Home Novel Cinta AKU BERIKAN SAYANG
AKU BERIKAN SAYANG
Ai Alani
14/7/2019 11:52:48
43,987
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

BAB 7


Hari minggu.

Memang biasa aku bertapa saja dirumah. Kalau keluar pun, sekadar tolong-tolong emak jual kuih. Aku mencapai remote tv, lalu menekan butang on. Mencari-cari cerita yang nak dijadikan santapan mata.

Kartun.

Bolehlah buat hilang bosan, isi masa lapang.

Sedang kusyuk aku menonton tv…

“Siah!”

Sepantas kilat kepalaku menoleh kearah suara yang memekik memanggil nama emak sebentar tadi. Suara yang sangat aku kenal.

“Maklong, ada apa?”

Aku menjenguk kebawah rumah. Berdebar-debar rasanya. Ini mesti pasal tolak pinangan lagi. Tempoh hari kena berdepan dengan Abang Hadi, ini maklong pula. Aku menggigit bibir bawah.

“Kalau pasal Seri tolak pinangan hari tu, Seri minta maaflah maklong, Seri sebenarnya…”

“Dahlah Seri, aku malas nak bercakap hal tu lagi. Elok juga kau tolak. Kalau tak, tak tahulah aku macam mana nak hadap muka kau hari-hari. Si Hadi tu pun satu, punyalah banyak perempuan dalam dunia, kau juga yang dia nak. Hairan betul. Sudahlah. Aku datang ni nak jumpa mak kau, mana dia?”

Haih!

Buat kalutlah maklong ni. Cakaplah awal-awal.

“Mak ada kat belakang rumah tu, ada apa hal maklong?”

Maklong tak endahkan pertanyaan aku. Terus sahaja dia menuju kearah belakang rumah. Adalah tu yang dia nak. Aku menjungkit bahu lalu duduk kembali menonton tv.

Daripada apa yang maklong cakap tadi, betul apa yang aku rasa, maklong bukan suka pun aku ni jadi menantu dia. Dia datang meminang pun mungkin sebab Abang Hadi yang paksa. Aku menoleh kearah dapur dibelakang rumah setelah terdengar sayup-sayup suara emak bercakap dengan maklong. Laju aku bangun pergi mendapatkan mereka.

“Laa, nak daun kunyit rupanya. Ingatkan apa tadi.”

Aku menyangkut kedua-dua lenganku pada tingkap dapur. Emak yang sedang memotong beberapa helai daun kunyit menoleh kearah aku. Maklong yang hanya menjadi pemerhati emak turut menjeling.

“Hai, takkan daun kunyit pun berkira,” kata maklong sinis.

“Alah maklong, bukan setakat daun kunyit, seaneka daun dalam halaman rumah kami ni, kalau maklong nak, ambillah. Kami tak kedekut pun.”

Emak memberi isyarat supaya aku tidak lagi membalas kata-kata maklong. Aku tak endah.

“Laman rumah maklong yang luas tu, takkan tak ada tanam daun kunyit?”

Emak menggeleng memandang aku. Aku buat muka tak bersalah.

“Nah kaklong. Nanti kalau nak lagi, datang jelah ambil kat sini. Banyak ni, elok subur daunnya.”

Daun kunyit bertukar tangan.

“Hah kau tengok, mak kau tak cakap apa, kau pulak melebih-lebih nak perli aku. Kau yang tanam ke daun kunyit ni?”

Aku mencebik.

“Seri tanya je maklong, takkan itu pun nak marah?”

“Kau tengok anak kau Siah, elok pun tak jadi menantu aku. Takut asyik nak menaikkan darah je, lama-lama aku yang kojol.”

Aku menahan gelak. Kalau aku jadi menantu maklong, dengan aku-aku sekali kojol. Dah asyik nak mengadap karenah maklong saja.

“Balik dululah. Lagi lama duduk sini, tak siaplah aku nak masak kejap lagi. Dah asyik nak melayan budak mentah macam ni,” sambung maklong lagi dan terus berlalu pergi. Secalit senyum pun tak ada.

“Kau ni Seri, jagalah mulut tu sikit,” emak marah sambil mencubit lengan aku. 

Aku tersengih sambil menggosok-gosok bekas cubitan emak. Kami beriringan masuk ke dapur rumah.

“Seri geram dengan maklong tu. Kita dah bagi, usahkan nak berterima kasih, senyum pun taknak. Sombong.”

“Lain kali, tak payah layan maklong tu. Pasal daun kunyit pun Seri nak perli-perli maklong tu dah kenapa? Tak luak pun setakat dia minta dua, tiga helai.”

Emak macam inilah. Terlampau baik sangat. Walaupun aku tak tahu apa sebenarnya yang buat maklong tak suka dengan keluarga aku, tapi emak tak patutlah mengalah saja. 

“Bukan apa mak, maklong tu kalau nak apa-apa, laju je datang kemari. Dahlah salam tak ada, terima kasih tak ada. Dulu, masa musim rambutan, Seri lalu depan rumah maklong. Seri mintalah sikit rambutan dekat depan rumah dia tu, usahkan sejambak, sebiji pun tak dibaginya. Tak ke kedekut namanya tu.”

“Dah tahu maklong kedekut, yang pergi minta rambutan dekat rumah dia tu kenapa? Rumah kita pun ada.”

“Rambutan rumah maklong tu rambutan gading. Kuning gemuk-gemuk. Yang rumah kita punya kan rambutan merah,” aku masih tidak berpuas hati.

“Jangan nak jadi budak-budaklah Seri. Hari tu, pasal bunga tahi ayam kamu nak marahkan si Raeez, ni pasal rambutan pun kamu nak marahkan maklong? Nanti suruhlah ayah kamu tanam sepuluh pokok rambutan gading dekat belakang rumah kita ni. Kamu makanlah puas-puas nanti.”

Aku tergelak mendengar kata-kata emak.

Sepuluh pokok?

Itu berapa keturunan tak habis makan mak oi…

Kihkih.

Sebenarnya, aku bukan nak sangat pun rambutan maklong tu. Yang aku geram, sikap berkira maklong tu makin menjadi-jadi. Berlagak. Padahal, bukan orang lain, saudara sendiri juga. Dunia…dunia…

“Sepuluh pokok? Hai, dah tak nak jual kuih ke Siah? Nak jual rambutan pulak?”

Tiba-tiba ayah menegur dari arah pintu dapur. Entah bila ayah balik.

“Tadi maklong datang yah, lepas tu..”

“Kaklong ambil daun kunyit sikit, saya bagilah dua, tiga helai. Baru je balik tadi,” emak memintas kata-kataku sambil memberi isyarat supaya aku diam. Sengaja tak mahu panjang-panjangkan ceritalah tu. Aku turutkan saja.

“Bukan ayah pergi kebun nak ambil pisang ke tadi? Mana pisangnya?”

Aku bertanya setelah ayah masuk kerumah dengan tangan kosong. 

“Dah jual terus tadi. Ada ayah bawa balik sesikat untuk goreng, buat minum petang. Seri tolong ambilkan dalam raga motor ayah,” arah ayah yang telah pun duduk dimeja makan. Emak menuangkan teh ‘o’ panas untuknya.

“Cepat sikit siap hari ni, budak Raeez tu yang tolong tadi.”

Mati langkahku tidak jauh dari pintu dapur.

Raeez tolong ayah ambil pisang dikebun?

Tak ada kerja lain ke dia tu?

Hari tu, tolong hantar ayah balik rumah. Hari ni tolong ayah ambil pisang pula. Lain macam ringan tulang dia ni. Nak kena berhati-hati, takut ada udang di sebalik mi. Aku mengayun kembali langkah kaki yang mati tadi, masuk kedalam rumah membawa pisang yang disuruh ayah tadi.

Eh, tak payah nak mati langkah sangatlah Seri, dengar nama si Raeez tu!

“Ada lagi budak tu kat sini. Tak kerja ke?”

Emak musykil. Aku pun sama juga. 

“Dia ada hal nak diselesaikan kat sini katanya.”

“Hal apa?”

“Entah. Saya tak adalah nak tanya lebih-lebih.”

Aduh..

Hampa.

Ingatkan ayah dah korek rahsia habis-habisan dah kenapa Raezz tu masih ada kat kampung ni. 

Hal apa agaknya?

Rusuk kiri?

Misi mencari jodoh ke?

Mengarut!

“Allah, abang lupa nak beli tepung dan garam yang awak kirim tadi Siah. Sekejap lagilah, abang keluar balik.”

Kata-kata ayah mematikan lamunan aku tadi.

“Tak apalah ayah. Nanti Seri belikan. Sekejap lagi Seri memang nak pergi kedai, nak beli barang sikit,” aku menyampuk.

“Elok jugalah tu. Boleh ayah berehat sekejao kat rumah,” balas ayah sambil menghirup air didepannya.


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.