Home Novel Cinta AKU BERIKAN SAYANG
AKU BERIKAN SAYANG
Ai Alani
14/7/2019 11:52:48
43,930
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 1

Aku Melati.

Seri Melati binti Lekir.

Nama yang agak klasik ni, ayah yang beri. Pernah aku tanya pada ayah, kenapa Seri Melati? Kenapa tak Selina Melvin ke, Setilla Melisa ke…eh, nama sendiri pun demand? Eh mesti, mujur lahir-lahir dulu belum reti bercakap untuk letak nama sendiri.

Jawapan ayah?

“Dulu, atuk kau yang suruh ayah letak nama klasik, versi dulu-dulu. Barulah lain daripada yang lain. Kalau ikutkan atuk kau dah pilih nama, dia nak letak nama kau, Zainab Kemboja. Tapi ayah beritahulah yang ayah dah ada nama, Seri Melati.”

Uik. Kalau Zainab Kemboja, mesti nama timangan aku sekarang ni Jenab. Kalau nak up to date sikit, Jenny. 

Hik!

Tak payah nak Jenny sangatlah Seri.

Itu jawapan ayah. Tapi aku belum puas hati. Kenapa Seri Melati? Kenapa tak Kencana Puri ke, Kiambang Bertaut ke..atau macam cadangan atuk, Zainab Kemboja. Aku tanya pada emak pula. Kata mak,

“Dulu masa muda-muda, ayah kau tu suka bagi mak bunga melati. Wangi katanya. Mak pun suka bunga tu. Masa kau lahir, terus ayah letak nama kau Seri Melati. Dia nak anak gadis dia sentiasa berseri, wangi macam bunga melati.”

Jawapan emak agak memuaskan. Tapi, harapan ayah nak anak gadis dia berseri dan wangi selalu tu, macam aku tak boleh tunaikan sangat. Iyalah, nama je Seri Melati, tapi kalau kentut, busuk juga. Kahkah! 

Tak apalah, harapan yang tu tak penting sangat. Ada yang lagi penting. Ayah cakap, nama cucu dia nanti mesti letak nama yang agak klasik juga. Ah sudah! Nak klasik sampai tujuh keturunan agaknya.

Damak Aduka?

Kesuma Dewi?

Ah, nanti-nantilah fikir. Soalnya sekarang, jodoh mana jodoh? Usahkan batang hidung, bayang pun belum nampak, bak kata dek oghang Perak..harammm tak mandang. Nyaris ayah tak cakap nak menantu yang nama versi klasik juga. Kalau tak, jenuh aku nak cari.


Pukul 9 pagi.

Aku jenguk emak yang sedang duduk di bawah payung besar tidak jauh dari hadapan rumah. Niat nak pergi mendapatkan emak aku tangguhkan seketika apabila aku nampak maklong menuju kearah emak. Aku menangguk dagu di tepi tingkap sambil melihat emak bersembang dengan maklong. Lama.

Sah! Membawanglah tu.

Sebaik sahaja maklong beredar, aku terus keluar rumah.

“Mak, kenapa maklong jumpa mak tadi?”

Emak menoleh kearah aku sambil tangannya mengemas bekas-bekas kuih yang telah habis.

“Beli kuihlah.”

“Hai, sejak bila maklong suka makan kuih yang mak buat?”

“Untuk Hadi. Dia yang suruh maklong belikan.”

“Abang Hadi nak balik ke mak?”

Emak mengangguk. “Dia dalam perjalanan.” 

Hairan.

Selalunya kalau Abang Hadi nak balik, dia akan Whatsapp aku dulu, lepas tu mesti minta aku buatkan karipap rangup. Kali ni, dahlah balik tak beritahu, suruh maklong pula yang datang belikan di gerai kuih mak. Pelik sangat.

“Eh, kenapa Seri?”

“Abang Hadi nak balik tak beritahu Seri pun. Seri ada buat salah ke?”

“Tak payah fikir bukan-bukanlah Seri. Dia ada beritahu ke tidak, nanti dia balik sini, mesti kemari juga mencari kamu.”

Aku mencebik. Betul apa yang emak cakap. Abang Hadi tu sepupu aku, anak maklong. Maklong ada dua orang anak, Abang Hadi dan Kak Ila. Kami rapat sejak kecil lagi, maklumlah, aku anak tunggal. Tiada abang atau kakak. 

Cuma…

Maklong tak suka pun kami rapat sebenarnya. Sebab apa dan kenapa tu, emak dan ayah saja yang boleh jawab. Biarlah. Kalau dulu, bolehlah maklong nak larang kami rapat. Sekarang masing-masing dah besar.

“Mak, tak payahlah jual kuih dah. Tak penat ke hari-hari buat kuih?”

Aku capai sepotong kuih tepung talam dan kusuapkan kemulut. Sedapnya. Cukup lemak, manis, masin.

“Mana boleh. Nanti karang sibuk orang kampung bertanya. Tak sampai hati mak nak hampakan pelanggan-pelanggan setia mak tu. Lagipun bukan susah, gerai depan rumah saja.”

“Maklumlah, kuih-muih airtangan mak ni siapa yang tak suka? Sebut saja kuih apa, badak berendam, badak timbul, cucur badak, cucur tak badak, pendek kata segala mak nenek moyang kuihlah, semua sedap kalau mak Seri Melati ni yang buat.”

Tergelak emak mendengar kata-kataku. Ada ke kuih badak timbul? Heh!

“Jangan nak puji lebih-lebihlah Seri. Jagakan kuih sekejap, mak nak hantar bekas-bekas kosong ni kedalam. Kalau ada yang datang nak beli kuih sekejap lagi, bagi je kuih kaswi tu percuma. Tinggal dua potong je lagi tu. Sambil-sambil tu kemaskan plastik beg tu, jangan duduk saja mengelamun.”

Aku pandang emak dan mengangguk. Tengok, bila bos besar dah bagi arahan. Kucing nak lalu depan pun patah balik! Aku tersenyum sendiri. Tidak lama selepas itu, sebuah kereta berhenti tepat dihadapan gerai emak. Amboi. Nak kena bentang karpet merah ke apa ni. Pintu kereta dibuka, seorang lelaki keluar.

“Ada kuih lagi tak?”

“Ada. Tapi tinggal yang ini sajalah.”

Dia menjenguk-jenguk kedalam bekas kuih.

“Nak ke?”

“Nak bagi free ke?”

Aku pandang dia atas bawah. Muka tak bersalah.

“Maksud saya tadi, nak beli ke? Tiga seringgit. Kecuali yang ini. Kuih kaswi ni saja free.”

“Boleh. Bagilah semua sekali. Err, maksud saya, saya nak beli semua sekali. Kecuali kuih kaswi tu, sebab yang tu percuma kan.”

Dia sengih-sengih. Kurang asam. Bunyi macam nak perli aku saja. Aku memasukkan semua kuih kedalam plastik. Selepas buat bayaran, dia tak terus balik pun.

“Saya Raeez. Evan Raeez. Awak?”

Dia memperkenalkan diri tanpa disuruh. Nama macam mat saleh, tapi muka melayu asli, kulit hitam manis. Mat saleh celup kicap ke? Heh!

Aku sembunyikan senyum. Senyum mengejek. Ni, Seri Melati. Muka gadis melayu hidung pesek, siapa bilang gadis Melayu tak menawan bak kata Jamal Abdillah.

Kali ni aku senyum sebab puji diri sendiri.

“Seri,”

Ringkas aku balas.

“Seri muka?”

Loyar buruk pula. Agak-agaklah.

“Seri Melati.

“Klasiknya nama. Kalau tak silap saya, Melati tu nama sejenis bunga kan?”

Aku mengangguk. Laju tangan aku mengemas bekas kuih emak. Buat-buat sibuk.

“Selalunya, orang yang nama dia sempena nama bunga macam nama awak ni, cantik dan manis. Awak salah seorang daripadanya, Seri Melati.”

Aku berikan senyuman kelat. Mana tidaknya, seorang yang agak asing bagi aku, memuji begitu dan begini. Rasa tidak selesa.

“Gaya macam awak ni anti sosial, bukan makcik bawang yang suka bersembang. Tak apalah, saya minta diri dulu.”

“Baguslah kalau awak faham. Saya nak kemas-kemas. Hari pun makin panas dah ni, nasib baik hati saya ni sejuk lagi, kalau dah panas, bukan setakat makcik bawang, opah bawang dengan segala keturunan bawang pun saya boleh jadi.”

Dia ketawa. Bersungguh-sungguh punya ketawa.

“Iyalah, tapi saya nak cakap satu benda ni, lain kali kalau nak senyum, biar ikhlas dari hati. Senyum kan sedekah. Kalau senyum kelat macam tadi tu, nampak tak berseri. Tak sesuailah nama bunga Melati tu dengan awak. Bunga tahi ayam sesuailah kot.”

Dia ketawa lagi. Seronok mengenakan aku ya. Pantang nama aku ni dibuat main. Spontan aku capai bekas kuih kosong untuk dibaling kearahnya.

“Seri!”

Emak menahan tangan aku. 

“dah kenapa pula nak baling bekas tu?”

“Ni mak, mat saleh celup kicap ni cari pasal.”

Aku tuding jari kearah Evan Raeez. Dia buat muka pelik. Emak pun. Mesti tertanya-tanya siapa mat saleh celup kicap? Boleh dia senyum pula pandang mak aku.

“Maaflah makcik. Anak makcik ni kena belajar cara nak tarik hati pelanggan. Rupa ada, manis macam makcik. Tapi tak reti ikhlas nak senyum. Kalau senyum saya gerenti beratur orang datang beli lagi nanti. Kuih makcik jual ni saya tengok sedap semuanya. Itu belum rasa lagi, baru tengok tahu dah sedap.”

Ceh!

Dia gula-gulakan mak aku pula. Dia tak tahu ke kuih mak aku ni paling famous dalam kampung ni. Tak payah senyum manis meleting pun berderet orang datang membeli. 

“Iya ke Seri? Mak baru minta tolong jaga gerai kuih, huru-hara dibuatnya. Tu, kalau bekas kuih tu terkena kepala dia, pengsan masuk hospital, siapa nak jawab dengan mak bapak dia?”

Aku buat muka. Angguk tidak, geleng lagilah tidak. Alah, bekas plastik saja pun. Dia dah besar panjang, bukan budak kecil lagi.

“Maaflah, selalu makcik yang menjaga kuih, ni tadi makcik pergi hantar bekas kosong kedalam. Itu yang anak makcik ni yang tolong tengokkan sekejap. Lain kali datanglah lagi ya.”

“InsyaAllah. Tak apalah makcik. Saya bukan ambil hati sangat pun. Saja bergurau sebenarnya, tak sangka anak makcik ni garang, kalah singa betina. Saya balik dulu. Seri, saya beli ya kuih ni.”

Dia angkat bungkusan plastik kuih yang tersangkut di jarinya dan ditunjukkan kepaadaku. Aku mencebik bibir tanda tidak peduli. Tadi bunga tahi ayam, ni singa betina pula. Kasar gurau dia.

Emak mencuit lenganku. Aduh mak ni…

“Iya. Terima kasih. Saya jual.”

Aku acuh tak acuh. Nasib baik emak ada. Sebelum dia masuk kedalam kereta, sempat dia bersuara.

“Kasih diterima. Itupun kalau awak sudi nak memberi.”

Dup! 

Aku terkesima sebaik sahaja telinga aku menangkap kata-kata terakhirnya sebelum dia menutup pintu kereta dan beredar.

“Hah, terkedu? Itulah orang kata, jangan gaduh sembarangan, nanti jatuh sayang. Ni takkan dari mata turun ke hati pula?”

Amboi emak ni! Sayang celah mana mak oi..

“Tak ada maknanya mak. Itu bukan dari mata turun ke hati, itu namanya, dari mata, turun ke bekas kuih mak ni. Nasib baik bekas kuih ni tak melayang pada dia tadi.”

“Ish, sudahlah Seri. Kemas-kemas cepat.”

Evan Raeez. Memang mulut tak ada insurans. Apa dia ingat bunga tahi ayam tu busuk buruk kah? Berlambak dekat tepi rumah mak aku tu, elok cantik wangi saja. Memang tak pandai menilai dia ni.

Habis tu, yang aku marah sangat tadi kenapa?

Senyum.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.