Home Novel Cinta AKU BERIKAN SAYANG
AKU BERIKAN SAYANG
Ai Alani
14/7/2019 11:52:48
3,532
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 18


“ Apa? Kau biar betul. Dahlah kau dengan Kira tiba-tiba je  putus. Ni tiba-tiba pulak nak masuk meminang orang lain,” kuat suara Shah selepas Raeez memberitahu dia akan pergi meminang aku minggu hadapan. 

“ Betullah. Takkan aku main-main. Kau ikut rombongan aku Shah. Sheera dah habis pantang kan? Bawalah sekali,”

“ Boleh, family kau tak kisah ke?”

“ Tak adalah. Kau pun sebahagian daripada family aku juga, waktu susah senang aku kau ada,” 

“ Ok aku on. Minggu depan awal pagi lagi aku dah tercongok depan rumah kau,” kata Shah bersemangat. “ Tapi ada satu kemusykilan, perempuan mana yang dah berjaya mengubat hati luka kawan aku ni? Kau jangan cakap pilihan keluarga sudahlah Raeez,” 

Tergelak kecil Evan Raeez melihat reaksi Shah.

“ Ini bukan pilihan keluarga. Ini pilihan hati aku sendiri. Cinta pandang pertama, yang buat aku lupa hati yang tengah kecewa,” sepenuh hati Evan Raeez menjawab.

“ Dasyat. Kau yakin dengan pilihan kau?” Shah menguji.

“ Yakin seratus peratus. Aku yakin dia memang takdir hidup aku. Sebab bila aku tengok muka dia, hati aku ni berdebar-debar. Memang betul-betul istimewa dia tu bagi aku,”

“ Fulamak...berapa lama dah kau kenal dia?”

“ Baru lagi sebenarnya...,” jawapan Evan Raeez membuatkan Shah berkerut dahi. Betul juga, baru kenal dah nak masuk meminang. Mana Shah tak hairan. “ Tapi kau tahu kan macam mana pengakhiran aku dengan Kira. Kenal, bercinta bertahun-tahun, sudahnya? Jadi apa salahnya kali ni aku terus pinang dia. Kenal-kenal lebih dalam tu lepas kahwin pun boleh. Lagipun dia dah setuju terima lamaran aku, maknanya tak ada istilah paksa,” terangguk-angguk kepala Shah mendengar penjelasan kawannya itu.

“ Tak apalah kalau macam tu. Aku harap kau dah fikir masak-masak,” balas Shah. Dilihatnya Evan Raeez bersungguh, apa lagi mahu dikatakannya.

***

Hari yang dinanti pun tiba. Rombongan meminang memenuhi ruang tamu rumah aku. Evan Raeez ni mujur tak dibawanya saja satu bas. Setelah mendapat persetujuan kedua belah pihak, hari ini juga kami bertunang. Majlis akan diadakan bulan hadapan, itu cadangan ayah. Pihak keluarga Evan Raeez juga bersetuju. Alah ayah tu kalau boleh hari ini juga dia nak nikahkan aku dengan si Raeez. Keluarga Raeez meminta sedikit masa untuk buat persiapan. Kata putus dah muktamad. Bulan hadapan, pagi nikah terus sanding. Minggu berikutnya pula kenduri belah Evan Raeez pula akan berlangsung.

Aku berdebar-debar menanti dibilik. Emak masuk bersama Puan Suraya membawa bekas cincin.

“ Cantik Seri Melati. Patut Raeez terpikat,” puji Puan Suraya. Aku senyum malu. Cincin disarung ke jari manisku.

“ Tahniah,” kata Puan Suraya lagi sambil mencium dahiku sebaik sahaja aku bersalam dan mencium tangannya sebentar tadi. Dup dap dup dap jantung. 

“ Tak lama lagi Seri akan jadi menantu mummy. Mummy harap sepanjang bertunang ni, Seri bersabar dengan karenah Raeez ye? Kalau dia nakal-nakal, report kat mummy,” lembut Puan Suraya berpesan kepada aku. 

Mummy? Belum nikah dah dibahasakan dirinya mummy, alahai sweetnya mak si Evan Raeez ni. 

Selesai majlis ringkas menyambut rombongan meminang Evan Raeez. Alhamdulillah dipermudahkan, aku dan Evan Raeez terus bertunang hari ini walaupun tidak dirancang. 

“ Seri, sekarang kamu tunangan orang. Jaga diri ye?,” pesan ayah. Aku yang sedang menyusun pinggan mangkuk yang sudah siap dilap kedalam almari memandang ayah.

“ InsyaAllah ayah,” balasku ringkas.

Kedengaran pula suara memberi salam dari luar rumah. Ayah menjawab salam dan menjenguk. Tak lama selepas itu ayah memanggil aku. Aku bangun dan keluar mendapatkan ayah. Abang Hadi ada disitu. Ayah masuk meninggalkan aku dengan Abang Hadi.

“ Ingat Seri dah jadi tunangan orang,” bisik ayah padaku sebelum berlalu masuk ke rumah.

“ Sampai hati Seri,” luah Abang Hadi. Riak kecewa jelas diwajahnya. “ Abang dah tak ada peluanglah ni ye?” tanyanya pula. Kali ini dia tersenyum nipis.

“ Seri minta maaf. Mungkin dah tertulis takdir jodoh Seri bukan dengan abang. Abang jangan tunggu Seri lagi. Kalau bukan sebab Seri bakal jadi isteri orang pun, Seri memang tak boleh terima abang sebagai suami. Seri dah pernah bagitahu abang sebelum ni kan?” 

“ Iyalah Seri. Tak apalah. Abang terima semuanya. Dah terbukti pun sekarang ni, yang Seri tak cintakan abang,” 

Dalam samar-samar cahaya lampu di luar rumah, aku nampak Abang Hadi senyum pasrah.

“ Abang akan cuba cari kebahagiaan abang sendiri. Semoga Seri bahagia dengan pilihan Seri,” Abang Hadi menyambung lagi sebelum dia berlalu meninggalkan aku. 

Aku benar-benar berharap agar Abang Hadi tidak lagi mengharapkan cinta daripada aku. Hati dan perasaan susah nak difahami. Lebih-lebih lagi bila melibatkan hubungan persaudaraan. Nak ditelan pahit, nak dibuang pula sayang. Aku doakan jodoh yang baik untuk Abang Hadi. 

Malam itu, mataku payah nak lena. Berapa kali buka tutup kelopak mata, masih tak dapat nak lelap. Terasa macam mimpi pula Evan Raeez melamar aku jadi isteri dia. Pap! Satu tamparan aku hadiahkan ke pipi sendiri. Sakit! Eheh, bukan bermimpi, ini betul-betul rupanya. Aku belek pula cincin yang tersarung kemas dijari manisku. Serta-merta aku menarik senyum dibibir. Bahagia.

Bippp. Notifikasi whatsapp berbunyi menandakan ada mesej baru masuk.

Evan Raeez.

-Assalamualaikum Seri

-Waalaikumussalam

-Mesti awak tak boleh tidur malam ni kan? 

Gulp...macam tahu-tahu je dia ni.

-Saya tak boleh tidur sebab penat bukan sebab teringatkaan awak

-Itu pengakuan ke? Saya tak ada tanya pun awak teringatkan saya ke tak

Dia buat dah. Aku juga yang malu sendiri. Dari awal-awal dia muncul dalam hidup aku, sampai dah bertunang ni pun ada saja dia nak mengenakan aku. Kalau dah khawin nanti macam manalah ye?

-Tiba-tiba saya mengantuk. Nak tidur dululah. Selamat malam

-(Emoji senyum) Alahai comelnya alasan. Okay selamat malam. Sweet dream. Jumpa dalam mimpi

Aku terus memejamkan mata. Handphone kuletak diatas meja tepi katil. Senyum dibibir makin lebar nampaknya. Agak-agak kalau tertidur sambil senyum tak apa kut. Tidur dalam bahagia.

 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.