Home Novel Cinta AKU BERIKAN SAYANG
AKU BERIKAN SAYANG
Ai Alani
14/7/2019 11:52:48
43,947
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

BAB 6


Hari ini, pagi-pagi lagi sesudah solat Subuh, aku menolong emak membungkus nasi lemak. Jarang emak buat nasi lemak, tapi hari ini kena siapkan untuk tempahan orang kampung. Biasanya emak buat kuih saja untuk dijual. 

“Sudahlah Seri. Pergi bersiap cepat. Sekejap lagi nak pergi kerja terlambat pulak.”

“Alah mak, sikit saja lagi ni. Lagipun bukan jauh rumah ke sekolah tu. Ayah belum balik dari surau ke?”

“Tadi katanya lepas solat Subuh, nak terus hantar motor pergi bengkel.”

“Ayah pergi surau naik apa pulak?”

Takkan si Evan Raeez yang ambil ayah pergi surau solat Subuh kot? Takkanlah.

“Dengan budak semalamlah. Si Raeez tu.”

Hai, si Raeez yang kurang asam tu, mulut tak ada insurans, geng surau rupanya.

Iyalah, kalau rajin solat Subuh di surau atau masjid, maknanya memang dia geng surau atau kaki masjidlah tu. Jarang-jarang ada orang muda yang rajin bangun awal untuk solat Subuh di surau.

Tapi…

Apa guna jadi geng surau, kalau mulut asyik nak sakitkan hati orang!

Depan orangtua bukan main, elok budi bahasa. Usahkan semut, pijak kuman pun belum tentu kuman mati. Dengan aku, usahkan pijak, dia baru jeling, pengsan terus kuman. Bukan main berbisa lagi bila bercakap.

Jangan-jangan, dia saja nak rapat dengan ayah sebab nak mengorat aku? Entah-entah, dia yang sengaja rosakkan motor ayah tu? Konon nak jadi hero, nak buat ayah suka dia.

Astagfirullahalazim…

Tak baik buruk sangkalah Seri. 

Dan…

Jangan nak perasan!

Mengorat tang mana tu Seri...

Macam mana pula dia boleh kenal yang ayah tu ayah aku. Sah-sah dia tak tahu. Aku menepuk dahi sambil senyum mengutuk diri sendiri. Kebetulan saja tu. Rasa bersalah pula serkap jarang tadi. 

“Mak, Seri pergi bersiap dulu ye.”

Emak mengiyakan saja dengan matanya masih tertumpu pada daun pisang dihadapannya. Aku pun berlalu meninggalkan emak disitu.



Tiba di sekolah, aku terus kebilik guru. Selepas melabuhkan punggung dikerusi, aku mencapai buku teks Matematik darjah tiga. Helaian demi helaian aku selak dengan cermat, bukan apa sekadar memastikan silibus yang akan diajar sebentar lagi. Sengaja membuat semakan kali kedua.

Ringg!

Loceng dah menjerit menandakan waktu belajar telah bermula. Aku kemas-kemas apa yang patut, dan terus ke kelas Tiga Pintar.

“Bangun semua. Assalamualaikum cikgu.”

Nyaring suara ketua kelas memainkan peranan disambut dengan sahutan murid-murid yang lain.

“Waalaikumussalam. Semua duduk dan keluarkan buku teks masing-masing.”

Semua murid duduk dan keluarkan buku seperti yang aku arahkan. Aku memandang papan putih yang masih berconteng dadanya. Laju aku mencapai pemadam papan putih. Entah kenapa terasa melekit tapak tangan.

“Eh..”

Aku cuba menarik tanganku yang melekat pada belakang pemadam tersebut. Perlahan-lahan hingga tertanggal. Aku belek tapak tangan yang melekit dan basah.

“Siapa buat ni cepat mengaku.”

Tegas aku bersuara sambil mengelap tanganku dengan tisu basah yang sedia ada dalam beg tanganku. Aku pandang wajah seorang demi seorang. 

Hmm..

Satu kelas diam membisu. Semua tunduk tidak berani bertentang mata dengan aku, termasuklah Umar. Semua tak mengaku. 

Kecuali…

Dah agak dah.

“Tak apalah. Buka mukasurat 28. kita belajar silibus baru ya hari ni.”

Aku hanya menahan rasa yang hampir terbakar. Cepat-cepat aku istighfar dan teruskan pengajaran.

Selesai mengajar.

“Mustaqim, nanti waktu rehat jumpa cikgu dibilik guru boleh?”

Mustaqim hanya mengangguk.

“Yang lain, jangan lupa buat latihan Matematik yang cikgu suruh tadi. Nanti esok cikgu nak tengok. Kalau nak berjaya kena rajin.”

Selepas menerima ucapan terima kasih daripada murid-murid, aku terus keluar dari kelas dan menuju kebilik guru.



Waktu rehat…

Kelibat Mustaqim aku lihat berteleku memandang tingkap disebelah mejaku sebaik sahaja aku melangkah masuk kedalam bilik guru.

“Awalnya, dah makan?”

Dia mengangguk. Mata masih tertumpu pada tingkap.

“Kamu tahu kan kenapa cikgu nak jumpa?”

Dia mengangguk lagi. Memang sepanjang aku ditugaskan menjadi cikgu ganti dikelasnya, payah aku nak mendengar suara dia.

“Sebab apa?”

Aku tanya lagi dengan harapan dia tidak lagi hanya mengangguk. Aku mahu dia bersuara.

“Saya letak gam pada pemadam papan putih.”

Lega dia sudah buka mulut. Ingatkan ada emas tadi.

“Kenapa buat macam tu? Tak baik tahu, Mustaqim budak baik kan?”

Dia geleng pula.

“Kawan-kawan cakap saya jahat.”

Aku mengeluh perlahan. Aku pandang dalam-dalam wajah Mustaqim. Kali ini dia memandang lurus ke muka pintu memerhatikan murid-murid lain yang lalu-lalang disitu.

Sebenarnya nama Mustaqim selalu disebut-sebut dalam bilik guru. Sebabnya dia selalu buat hal dalam kelas. Letak gam atas kerusi cikgu, conteng papan putih, tak endahkan cikgu mengajar didepan, dan tadi aku pun terkena juga gam yang dia letak pada pemadam papan putih. Ramai cikgu sudah tidak tahu macam mana lagi nak nasihatkan dia. Semua dia tidak endahkan.

“Mustaqim ada masalah?”

Lama dia diam membatu. Angguk tidak, geleng pun tidak kali ni.

Ah sudah!

Aku yang mati kutu.

“Kalau Mustaqim taknak cakap tak apa. Tapi cikgu harap Mustaqim jangan buat lagi. Kalau taknak orang gelarkan kita jahat, janganlah buat jahat. Cikgu tahu Mustaqim budak baik. Mustaqim nak jadi budak pandai kan?”

Kali ini dia menoleh memandang kearah aku. Walaupun tiada jawapan, aku tahu dia mengiyakan kata-kataku didalam hatinya. Aku senyum padanya walaupun tak berbalas.

“Cikgu panggil Mustaqim ni bukan sebab nak marah apa yang Mustaqim buat tadi. Cikgu cuma nak tahu apa masalah Mustaqim, tapi kalau Mustaqim belum bersedia nak cerita tak apalah. Nanti kalau Mustaqim rasa nak kongsi dengan cikgu, datanglah jumpa cikgu bila-bila masa je.”

Dia teragak-agak untuk senyum. 

“Dah pergi masuk kelas. Sekejap lagi loceng bunyilah tu. Ingat pesan cikgu, kalau kita taknak orang kata kita jahat, kita mesti jadi budak baik. Kalau kita budak jahat sekalipun, masih belum terlambat untuk kita berubah jadi baik.”

“Baiklah cikgu.”

Dia bersuara. Dan aku yakin dia faham apa yang aku katakan tadi. Lega. Mustaqim berlalu pergi keluar dari bilik guru. 

Aku mengeluh perlahan. 

“Dah ramai cikgu nasihatkan dia Seri, macam tu juga.”

Telingaku menangkap kata-kata Kak Munirah, yang merupakan seorang cikgu Bahasa Melayu disekolah ini.

“Mak ayah dia tahu ke?”

“Dah pernah juga cikgu lain adukan pada mak dia, tapi mak dia pun tak tahu nak buat macam mana. Asalkan anaknya nak kesekolah, dah cukup baik katanya.”

Macam tu pula. Apa gunanya ke sekolah kalau tidak mahu belajar. Kata cikgu lain yang mengajar kelas dia, kerja sekolah memang tak pernah dia siapkan. Dalam kelas diam membatu. Samalah begitu sejak aku mengajar kelas dia.

“Agaknya dia tak mahu ke sekolah kot. Mungkin dipaksa-paksa.”

“Tak juga. Mak dia cakap, Mustaqim tu hari-hari nak datang sekolah. Pernah maknya ugut nak berhentikan saja dia dari sekolah kalau asyik buat hal, tapi dia sendiri yang tak mahu.”

“Pelik juga. Dia nak ke sekolah, tapi tak mahu belajar. Selalu buat hal. Baru darjah tiga, tapi lagak dia tu macam dah besar sangat. Langsung tak tahu takut.”

“Kak Mun kenal keluarga dia? Orang kampung ni juga ke?”

“Ayah dia akak kenallah. Memang orang kampung ni, mak dia orang luar. Kenapa?”

Kak Munirah memang anak jati kampung ini, jadi kebanyakan ibu bapa murid dia kenal sangat. 

“Ayah Mustaqim tu, panas baran orangnya. Selalu naik tangan.” sambung Kak Munirah lagi.

Patutlah…

“Mustaqim selalu kena pukul ke Kak Mun?”

“Mustaqim tak rasanya, yang selalu kena maknya lah.”

“Tak ada yang buat report ke?”

“Report? Tak guna pun buat report, mak Mustaqim taknak bagi kerjasama. Bila polis siasat, dia menidakkan semua tuduhan orang kampung.”

“Kenapa pula macam tu?”

“Entahlah Seri. Sayang tak bertempat, macam tu lah jadinya.”

Hmm..

Kasihan pula pada Mustaqim. Mesti dia mangsa keadaan. Selalunya begitu, masalah keluarga banyak mempengaruhi sikap dan tingkahlaku murid-murid. Mereka tak tahu macam mana nak luahkan perasaan mereka, lebih-lebih lagi kalau mak ayah jenis tidak mahu ambil tahu perasaan anak-anak. 

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.