Home Novel Cinta AKU BERIKAN SAYANG
AKU BERIKAN SAYANG
Ai Alani
14/7/2019 11:52:48
43,929
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2


Aku bersiap untuk ke tempat kerja.

Diam tak diam, sudah sebulan aku berkhidmat sebagai seorang cikgu ganti di sebuah sekolah rendah tidak jauh kampung ni. Itupun sebab menggantikan seorang cikgu yang sedang cuti bersalin. Ayahlah yang suruh aku cuba mohon sebab aku sukakan kanak-kanak. Tak sangka lulus pula. Jadi aku pun berikrar untuk menjadi seorang cikgu yang baik.

Selepas bersiap, aku turun untuk bersarapan.

Emak sudah memanggil dari arah dapur. Bila aku sampai ke dapur, makanan sudah pun terhidang diatas meja. Aku duduk sambil melipat sedikit lengan baju kurung yang kupakai.

“Apa sebenarnya yang buat Seri marah sangat semalam tu?”

Aku pandang emak yang sedang menuang air kopi panas kedalam cawan. Pertanyaan emak membuatkan aku kembali terbanyang peristiwa semalam. 

“Baru sekarang mak tanya? Semalam mak juga yang back up dia tu,”

“Semalam mak saja nak jaga hati customer.”

Hati customer lagi penting dari hati anak sendiri nampak. Aku cerita pada mak apa yang jadi. Mak gelakkan aku pula. Kata mak, aku macam budak-budak. Takkan pasal bunga tahi ayam sampai nak baling bekas kuih.

“Mak..dia mengata nama Seri. Pantang betul. Mak juga yang cakap, nama Seri Melati ni kan lambang cinta mak dengan ayah.”

“Bunga tahi ayam pun cantik juga. Apa yang nak dimarahkan sangat. Lagipun memang betullah dia cakap, nak layan customer, mesti senyum. Barulah depa suka datang lagi.”

“Iya mak, tapi tak payahlah sampai nak kaitkan dengan nama Seri ni.”

Sebelum ni pun pernah aku jagakan gerai kuih emak. Selalulah juga sebelum aku diterima jadi cikgu ganti. Tak pernah pun orang complaint aku tak senyum atau kurang mesra. Dia saja yang mengada-ngada. Nak layanan istimewa konon. Baik dia pergi buka gerai kuih sendiri. Meluat!

"Awak tu perempuan. Jaga kelakuan. Bersopan-santun..,"

"Perempuan zaman sekarang bukan macam dulu-dulu mak. Angguk-angguk je, geleng tak mahu. Tak boleh nak berlemah-lembut sangat."

Betul kan? 

“Kenapa Seri?”

Ayah masuk dari pintu dapur. Baru balik dari surau agaknya. Biasanya kalau lewat sampai ke rumah, mesti ada kuliah Subuh tadi. Dah ni takkan nak kena ulang cerita hal semalam banyak kali. Emak yang seakan faham reaksi aku terus ceritakan apa yang jadi. Ayah pun gelakkan aku juga.

“Siapa orangnya tu? Anak siapa?”

“Entah. Bukan orang sini kot. Macam tak pernah nampak. Ah, biarlah ayah. Kalau bukan orang sini lagi bagus, tak adalah Seri ni sakit hati lagi bila tengok muka dia.”

Aku tengok jam yang terletak elok ditangan kiriku.

“Seri lambat dah ni. Nak kesekolah dah. Seri pergi dulu.”

Aku mencapai seketul kuih karipap dan sempat bersalam dengan emak dan ayah.

Ceh!

Bercerita pasal Evan Raeez, hampir aku terlewat nak ke tempat kerja. Memang betul-betul menyakitkan hati. Mujurlah sekolah tidak jauh dengan rumah. Sampai di perkarangan sekolah, kereta kuparkir elok di tempat letak kereta. Pintu belakang kereta kubuka dan mengambil beberapa buah buku.

“Kak Seri!”

Aku menoleh kearah suara comel tersebut. Umar. Salah seorang anak muridku. Keluarga aku rapat dengan emak dan ayahnya. Umar dah terbiasa memanggil aku dengan panggilan Kak Seri.

“Umar, kalau dalam kawasan sekolah, panggil Kak Seri, cikgu tau.”

Aku mengingatkan dia. Dia tersengih-sengih. Aku sebenarnya okay sahaja, cuma waktu dalam kawasan sekolah lagi elok aku dipanggil cikgu seperti cikgu-cikgu yang lain juga.

“Umar, ni bekal tertinggal dalam kereta tadi.”

Seorang lelaki memanggil Umar dan menghulurkan beg plastik berisi bekal makanan. 

Evan Raeez! 

Dia hantar Umar kesekolah?

“Hai Seri. Awak jual kuih kat sini pula ke?”

“Ini cikgu Umar lah.”

Umar yang menjawab. 

“Cikgu?”

Berkerut dahi Evan Raeez. Kenapa? Muka aku ni tak sesuai jadi cikgukah?

“Umar, hati-hati waktu cikgu ni mengajar. Jangan main-main, cikgu ni garang tahu. Takut nanti kena baling dengan pemadam whiteboard.”

Evan Raeez bercakap separuh berbisik kepada Umar namun masih terdengar ditelingaku. Macam sengaja dia buat begitu.

“Cikgu Seri baik, mana ada garang.”

Aku senyum bangga dipuji Umar.

“Awak tak payahlah nak takut-takutkan Umar. Saya ni cikgu yang penyayang, anak murid saya semuanya baik. Jadi, buat apa saya nak marah-marah, garang-garang tak tentu pasal melainkan mereka sengaja cari pasal dengan saya. Dah Umar pergi masuk kelas cepat.”

Umar terus berlari masuk kedalam kelasnya. Aku juga melangkah terus ke bilik guru meninggalkan Evan Raeez disitu. 

Lantaklah kat dia.

Baru tadi cakap dengan ayah dan emak yang aku tak mahu jumpa dia lagi, tup-tup jumpa juga dan memang..memang sakit hati.




Malam itu, aku sibuk menyemak buku latihan anak muridku. Sedang leka, mata tiba-tiba tertumpu pada sebuah buku kepunyaan Umar. 

Umar bin Salihin. Aku ketap bibir. Terus aku pandang emak yang sedang melipat pakaian.

“Mak, Umar tu anak Abang Salihin kan?”

Emak terhenti melipat pakaian dan pandang aku dengan dahi berkerut. Pelik benar dengan soalan aku.

“Kau ni dah kenapa Seri? Bukannya kau tak kenal keluarga Salihin tu.”

Aku pandang sekali lagi nama yang tertera pada buku tulis tersebut. Umar bin Salihin. Aku senyum mengejek diri sendiri sambil menepuk dahi. Dah sah-sah nama Umar ni berbinkan Salihin, mestilah anak Abang Salihin.sebenarnya aku pelik, apa kena-mengena Umar dengan Evan Raeez? Kenapa tadi dia hantar Umar kesekolah? Selalunya Kak Kinah, emak Umar yang hantar.

Ah biarlah!

Buat apa nak sibuk-sibuk. Mungkin adik-beradik Abang Salihin, siapa tahu. 

Atau...

Esok sajalah aku tanya Umar. 


Previous: BAB 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.