dalih Johan sebagai mencipta alasan.

Walaupun agak hairan dengan perubahan emosi Johan secara mendadak itu, Mael tidak bercadang untuk bertanya lebih lanjut.  Mungkin Johan benar-benar kurang sihat.

Epul menghentikan langkah.  Dia menoleh ke belakang, malangnya kenderaan tersebut telah tiada di situ.

“Kenapa?”  Mus menyoal apabila melihat wajah Epul yang berkerut seribu.

“Aku macam pernah hidu bau body spray budak tu tadi,” jawab Epul sambil menggaru pipinya.

“Perasaan kau je tu,” tukas Mus sebal.

“Aku rasa itulah budak yang nampak kejadian tadi!” jerit Epul tanpa sengaja.

Pap!

“Lambatlah kau ni.  Tak pasal-pasal kita terlepas budak tu.  Padahal dah ada depan mata.” Hilang sudah selera makan Mus yang tadinya membuak-buak minta dipenuhi.

Epul mengelus lengannya yang perit akibat ditampar kuat oleh tangan kasar milik Mus.  Dia agak ragu-ragu akan kesahihanya, namun akhirnya keyakinannya meningkat 50% apabila susuk tubuh lelaki yang dilanggarnya tadi sepadan dengan saksi yang melarikan diri siang tadi.  

°•°•°•°






Previous: #2
Next: #4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh